Tajuk : Berlumba-lumba melakukan kebaikan
Lokasi : Masjid AnNur, WP Labuan
Imam Nawawi menukilkan sebuah hadith Rasulullah yang mana ada kaitannya dengan bab berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan dan kebaikan. Sebuah hadith riwayat atTirmizi yang menceritakan bahawa Baginda mengingatkan kita agar melakukan kebaikan sebelum 7 perkara ini datang. 7 perkara tersebut jika ia datang, ia sedikit sebanyak menghalang niat kita untuk melakukan kebaikan dengan sempurna. Baginda sebut agar kita segera melakukan kebaikan sebelum :
1- Kemiskinan yang merosakkan.
Mengapa Baginda sebut merosakkan? Ini kerana ada orang yang miskin tetapi masih ingatkan Allah SWT. Kita takut, apabila kita jatuh miskin, kita sudah mula melupakan segala nikmat yang telah Allah SWT kirimkan sebelumnya. Akhirnya, kita caci, kita maki, kita kutuk semua pemberian Allah SWT dan kita tidak tahan tersebut ujian tersebut. Ini kan merosakkan! Oleh itu segeralah buat kebaikan sebelum kita jadi miskin yang tidak ingat dan tidak sabar atas ujian Allah SWT ini.
2. Kaya tapi sombong
Nabi sebut kaya yang sombong. Ini juga bermaksud ada orang yang kaya tetapi pemurah seperti Abdurrahman bin Auf. Apabila kita mula menjadi kaya tetapi kita sombong kepada makhluk apatah lagi sombong kepada Allah SWT, kita pasti tidak akan berupaya lagi melakukan kebaikan. Ini kerana sifat sombong yang ada dalam kategori Mazmumah itu mencacatkan usaha kita berbuat kebaikan. Apatah lagi, orang yang sombong dengan hartanya itu tidak lagi ingin bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT itu secara percuma dan sementara.
3. Sakit yang merosakkan.
Sakit juga ada dua jenis. Ada yang sakit tetapi masih ada harapan sembuh seperti demam, kudis dan sebagainya. Yang disebutkan merosakkan disini ialah sakit yang hampir tiada harapan sembuh seperti kanser pada tahap yang sangat kronik, orang yang sedang dalam keadaan koma dan sebagainya. Jika kita berada di dalam situasi ini, kita tidak lagi dapat melakukan sedekah, solat, membantu saudara kita dan sebagainya yang dianggap amal-amal soleh.
4. Tua yang nyanyuk.
Ertinya ada tua yang masih bagus memorinya. Dan ada pula yang nanyuk. Nak mengelakkan nanyuk ini dalam bab yang lain. Cuma baginda sebutkan di sini apabila kita ditakdirkan tua yang nanyuk, kita tidak lagi dapat berpeluang melakukan kebaikan. Ini kerana kita pun tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk pada ketika itu.
5. Mati mengejut.
Kita selalu berdoa agar kita mati dalam keadaan yang baik (husnul khotimah). Saya pun tidak tahu dimanakah dan bagaimana cara mati yang akan ditakdirkan oleh Allah SWT. Ini kerana pada masa ini, peluang berbuat kebaikan sudah tiada ada. 0% untuk melakukan kebaikan. Yang ada, hanya ada zuriat yang soleh, sedekah jariah yang pernah kita salurkan dan sebagainya dari khidmat kita sewaktu hidup. Tetapi jika zuriat pun sibuk melakukan dosa, kita juga akan terkena tempiasnya!
6. Zahirnya Dajjal.
Ini antara fitnah terbesar. Doa-doa yang nabi ajarkan juga adalah merujuk agar kita dielakkan daripada terkena fitnah Dajjal. Ini kerana bila-bila masa syahadah kita akan tertanggal jika iman kita lemah dan tidak kukuh berada di dalam dada. Kita tidak sempat melakukan kebaikan lagi secara sempurna kerana fitnah tersebut mula meresapi pelusuk alam pada ketika itu dan keadaan menjadi huru-hara.
7. Kedatangan Hari Kiamat.
Inilah kemusnahan paling dahsyat. Nabi pernah sebut bahawa manusia yang hidup pada ketika hari-hari terakhir bumi akan dihancurkan, manusia dalam keadaan paling jahat! Tidak ada harapan melakukan kebaikan pada waktu ini.
Semua yang baginda sebutkan 7 perkara ini adalah sebagai ujian daripada Allah SWT. Oleh itu, marilah kita sama-sama bersegera melakukan kebaikan samada sedekah, solat, memberi makan anak yatim, menolong orang yang sudah tua, membanting tulang membantu ibu bapa dan sebagainya sebelum datang 7 perkara yang disebutkan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan