|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
 |
|
|
|
|
 |
|
|

BAHA ZAIN atau nama sebenarnya Baharuddin Zainal,
dilahirkan pada 22 Mei 1939, di Batu 15, Hutan Melintang, Perak. Beliau
memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963 di Universiti
Malaya dan Sarjana Sastera di Universiti Indonesia Jakarta, pada tahun
1972.
Baha Zain pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka
pada tahun 1963 sehingga menamatkan perkhidmatannya sebagai Timbalan
Ketua Pengarah pada tahun 1984. Kemudian beliau berkecimpung dalam dunia
perniagaan dalam bidang penerbitan.
Dalam ujana kesusasteraan
tanah air, Baha merupakan aktivis yang aktif dalam memartabatkan sastera
dan bahasa di persada antarabangsa. Keringat dan cetusan fikirannya
banyak dicurahkan ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah, Ketua
Bahagian Pengembangan Sastera, Ketua Pengarang Majalah Dewan Sastera dan
Dewan Budaya, dan sidang pengarang jurnal Tenggara. Kini, beliau
meneruskan sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu di syarikat
penerbitannya, Pustaka Cipta Sdn. Bhd. Yang menerbitkan karya sastera
dan bahasa di persada tanah air.
Baha Zain menulis esei,
kritikan, puisi, dan cerpen. Beliau juga menyusun semula Hikayat
Bakhtiar, Hikayat Omar Umayyah, dan Hikayat Cekal Waneng Pati. Namun
dalam genre puisi merupakan pilihan utamanya. Banyak puisinya termuat
dalam beberapa antologi bersama dan empat buah kumpulan puisinya telah
diterbitkan, iaitu Perempuan dan Bayang-Bayang, Dari Kertas Catatan
Tengah Malam, dan Tiga Catatan Perjalanan (Three Sketches from A
Journey) dalam dwibahasa. Dalam genre kritikan pula, Baha Zain bukan
sahaja sebagai pengkritik yang disegani malah gaya penulisannya menarik
dengan cetusan fikirannya yang mengajak khalayak berfikir.
Baha
banyak melibatkan diri dalam kegiatan sastera, bahasa, dan budaya. Dalam
tahun 1972, beliau menghadiri Persidangan Bahasa Kebangsaan
Negara-negara Asia di Manila, kemudian dalam tahun 1974, beliau
menyertai Kongres Puisi Dunia Kedua di Taipei dan beberapa pertemuan
lain di Jepun, Korea, dan sebagainya. Selain itu, Baha juga menjadi
Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak 1986 hingga kini, Presiden
Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (1989-1994), Timbalan Presiden
PPM (1985-1991), dan sebagainya.
Kecemerlangan, ketokohan, dan
sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu, bahasa, dan budaya diiktiraf
melalui pelbagai anugerah. Antara yang diperolehnya ialah SEA Write
Awards (1980), Anugerah penyair GAPENA (1988), Darjah Cura Simanja Kini
(P.C.M) daripada DYMM Sultan Perak (1986), Darjah Kesastria Mangku
negara (1982), dan Darjah Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) pada tahun 1998
yang membawa gelaran Datuk.
BIOGRAFI
Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain)
Dilahirkan pada 22 Mei 1939, di Batu 15, Bukit Melintang, Perak.
Pendidikan
: (1). Sekolah Melayu Sabak Bernam, Selangor, 1946 - 1949. (2).
Anglo-Chinese School, Teluk Anson, Perak, 190 – 1957. (3). Sekolah
Anderson, Ipoh, Perak, 1958 – 1959. (4). Universiti Malaya, Kuala
Lumpur, 1960 – 1963. (5). Fakultas Sastera, Universitas Indonesia,
Jakarta, Indonesia, 1970 – 1972.
Kerjaya : (1). Penolong Pegawai
Penyelidik, Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 1963
– 1969. (2). Penolong Ketua Bahagian Perkamusan, DBP, 1970. (3). Ketua
Cawangan Kajian, Bahagian Perkembangan Sastera DBP, 1972 - 1976. (4).
Ketua Bahagian Perkembangan Sastera, DBP, 1977 – 1981. (5). Timbalan
Ketua Pengarah DBP, 1982 – 1984. (6). Penerbit Pustaka Cipta Sdn. Bhd,
Petaling Jaya, 1984 – hingga sekarang.
Kegiatan : (1). Ketua
Pengarang majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya serta anggota sidang
pengarang jurna Tenggara ketika bertugas sebagai Ketua Bahagian
Perkembangan Sastera, 1977 – 1981. (2).Penyusun semula beberapa hikayat
lama , iaitu Hikayat Bakhtiar, Hikayat Umar Umayyah dan Hikayat Cekel
Waneng Pati. (3). Anggota penyusun Kamus Dewan, terbitan DBP, 1970. (4).
Menerbitkan mingguan Berita, ERA ketka mendirikan penerbitannya,
Pustaka Cipta Sdn. Bhd , 1985. (5). Ahli Lembaga Pengelola, DBP, 1989 –
1992 dan dilantik semula pada awal tahun-tahun 2000an. (6). Perunding
penerbitan bagi majalah terbitan Malaysia Toutism Board, (7). Ahli Mjlis
Buku Kebangsaan, Kementerian Pelajaran Malaysia. (8). Ahli Lembaga
Amanah Yayasan Penataran Ilmu. (9). Presiden Ikatan Penerbit-Penerbit
Buku Bumiputera Nasional (10) Pengerusi Eksekutif Dasar Padu Sdn. Bhd.
(11). Setiausaha Persatuan Penulis Nasional (PENA) 1969/1970. (12).
Ketua Dua PENA, 1992 – 1994. (13). Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis
Nasional Malaysia (Gapena), 1978/1980.
Pencapaian : (1).
Penyusunan semula Hkayat Cekel Waneng Pati oleh beliau telah diiktiraf
oleh UNESCO sebagai bahan bacaan tambahan yang baik untuk pelajar di
peringkat sekolah menengah, 1967. (2). Terpilih melanjutkan pelajaran di
Universitas Indonesia oleh DBP untuk mengikuti pendidikan khusus
tentang masyarakat dan kebudayaan Indonesia dalam satu program pengajian
peringkat sarjana, 1970 – 1972. (3). Di peringkat antarabangsa, beliau
menyertai Kongres Puisi Dunia ke-2 di Taipei, 1974. (4). Beliau diberi
kepercayaan dan tanggungjawab sebagai Pengarah Persidanan
Penulis-Penulis ASEAN yang pertama yang diadakan di Kuala Lumpur, 1977.
(5). Mewakili Malaysia ke Persidangan Bahasa Kebangsaan Negar-Negara
Asia di Manila, Filipina, 1972.
Inovasi: (1). Sebagai penerbit,
beliau mengambil inisiatif mempelopori penerbitan majalah berita
mingguan pertama seumpamanya di Malaysia apabila ERA mula masuk pasaran
pada Mac 1985. Walaupun majalah ini tidak kekal bertahan dan menutup
tirainya dua tahun kemudian, , tetapi impaknya kepada masyarakat amat
besar, terutama dari segi isu dan kandungannya yang mirip majalah Tempo
di Indonesia, Time di Amerika Syarikat atau Asiaweek di Hongkong. (2).
Pustaka Cipta pimpinan beliau mencadangkan penyelenggaraan program tv.
Siri Ilham, 10 episod tentang pemikir dan cendekiawan Melayu dalam
pelbagi bidang, terutama bahasa, sastera dan persuratan Melayu, 2002.
Kajian
: Pada tahun 1972 beliau membuat kajian tentang novel-novel terbaru
terbitan Indonesia melalui tesisnya yang berjudul “Manusia Dalam
Pergolakan: Satu Analisis dan Tafsiran Novel-novel Indonesia 1966 –
1971”. Tesis kesarjaaan beliau ini adalah di bawah bimbingan pengkritik
terkemuka Indonesia, H.B. Jassin.
Salah sebuah buku Dato' Baha Zain "Esei dan Puisi Baha Zain" edisi istimewa yang diterbitkan sendiri.
Penulisan
: (1). Perempuan dan Bayang-Bayang , DBP, 1974. (2). Keranda 152, 1967.
(3). Teluk Gong, 1967). (4). Dari Kertas Catatan Tengah Malam, 1978.
(5). 10 Sajak, 1979. (6). Tiga Catatan Perjalanan, 1978. (7).Hikayat
Bakhtiar, 1963. (8). Hikayat Umar Umayyah, yang kemudian menjadi buku
teks perinkat SPM 1964. (9). Hikayat Cekel Waneng Pati, 1965. (10).
Mendekati Kesusasteraan , 1975. (11). Esei Sastera Baharuddin Zainal,
1980. (12). Thee Sketches from a Journey, (Dwibahasa Melayu dan
Inggeris), 1980. (13). Sejumlah 11 antologi puisi besama penulis-penulis
lain, antaranya Bahasa Alam yang kemudian menjadi buku teks di
peringkat SPM, Lagu Kehidupan dan Bintang Mengerdip.
Anugerah:
(1). Anugerah SEA Write Award oleh Kerajaan Thailand, 1980. (2).
Anugerah Penyair Gapena oleh Gabungan Persatuan Penulis Malaysia
(Gapena), 1988. (3). Anugerah bintan kebesaran Darjah Cura Simanja Kini
(PCM) oleh Sultan Perak, 1986. (4). Anugerah bintang kebesaran Darjah
Kesasteria Mangku Negara (KMN) oleh Sulan perak, 1982. (5). Anugerah
bintang kebesaran Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP), oleh Sultan Perak,
yang membawa gelaran Dato’, 1998.