iDAN

01 Ogos 2009

Berikan aku Laluan (Singgahsana)

1.8.2009

"Mana pula semua orang ini" Lengang amat suasana di Klinik Kordia, Hospital Serdang

"Semua doktor & sebahagian jururawat ke simposium" Jawab seorang jururawat berumur 30an.

"Saya nak ambil darah sahaja, bolehlah kot!..."

"Tenguklah nanti, sila encik ke tingkat bawah buat pendaftaran" Tak tahulah pula kena daftar di kaunter Tingkat 1, ingatkan kalau dah temujanji tak payah daftar.

"Daftar nak ambil darah, pesara!" Tiba dikaunter bawah agak ramai kaunter & cepatlah urusan pendaftaran.

"Tiap kali jika encik mahu jumpa doktor encik kena daftar di sini dulu.."

"Okey!" Ini kali ke tiga punyai temujanji dengan pakar jantung, tak perasanlah pula prosidur di hospital ini begitu. Harap-harap akan menjadi lebih cekap & sebaik PKupm.

Kenapa aku katakan sebaik & secekap PKupm. Mungkin anda tidak pernah ke sana, sesekali pergilah. Tenguk bagaimana cekap & cepatnya urusan di sana. Sampaikan tertulis di pintu setiap bilik doktor; ayat yang lebih kurang begini "Jika 22 minit ada masih tidak ketemu doktor sila buat aduan". Harapanku satu ketika nanti aku dapat melihat perkembangan akta cekap, cepat & pantas pun tak menyakitkan lagi pesakit ini diharapkan terlaksana di Hospital Serdang.

PKupm itu kelebihan yang aku lihat adalah sebab punyai ramai doktor. Hospital Serdang aku memang tidak pasti. Cumanya pengalamanku yang kerap kali berulang alik ke Wad Kecemasan contohnya, teramatlah naif & menginsutnya layanan di sana. Bayangkan aku pernah dibawa naik Ambulan lantaran tekanan darah tinggiku melonjak naik sekitar 180/110 mmHg (milliliter air raksa). Terpaksa menunggu doktor sekitar tujuh ke lapan jam. Sampaikan tekanan darahku jadi normal semula. Perkara ini pernah kutulis dalam jurnal ini.

Memang boleh buat ceritera panjang atau bangsawan; belenggu menunggu & sedih yang amat sukar untuk aku lupakan. Diri aku satu hal, pesakit yang lain yang rasanya amat menderita sakitnya terbiar menunggu. Punca yang dapat aku kesan adalah lantaran tidak cukup doktor yang bertugas. Mangsa kemalangan yang tetiba ramai terpaksa didahulukan membuatkan orang sakit seperti aku diketepikan. Sampai pihak hospital menampal carta di dinding siapakah yang lebih berhak didahulukan dengan perbagai peringkat kecemasan. Antara paling cemas atau kategori pertama kecemasan ialah pendarahan yang berterusan, pitam atau pengsan tak sedar diri, pesakit jantung yang kronik strok umpamanya, adalah lagi jenis sakit tak ingat semua. Sakit darah tinggi tak termasuk kategori pertama kecemasan sebab tak strok lagi atau sampai kena angin ahma.

Cemas memanglah semuanya cemas, cumanya cemas siapa yang lebih dekat dengan kematian berbanding siapa yang akan lebih bertahan dengan kematian. Seperti kes aku doktor di PKupm telah mengesahkan aku kritikal tetapi tiba di Hospital Serdang katanya tak kronik lagi. Terkadang aku terfikir jikalah aku ini VVIP apakah masih dilayan begini? - ayat geramlah ni!... iDAN titik.

"Encik Haridan..."

"Iyer! saya.."

"Jom ikut saya!... puasa tak hari ini? " Seorang jururawat agak gempal berwajah kampung mengiringi aku ke bilik mengambil sampel darah.

"Haa aah! sejak 11:00 malam tadi.."

Banyak bilik yang terpaksa aku lalui di klinik ini. Bilik ambil sampel darah nun jauh ke belakang sebelah kiri. Memang tak berpenghuni kebanyakan bilik yang aku lalui.

"Selalu ambil samel darah sebelah tangan mana..." Sambil mengambil tiub-tiub untuk diisikan darah. Jarum tentunya. Jarum itu macam gigi dracula.

"Sini..!" Aku menunjukkan tangan kananku, telah ada bintik-bintik hitam di dekatan pelipat tangan kananku.

"Isk! berapa tiub nak ambil iyer!" Aku agak panik tenguk ada lima tiub sebesar jari kelingking yang susun terbaring di meja.

"Memang perlukan sebanyak ini!" Sudah namanya pun doktor pakar jantung.

"Pengalaman saya paling banyak dua tiub sahaja, biasanya lama tak keputusannya baru tahu!?." Di PKupm kalau ujian terapi untuk kolestrol, glukos & perbagai biasanya pagi diambil samel darah sebelah petang dapatlah keputusannya.

"Lambat lagi ikut jadual kami itu" Aku perasan bulan hadapan baru ketemu mereka lagi. Sebulan lagi.

"Tentunya ini lebih terperinci & banyak ujian yang akan dikaji kot!.." Aku bercakap sendiri, jururawat diam sahaja.

"Okey! saya cucuk jarum ini iyer!.... genggam tangan tu! " Aku menoleh kelain, tenguk gigi dracula tu memang ngeri; Aku menarik nafas dalam mahu merasa pedihnya jarum menyucuk ke dagingku. Tak dengar suara Bismillah dari mulut jururawat, tentunya dalam hati... bisik hatiku. Jika di PKupm lazimnya dengar suara jururawatnya berBismillah.

"Amboi! pandai pula nak beda-bedakan orang ini, cucuk sampai habis jarum ini baru tahu."

Agak mengambil masa juga lantaran banyak sangat darah diperlukan. Hingga bersungut jururawat katanya "Makin perlahan keluarnya darah ini..."

"Lepas ini saya boleh balik tak?" Aku lihat jam tangan replikaku RM25K aku. Tak sampai pun sejam pun lagi aku berada di klinik ini.

"Ikut jadual kami kena buat stress test..." Apa bendanya pulak tu. Tadi pun jururawat ada bertanya tentang apa nama ujian yang aku telah lakukan, aku tak pasti; bila dia tanya aku kata sudah saja. Bukannya apa, malas nak buat ujian pun satu hal. Takutnya nanti bila diuji sahaja bertambah lagi ubat-ubatan yang terpaksa dimakan. Sekarang pun yang mesti dimakan tak boleh tidak ada enam jenis pil kena ditelan. Campur kalau rasa sakit buah pinggang ini dua lagi aku makan ubatan herba. Lapan. Biar bebetul takkan tak kan nak makan sampai berbelas jenis ubat. Tercekik aku nanti.

Kes aku bertindih tiga kelompok doktor. Buah pinggang, batu karang sekitar anggotanya dirawat oleh doktor di Hospital Kajang. Darah tinggi kolestrol perbagai di PKupm. Jantung & hati di Hospital Serdang. Dulu kalau sesak sangat aku ke Klinik Husni, doktor panel. Sekarang tak boleh lagi sebab telah bersara. Kalangan doktor memang makin risau tentang kesihatanku.

"Bulan depanlah Encik Haridan buat Stress Test!" Aku lihat ada sepasang pasangan sahaja yang tinggal. Tadinya memang ada dalam empat atau lima kelompok pesakit. Semua pesakit berteman kecuali aku sendirian. Aku sempat berbual dengan seorang Apek. Ingatkan dia yang sakit tetapi bila ditanya isterinya di sebelah memang nampak uzur amat yang sakit.

Hakikatnya pesakit di Hospital Serdang ini kebanyakannya adalah setelah disaring yang perlu dibuat rawatan terapi. Kebanyakan Hospital di Lembah Klang ini menghantar pesakitnya ke sini. Maka itu jika dilihat pengunjungnya memang padat dari pelbagai daerah bukan daerah Serdang semata; jauh & dekat. Temujanji pun hanya dari pagi ke tengah hari sahaja. Sementelah itu jarak masa menunggu sekitar tiga ke empat sahaja tidak selama di Wad Kecemasan. Mila isteriku entah bila mahu menemani aku ke pakar jantung ini.

- bersambung

2 ulasan:

Unknown berkata...

Bila Che Idan sebut perkhidmatan di pkUPM teringat pula semasa menerima rawatan di sana.

Sememangnya pkUPM antara perkhidmatan terbaik yang pernah saya terima berbanding di tempat-tempat lain

iDAN berkata...

Tiap bulan memang saya terpaksa mengadap di PKupm itu. Selain khidmatnya memang cepat & bagus ubatanya pun dari ubatan terbaik.

Di hospital biasa takkan dapat ubat sebaik PKupm. Maka itu saya memang memilih PKupm jika ada masalah kesihatan.