iDAN

11 September 2011

2/3 Kota Bharu (Episod 4)


Akhirnya jumpa juga tempe di Pasar Besar Kajang; di kedai runcit bukan milik kita; cakap penjual bagai orang seberang.

"Seikat ini berapa iyer dik?" aku bertanya harga seikat ada dua potong tempe agar besar juga.

"RM1.50" lain saja loghatnya.

"Agaknya neng jika seperiuk biasa sayur lodeh guna berapa keping tempe?" aku tanya padang Neng yang nampak tak fasih bahasa tempatan.."tak apalah kasi dua ikat!" aku terpaksa cepat pulang.

Lengkaplah sudah bahan untuk resipi Sayur Lodeh buatan Meru. Penat amat menerjah banyak gerai & pasar raya. Tiba di rumah nampak Mila masih leka mengemas rumah. Macam tak nak balik Meru.

Dah jam 6:00 petang lebih baru Mila mula memasak, Mie@Husna nampaknya menolong mak mertuanya memasak di dapur. Anak-anak astik mengemas kosyen di anjung rumah.

"Kenapa beli banyak sangat tempe ni ayah!?" tetiba Mila bersungut dari dapur.

"Ala bungkus sahaja yang besar; lebih tu Mila goreng saja nanti ayah akan habiskan, tak baik rezeki masuk ke rumah ibunya bersungut!" huh! lebih seringgit lima puluh sen dah membebel sungutku.

Puasa 29 Hari

Kami baru berbuka, makan apa yang ada. Sayur Lodeh masih tak siap lagi, tapi nasi impit segera nampaknya telah dijerang.

Aku pun capai tempe goreng yang jadi isu bebelan Mila. Sedap tempe goremg ni; sepuluh keping pun okey jika buat lauk. Selera diabetesku memang tak kenal tumpul.

"Eh! mana tempe ni, si Husna tak dapat rasa pun!" tetiba Mila bising; aku diam sahaja. Tadi dia yang bising aku beli lebih nanti tak habis serata alam pula dia mengadu, aku membeli tak mengagak. Alahai Mila bebenda remeh begini pun nak jadi penyebab. Belum nak habis Ramadan masih nak cari penyebab sembilu.

"Bagaimana progrem balik kampung Afiz?" aku tak tergamak nak tanya Mila, aku tahu anginnya tak berapa betul sebab seharusnya dia telah berada di rumah pusakanya ketika ini.

"Macam mana nak bawa anak kecil berjalan malam!" rungut Afiz sebabnya memang pernah si Qasrina cucu sulungku itu meragam hampir dua minggu akibat berjalan malam; lewat balik dari Meru. Sebab itu Afiz jeran nak jalan malam.

Aku pun terbayang betapa sepinya rumah Mak Nyaie; hati pun tak berapa sedap nak tinggal lama di sana; sebabnya isteri Maman Ifi (anak paling bungsu adik beradik Mila) nampaknya masih amat muda; dia tak betah buat kerja dapur bagai orang dewasa; Kalau Makcik Yong memang rajin memasak.

Aku juga terbayang bagaimana tidur di Meru tak macam rumah Opah Bi; siap segala untuk menantu pun cucunya. Bukan membanding tapi memang sudah kelaziman. Bila anak-anak makin dewasa bagai si Afiz dia mula terasa kurang selesa balik ke Meru; makin kita berumur makin mahukan privasi. Apatah lagi dia ada anak & isteri. Aku ni jenis tak kisah sangat. Lagi dah berumur begini tak payah sangat nak tidur; letak saja kepala dah lelap.

Cumanya terkadang tu bersungut juga; hidup ini berkembang. Kita perlu membuat persediaan buat tetamu pelbagai. Zaman sekarang tilam nipis Toto atau Narita dah murah; sekitar Sungai Besar boleh dapat RM45 bagi sebuah Narita. Di wakaf Che Weh pun harganya sekitar itu. Hari tu di Jenaris ada dijual harganya RM48; aku yang berleka tak sempat nak beli dah habis dijual. Di Nilai 3 pun nampaknya makin banyak dijual Narita ini.

Sebelum solat Isyak telah pun diumumkan Selasa 3o Ogos adalah hari raya. Khabarnya Brunei lewat rayanya. Hari Selasa baru nak tenguk anak bulan. Malaysia tak cukup sehari puasanya; 29 hari sahaja berpuasa di Ramadan tahun ini. Aku baca di laman sesawang Indonesia mereka pun sambut raya pada hari sama dengan Malaysia.

"Siapa nak ikut ayah sembahyang di Masjid Penjara Kajang?" dari rumahku sekitar 10 minit dah sampai ke Masjid Penjara Kajang di Sungai Jelok . Aku suka sembahyang di sana tak ramai sangat jemaahnya. Jika ada rezeki ada jamuan raya. Pernah aku beraya di sana bersama Afiz; sedap amat lemangnya. Boleh tahan juadah rayanya.

"Azim nak ikut ayah!..." yang lain macam dengar tak dengar sahaja. Anak semakin remaja begitulah, tak berminat amat nak ikut langkah ayahnya.

"Azim kalau nak ikut malam ni jangan berjaga malam; sebab lepas subuh tak boleh sambung tidur; biasanya masjid tu akan sembahyang sunat rayanya sekitar 8:30 pagi...!" jika ada Aziq@Angah di rumah tiga beradik ini akan selalunya leka tenguk filem yang dimuatturun. Katanya di UiTM Puncak Alam (PALAM) taliannya memang laju; dia jenis pakar dalam dunia maya. Tahu saja nak guna perisian apa nak muatturun filem dari dunia maya.

Afiz jarang turun dari bilik atas jika di rumah. Dia ada komputer sendiri milik Mie di atas. Ada TV pelbagai di kamarnya maka memang dia leka di atas. Itu pun komputer Afiz hilang semasa menyewa dengan pelajar tahun akhir. Rakan sekamarnya yang panjang tangan. Selepas kehilangan komputer riba itu Afiz buat keputusan berulang dari Meru sahaja. Dunia kini tak takut hukuman hudud potong tangan; tak pohon maaf ambil barangan orang maka kudunglah tangan sepanjang hayat. Itu memang hukumnya, kecuali empunya barang memaafkannya. Baru beli komputer tu; bau kedai lagi; plastik balutnya pun tak dibuang lagi.

Bayangkan jika ada dua buah komputer di kamar atas.

"Kita kena bertolak sebelum jam 8:00 pagi... okey Azim!"

- bersambung

Tiada ulasan: