iDAN

27 Jun 2009

Tujuh lagi kes baru H1N1

PULAU PINANG 27 Jun - Kementerian Kesihatan mengesahkan tujuh lagi kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) sehingga pukul 8 pagi hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini meningkat kepada 112.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia membabitkan enam kes import dan satu jangkitan tempatan.

''Terdapat tujuh kes baru H1N1 menjadikan keseluruhan yang dicatat setakat ini sebanyak 112 kes iaitu 96 kes import dan 16 jangkitan tempatan.

''Dalam wad ketika ini masih ada 41 kes manakala 71 pesakit lagi sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pergigian Malaysia Ke-66 di sini hari ini.

Daripada enam kes import, empat melibatkan warganegara Malaysia dan dua rakyat asing dari Ireland dan Australia.

Kes jangkitan tempatan pula melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang merupakan anak kepada kes 79 dan adik kepada kes 101.

Kanak-kanak itu merupakan kes ke-111 dan merupakan kes tempatan ke-16 dan keadaannya stabil dan sedang diberikan rawatan antiviral di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, jumlah sekolah yang ditutup juga masih kekal tiga buah sehingga kini iaitu Sekolah Antarabangsa Seri Chempaka, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 dan SRK Assunta 2.

Kesemua sekolah tersebut akan mula dibuka mulai Isnin ini manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jalan Davidson yang diarahkan tutup sebelum ini, telah mula dibuka hari ini.

''Kecuali bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim 2, Kudat. Kementerian hanya mengarahkan dua kelas ditutup. Tetapi memandangkan seramai 128 orang yang terdiri daripada 76 murid, 10 kakitangan sekolah dan 42 guru telah dikuarantin di rumah sehingga 29 Jun ini, pihak sekolah telah membuat keputusan untuk menutup sekolah tersebut kerana hampir keseluruhan guru terlibat dengan kuarantin," katanya.

Sementara itu, Tiong Lai memberitahu, kes ke-106 dikesan membabitkan wanita warga Ireland berumur 33 tahun yang datang ke negara ini bersama suaminya pada 23 Jun lalu untuk bercuti.

Mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki penerbangan MH122 dan mula dijangkiti demam 25 Jun lalu dan telah pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan pemeriksaan.

Mangsa disahkan positif H1N1 dan dimasukkan ke HKL untuk rawatan. Enam kontaknya telah dikenal pasti dan dikuarantin di rumah.

Kes ke-107 pula membabitkan seorang pelajar perempuan warga Malaysia berusia 20 tahun yang belajar di Melbourne dan balik bercuti. Beliau tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang pada 22 Jun lalu sebelum meneruskan penerbangan dengan pesawat AirAsia X D7 2725 ke Pulau Pinang.

Dia kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara kes ke-108 pula membabitkan seorang pelajar lelaki warga Malaysia berusia 26 yang juga balik bercuti dari Melbourne. Beliau yang disahkan positif H1N1 kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Kes 109 pula merupakan seorang budak lelaki warga Australia dari Melbourne berumur 11 tahun yang telah pergi bercuti bersama bapanya di Kemboja selama lima hari. Mangsa yang dalam perjalanan pulang telah transit di KLIA dan dikesan demam dan terus dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Kes 110 melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun, warga Malaysia. Beliau telah melancong ke Australia sejak 27 Mac dan mulai demam pada 22 Jun ketika di Melbourne. Setiba di KLIA, 25 Jun lalu beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh dan disahkan positif H1N1.

Sementara itu, kes 112 pula melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 27 tahun yang bekerja di Sydney, Australia. Mangsa pulang ke Malaysia pada 21 Jun dan telah ke Pulau Pinang. Mangsa mula mengalami demam, sakit tekak dan batuk pada 25 Jun.

Mangsa disahkan positif H1N1 dan kini menjalani rawatan di HPP. Kesemua empat kontak terdekat telah dikuarantin di rumah.

''Jumlah kontak yang sedang menjalani kuarantin di rumah berjumlah 771 orang dan kesemuanya sihat manakala sejumlah 55 kes yang menunjukkan gejala jangkitan H1N1 telah disiasat dan dilaporkan di seluruh negara sehingga semalam.

''Walaupun kes meningkat, H1N1 di negara kita masih berada pada tahap terkawal,'' kata Tiong Lai.

Utusan Malaysia


Selesema babi, influenza A diguna serentak

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mencadangkan supaya nama wabak selesema babi digunakan serentak dengan influenza A (H1N1) dalam setiap siaran berita bagi memudahkan masyarakat awam memahaminya.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menjelaskan, penggunaan dua nama yang disekalikan itu adalah paling tepat demi pemahaman yang lebih berkesan terutama kepada penduduk kawasan pedalaman.

Selain itu, kata beliau, agensi-agensi berita terkemuka dunia seperti BBC dan ABC serta enjin pencarian di Internet seperti Google turut menggunakan swine flu atau selesema babi yang jelas lebih ringkas dan tepat.

"Oleh itu, kementerian rasakan bahawa kami menggunakan jurusan yang mudah difaham orang, kalau hendak sebut dalam kurungan atau nak dulukan H1N1, kemudian dilangsungkan dengan selesema babi itu paling baik," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran logo serta lagu 1Malaysia dan program senam seni Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Rais meminta supaya semua pengamal media tempatan kembali menggunakan istilah selesema babi bagi menggantikan istilah H1N1.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican semalam bertegas kementerian itu akan tetap dengan istilah H1N1 selari dengan arahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 29 April lalu.

Mengulas lanjut, Rais memberitahu, selesema babi sepatutnya ditakrifkan sama seperti selesema burung yang pernah melanda dunia sebelum ini.

"Kalau kementerian (kesihatan) nak teruskan H1N1, itu tidak menjadi masalah, tetapi kementerian ini yang bertanggungjawab dari segi falsafah menerangkan sesuatu, kita harus menggunakan terus kedua-dua terma tanpa apa-apa alasan lain," tegasnya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: