Pastikan jenis untuk goreng dan digunakan tidak lebih dua kali

PENGGUNAAN minyak masak dalam masakan sememangnya mencetuskan banyak persoalan seperti jumlah yang sepatutnya digunakan dan jenis minyak yang terbaik untuk menjaga kesihatan.
Apatah lagi ada pelbagai jenis dan jenama minyak di pasaran, termasuk yang diselit dengan dakwaan bahawa ia baik untuk kesihatan.

Pakar Pemakanan Kanan Institut Jantung Negara, Ho Shiau Fenm, berkata secara umumnya minyak masak terbahagi kepada dua jenis iaitu minyak poli tak tepu dan minyak mono tak tepu.

Minyak poli tak tepu adalah yang terbaik di antara semua minyak dan lelemak terutama sekali jika dibandingkan lemak tepu. Antara minyak ini adalah seperti soya, jagung dan biji bunga matahari.

“Bagaimanapun, asid lemak poli tak tepu dikatakan mudah teroksida apabila dipanaskan, terutama sekali apabila digunakan bagi tujuan goreng yang membabitkan penggunaan haba atau api yang panas. Penggunaan minyak yang teroksida secara berlebihan pula boleh meningkatkan risiko kanser atau barah,” katanya.

Minyak mono tak tepu pula didakwa baik untuk kesihatan jantung. Minyak yang kaya dengan asid lemak mono tak tepu adalah seperti minyak zaitun, canola, biji sawi dan biji bunga matahari.
Asid lemak mono tak tepu adalah neutral pada kolesterol darah. Ia dapat membantu menurunkan paras kolesterol yang tinggi dan seterusnya mengekalkan paras kolesterol darah. Namun, minyak jenis ini kata Ho, tidak sesuai untuk menggoreng. Sebaliknya hanya untuk menumis.

“Minyak jenis mono tak tepu seperti minyak zaitun, minyak dedak padi atau campuran minyak jagung, tidak digalakkan untuk menggoreng. Walaupun minyak ini didakwa baik untuk jantung tetapi ia tidak sesuai untuk menggoreng,” katanya.

Ho turut mengakui sukarnya untuk menyediakan makanan tanpa minyak. Apatah lagi majoriti rakyat negara ini sudah biasa dengan pelbagai makanan goreng sejak kecil lagi.

Namun, penjagaan kesihatan sebaliknya perlu lebih diutamakan manakala penggunaannya jika perlu, haruslah bersesuaian dengan keadaan individu.

“Untuk pesakit jantung misalnya, jangan goreng ikan dengan minyak. Lebih baik, elakkan makanan bergoreng. Sebaliknya, gantikan dengan menu ikan yang dibakar,” katanya.

Menurut Ho, ada dua faktor utama penyediaan menu sihat, keseimbangan zat dan kepelbagaian zat. Selain itu, pemakanan yang sihat bukan hanya untuk mereka yang sudah disahkan menghidap penyakit kronik tetapi juga untuk kita yang ingin mengamalkan cara hidup sihat.

“Misalnya dalam masakan yang menggunakan minyak. Memang kita tidak boleh lari daripada menggunakan minyak tetapi jumlahnya harus dipantau selain jenis minyak dan berapa kali kita menggunakan minyak yang sama perlu diambil kira,” katanya.

Ho berkata, apabila minyak dipanaskan, karakter atau cirinya akan berubah. Minyak yang dianggap sihat pada suhu bilik boleh menjadi tidak sihat apabila dipanaskan pada suhu tertentu.

Justeru, apabila memilih minyak masak, penting untuk anda memadankan kepanasan minyak dengan cara penyediaan masakan.

“Apabila menggunakan minyak untuk menggoreng, pastikan ia tidak lebih dua kali. Selepas itu gantikan dengan minyak baru,” katanya.

Info
Dua jenis minyak:



  • Minyak poli tak tepu - minyak soya, jagung dan bunga matahari.
    Asid lemak poli tak tepu dikatakan mudah teroksida apabila dipanaskan, terutama sekali apabila digunakan untuk menggoreng
  • Minyak mono tak tepu - minyak zaitun, Canola, biji sesawi dan bunga matahari. Tidak begitu sesuai untuk menggoreng.