Editor 'ditembak' dengan soalan pilih kasih dalam pemilihan karya
Dari kiri; Padilah, Lutfi Ishak
dan Salbiah pada Dialog Orang Muda di Rumah PENA.
MESKIPUN
kehadiran pada Dialog Orang Muda: Media Massa dan Sastera kecil, ekoran
perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah Celsea-Bayern Munich dan Piala
FA Kelantan-Sime Darby malam sebelum program, tetapi sesi hampir dua
jam tetap 'panas'.
‘Panas’ kerana panel majlis anjuran Biro
Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) diasak soalan
dengan maksud tersirat dan meskipun dijawab panel, tetapi dapat
disimpulkan beberapa penulis yang melontarkan soalan ‘sensitif’ tidak
berpuas hati dengan jawapan panel.
Saya tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi
sesuai dengan kedudukan Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya
selama ini, adalah tidak wajar untuk majalah ini menyiarkan karya
penulis yang baru pertama kali menghasilkan karya, sekalipun karyanya
bermutu. - Padilah Ali, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP
Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
Padilah Ali, menjadi ‘sasaran’ penulis muda dan mapan melepaskan rasa
tidak puas hati mereka berhubung pemilihan cerpen mutakhir ini dalam
majalah sastera berprestij, Dewan Sastera.
Dewan Sastera menjadi
dambaan hampir semua penulis kreatif negara ini, baik muda apalagi
veteran untuk melihat karya mereka mendapat tempat kerana dianggap
sebagai kayu aras bagi mengukur ‘kehebatan’ seseorang pengarang kreatif
negara ini.
Penulis mapan, Zainal Rashid Ahmad meluahkan rasa
tidak puas berhubung pemilihan cerpen dalam Dewan Sastera sejak 10 tahun
kebelakangan ini kerana tidak melahirkan penulis besar seperti yang
pernah terjadi sebelum ini.
“Saya tidak melihat citra Dewan
Sastera seperti yang pernah dinikmatinya dulu. Saya dapati karya penulis
indie yang banyak aliran pemikiran baru begitu sukar menembusi Dewan
Sastera sedangkan sesetengah daripada karya ini hebat dan wajar
diketengahkan.
“Saya mengambil inisiatif mengumpul karya penulis indie untuk
dibukukan dan dikongsi dengan rakan seperjuangan dari Indonesia untuk
diketengahkan kepada pembaca sastera kerana berasa amat rugi jika
dibiarkan begitu saja,” katanya juga Pengurus Besar, Bahagian Majalah
dan Dokumentasi TV Al-Hijrah.
Zainal Rashid turut meluahkan rasa
tidak puas hati berhubung program anjuran DBP, Minggu Penulis Remaja
(MPR) yang sebelum ini melahirkan ramai penulis berbakat besar, tetapi
kini tidak lagi melahirkan penulis pelapis yang mampu menghasilkan karya
hebat.
Dialog bertambah panas panas apabila penulis muda yang
juga produk MPR, Aidil Khalid, turut mempersoalkan kewibawaan Dewan
Sastera sebagai majalah yang menerbitkan karya berprestij di negara ini,
tidak lagi berada di landasan terbabit.
“Saya berasa cukup
terganggu apabila cerpen yang dihantar seorang penulis tidak mendapat
tempat dalam Dewan Sastera, tetapi dipilih sebuah akhbar perdana negara
ini dan memenangi hadiah sastera syarikat terbabit,” ujarnya.
Padilah
ketika menjawab persoalan itu menjelaskan, pemilihan karya bukan saja
bergantung kepada tema, pendekatan, penstrukturan dan penceritaan,
tetapi panel editor turut terikat kepada dasar penerbitan yang menyekat
penyiaran karya yang menyentuh sensitiviti kelompok dan hal tertentu.
“Saya
tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi sesuai dengan kedudukan
Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya selama ini, adalah tidak wajar
untuk majalah ini menyiarkan karya penulis yang baru pertama kali
menghasilkan karya, sekalipun karyanya bermutu.
“Tidak semestinya
penulis yang karya mereka tidak disiarkan dalam Dewan Sastera tidak
bermutu. Tidak bermakna bila karya mereka pernah disiarkan dalam Dewan
Sastera, karya mereka tidak boleh disiarkan dalam Tunas Cipta.
“Kami
di Dewan Sastera dan Tunas Cipta mempunyai garis panduan pemilihan
karya yang sesuai untuk kedua-dua majalah berkenaan. Pemilihan karya
diputuskan secara bersama oleh sidang editor dan saya terbabit sama.
“Saya
tidak menafikan ada karya yang cepat disiarkan kerana mutunya menyerlah
berbanding sesetengah karya yang terpaksa menanti giliran, tetapi ini
tidak bermakna karya yang disiarkan baik semua sepanjang bulan.
“Penulis
muda dan baru saya galakkan agar cuba menembusi Tunas Cipta terlebih
dulu kerana persaingan pemilihan tidaklah terlalu sengit berbanding
Dewan Sastera. Saya suka memberi nasihat kepada penulis jika karya
pertama bermutu, tidak bermakna karya seterusnya juga demikian,” katanya
berterus-terang.
Bagi Padilah, beliau berkata demikian bukan
kerana enggan menerima kritikan, tetapi bagi membolehkan semua penulis
faham situasi editor yang ada kalanya tersepit dalam situasi penulis
muda dan mapan serta akan berusaha membaiki kelemahan demi kebaikan
semua pihak.
akui, kadang kala editor tersepit sebegini dan
mengharapkan penulis muda bersabar kerana masih ramai penulis mapan yang
masih menunggu giliran karya mereka disiarkan.
Padilah turut
mencadangkan penulis kreatif agar bersikap lebih terbuka kerana DBP
bukan saja menyedia Dewan Sastera dan Tunas Cipta, sebagai gelanggang
berkarya kerana sebenarnya mereka turut boleh mengirimkannya ke Dewan
Budaya.
Menjawab persoalan editor ‘pilih bulu’, Editor Sastera,
Berita Harian (BH), Salbiah Ani, menegaskan ruangan Sastera BH sentiasa
mengamalkan
sifat terbuka dan memberi peluang kepada semua penulis baik
mapan mahupun muda kerana yang diutamakan ialah mutu karya.
“Sebagai
orang surat khabar yang menjadi keutamaan adalah
isu semasa, perkara
berkaitan bahasa dan bangsa Melayu, tetapi ini tidak bermakna karya
bentuk lain tidak dipertimbangkan. Jika menulis mengenai isu pula
janganlah mengulangi apa yang sudah disiarkan dalam berita dan rencana,”
katanya.
Beliau turut mengingatkan khalayak Dialog Orang Muda
bahawa akhbar dan majalah mengamalkan pendekatan sedikit berbeza kerana
batasan halaman memaksanya membahagikan peluang kepada
karya yang lebih
dekat dengan pembaca yang bukan saja orang sastera, tetapi juga biasa.
“Sebagai
editor sastera di akhbar saya juga turut dipersoalkan pengurusan kanan
berhubung berapa banyak naskhah, pembaca dan nilai iklan yang berjaya
dijana daripada halaman Sastera kerana syarikat bergerak atas dasar
keuntungan.
“Saya tidak akan membuka sebarang pintu polemik
kerana pengalaman lalu, Berita Harian terpaksa mengorbankan RM80,000
untuk membayar seorang sasterawan hanya kerana serangan peribadi seorang
pengkritik terhadapnya disiarkan dalam Berita Harian.
“Segala
aspek yang saya terangkan ini menjadi sebahagian daripada ciri dalam
penilaian Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk diri saya selaku
editor dan juga semua wartawan di bawah jagaan saya,” katanya.
Beliau
menutup Dialog Orang Muda dengan peringatan agar tidak menjadikan
kemenangan karya dalam sesebuah hadiah sastera sebagai pengukur kerana
mutu kerana pemilihan pemenang banyak dipengaruhi panel yang
mengadilinya.
iDAN: ha³ 3 tahun lebih gua hantar karya puisi ke BH tak satu pun tersiar; DS baru hantar nampaknya lebih ADIL & saksama... paling tidak dibalas dengan e-mel kata rangsangan.