iDAN
14 Februari 2010
12 Februari 2010
gōngxǐ fācái

Jika dulu kesempatan cuti panjang begini, aku & keluarga berlumba-lumba pulang ke kampung. Ketika itu masih ada Opah Bi tempat untuk bermalam. Betapa ghairah mahu balik kampung sebab ada yang menyambut.
Biasalah Opah Bi akan sentiasa menunggu biar pun kami sering balik lewat malam. Sampai di rumahnya telah terhidang pelbagai juadah. Masakan Opah Bi antara masakan tersedap di dunia. Paling tidak Arwah Opah Bi tak dapat mengatasi keenakan masakan arwah Emak. Keprihatinan Opah Bi terhadap aku & keluarga terkadang mengatasi keprihatinan terhadap menantunya seorang itu. Mak Datin emak AC Mizal. Bayangkan Opah Bi telah tahu semua makanan kegemaran anak-anakku. Jika musim durian pasti dia akan sediakan tempoyak, jika musim raya dia pasti tempah lemang buatan Wan Midah.
Pernah terjadi tragedi aku pulang semasa musim kongsi raya. Aku kemalangan di Behrang. Agak dahsyat juga lantaran belasan kereta serentak kemalangan. Aku antara yang tersondol kereta di hadapan. Faham sahajalah masa itu pakai Proton Saga. Kereta perang yang tengah meragam ini. Breknya tak berapa makan. Kereta di belakangku hanya kira-kira seinci sahaja nak sondol keretaku. Kalau brek aku ngam pasti belakang kemik terus. Pasti.
Kenangan bersesak balik kampung nampaknya hanya tinggal kenangan. Kecuali aku dapat mencipta semula kampung halaman. Aku telah mengira kosnya. Sekitar RM25,000 pasti aku akan punyai kampung & dusun semula. Siapa boleh membantu?.
Tahun ini tahun harimau. Harimau merupakan haiwan ketiga dalam kitaran 12 . Kehadiran TAHUN HARIMAU yang membawa SIMBOL KEKUATAN, KEBERANIAN dan KEKENTALAN dilihat sebagai PENYELAMAT di saat dunia ketandusan SEMANGAT JUANG untuk MENCIPTA KEJAYAAN, KEKAYAAN dan KEMAKMURAN. KEGAGAHAN HARIMAU atau nama khususnya GENG YIN bersatu bersama KEINDAHAN dan KELEMBUTAN yang menjadikannya IKON bagi MEREKA YANG MENGHAYATI ilmu simbolik ini. Di dalam kegagahan dan keberanian itu masih terserlah keindahan rupa dan kelembutan perilaku, ini menjadikan HARIMAU seumpama KESEIMBANGAN YANG dan YIN.

GONG XI FA CHAI
Berhati-hatilah ketika memandu di jalan raya. Ingat orang yang disayang. Rasa mengantuk berhenti seketika. Elok bawa bekalan sebab faham sahajalah hentian rehat ketika ini sesak banget.
20 Tip agar selesa memandu dari Penyair iDANRADZi
1. Bersabarlah & sentiasalah merasakan perjalanan jauh itu satu suasana santai bersama keluarga. Baca doa. Bergembiralah.
2. Rancang perjalanan anda, ikut lorong yang betul, jangan baran jika ada main lampu ganggu anda memandu. Elok ada peta, kalau pun tidak; ambil maklumat terperinci sebelum bertolak. Mamai sangat tentang jalan raya pakai Global Positioning System (GPS).
3. Jangan sesekali mencari jalan berbalahan atau bertengkar di dalam kenderaan. Baik suami mahu pun isteri. Kereta bukan mahkamah syariah. Baran sahaja stering akan berhantu.
4. Jauhkan cerita yang menggusarkan ketika suami memandu, takut hilang tumpuan. Jika anda rasa nak menangis sedih amat; elok berhenti di hentian rehat atau lorong kecemasan, pasangan lampu kecemasan; menangis puas-puas baru teruskan memandu.
5. Jangan guna SMS baik suami atau isteri ketika memandu, isteri sebelah asyik main SMS & tersenyum sendiri ketika memandu petanda tak baik. Elok tutup telefon bimbit kecuali ketika penting, kut! ada panggilan kecemasan.
6. Izinkan suami mendengar muzik yang digemari. Berikan dia keselesaan memandu, jangan mainkan muzik kuat-kuat. Kereta bukan pusat disko. Jangan ganggu muzik lalok atau menyindir suami. Nak Nahas!.
7. Anak-anak dinasihatkan jangan bising meragam & asyik nak singgah buang air. Jika berhenti rehat pastikan ketika itu anak-anak tak meragam perut, nak buang air kecil segala biarlah terancang. Layan minat anak anda, jika ada DVD di kereta pasangkan; jangan guna suara yang kuat. Belikan pemain MP3 kalau jenis anak anda penggemar muzik. Biar dia tak bosan & ganggu anda.
8. Pastikan sedari awal kenderaan lengkap segala, minyaknya penuh, tayarnya cukup angin. Enjin tak asyik panas, selalu pantau air & minyak hitam. Penghawa dingin berfungsi amat penting. Bayangkan hari hujan tak ada penghawa dingin.
9. Bantu suami jika dia dahaga, elok guna botol kecil jika mahu minum. Cawan, strol semua itu tak perlu; ringkas & selamat. Jangan bawa makanan basah, mudah bertabur & berkelah di dalam kereta anda adalah terlarang.
10. Jangan kejar masa, memandu laju tiada untungnya. Ingat orang luar negara sana di lebuh raya melaut luas pun memandu 90km sejam sahaja. Nak cepat sampai bertolak awal. Pastikan pegang dengan kedua belah tangan jika sedang dalam kelajuan yang boleh memungkinkan anda terpaksa membuat brek kecemasan.
11. Jika memandu siang pastikan anda pakai kaca mata hitam pilihan utama Ray-Ban cerminnya hijau. Jika malam pula pastikan pakai pakaian selesa, tak tahan penghawa dingin pakai jaket. Kasihan anak-anak yang ada yang tak suka angin malam. Jangan pakai pakaian ketat, kasut tumit tinggi atau apa jua yang tak selesa. Anda dalam kereta bukan dalam parti nak memperaga pakaian keanggunan anda.
12. Jika semua penumpang tidur, gunakan kesempatan itu untuk melayan kenangan indah zaman dedulu. Pasang lagu romantis, berhayallah agar jiwa anda tenag. Jangan pasang lagu metal takut anda terbawa-bawa jadi metallah nanti.
13. Elok sediakan gula-gula agar anda selesa, mulut tak berbau, elok yang ada mint, ada sesuatu yang dikunyah. Jangan gula-gula getah nanti comot sana sini.
14. Jauhi merokok ketika memandu, anda tak kemalangan tetapi penumpang yang kemalangan maut lantaran asap rokok anda. Silap-silap kusyen kereta tebuk sana sini. Lagi malang anda pun rentong sebab puntung rokok anda. Nak merokok berhenti kejap di hentian rehat. Berasaplah.
15. Ikut lebuh raya jika duit berkepuk, selesa cepat, jarang kena saman laju kalau tak laju, jarang lori redah kecuali bas pemandunya mamai. Jika rasa tol terlalu mahal PR13 jangan pilih pemerintah sekarang itu hak anda. (Ini sensitif bukan situs politik) Jika rasa tol mahal kuat kerja cari duit.
16. Lihat pemandangan indah sekeliling secara afdal. Anda kenalah menikmati hidup anda sementara masih segar bugar. Saat memandu berjam-jam inilah peluang baik menikmati keindahan alam ini.
17. Isteri kena layan suami berbual agar tidak mengantuk. Mengantuk baik berhenti minum apa yang patut. Isotonik.
18. Perempuan yang bercinta jangan nak berngada-ngada ketika kekasih sedang memandu, ramai mangsa kemalangan jalan raya; rakan jururawatku bercerita ada tanda-tanda pasangan bercinta tengah ringan-ringan ketika kemalangan. Sabarlah.
19. Jangan lebih muatan, atau membawa barangan yang berbau sepanjang jalan. Barangan tak perlu ada dalam kereta elok dibuangkan. Biar semua selesa ketika berada di kenderaan anda; beli haruman kereta yang boleh mendatangkan suasana segar. Minyak Atar kat Mydin murah sahaja.
20. Lafazkan kesyukuran bilamana sampai di destinasi anda. Pun lafazkan kesyukuran bila anda selamat sampai ke rumah anda. Kesyukuran itu pastinya anda akan tambah dilindungi Allah Azzawajalla.
Selamat memandu.
11 Februari 2010
Kaca Mata 2 (Singgahsana)
Ayahnya suruh makan buah goji tak mahu. Banyak sangat cikadaknya.
Ini kedai kaca mata yang ada sebelah rumahku di Jenaris. Focus Point. Tengah buat tawaran sehingga potongan harga 50%. Selain Focus Point kedai kaca mata popular adalah England Optical Group. Tengah nak raya cina masing-masing buat tawaran namun tetap mahal.
Aku masih mahu buat tinjauan harga di kedai-kedai kecil di pekan kecil. Kalau dapat bingkai zaman dulu yang antik alangkah bagusnya. Buat masa ini aku masih ada dua bingkai lagi kaca mata rabun. Untuk pakai kaca mata pelindung mentari, kaca mata hitam masih melambak, ada yang murah kubeli; ada juga dua tiga lagi amat kusayang yang berjenama. Aku sebenarnya sejak dulu suka kumpul kaca mata. Tapi tak dijaga itu yang bersepah hilang entah ke mana.
Sabtu 13.2.10 Aku buat tinjauan harga di JUSCO Cheras Selatan, di buah kedai, bingkai yang cantik Ray-Ban sekitar RM350 telah potongan 30% Cermin biasa tanpa anti silau RM90 Yang paling murah anti silau segala Rm120. Congak-congak sekitar RM450 ++ itu kalau Rabun jauh di bawah 200 kuasa rabunnya. Kalau lebih memang mahal.
Moh! kita tenguk beberapa lagi bentuk kaca mata untuk lelaki & wanita yang mungkin dapat menambat hati kita untuk mencarinya di pasaran.
12. Menarik sesuai untuk lelaki.
13. Aku sedang berkira-kira nak beli bentuk ini.Di kedai sekitar sini cuma jumpa bingkainya agak kecil.
14. Untuk perempuan.
15. Di pasar malam banyak amat curi bentuk bingkai ini.Cuma kalau ori bingkainya lebih kemas & sentiasa bersinar.
16. Nampak anggun & ringkas sesuai untuk perempuan.
17. Cantik ringkas.
18. Siang malam boleh pakai, cermin begini sejuk mata.
19. Pakai bingkai begini semua orang pasti tak puas pandang.
20. Nampak klasik tak jumpa lagi di pasaran.
21. Seiras Ray-Ban lama tapi tangkainya lebih kukuh.
22. Ringkas tapi bayangkan jika jatuh!
23. Nampak brutal
24. Tahun 80an Mila pernah hadiahkan aku Ray-Ban iniTangkainya asyik patah, penat nak tukar.
Bila terjatuh pula cerminnya asyik tercalar.
25. Bingkai Kayu
26. Ramai yang suka tanpa bingkai begini tapi susah nak jaga.Nampaknya aku ini masih tak kebah demam kaca mata. Tapi melihat pelbagai bentuk bingkai di laman sesawang memang teruja. Jika kita rajin memperhalusi bentuk apa yang seseorang itu gemar pakai, pasti dapat mencerminkan peribadinya.
10 Februari 2010
Pilih Bingkai Kaca Mata Sesuai Bentuk Wajah (Delima Merkah)
fikirkan untuk dipakai dalam dunia semakin panas ini
Mana satu pilihan anda iyer?.
1. Sekadarnya sahaja bingkai yang menarik;Seanggun ini amat menggoda.
3. Bagaimana yang ini?.Seiras kaca mata 60an yang aku lampirkan sebelum ini.
Lelaki tak sesuai pakai; Saloma suka pakai bentuk ini.

5. Bingkai sederhana besar amat menarik hati lelaki
6. Jenis bingkai keluli ini payah nak jaga tapi cantik!.Cerminnya yang hijau begini sejuk sangat ketika memakainya.
Sesuai perempuan & lelaki.
7. Bagi muka kotak amattak sesuai bingkai begini.
8. Agak besar bingkainya tapi nampak anggun.
9. Ini pun cantik juga. Tak ganjil jika lelaki atau perempuan pakai.
10. Bingkai sederhana menarikApapun tujuan penggunaannya, pemilihan kaca mata yang tidak tepat dapat memengaruhi bentuk wajah kita secara keseluruhan.
Saat ini, kaca mata biasa dikategorikan sebagai aksesoris yang kerap digunakan setiap hari. Apakah tujuannya untuk membantu pengelihatan, melindungi mata dari sengatan matahari, ataupun hanya sekedar gaya. Oleh sebab itu, pemilihan bingkai kaca mata yang tepat menjadi sangatlah penting.
Berikut beberapa tips dari Melanie Plouffe, mantan asisten ahli kaca mata dalam memilih bingkai yang pasti sesuai bentuk wajah kita.
Menurut Plouffe, ada dua hukum dasar yang harus kita perhatikan sebelum membeli kaca mata. Pertama, pilihlah bingkai yang mengikuti garis alis alami kita. Dan kedua, pilihlah bingkai yang dapat menyeimbangi (bukan memonjolkan) bentuk muka kita.
Muka bulat. Pilihlah kaca mata yang dapat menonjolkan sudut-sudut pada muka kita, seperti bingkai bentuk persegi. Dan, hindari menggunakan bingkai bulat atau kaca mata dengan lensa besar yang sedang tren saat ini.
Muka oval atau lonjong. Cubalah berbagai bentuk bingkai kaca mata, karena hampir seluruh bentuk bingkai akan terlihat sesuai bagi orang bermuka oval. Namun, tetaplah jadikan alis kita sebagai bahan pertimbangan dan pilihlah bingkai kaca mata yang memiliki bahagian atas yang tidak “bertabrakan” (berlanggaran) dengan alis. Contoh, bagi orang dengan alis lurus. Jangan memilih kaca mata dengan bingkai atasnya melebihi garis terluar alis kita.
Muka kotak. Cubalah kaca mata yang lebih bulat atau bingkai kaca mata dengan sudut yang bulat. Jangan memilih kaca mata yang berbentuk kotak atau kaca mata plastik yang justru semakin menonjolkan bentuk rahang kita.
Muka bentuk hati. Kita elok memilih kaca mata berbentuk kotak yang tidak terlalu besar dengan bagian atas dan bawah memiliki panjang yang sama. Jangan memilih bingkai dengan sudut miring atau tidak sama panjang.
Rabun Hilang Pula Kaca Mata Kesayangan (Singgahsana)
Jika jatuh di tengah jalan pasti kena gilis kenderaan remuk hancur. Jika jatuh di parkir pasti ada seseorang yang telah jumpa. Harap-harapnya begitu agar tidaklah ianya hancur begitu sahaja. Agar yang menjumpainya akan menjaganya & menjadi barang kesayangannya.
Rabun jauh mataku tak kuat, sebelah kira sekitar 150 kanan pula sekitar 120. Kalau makan buah Goji, guna kaca mata jadi kelabu. Maka tak pakai kaca mata pun aku tak kisah. Tengah hari tadi masa aku hantar Anif aku pakai kaca mata hitam, hati itu yakin amat aku tersilap letak. Tak teringat langsung ianya tersembunyi di dalam enjin di bonet depan kereta. Ingin mengejar masa jadi tak kisah amat untuk mencari kaca mata corak itu.
Rabun jauh yang tak kronik amat ini yang buat tambah mudah terlalai. Rabun dekat mataku terlampau. Mahu lebih dari 300; Aku guna kaca mata murah sahaja tika membaca tulisan kecil. Beli di MyDin bersepah kaca mata untuk membaca. Dekat sepuluh bingkai aku beli tinggal dua sahaja. Entahlah di mana terselitnya yang lain itu.
Dulu aku memang rajin mengumpul kaca mata hitam, banyak amat tercicir hilang tanpa aku dapat menjejaknya. Kerap yang hilang adalah yang aku sayang & agak berharga pula, yang aku beli di Jalan Pasar atau kaca mata murahan tidak pula hilang. His!.
Antara yang aku sayang adalah jenis Police yang boleh dilipat-lipat; beli ori daripada Sahad; kacanya telah aku tukar kaca Ray-Ban, sekarang mana nak cari kaca, semuanya plastik. Ketika ianya hilang Seri pembantu rumah masih berkerja di rumahku. Aku perasan malam itu aku letakkan di sebelah tilam aku tidur. Bila tanya Seri nampak tak ketika dia kemaskan tempat tidurku di anjung rumah. Tak jumpa katanya. Ghaib.
Aku juga punyai kaca mata Ray-Ban zaman dulu hadiah dari Meor, bila berpindah barangan bersara entah di mana menyelitnya. Tak jumpa. Di rumah sahaja kerap amat hilangnya. Seolah-olah ada jin pakai kacamata yang asyik mengambil kaca mata kesayanganku.
Belum tertinggal di Resort. Antara Resort yang aku pernah tertinggal adalah di Melaka, A'famosa Resort Hotel bila di telefon jawapan emmm! tidak ditemui. Semasa keluar kamar aku beriya-iya bertanya Mila sudah periksa betul-betul di dalam kamar, kut! ada barangan tertinggal. Di dalam kereta bilamana mentari mula silau barulah aku teringat dua bingkai kaca mata tersebut, satu hitam satu lagi kacanya seiras rona merah jambu. Dua bingkai siap bekasnya aku letak atas meja solek. Nak berpatah balik tak berbaloi telah separuh perjalanan pulang.
Orang Malaysia belum tentu jujur, Tok Perak pernah berkerja di Hotel, biasanya barangan pelanggan yang tertinggal hanya disimpan sekitar 3 bulan. Selepas itu diserahkan kepada siapa yang menjumpainya. Itu kalau pekerja Hotel yang jujur. Mila pernah tinggal kaca mata di Hotel sekitar Sarawak. Perasan ketika di kapal terbang; kebetulan talian okey! ketika itu. Bila ditanya jawapannya amat mengecewakan. Sedangkan dia perasan amat ketika mahu mengambil gambar di kamarnya bersama rakan kerjanya dia meletakkan kaca mata tersebut di atas meja solek.
Aku pernah terbaca bagaimana orang Jepun menjaga pelanggan mereka. Pernah pelanggan orang kita menginap di Hotel di Jepun tertinggal jaket di kamar Hotel. Tak adalah banyak barangan berharga di dalam jaket tersebut maka dia taklah ambil kisah sangat. Nak jadi cerita beberapa setahun kemudian, (Tak ingat berapa tahun) dia menginap di Hotel yang sama. Bila mendaftar pihak Hotel boleh memberitahu yang jaketnya yang tertinggal masih ada di simpanan mereka. Main tahun, kita pula sekitar 3 bulan. Mengikut hukum agama setahun kena diuar-uarkan, selepas itu barulah boleh di manfaatkan sebaiknya kalau duit kena disedekahkan, kalau emas atau barangan berharga serahkan di Baitulmal atau tempat terkumpulnya barangan hilang. Kalau barangan makan dikuatiri rosak makan sahaja. Tenguk tempohlah; Kalau mee segera ada tempuh enam bulan, kena uar-uarkan juga sampai ke hujung tempoh selamat dimakan. Jika tuannya bertanya barulah diganti dengan kadar yang sama.
Masalah kaca mata ini payah juga, manalah tahu kut! ianya sama bingkainya dengan orang lain. Kalau harga Rm15 tuan empunya pun tak kisah. Kalau telah sampai RM500 lebih harganya; pastinya ianya menjadi hukum hakam. Samalah kalau duit setakat RM1, lebih mudah masukkan ke tabung masjid. Agar empunya duit mendapat pahala.
Terkadang tenguk kaca mata di cermin pameran, mengeluh tenguk harganya!, mahal banget tak masuk dek! akal. Aku peminat kaca mata sebenarnya tetapi kemampuan itu tiada. Kaca mata berjenama sungguh cantik kualitinya, yang murahan silap letak telah pudar & kacanya merekah pun retak seribu. Maka itu jika kehilangan kaca mata kesayangan terasa terkilan sangat.
Aku terbayang VIC Diana ketika bengkak mata kehilangan barangan kesayangannya. Ianya sentiasa melekat di badan, tetiba boleh terbuka & hilang. Mana tak sedihnya. Sungguh ketika barangan kita sayangi ada di sisi kita terkadang tak ambil kisah sangat disepahkan merata. Tapi bilamana telah hilang hati teramat terkilan. Teringat-ingat.
Apatah lagi kena ragut!.
09 Februari 2010
07 Februari 2010
05 Februari 2010
Saat Paling Gembira ( Singgahsana)
Bila kita menyingkap kenangan, pastinya ada ketikanya kita amat teruja & gembira. Ada ketikanya rasanya tak boleh lelapkan mata lantaran akan menghadapi suasana gembira itu. Taraf kegembiraan itu berbeda-beda antara kita. Terkadang tatkala kita pandai menaiki basikal pun rasanya teramat gembira, biar nak berhenti pun masih gabra sampai terpersuk ke perdu nenas. Mungkin kita dapat berkongsi saat gembira antara kita. Sejak zaman kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah sudah tua bangka ini.
1. Hari mendung sejak pagi lagi, durian telah berbunga. Orang kampung mula gundah, tak dapat memotong (menoreh) getah. Masing-masing ramai duduk kedai kopi, bual kosong. Sekitar rumah semuanya berbau bunga durian, habis digugurkan oleh keluang. Emak mengambil daun pisang yang kering mengikat setiap batang durian. Mengambil paku, memaku batang durian. Banyak lagi petua orang kampung agar bunga durian lekat di dahan.
Hujan turun berhari-hari, berhenti kejap sahaja. Kemudian turun semula bagaikan tak mahu berhenti.
"Sungai Nin telah melimpah weh!, siapa pakai Vespa tak lepas katanya; gerotaknya pun tak nampak!"
Gerotak itu bahasa Perak; maknanya jambatan. Jambatan Sungai Nin diperbuat dari kayu. Katanya Sungai Nin ini ada buaya. Ianya mengalir sampai ke Kota Baru bertemu dengan sungai di Kampung Lalang rumah kartunis Lat sampailah ke Sungai Kinta. Orang kampungku panggil Sungai Kinta itu Sungai Kente. Orang kampung tak ramai pakai kereta, boleh dibilang dengan jari, hanya ramai berbasikal yang punya kebun getah besar, mampulah pakai Vespa atau Honda50cc.
Inilah saat paling gembira@gumbira anak-anak kampung. Mulalah buat senapang menembak ikan. Matanya dari jaring rim basikal atau pun besi yang lebih kukuh. Mana tahu bahaya ketika itu. Menyelam di Sungai Nin yang jernih amat airnya. Buaya pun tak berani dekat. Orang tua pula berikan menggunakan jala atau jaring. Aku yang masih kanak-kanak tak pakar bab ini selalunya menunggu di tebing sahaja; kutip ikan terboi, lampam, sepat atau sebarau.
Geng aku masa ini gila tangkap ikan Pilai Lawan di paya Seberang, belakang rumah Pak Mansor atau Parit Kiteh Mat Jadi. Pun ikan puyu pasti bermain di Parit Teh Benon. Ikan Pilai Lawan selalunya dibela dalam botol kecil, jika tak elok hitam atau cantik ronanya tanam di bawah perdu pisang. Tapi kena ingat botol ikan perlu kena tutup kemas dengan plastik kalau tidak cicak suka kait ikan Pilai Lawan ini dengan ekornya.
Ikan Puyu pula cantik taruh dalam balang besar. Taruh batu hiasan, samai; zaman dedulu manalah ada elektrik di kampungku; maka tak adalah nak buat akuarium seperti zaman kini. Bila malam tenguk ikan Puyu ini disuluhi pelita cempeni, atau lawankan ikan Pilai Lawan dengan cermin memang amat mengasyikkan.
- bersambung.
04 Februari 2010
MMms 24 Jumpa Doktor Lagi (Singgahsana)
Sakit darah tinggi, kolestrol, hati & diebetes di bawah rawatan PKupm, Doktor Imah. Buah pinggang pula doktor yang tak menentu di Hospital Kajang. Jantung & gastrik pula di Hospital Serdang, Klinik Kardio Pakar Jantung pun doktornya tak menentu.
8 Februari 10, Senin jam 9:00 pagi aku kena berada di PKupm, selalunya Dr Imah datang agak lewat lalu aku lewat sikit bertolak dari rumah. Sebenarnya hati ini terlalu berat nak ke UPM, lantaran sejarah lalu banyak memberi kesan negatif pada diri ini. Tetapi mengenangkan ubatan di PKupm agak baik berbanding di hospital awam yang lain. Aku kuatkan juga semangat ke sini. Bagusnya ubatan yang disediakan di PKupm hanya perlu makan sekali sahaja dalam sehari; tak perlu sampai sehari dua atau tiga kali. Maka mudah sedikit aku menyusun jadual pemakanan ubat. Sehari sekali makan pun terkadang aku boleh terbabas, tak tahulah jika sehari terpaksa makan tiga kali. Harus bertambah kronik sakit ini.
Sepanjang bulan Januari 10 ini agak tidak teratur penjagaan aku tentang permakanan, terutama aku banyak makan limau mandarin, banyak juga minuman air isotonik. Kurang pula makan buah goji. Dua tiga hari ini pula aku asyik sesak nafas ketika tidur. Tak pasti kenapa mungkin aku tak ikut sangat jadual makan ubat cair darah & ubat kolestrol. Aku tak larat nak makan ubat kolestrol itu lantaran selepas memakannya pasti seluruh sendi ditarik, ubat cair darah pula terasa pedih hati. Ubat lain itu tak kisah sangat.

Apa-apa pun semuanya terkawal, sejak lebih dari tiga tahun aku berulam dengan ubatan ada beberapa kali sahaja aku dalam keadaan kecemasan; itu pun lantaran terjadinya kejutan. Jika aku terusan menjaga jadual permakanan ubat aku yakin akan boleh bertahan lagi. Ajal maut di tangan Tuhan. Aku berharap sangat agar jangan sampai ubat yang kutelan merosakkan buah pinggangku. Bila aku mencongak usia ini, jika aku masih bertahan sepuluh tahun lagi, itu bagiku adalah satu rahmat. Jika lebih dari itu ianya satu anugerah yang amat bernilai. Emm! kejap sangat rupanya persinggahan kita di dunia ini.
Impian aku tinggal di Desa Tualang masih tak tercapai!.



















