Durian Guling 2
Temerloh beratus kilometer lagi mahu sekitar jam 12:00 tengah malam lebih baru sampai. Memang tepatlah apa yang Pak Ya sarankan; Separuh perjalanan elok berhenti rehat. Cuaca agak mendung, tak nampak cahaya bulan.
Jika tak silap ini kali ketiga aku pergi mencandat sotong. Kali pertama di Penyabong. Tak banyak sotong yang dapat kami candat. Cumanya di Penyabong sepanjang hari kami memancing. Bertolak seawal jam 7:00 pagi terus dari lubuk ke lubuk, dari unjam ke unjam kami memancing. Memancing menggunakan Apollo pun telah amat memuaskan. Aku pernah mendapat tangkapan penuh ikan Delah dengan menggunakan Apollo, jika mata Apollo ada sepuluh cangkuk mata kailnya maka penuhlah sepuluh ekor ikan Delah dinaikkan. Setelah puas memancing barulah kami mencandat sotong; bermalam di sekitaran perairan yang tidaklah terlalu dalam airnya. Masa aku mencandat sotong di Penyabong ianya masih belum bermula musimnya mencandat; tak sebanyak mana dapat.
Kali kedua aku mencandat sotong di perairan sekitar Kuala Terengganu juga. Di mana pertama kalinya aku mabuk laut. Hanya sempat mencandat sekitar sejam dua, tumbang tak ingat dunia. Rasanya kecewa memang tak dapat dielakkan jika kena mabuk laut.
Sekitar jam 1:15 pagi kami tiba di hentian rehat Temerloh. Aku nampak Pak Ya telah berehat di parkir; sebelah gerai makanan. Entah bila dia memotong Avanza Mila aku pun tak pasti. Parkir penuh sesak, aku terpaksa parkir agak jauh. Aku terus ke Surau qasar sembahyang Isyak. Tak terfikir jamak di rumah ketika magrib.
"Orang rumah aku pun lapar, tak makan apa pun di rumah..."Pak Ya bersungut, pasti isterinya kerja siang tadi. Mana nak sempat masak perbagai.
"Nanti kita berhenti di mana iyer!..., aku tak tahu di mana rumah Syukria..!"
"Sampai di Marang abg iDAN telefon saya!" Aku perasan Maran lain, Marang pula lain.
Aku yang mengidam makan mee kari mencari dari awal gerai sampai ke hujung. Jumpalah satu gerai yang menjual mee kari. Aku nampak awal-awal lagi Mila & Aziq telah makan nasi campur. Azim & Anif lelap di Avanza. Punyalah ramai pelanggan yang menanti untuk mendapatkan mee kari.
"Adik kasi mee kari satu...!"Aku membuat pesanan kepada mamat lelaki, mukanya sebiji macam nelayan pencen.
Dia terus mencapai mee maggi kari.."Mee kari satu..."Aku terlopong. Sama ke mee kari yang aku idamkan dengan mee maggi kari ni!. Silap buat pesanankah aku.
Seorang demi seorang dapat pesanan, ada yang makan nasi ayam goreng, ada yang makan mee maggi goreng, ada yang makan mee soup & ada yang makan mee kari bukan maggi kari. Sah nelayan pencen ini lalok!.
"Mee kari saya tadi mana?... sebab aku lihat ada pelanggan sebelah aku dapat pesanan mee karinya.."
"Bukan maggi kari..!"
"Bolehlah!"Malas nak berunding cara, orang menunggu teramatlah ramai. Sedangkan pelanggan sebelah aku cepat amat dapat mee karinya; aku yang lebih awal datang. Mahu buat mee maggi kari memang lama; mungkin tunggu ayam bertelor kot baru dapat antara bahan iromanya.
Tapi bila siap mmm! nampak menyelerakan juga.
Aku duduk di meja Mila & Aziq makan, dah nak habis pun makanan mereka. Selang beberapa ketika aku lihat Afiz; dia biasalah makan nasi ayamnya.
"Kita ni masih di pertengahan perjalanan, ada 200km lebih lagi perjalanan kita, sekitar 4:00 atau 5:00 pagi baru kita sampai.."Aku bersuara.
"Ayah okey tak?.. tak rasa mengantuk lagi?"
"Okey kot... ! semua boleh tidur nanti sampai di Dungun ayah kejutkan... ada kejutan di sana.."
Aku bergerak awal, tak tunggu lagi Pak Ya, aku pasti dia akan memandu laju. Silap-silap berjam lagi dia kena menunggu aku. Jadi isu pula dia cerita pada semua orang aku ini jenis Janji Melayu.
Marang mana itu Marang!.
Telah aku benar, sekitar sejam aku memandu aku perasan Pak Ya berdesup memotong aku, tanpa memberi lampu amaran apa pun. Pasti masih terbuku hati menunggu aku di Tol Gombak. Aku cuba mengekori dari belakang. Huh!... 110km/j terkadang lebih dari itu. Aku terpaksa mengalah. Aku terus dengan kelajuan selamatku; 90km ke 100km/j. Semua keluargaku di alam mimpi. Aku bolehlah pasang MP3 madulatorku. Tetapi dengan suara amat pelahan. Jalanraya mula basah, hujan pagi. Di depanku sesekali nampak silauan petir, talian belatinya memukul syaitan amat menakutkan. Jika beginilah cuaca esok hari; memang kes nanya. Mana nak nampak bulan mengambang. Mana nak datang mambang sotong mengintai candat kami nanti.
Banyak jalan di Lebuh Raya Pantai Timur ini dibaiki. Ada tempat yang selorong sahaja. Aku bayangkan jika siang pasti sesak gila lebuh raya ini. Bagusnya lebuh raya ini, amat kurang selekuh; boleh lelap mata sambil memandu. Tetapi hanya dua lorong untuk pergi & dua lorong untuk balik. Bermakna Perdana Menteri Rakyat kena memikirkan projek pembesaran. Memang tidak dapat menampung kenderaan jika musim perayaan.
Aku membayar tol sekitar RM20, kenangan lalu dapat juga aku menuju ke Cherating; tak sesat; sebab aku perasan akan papan tanda Kuala Terengganu. Sepanjang Cherating hujan agak lebat. Lopak di di sana sini; sesekali Avanza Mila berbual & hampir terbabas. Aku memperlahankan panduan. Avanza ini macam Van juga, duduk atas spring maka melambung-lambunglah jika jalan tak rata.
Cherating ini aku telah bermalam lebih dari tiga kali, aku amat menyukai akan suasana Impiana Resort Cherating. Teringin amat mahu ke sana lagi' tak pasti apalah sekarang ini di biliknya masih menggunakan kelambu putih bagai dulu. Tahun berapa iyer bangunan di Amerika Syarikat kena redah pesawat pengganas tu. Hari itulah aku di Impiana Resort Cherating. Bangunan World Trade Center di Bandar raya New York pada 11 September 2001
Hampir lapan tahun lalu aku menginap di Cherating.
Kemaman, cantik bandar raya Kemaman di waktu malam, dengan hiasan lampu bunga raya & bandarnya memanjang di sepanjang pantai. Pastinya jika singgah siang ada banyak keropok lekor di sini. Apa lagilah ole-ole yang boleh dibawa selain dari keropok lekor jika ke Terengganu.
Tetiba Azim terjaga mahu buang air kecil. Sudah tiada pekan atau surau untuk singgah; petrol pam pun tak jumpa-jumpa. Aku singgah tepi jalan sahaja. Senang anak lelaki. Sedang elok; aku berpesan agar semua jangan tidur; Anif sahaja yang tak boleh buka mata. Kejutan di Dungun yang aku janjikan memang membuatkan kami trauma. Kertih sekitar sini kot, tak pasti. Rasa nak tidur tepi jalan itu. Tak puas nak lihat kerdipan lampu & cucuran api. Loji penapis minyak kot!.
Sekitar jam 5:15 pagi aku sampai di Marang. Nampak dari jalanraya lampu bot nelayan yang mencandat sotong; bagaikan ada pesta di tengah laut. Aku berhenti di sebuah Surau & menelefon Pak Ya. Dia kata masih di belakang. Pulak. Bila pula aku memotong dia. Aku telefon Syukria, mengatakan aku di tepi jalan ini, ada tanda batu lagi 21 km ke Kuala Terengganu.
"Dah sampai masjid Marang tak?"
"Aku tak pastilah..."
"Nanti abg iDAN akan jumpa selekoh tajam ke kanan, depannya nampak kubah masjid Marang... berhenti di selekoh tu!, rumah saya sebelah selekoh tu saja.. kejap lagi saya jemput..."
Sekitar sekilometer aku jumpa selekoh yang dimaksudkan; & aku berhenti di bahu jalan. Tak sangka, aku pandai mengesan destinasi. Tak sesat, tak mengantuk, tak penat pun aku memandu, sejak dari jam 8:00 malam hingga 5:30 pagi. Sekitar lapan jam, dua jam sangkut di KL. Itulah anugerah Ilahi menyelamatkan perjalanan jauhku.
"Pak Ya... mana?"
"Dia masih di belakang, kejap lagi dia sampai.."
"Aku main agak-agak sahaja perjalanan ini, pernah ikut sekali dengan Fairus jalan ini; itu yang ingat-ingat lupa...! nak ke mana kita lepas ini.."
"Jom rehat di rumah pusakaku..."
"Dekat mana?"
"Kampung Durian Guling!"
Sekitar lima belas minit Pak Ya pun sampai. Kami menuju ke Kampung Durian Guling. Jauh juga dari Masjid Marang tempat kami berhenti ke rumah pusaka Syukria. Semua kampung ada, Kampung Undang, Kampung Kar Buluh, Kampung Padang Mengkuang, Kampung Titian Pendek, Kampung Geleguh, Kampung Bukit Sawa, aku menjeling minyak Avanza Mila. Sudah nak habislah sangat. Risau pula tak akan sampai ke durian guling, terguling pula kena nanti maki hamun dek Mila. Mengapalah aku tak perasan minyak nak habis.
- bersambung.
Durian Guling 4
Tiada ulasan:
Catat Ulasan