iDAN

11 Mei 2009

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong (Singgahsana)

Lebih dari 500 km perjalanan.

“Abg iDAN saya tak jadi pergi, nenek saya masuk ICU nanti Abg Idan telefon Pak Ya.. ada tak telefon Pak Ya..?” Saat akhir berdering telefon. Sekitar jam 4:00 petang Fairus telefon. Seharusnya menjelang isha kami akan bertolak ke Kuala Terangganu. Mencandat sotong sekitar Pulau Kapas.

“Tak ada…” Terasa terkilan pun ada, berbaur simpati. Tak kan nak biarkan neneknya Fairus tenay di ICU.

“012965xxxx… minta maaflah abg iDAN”

“Tak apalah jika bilik Caletnya kecil boleh aku sewa dua pintu..”

Aku terbayang akan Syukria, Pak Ya & Nuzul. Kami semuanya bukan taraf sifu dalam bab turun ke laut. Itu satu hal, aku terbayang jika aku terbabas dari konvo dengan Pak Ya, aku sungguh tak biasa dengan perjalanan di Pantai Timur. Cuma pernah sekali aku memandu sendiri ke Cherating sekitar tahun 90an. Masa itu Mila memakai kereta Wira EaroBack. Penatlah amat memandu, ke Cherating pun mengambil masa lima ke enam jam. Ini kan pula jauh dari itu. Masa itu mana ada Lebuh Raya Pantai Timur lagi. Perjalanan dengan selorong pergi & selorong balik amatlah merimaskan. Selebihnya jika aku ke pantai timur, duduk manja, tumbang orang atau menaiki bas.

Syukria sebagai ketua atau tuan rumah pun tidak menyediakan peta perjalanan. Mungkin lantaran Fairus telah biasa ke sana, maka apa perlunya peta segala. Harapan aku bergantung kepada Pak Ya.

Awal jam 8:00 malam Pakya telah telefon. Memang ketika itu seharusnya aku Sekitar jam 8:15 malam barulah kami bertolak dari Jenaris. Sebermulanya perjalanan banyak amat aralnya.



Baru nak kunci pintu rumah meluru kucing-kucing minta makan. Semuanya bukan kucing kami. Si kembang ekor, pantang masuk rumah pasti kencing. Si Topeng gemuk, perutnya dah nak besar tempayan asyik beranak. Anak si Topeng pun datang, selalunya tinggal entah di mana. Si Jantan Coklat paling kuat memanjat. Pandai cari lobang masuk rumah keluar tak tahu. Tahu-tahu habis serumah pekat bau tahinya. Belum lagi dua tiga ekor yang lain. Jumlahnya ada lima atau enam ekor sering datang bertandang. Makan & manja bukan main dengan anak-anakku. Tak sampai hati nak biarkan kucing ini kelaparan. Maka terpaksa pula beli makanan kucing.

Lambatlah tentunya.

Sementara Mila & Afiz kasi makanan kucing-kucing. Aku pun sempat mencari si Nusantara, aku tahu ianya sering ada di sebelahan Gerai Sampan. Sudah naik harganya si Nusantara. Dulu RM2 sahaja, sekarang telah naik RM2.50.

Avanza Mila menuju ke Lebuhraya Saga Kajang Cheras. Dari TESCO aku menuju ke stesen minyak Petronas.

“Nak ke mana pula ni..?” Agak tinggi suara Mila.

“Kita singgah Petronaslah, Mila kata nak keluar duit..”

“Mana ada Mila kata nak keluarga duit, Mila kata nak ke bank..”

“Cakaplah nak ke bank Kajang, nak buat perpindahan duit..”

“Mila tak cakap pun nak keluar duit..! nak ke ATM …”

Kajang bagiku Bandar yang sesak, payah amat nak cari parkir, lama sangat terpaksa berbaris di lampu isyarat. Peliknya Mila siang tadi dia ke Kajang masalah giginya. Pergi ke Klinik gigi, kenapa tak buat urusan bank semua itu. Aku mati-matian ingatkan dia mahu kerditkan duitnya.

Terpaksa ke Seri Serdang, biar pun agak jauh tetapi tidak sesak & boleh ikut Sungai Besi masuk ke MMR2. Terus ke Sekolah Teknik Gombak, sebab Aziq masih menanti kedatangan kami menyemputnya. Sepanjang jalan kenderaan bertali arus, sesak amat. Maka itu aku mahu amat bertolah selepas jam 10:00 malam. Bila ku lihat telefon bimbitku, telah bertalu-talu nombor 012965xxx tidak berjawab; panggilan dari Pak Ya.

“Pak Ya kat mana sekarang ini..”

“Tol Gombak…”

“Dah lama sampai dah..”

“Sejam lebih dah menunggu ni.., Abg iDAN kat mana!” Memang pun telah 9:45 malam.

“Sebelah tol ini, tengah ambil Aziq, kejap lagi kami sampai..” Terasa bersalah amat bilamana mengingatkan temujanji ini di mana angkara tidak menghormati waktu; ada orang menjadi mangsa. Aku malas membebel sebab ayat yang sama akan aku terima. Mila memang selalunya begini. Jika majlis kenduri kendara pun asyik jadi tetamu akhir. Selalu amat jika ke mana-mana jemputan. Orang sedang kemas bangku meja baru kami sampai. Jika tidak aku menggesa agar segera bersiap; pasti akan lewat.

Teringat akan pesan Cikgu Mutalib ketika di Asrama Putra, Jalan Watson Ipoh..

“Ada ketikanya hidup kita ini perlulah bersikap rugget, rugget dalam eri kata tahan lasak..” Maksudnya kita kena pandai menyesuaikan diri. Rugget bermaksud berpakaian serba ringkas sesuai dengan masa & cuaca. Jika kita lihat pelancong Mat Saleh melawat negara kita mereka berpakaian serba ringkas, berbaju T & berkasut sukan.

Jika sekadar mahu berkelah, tak payahlah berpakaian kemas amat. Perlukah seluar kena licin berstreka, baju kena digosok rapi. Cukuplah sekadar berseluar ringkas atau jeans & berkemaja T. Buat Mila tidak begitu, bila-bila & segalanya mahu kemas, bagaikan mahu pergi ke majlis kahwin, atau berperaga bak paragawan, berfesyen terlampau. Anggun selalu. Payahnya. Maka itu terlalu ambil masa untuk bersiap tiap kali maju ke mana jua. Aku teringat bagaimana kemasnya rakan sebilikku Napi. Sampaikan singlet pun mahu berstreka. Maih ada orang lain lagi kemas dari Mila.

-bersambung

Durian Guling 2

Tiada ulasan: