iDAN

07 April 2011

Aida AF9


Aida nampaknya sepanjang minggu terusan mendapat tempat teratas dalam
carta undian melalui SMS
Lena, Erul & Nera yang aku kira sebagai pencabar Aida nampaknya
tak ramai mengundinya.

Tak sangka Raqib ramai peminatnya.
Raqib adalah pelajar terdekat menyaingi Aida.

Pasti ramai semakin demam AF lantaran ini adalah
musim terakhir; tak tahu apakah ianya gimit semata
atau Astro ada perancangan lain.

AF tetap diminati ramai lantaran rancangan Hiburan lain
nampaknya hambar & sukar untuk
menandingi kemeriahan AF.

Minggu ini apakah ada peserta yang akan disingkirkan.
Bagi aku biarlah paling tidak 3 pusingan@Konsert diberikan
peluang pada peserta untuk membaiki diri.
Amat sedih & terpinggir bagi peserta yang akan
disingkirkan pada Konsert Pertama
buat masa ini Laiza & Mika adalah peserta terendah.
Ada 10 minggu atau 10 Konsert yang bakal menentukan
siapakah yang dinobatkan sebagai Juara.

Jangan sampai AF satu hari nanti mengikut jejak
Maharaja Lawak; saluran kena berbayar.
Berganda Astro serta penajanya dapat untung melalui
Maharaja Lawak lantaran SMS yang dihantar
bukan sedikit jumlahnya.

http://www.astro.com.my/akademifantasia





ish1

ish!
(Klik gambar nak lihat jelas... ketakutannya)

144

semalam makin meningkat pengunjung blog ini .. 144 pelayar bagaimana mahu jadikan lebih ramai pengunjung... emm!

Fantasi jadi realiti



SELAMA lebih kurang 17 tahun mengabadikan diri di dalam bidang lakonan, akhirnya kerjaya seni Shaheizy Sam Abdul Samad sampai ke kemuncak setelah berjaya merangkul gelaran Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular (ABP10) baru-baru ini.

Dia mengaku teringin benar merangkul pencapaian sebagai artis paling popular. Malah, pelakon yang mesra dipanggil Sam itu juga tidak malu untuk mengaku bahawa sejak tiga tahun lalu, dia memasang fantasi untuk merangkul gelaran tersebut selepas melihat Datuk Siti Nurhaliza, Nabil dan Mawi menerima anugerah yang sama.

Secara spontan juga, anak teruna pelakon Khaty Fauziah itu berterima kasih kepada Siti yang memberi laluan kepada rakan artis lain termasuk dirinya untuk merasa digelar paling popular.

Katanya: “Memang dari dulu saya teringin merangkul anugerah paling popular. Tapi saya tak sangka, pencalonan kali pertama disenaraikan lima teratas telah menjadikan fantasi saya satu realiti.”

Bagi pelakon watak hero yang mula diminati melalui filem Adnan Sempit itu lagi, dia ingin dikenali sebagai pelakon yang baik memandangkan lakonan adalah karier tetapnya dari dahulu hingga kini.

Tambahnya, peminat yang menyokong dan mengundi itulah sebenarnya yang membuatkan dirinya dekat dengan populariti.

“Selain berterima kasih kepada ibu dan keluarga saya, peminat juga adalah tunjang kemenangan saya ini. Kerana sebaik mana pun saya bekerja, saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa sokongan dan bantuan mereka,” tutur Sam yang begitu menghargai sokongan peminat terhadapnya selama ini.

Bagaimanapun dia sedar, sebaik memegang gelaran paling popular, maka dia memikul tanggungjawab berat dengan memastikan jalur kerjayanya berada pada tahap yang tidak kendur. Dia tidak boleh membuat para peminat hilang kepercayaan terhadap dirinya kerana terbuai dengan keindahan menjadi orang popular.

Bagi Sam juga, memenangi anugerah sebegini rupa bukan merupakan penghujung di dalam karier dan tidak lagi perlu berusaha keras.

Katanya, dia belum lagi berpuas hati dengan apa yang dimilikinya hari ini. Bukan tamak, tetapi kata Sam, dia mendidik dirinya agar tidak cepat selesa.

“Mungkin bagi orang lain, kemenangan seperti ini merupakan kemuncak segalanya dalam karier seni mereka, tetapi bagi saya, masih jauh lagi perjalanan di dalam industri ini.

“Sekarang saya mahu terus memberi fokus terhadap kerjaya dan jika kita ikhlas atau buat yang terbaik, orang lain akan nampak perkara itu,” katanya bersungguh-sungguh.

Tak pandai letak harga


SAM secara terbuka menyelar penerbit filem tempatan yang kedekut untuk mengeluarkan modal yang banyak bagi menghasilkan filem yang bermutu tinggi.


Bagai menjadi satu resam, harga bakat yang disumbangkan oleh seseorang artis akan mendadak naik apabila memenangi sesuatu anugerah.

Sewaktu persoalan tentang ‘harga diri’ yang bakal dikenakan kepada pihak yang berminat untuk menerima khidmatnya selepas ini, Sam memberi jaminan dia tidak akan demanding sesuka hati. Sebaliknya harga yang dimintanya berpatutan dengan khidmat yang bakal diberikan.

“Sebenarnya diangkat sebagai paling popular adalah bonus terhadap saya. Saya berani katakan, karier saya tidak akan berubah dan saya akan sentiasa menjadi diri saya yang dahulu.

“Saya akan bekerja seperti biasa. Saya percaya, setiap tawaran yang saya terima, pihak yang menawarkan sudah mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya tentang habuan yang akan mereka berikan kepada saya. Jujurnya, saya bukan orang yang bijak meletak harga diri,” katanya serius.

Justeru kerana tidak tahu meletak harga khidmat yang ditawarkan, dia memilih untuk duduk di bawah syarikat pengurusan dan segala urusan pembayaran atau sebagainya bukan di atas bidang kuasanya.

Sokong industri tempatan

Mengajak adik kepada pelakon Zizie Ezzette itu berbicara tentang naik turun industri tempatan, pantas dia memberitahu, industri tempatan akan maju sekiranya seluruh rakyat Malaysia bersatu menyokong industri seni sendiri.

“Apabila kita semua bersatu menyokong industri seni sendiri, saya percaya, secara automatik, industri ini akan maju. Saya ambil contoh, apabila semua peminat saya bersatu mengundi saya untuk jadi popular, maka bayangkan kalau semua rakyat Malaysia berbuat hal yang sama untuk menyokong produk tempatan, hasilnya adalah industri seni kita yang maju,” tuturnya.

Malah tanpa teragak-agak, Sam menyelar sikap penerbit yang mahu industri maju, tetapi kedekut mengeluarkan bajet yang tinggi untuk menghasilkan filem yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Katanya: “Bagi saya, penerbit kini takut mahu keluarkan wang yang banyak kerana bimbang produk yang dikeluar atau dihasilkan tidak diterima oleh orang kita sendiri.

“Mereka takut rugi jika orang kita tak sokong produk tempatan. Jadi, jika masyarakat menyokong produk kita, saya percaya harga atau bayaran yang bakal diberi pihak penerbit mungkin akan menjadi lebih baik.”

Kekasih ibu

“Hidup saya adalah ibu saya. Ibu saya telah membesarkan saya dan kerana dia saya sampai ke tahap begini. Saya mahukan yang terbaik untuk dia kerana kesusahan yang telah dia tempuhi sepanjang tempoh membesarkan saya,” ujar Sam sedikit emosi sehingga menitiskan air mata apabila bercakap tentang ibunya, Khaty Fauziah.

Hal itu menjadi penegasan kepada kehidupannya yang kini diakui Sam sebagai masih solo. Dia juga memberitahu cintanya hanya untuk ibunya.

“Buat masa ini, hanya ibu yang menjadi ‘kekasih’ saya,” ungkapnya.

Malah, Sam turut menegaskan walau usia makin meningkat dia tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujang lagi. Bagi Sam, perjalanan kariernya baru bermula dan dia tidak mahu memecahkan momentum kerja dengan hal peribadi.

Kosmo!

Kutipan tiket, kualiti filem jatuh

ANTARA perkara yang boleh mempengaruhi jumlah kutipan tiket filem di pawagam serta kualitinya pada masa depan ialah Skim Wajib Tayang dan pulangan duti hiburan tiket wayang kepada penerbit. Dua perkara itu paling hangat diperkatakan terutama oleh golongan penerbit filem tempatan sejak akhir-akhir ini.

Hikayat Merong Mahawangsa merupakan filem tempatan pertama yang melalui pengalaman menakutkan itu apabila Skim Wajib Tayang yang diperkenalkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dipendekkan tempohnya daripada dua minggu kepada seminggu baru-baru ini.

Antara kesan pengurangan tempoh skim itu, filem terbitan KRU Studios itu hanya mampu mengutip sekitar RM6.2 juta selepas 20 hari tayangannya di pawagam minggu lalu.

Filem dengan kos RM8 juta itu sepatutnya boleh mengaut kutipan sehingga RM10 juta jika tempoh tayangannya dilanjutkan.

Semua itu gara-gara mahu memberi laluan kepada lambakan filem Melayu dengan menayangkan sebuah filem pada setiap minggu mulai Mac lalu.

Pihak pawagam tiada pilihan selain memendekkan tempoh wajib tayangan itu selain memberi laluan tayangan kepada filem-filem import.

Finas selaku penguatkuasa yang mengeluarkan lesen kepada pihak pawagam harus mengambil kira senario yang sedang berlaku itu.

Tempoh Skim Wajib Tayang dari dua minggu kepada seminggu itu seharusnya diperhalusi semula bagi survival golongan penerbit filem yang tulen pada masa depan.

Dalam hal ini, pihak pawagam tidak rugi. Sebaliknya, kalangan penerbit sukar untuk bersaing dengan filem-filem lain apabila masa yang diberikan untuk menayangkan filem-filem mereka semakin pendek. Bukan setakat untung, mahu mendapat kutipan berlipat kali ganda juga susah.

Mungkin kejayaan filem Melayu seperti Ngangkung yang mencatat kutipan tiket RM8.2 juta cuma tinggal kenangan. Ia juga hanya kekal setakat itu sahaja pencapaiannya sebagai filem tempatan paling laris kautan tiketnya sewaktu menikmati Skim Wajib Tayang selama dua minggu itu.

Bagi mengatasi lambakan tayangan filem Melayu, perlu difikirkan mekanisme baru supaya ia tidak terlalu rapat jarak tayangannya. Formula baru seperti harga tiket antara filem tempatan dan import dibezakan supaya ia memberi daya saing serta lebih menarik perhatian ramai penonton.

Sebagai contohnya, biarlah harga tiket filem tempatan lebih murah berbanding filem luar. Ini tidak, sudahlah harga tiket filem tempatan dan asing sama, tetapi pada masa sama tayangan filem import mendapat kelebihan seperti ruang panggung yang lebih besar sewaktu tayangannya.

Duti hiburan sekitar 20 peratus daripada harga tiket wayang yang dihapuskan oleh Finas digantikan dengan insentif berdasarkan kutipan tiket sesebuah filem setelah tamat tayangannya juga tidak sihat dan boleh membunuh para penerbit filem.

Ini kerana, duti hiburan yang dikenakan ke atas penonton dan kemudiannya dipulangkan semula kepada para penerbit filem banyak membantu survival dalam industri ini.

Pemulangan duti itu bukan sahaja suatu galakan tetapi ia juga suntikan baru untuk penerbitan filem-filem tempatan yang seterusnya.

Jika dikaji semula isu penghapusan duti hiburan dan tempoh tayangannya dalam Skim Wajib Tayang itu, kesimpulan yang akan dibuat oleh para penerbit filem ialah mengurangkan kos penerbitan filem. Secara tidak langsung, ia mempengaruhi kualiti dalam pembikinan filem tersebut.

Kalau kutipan tiket tinggi, para penerbit akan lebih bersemangat untuk meningkatkan kualiti dengan tambahan modal yang ada. Jika tidak, senario yang berlaku itu boleh menyebabkan semangat mereka jatuh dan kualiti filem pada masa depan juga bertambah merudum.

Banyak cara boleh difikirkan bagi mengatasi masalah itu seperti menambah jumlah pawagam. Para penerbit besar seperti MIG Production ataupun KRU Studios misalnya, harus mempunyai jaringan pawagam mereka sendiri selepas ini nanti.

Finas juga tiada alasan untuk mewujudkan pawagam mereka sendiri. Mungkin dengan cara menggunakan wang daripada penghapusan duti hiburan yang difahamkan telah dimulakan sejak hujung tahun lalu.

Tidak bergantung dengan rangkaian monopoli pawagam sedia ada, tambahan pawagam hasil inisiatif para penerbit tempatan dan Finas itu mungkin boleh membantu mengatasi lambakan tayangan filem yang semakin bertambah sejak akhir-akhir ini.

Semua itu harus dimulakan dari sekarang sebelum para penerbit filem yang aktif dan tulen seperti Skop Productions, Excellent Pictures Sdn. Bhd. dan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. hilang minat atau kualiti filem-filem mereka akan menjadi lebih teruk berbanding sekarang.

Mainan emosi dalaman Rosnan

ARKIB : 07/04/2011

KETIKA ini, hatinya bercampur baur apabila memikirkan tentang pementasan monodrama Rebab Berbisik yang akan membuka tirainya di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, malam esok.

Sudah pasti, hati Rosnan Rahman berbunga riang apabila melihat Rebab Berbisik kembali dipentaskan di IB yang sememangnya cukup dikenali sebagai pentas seni bertaraf dunia itu.

Namun, pada masa sama, Rosnan juga tidak mampu menyembunyikan debaran kerana bimbang lakonannya dalam pementasan itu tidak dapat menangkap emosi penonton.

"Saya harus akui cabaran kali ini cukup tinggi dalam monodrama ini. Seperti mana semua sedia maklum, saya membawakan empat watak dalam pementasan ini yang memiliki suntikan emosi yang berbeza kerana ia meliputi empat fasa umur yang berlainan.

"Dalam empat watak itu, saya harus akui watak Pak Su Mat yang paling banyak menguji kredibiliti saya sebagai seorang pelakon kerana luahan emosinya cukup berat.

"Setiap dialog yang saya lontarkan semuanya mempunyai maksud dan konotasi berbeza. Malah, ia memperkatakan tentang subjek berat yang menjadi perdebatan ketika ini khususnya tentang isu makyung itu sendiri.

"Oleh kerana tidak mahu penonton cepat berasa bosan, saya perlu bijak mewarnakan dialog saya dengan suntikan humor agar mereka tidak berasa penat menonton monodrama ini," luah Rosnan.

Rosnan yang juga dikenali sebagai seorang pakyung tu berkata demikian selepas sidang akhbar kedua Rebab Berbisik yang berlangsung di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani; penerbit Rebab Berbisik, Muwazir Mansor dan pengarah monodrama tersebut, Rahimidin Zahari.

Selain watak Pak Su Mat, Rosnan juga membawakan tiga watak lain iaitu Mek Ning, Mimi dan Azri.

Menyambung perbualan, graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang senibina itu memberitahu, dia telah melakukan persediaan yang cukup rapi kali ini.

Memandangkan kali ini ia dipentaskan di IB, dia menggunakan segala kemudahan yang ada untuk mencipta set dan sebagainya bagi memantapkan lagi persembahannya.

"Saya perlu memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar agar duit yang dikeluarkan oleh penonton itu berbaloi dengan apa yang mereka tonton.

"Bukan itu sahaja, saya juga kini giat bersenam dengan berjoging untuk mendapatkan stamina yang tinggi kerana Rebab Berbisik bukan hanya memerlukan saya melontarkan dialog tetapi juga menyanyi dan menari," kata Rosnan yang juga pernah membintangi teater muzikal antarabangsa antaranya The Sound of Music, Cats dan Saturday Night Fever ini lagi.

Untuk membintangi sebuah monodrama kata Rosnan, bukan satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan konsentrasi dalam lakonan.

"Itulah cabaran untuk seorang pelakon teater dan jika dia mampu melakukannya dengan baik serta cemerlang, maka, mereka tidak akan berdepan untuk memberikan lakonan yang mantap dalam filem serta drama," katanya yang turut berlakon dalam filem ...Dalam Botol arahan Khir Rahman.

Dalam perkembangan lain, Rosnan juga melahirkan rasa gembiranya apabila mengetahui penjualan tiket Rebab Berbisik sudah melebihi 70 peratus.

Sambil menyifatkan ia pencapaian luar biasa, Rosnan melihat kejayaan itu memberikan suntikan baru bukan hanya untuk dirinya tetapi juga buat industri teater secara keseluruhan.

Sementara itu, Muwazir pula berkata, pementasan Rebab Berbisik bukan hanya sekadar untuk memberi hiburan semata-mata.

Tetapi, misinya adalah untuk membuat kerja amal dan sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan dibahagikan untuk disumbangkan kepada empat tokoh makyung terkenal.

"Mereka yang telah dikenal pasti ialah Ibrahim Senik, Dollah Daud @ Hamat, Tuan Kecik Tuan Yeh dan Haminah Hussin. Kesemua mereka ini sedang uzur dan hidup dalam serba kedaifan di Kelantan.

"Kami juga bangga dan gembira apabila Rebab Berbisik juga mendapat perhatian daripada badan bukan kerajaan seperti Yayasan Pink Triangle dan Institut Terjemahan Negara.

" Malah, syarikat korporat seperti JW United Corporation Sdn. Bhd. juga memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi," katanya.

Bagi mereka yang masih lagi berminat untuk menonton Rebab Berbisik dan membuat tempahan serta pembelian tiket, bolehlah menghubungi talian 03-41478600 atau layari laman web www.ticket2u.biz.

06 April 2011

Jadual Tidur Telah Bertukar 2

Duhai mengantuknya mata ini. Mana tidaknya malam tadi jam telah tepat 3:00 pagi mata masih tak rasa mengantuk, mungkin aku terlelap sekitar jam 4:30 pagi. Ketika aku terjaga lantaran nak cari selimut jam telaj lebih 4:00 pagi. Insomnia terusan menyerang aku. Masuk bulan kedua.

Jam 6:30 pagi Mila telah bising kejutkan anak-anak solat. Aku memang tidur di kamar panjang dengan anak-anak hatta mana mungkin aku dapat lelap jika ibunya telah bising. Liat belaka anaknya nak bangun. Dua jam cuma tidurnya tak mungkin aku boleh bertahan; maka kena sambung tidur semula; agar sebentar nanti aku akan tambah ceria.

8:00 pagi hantar Aziq ke kelas memandu. Itu hadiah dari ibunya lantaran dia mendapat 9A 1B dalam SPMnya; aku telah membelikan dia sebuah komputer riba untuk dia senang sambung belajar. Dalam seminggu dua ini nampaknya lainlah pula dipergunakan komputer ribanya itu. Asyik main permainan komputer & muat turun perisian dari internet. Sudah memang begitu hobinya Aziq sejak dulu.

Jadual tidur ini berubah antara lain lantaran anak-anak jua, selalunya sekitar jam 12:30 tengah malam baru anak-anak selesai berinternet atau mengadap komputer. Bukan terus tidur, paling lewat si Aziq mungkin lantaran tak sekolah lagi. 1:00 atau 2:00 pagi masih berjaga. Sambil menunggu dia terlelap biasanya aku baru dapat klik komputer.

Malam-malam tak selalunya ada ilham menulis, sekadar baca akhbar atau baca perkembangan politik. Dari Malaysia Kini, Sinar Harian, My Metro, Utusan Malaysia, Berita Harian hinggalah Harakah. Klik semua tenguk mana berita menarik. Terkadang sampai ke akhbar Indon. Sering jua aku sempat buka blog rakan juga main Farm Ville. Manalah mata hendak tidurnya.

Di Jenaris tika dinihari hanya dengar salakan anjing; mana ada suara unggas malam seperti jampuk atau cengkerik. Tanpa penghawa dingin panas membara.

qiera qierana berkata...

tahniah aziq..9a 1b..keputusan yg membanggakan..

iDAN:

B itu Bahasa Inggeris (BI) dapat B+ sayang amat sebab masa periksa percubaan BI ini dia dapat A. Katanya dia silap buat karangan & surat kiriman.

Terima kasih Kesatuan Penduduk Desa Sri Jenaris lantaran meraikan kejayaan Aziq & kasi hadiah & sijil. Ofis Mila Sime Darby menolak permohonan anugerah kecemerlangan anak stafnya lantaran mereka masih bermimpi tinggal di bumi orang putih, hanya diraikan jika BI itu A. Biar pun asasnya cuma perlu 8A termasuk BI, Bahasa Malaysia & beberapa lagi mata pelajaran yang dikatakan subjek teras.

Banyak peluang dia terlepas sebab BI ini; memang bagiku ianya kejayaan yang bukan mudah untuk dicapai & kami amat bersyukur tentunya. Kami sekeluarga berharap dia akan dapat masuk maltikulasi; sebab kos perbelanjaannya agak murah.

nak tidur.. tidurlah mata

Wajah11

w11a

w11b

w11c

mungkinkah pada matanya tersimpan rahsia


Terbiar


kita tak pernah jadi mereka
yang merempat di jalanan
tak pernah merasai
empuknya tilam
wanginya bantal
impian murni sekadar
potret mimpi.


kita jarang kena tempias hiba
tika dingin menggigit
tak ada selimut kasih
hanya semut sakit
nyamuk mengamuk
terbiar.

kita ada tanggungjawab
tapi sering abaikan
malahan sana sini kita dengar
bayi dibuang tanpa ihsan
malahan kaya harta
anak-anak sifar rasa cinta
nafkah sekadar bayang-bayang belaka.

kita tak pernah jadi mereka
seyogia itu kita tak rasa apa-apa.

iDANRADZi
desa tualang kota bharu pk.

05 April 2011

Tukar Kerja.


Afiz tukar kerja lagi, bila aku congak tak kurang telah berkerja di lima tempat. Kerja sementara, ada yang gaji bulan ada yang kira hari.

"Afiz tak kerja hari ini Mie?" aku telah terbiasa panggil Husna dengan panggilan Mie.

"Dah berhenti!"

"Sejak bila pula ni?"

"Baru hari ini"

"Kenapa pula, apa masalah dengan Billion tu?"

"Dia tak puas hati dengan potongan gajinya" aku malas nak ambil tahu sangat, ada banyak kemungkinan. Mungkin lantaran Afiz datang lewat, mungkin ada masalah pengurusan.

Setahu aku Afiz jenis pekerja yang tekun, cermat & tabah dalam kerjayanya. Bayangkan berapa tahun dia kerja di KFC, balik sering lewat malam. Jarang bercuti, malahan ketika hari raya pun dia berkerja. Adalah tak kena di mana-mana seingat aku sekitar dua bulan sahaja dia berkerja di Billion Jalan Semenyih.

Sehari dua dia menganggur, hari ini Afiz kerja di TESCO. Sebagai Juruwang. Aku berharap dia akan berkerja dengan tekun di TESCO. Dalam bualan aku dengan dia, apa yang Mie kasi tahu itu memang benar; Billion buat potongan yang tak munasabah. Aku suruh juga dia telefon untuk bertanya Pengurusnya; setidak-tidak orang lain nanti tak terkena seperti dia.

"Biarlah ayah dia aniaya pekerjanya & ambil duit cara begitu... kalau kita telefon pun pasti ada jawapan dari pihak mereka." aku diam sahaja, aku sekadar takut rekod kerja Afiz menurun. Biarlah berhenti secara elok.

Kerja sementara gajinya pun tak sebanyak mana. Sekitar gaji Pencuci bagai PATI sahaja; Bagi asasnya sekitar RM600 tak cecah pun RM1,000. Termasuk elaun, lebih masa itu ini sekitar RM700 ke RM800 sahaja sebulan.

Bagaimana pun aku mahu Afiz dapat merasakan betapa payahnya mencari duit. Biar pun ada kelulusan bukan semudahnya nak mendapat kerja. Kerja memang banyak di negara ini tapi begitulah hakikatnya; bukan kerja kolar putih yang ada status yang stabil. Seyogia Afiz telah berkerja di KFC dua tempat, 7 Eleven pun dua tempat & Billlion sekadar pekerja sementara bila-bila boleh dipohon.

Aku yakin jika PATI yang datang itu mata wang negara mereka tinggi dari kita memang mereka tak jejak ke bumi ini. Mereka berebut ke sini lantaran mata wang negara kita lebih tinggi. Gaji mereka pun tak macam kita, kalau PATI namanya tentulah tiada potongan KWSP, di sini majikan telah dapat laba.

Sehari kalau kerja kontrak dapat sekitar RM50 sehari pun majikan sanggup kasi sebab tak ada elaun lain. Jika kerja dua puluh hari dah dapat RM1,000 digandakan pula dengan duit mereka. Aku pun tak pasti berapa bandingan mata wang Bangla & kita. Bangladeshi taka BDT. Mungkin sekitar (RM1 = BDT 22.++). Tak pasti. Tapi kira lumayanlah bagi mereka.

Dengan gaji bawah dari RM1,000 apakah kita boleh hidup di negara ini jika telah punyai isteri & anak. Teringat ini maka memang tak jauh bedanya dengan kehidupanku sebagai Pesara; pun terasa akan kepayahannya. Rasanya baik Gaji Terendah atau pun Ganjaran buat Pesara kerajaan kenalah memikirkan kadar bulanan yang lebih munasabah.

Paras Garis Kemiskinan (PGK)

"Kos hidup yang berbeza di Kuala Lumpur mendesak setiap keluarga mesti mempunyai pendapatan minimum di antara RM2,500 hingga RM3,000.
"
- Maklumat tahun 2009

"Penduduk bandar yang berpendapatan RM1500 ke bawah sebagai miskin lantas wajib dibantu."
- MIMBAR(Skim Mikrokredit Miskin Bandar).

Bagi Afiz yang baru nak memulakan kehidupan ada lojiknya dia kena bersusah dahulu, tidak bagi golongan sokongan & pesara seperti aku ini yang sumber pendapatan hanya sekadar sekitar RM1,000. Sukar mahu tambahkan pendapatan atas faktor usia & kesihatan. Tanpa tabungan amat rumit tentunya.

Maka itu aku berpesan pada penjawat awam atau pekerja swasta. Menabung itu amat penting. Apalah lagi sumber kewangan jika telah berusia begini selain berharapkan tabung yang kukuh. Selain ASB mungkin boleh menabung di Tabung Haji. Selain menabung di Bank Simpanan perlulah ada aset lain seperti rumah sewa, tanah untuk dipajak, bermodal di syarikat yang ada pengurusnya. Apa juga aset jaminan masa depan. Jangan perabis duit KWSP dengan barangan mewah yang susut harga.

Fikirkanlah ketika usia masih muda & tenaga masih mampu bekerja: Bagaimana nak menabung untuk usia Warga Emas nanti. Jangan asyik berhutang terutama kereta mewah. Berhutang untuk harta tanah itu okey!.

Perjalanan kerjaya Afiz masih panjang. Biar pun dia telah berapa kali pergi temuduga tetapi rezeki Afiz masih samar & tak pasti. Aku masih yakin rezeki itu adalah milik Dia nan Esa; ianya turun dari langit & tak siapa dapat menduga ianya milik siapa. Agar Afiz ingat peribahasa ini: Batu yang bergolek tak akan ditumbuhi lumut. Jika dapat nanti jawatan tetap serta sesuai dengan kelayakan agar sentiasa tekun & setia dengan satu organisasi.




Karnival IT dibanjiri telefon tiruan

05/04/2011 6:25pm

PORT DICKSON - Orang ramai diminta berhati-hati apabila membeli telefon bimbit di tapak-tapak karnival menjual peralatan komputer dan elektronik di seluruh negara berikutan ada peniaga dikesan menjual telefon bimbit tiruan.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Port Dickson Yusuf Bakar berkata, perbuatan itu dikesan selepas pasukannya merampas 143 unit telefon bimbit tiruan bernilai RM80,000 dalam satu operasi di Dataran Rembau minggu lepas.

Rampasan yang dibuat itu melibatkan 10 tapak gerai di karnival itu, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

"Mereka akan menayangkan telefon bimbit yang asli di ruang pameran gerai mereka tetapi selepas pembeli bersetuju dengan harga tawaran, mereka akan membuat keadaan seperti kelam kabut sebelum menukarkan telefon asli itu dengan telefon tiruan yang disimpan di bawah kaunter,” katanya.

Modus operandi para peniaga di tapak karnival ini turut dikesan di Senawang sebelum ini dan beliau percaya peniaga terbabit mempunyai rangkaian di seluruh negara. - Bernama

Maharaja Lawak: Kumpulan Jozan Teruk Dikecam Juri

KUALA LUMPUR, 4 April 2011: "Minggu pertama adalah untuk warming up," kata pengarah filem, Mamat Khalid kepada sidang media yang menjelaskan kenapa tiadanya penyingkiran peserta pada minggu pertama Maharaja Lawak.

Kata Mamat Khalid lagi,sungguhpun kesemua peserta Maharaja Lawak diberikan peluang kedua, para juri mahukan peningkatan dari segi persembahan serat tidak mahu kelemahan-kelemahan yang ditunjukkan pada minggu pertama berulang semula.

Mamat Khalid adalah antara barisan juri yang terpilih untuk menjayakan program realiti terbaru Maharaja Lawak. Turut berada dalam senarai barisan juri Maharaja Lawak adalah Ahmad Idham serta Saiful Apek.

Ketiga-tiga mereka nyata berpuas hati dengan persembahan yang ditonjolkan oleh kesemua barisan peserta Maharaja Lawak. Begitupun, kumpulan Jozan yang terdiri daripada dua orang pelawak yang bereputasi tinggi iaitu Johan dan Zizan, mendapat kecaman hebat dari pihak juri yang berasakan bahawa persembahan yang ditonjolkan oleh mereka dilakukan secara sambil lewa serta tdiak cukup persediaan.

Sungguhpun begitu,kumpulan Jozan mendapat undian tertinggi pada minggu lepas dengan peratusan undi sebanyak 52% berbanding peserta yang lain.

"Mungkin penonton sudah berpuas hati dengan apa yang mereka tonjolkan. Tapi saya merasakan mereka sudah cukup matang , jadi saya mahukan sesuatu yang baru yang tak pernah saya lihat lagi. Saya kritik begitu pun sebab saya tak nak manjakan mereka.

"Cuba bandingkan mereka dengan kumpulan Jambu yang sudah menunjukkan peningkatan. Persembahan mereka sangat bagus maka ianya harus dijadikan sebagai kayu pengukur buat kumpulan lain," tambah
Mamat Khalid lagi.

Bila ditanyakan samada faktor populariti kumpulan Jozan yang menyebabkan mereka memegang peratusan undi yang tertinggi, Ahmad Idham tidak menafikannya.

"Namun begitu sebagai juri lebih mementingkan dari sudut pengisian. Di tahap ini kita memerlukan sesuatu yang baru yang boleh dihasilkan oleh para peserta Maharaja Lawak ini dan bukan lagi material yang masih lagi di takuk lama.

"Tugas saya dan para juri yang lain bukan untuk membuat lawak tetapi untuk memberi feedback agar mereka boleh memperbaiki persembahan mereka," ulas Ahmad Idham yangs udah mengarah banyak filem termasuklah Adnan Sempit yang mencatatkan kutipan pecah panggung.

Selaku pelawak terkenal tanah air, Saiful Apek pula mengakui cukup memahami situasi yang dihadapi oleh peserta Maharaja Lawak ini. Kesukaran yang mereka hadapi pada ketika ini adalah juga kesukaran yang beliau sendiri pernah hadapi.

"Berdasarkan apa yang pernah saya alami, komedi bukan seperti menyanyi atau berlakon yang boleh dipelajari di sekolah atau di akademi-akademi. 'Akademi' mereka adalah pengalaman hidup mereka sendiri,"

"Sukar sebenarnya untuk mencari idea-idea baru yang boleh digunakan dan ini merupakan perkara tersukar dalam bidang komedi ini," tambah Saiful Apek lagi.

Portal murai.com.my dalam pada ini sempat bertemu dengan Johan untuk mendapatkan pendapat beliau mengenai kritikan-kritikan yang telah diberikan pihak juri kepada mereka pada minggu lepas. Johan sendiri kesal dengan persembahan yang telah mereka berikan.

"Persembahan yang selalu saya dan Zizan lakukan adalah secara spontan. Seperti persembahan pada minggu lepas, kami memikirkan idea persembahan hanya beberapa minit sebelum keluar ke pentas. Ini isebabkan jadual yang ketat dan masa yang sangat suntuk untuk saya bertemu dan berlatih dengan Zizan," katanya.

Apabila ditanyakan samada beliau dapat mengagak bahawa pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah akan mengecam hebat persembahannya dengan Zizan sebagai Jozan, Johan berkata, dua sudahpun dapat menjangkakan perkara tersebut untuk berlaku.

"Saya dah agak dah. Jika tidak Mamat Khalid, Saiful Apek sendiri yang akan membidas teruk persembahan kami. Ia ibarat seperti hendak membuat lawak dengan rakan sendiri.

"Mereka yang selalu dengar lawak saya mungkin takkan rasakan lawak saya itu benar-benar kelakar, namun pada mereka yang tak pernah dengar pada jenaka saya, pasti saya akan berjaya menghiburkan mereka," tambah Johan lagi.

Johan juga tidak menafikan yang persembahan mereka memerlukan penambahbaikan berdasarkan komentar yang telah diberikan oleh pihak juri.

"Untuk minggu hadapan saya akan membuat persediaan yang lebih lengkap sebelum saya membuat persembahan. Namun begitu, kami tak mahu juga meletakkan harapan pada orang ramai kerana agak sukar juga kepada kami untuk menghiburkan mereka jika mereka sudah meletakkan harapan yang tinggi kepada kami nanti," katanya lagi.

http://www.astro.com.my/maharajalawak

♠ iDAN: aku suka Jozan & Man... Jambu & R2 pun menarik persembahannya. Alex pun aku suka sejak dulu. Wai awal-awal dah persalahkan rakan. Balas kurangkan lawak porno, Sepah kurangkan kutuk rakan. XN3 & Amir jangan pandang rendah, serlahkan bakat tu. Nabil masih ada ide ; kesimpulannya semua ada peluang jadi Maharaja Lawak. Kecuali Jihan sian dia jika dinobatkan juara kena kasi gelaran Maharani Lawak.

Apa kata Alex

Raja-Raja Lawak

profil_pelawak_img.jpg Alex

Kadar premium untuk setiap undian: RM0.50. (Kadar telco tertakluk.)
Syarat & Terma tertakluk di www.astro.com.my.

Profil Pelawak
Nama penuh: Alexander Ahat.
Orang panggil anda: Alex.
Umur: 29 tahun.
Asal: Papar, Sabah.
Peserta Raja Lawak musim ke: Musim ke-4.
Drama/Telemovie/Filem: Biar Betul Bendul dan Warung Kita.
Pencapaian tertinggi didalam hidup: Tempat ke-3 Raja Lawak.
Pengalaman menarik anda bila bergelar artis: Orang dalam kereta bersorak memanggil saya di tengah di jalanraya.
Sumber inspirasi anda untuk membuat lawak: Kedai Kopi.
Apakah harapan anda untuk Maharaja Lawak: Pergi sejauh yang boleh, mengharap menang dalam pertandingan itu tidaklah sangat, mengharap orang masih kenal saya itu saja yang saya mau.

Jimmy Shanley Mahu Isteri Kembali Taat Padanya

KUALA LUMPUR 5 APRIL 2011:

Kecewa ditingalkan tanpa sebab pengacara popular, Jimmy Shanley berharap agar isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy akan kembali taat kepadanya seperti yang ditetapkan oleh Ilahi.

Masih lagi rasa terbit sayang dihati lelakinya, Jimmy seboleh mungkin mahu isterinya itu kembali mengikut ajaran agama.

"Saya tak kejam, saya boleh tutup mata dan boleh maafkan dia.Cuma dia perlu ingat walau sekaya, secantik atau sebijak mana pun seseorang isteri itu, suami tetap adalah keutamaan. Itu perintah Allah bukan saya. Kalau suami perompak sekali pun, selagi dia tidak suruh melakukan dosa-dosa besar, suami harus dituruti," katanya yang ditemui semasa menghadiri prosiding sebutan kes nusyuz terhadap Nursuhaila, di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, semalam.

Terbuka membicarakan kekecewaannya, lelaki kelahiran Ipoh, Perak ini memberitahu bahawa isterinya juga telah pergi mengerjakan umrah bersama keluarga tanpa meminta keizinannya.

Tambah Jimmy Shanley, dia sendiri ada menghadiri majlis kenduri doa selamat yang diadakan oleh keluarga isterinya untuk ke Umrah namun kedatangannya tidak dipedulikan.

"Saya pergi majlis kenduri doa selamat yang diadakan oleh keluarganya atas jemputan mak mertua. Saya ingat kalau ke sana mungkin boleh bermaaf-maafan. Sebaliknya berjam-jam saya di sana tetapi kelihatan seperti orang asing," katanya penuh kesal kerana pernah menyimpan impian untuk mengerjakan umrah bersama isteri.

Mengharapkan agar perkahwinannya dapat diselamatkan, namun lelaki berusia 31 tahun ini pasrah sekiranya tertulis takdir sedih pada pengakhiran jalan cerita cintanya itu.

Namun seboleh mungkin dia mahu membesarkan anak sulungnya itu di hadapan matanya.
"Jangan memprejudiskan masa depan anak yang masih belum dilahirkan. Duit dia dan keluarga dia 10 sen pun saya tak minta. Saya hanya mahu anak dijaga oleh saya.Kalau boleh memang saya nak sama-sama jaga, tapi kalau dah tak berminat, nak buat macam mana?," ucapnya.
Nursuhaila juga pernah memohon cerai pada 28 November lalu tatkala mereka berjumpa di kediamaan keluarga isterinya itu. Malah kata Jimmy, demi memastikan rumah tangganya kembali utuh, dia sanggup membuang jauh ego lelakinya.

"Apa yang saya mahu mudah sahaja, hanya layan saya sebagai seorang suami. Jika itu pun tidak boleh dilakukan, ada sesuatu yang silap," tambahnya.

Terdahulu, Hakim Syarie, Saharuddin Selamat menetapkan supaya permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan oleh Jimmy disebut semula pada 23 Mei depan.

Jimmy diwakili peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus manakala Nursuhaila diwakili oleh Saadiah Din. Pada prosiding itu, Nursuhaila Eliana yang kini mengandung enam bulan hadir dengan seorang lelaki dipercayai pengawal peribadinya.

Pasangan itu telah pun bernikah pada 1 Oktober tahun lalu dan hanya sempat menetap bersama selama 20 hari. Berikutan perlakuan Nursuhaila Eliana itu telah membuatkan Jimmy Shanley menfailkan permohonan kembali taat pada 3 Januari dan diikuti permohonan nusyuk pada 27 Januari lalu.