iDAN

13 Mei 2009

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 2 (Singgahsana)

Durian Guling Utama



Terbayang wajah isteri Pak Ya, terbayang wajah anak kecil Pak Ya; sejam tersadai di tepi jalan. Meragamkah anaknya?. Jika duduk di hentian rehat satu perkara juga. Aku terasa bersalah amat, tapi masakan kita dapat menarik masa yang berlalu. Terkadang kita menjadi manusia yang tidak menepati janji. Bukan aku sengajakan.

Aku terbayang kenangan penat menunggu; bagaimana dari pagi sampai ke petang aku menunggu keluarga Mila datang di depan hentian bas KL ke Kelang (Klang). Hentian yang banyak menyimpan nostalgia. Ketika itu janjinya kami mahu ke Bukit Frazer. Separuh hari menunggu; bagiku memang telah menjadi perkara biasa dalam hidupku. Mmm! malas nak fikir bab menghormati waktu nanti ada pula yang mengatakan aku ini suka amat mengungkit.

"Aku tak pasti jalan ni... sekarang kita menuju ke arah mana ...!"

"Arah Kuantanlah abg iDAN..."

"Pak Ya jalan dulu nanti aku ikut dari belakang"

Seperti yang aku jangkakan jam 10:00 malam baru akan bergerak dari Lebuh raya Karak, kenderaan masih bertali arus. Avanza Mila merangkak menaiki lereng gunung. Tentunya sebahagian mahu ke Genting; sebahagian pula mahu balik kampung. Sesekali aku menukar gear rendah. Nasiblah auto pun ada gear rendah. Jika tidak memang tak terpanjat Avanza ini. Aku mencari-cari kereta Pak ya, tak nampak, entahkan dia di depan atau di belakangku. Aku teringat ketika AJK KSS konvo, reben panjang yang diikat pada entena memang amat penting. Mudah mengesan kenderaan kawan jika konvo.

"Laparlah ayah!!!" Mila mula mengeluh.

"Laa! tadi kami makan kat rumah, Mila tak kisah pun.." Aku perasan Mila sejak tengah hari asyik mengemas itu ini, asyik gosok pakaian; sampai hampir magrib. Aku bersungut juga, pakaian aku tak kisah; janganlah digosok, Lagipun sapa nak tenguk aku pakai pakaian cantik ke lusuh. Mana ada para nelayan bergaya ke laut.

"Habis tu.. bila kita nak berhenti makan, anak-anak tu tak lapar ke..." Aku senyum, anak-anak di belakang aku tahu semua dah kenyang. Azim nampaknya mula mengantuk.

"Biasanya kami konvo ni! Mila... memang tak berhenti, redah sahaja enam jam... jika berhenti pukul berapa nak sampai..!" Aku mengusik sebenarnya.

"Lagipun kan ke kita mengikut rombongan orang kita kenalah beralah ikut agenda orang...!; belakang tu ada macam-macam biskut jika Mila nak lapik perut tu!.."

"Takad biskut tak payah... Mila nak tidur... asyik lagu hindustan sahaja; macam tak ada lagu lain..." Dah mula dah; Mila komplen lagu di MP3 modulatorku. Aku terpaksa menyabut MP3 modulator & mencari saluran yang agak jelas pancarannya.

"Berjalan jauh ni Mila bukan senang nak dapat saluran yang jelas; kuat bunyi angin sahaja.." Berbual salah nak dengat lagu hindustan pun salah.

Aku telah melepasi Terowong Sepah, kenderaan masih sesak, tak boleh memandu laju. Aku menyuruh Aziq mendail nombor telefon Pak Ya. Sebenarnya aku juga teringat nak makan mee kari, kasi panas sikit badan ini. Lagi pun telah lebih dari dua jam aku memandu. Paling handal pun daya tumpuan kita memandu sekitar tiga jam sahaja. Lebih dari itu mulalah gelisah.



"Pak Ya orang rumah aku ni dah mula lapar, di hentian mana nanti kita nak berhenti rehat..?"

"Temerloh, bateri telefon bimbit saya dah nak habislah abg iDAN, nanti saya SMS sahaja..."

Avanza Mila hanya selesa dipandu dalam kelajuan 90 ke 100 km/j. Lebih dari itu terasa tak stabil. Lagi pun minyaknya tak ekonomi lagi. Aku teringat akan akta van, jika di lebuh raya hanya boleh memandu dengan kelajuan 90 km/j. Seharusnya Avanza juga begitu.

Amerika Syarikat maksimun 90km/j sahaja sama dengan Singapura. Indonesia sekadar 100km/j. Jika kita bandingkan lebuh raya di Amerika Syarikat pastinya lebih luas, tentunya lebih dari dua lorong. Kenderaan mereka apakah sepadat kita. Sepanjang Lebuh Raya Karak; rata-rata banyak yang masih hanya dua lorong searah. Sungguh ngeri melihat kereta yang bukan lagi 110km/j malahan lebih laju dari itu; bagaikan ingin menyondol kenderaan kita dari belakang. Pantang ikut lorong kanan dengan kelajuan 100km/j pasti kena suluh lampu dongak mereka yang menyilaukan.

- bersambung.

Durian Guling 3

Tiada ulasan: