iDAN

25 Mei 2012

Bermain salji di Tembok Besar China



PANORAMA malam Beijing yang menjadi ibu negara dan juga bandar raya paling pesat membangun di China.



KETAKUTAN untuk menjejak kaki ke luar negara sudah lama menjadi penghalang untuk saya meneroka keindahan dunia luar yang selama ini hanya dapat dilihat di kaca televisyen dan gambar. Sebelum ini, saya belum pernah mempunyai pengalaman bercuti di negara orang.

Walaupun pernah beberapa kali memasang niat dan bercadang untuk bercuti ke luar negara, hasrat itu asyik terbatal tambahan lagi komitmen kerja dan keluarga, lebih-lebih lagi kini saya mempunyai anak kecil yang menyusu badan sepenuhnya.

Bagaimanapun, disebabkan penggambaran telefilem Asmara Beijing dan Metro Skuad musim kedua berlangsung di Beijing, China, saya akhirnya akur dengan kehendak pengarah, Datuk Yusof Haslam untuk menjalani penggambaran di sana.

Dua minggu sebelum berangkat, saya berasa gusar untuk berjauhan daripada keluarga lebih-lebih lagi suami dan anak. Tetapi, suami menyokong dan saya sendiri membeli beberapa pasang baju sejuk walaupun ramai yang mengatakan cuaca tidaklah begitu sejuk di sana.

Saya memang tidak tahan sejuk! Di Malaysia sekali pun, saya berselimut tebal, inikan pula di negara yang bersalji. Justeru, saya membuat persediaan sewajarnya.


FORBIDDEN CITY merupakan destinasi wajib yang perlu dilawati saat bertamu di Beijing.



Hari pertama di Beijing, saya dan ahli rombongan lain dibawa melawat Fresh Water Pearl Centre. Di situ saya mengambil peluang membeli batu jed untuk ibu saya yang amat menyukai aksesori itu.

Keriangan di Tembok Besar China

Di sana, banyak batu permata dan mutiara dijual pada harga dua kali ganda lebih murah berbanding di Malaysia.
Selepas itu, kami dibawa melawat Summer Palace yang merupakan taman diraja terbesar di China yang dibina pada tahun 1751 oleh Maharaja Qing pada zaman itu. Kami juga melawat Masjid Nan Dou Ya yang mempunyai rekaan China unik berusia ratusan tahun.

Pada waktu malam pula, kami dibawa melihat persembahan akrobatik. Saya amat terpesona dengan tarian yang kelihatan pelik, tetapi menarik yang merupakan sebahagian budaya orang China.

Hari kedua di Beijing, kami dibawa melawat Jade Museum yang banyak memaparkan budaya bangsa China untuk kami fahami dan pelajari. Selepas itu, penggambaran telefilem diteruskan dekat Tembok Besar China. Di situ, saya dan ahli rombongan lain berpeluang menyaksikan salah satu keajaiban dunia di depan mata.

Kami bertuah kerana salji turun pada hari kedua menyebabkan Tembok Besar China dilitupi salji. Walaupun cuaca sangat sejuk sekitar 2 darjah celsius, saya dan ahli rombongan lain berlumba-lumba mendaki tangga tembok dan menggelongsor seperti kanak-kanak!

Tangan dan kaki saya berasa kebas akibat terdedah dengan salji untuk tempoh masa yang panjang. Saya terpaksa meniup dan menggosok tapak tangan berulang kali untuk mengurangkan rasa sejuk.

SALINA ke Beijing untuk penggambaran telefilem Asmara Beijing dan Metro Skuad.


Keesokan harinya, lokasi pelancongan yang dikunjungi dan paling diingati ialah di Forbidden City. Di samping mempelajari sedikit sebanyak tentang sejarah pemerintahan di sini, saya lebih terpesona dengan seni binanya yang begitu unik, malah masih kukuh hingga ke hari ini.

Monumen itu mempunyai tujuh buah pintu yang besar menggambarkan luasnya bangunan itu. Ia tidak ubah seperti sebuah kompleks.

Disebabkan masa untuk menjelajah begitu singkat, saya dan ahli rombongan lain bergegas untuk merasai pengalaman masuk ke setiap pintu yang ada. Saya berpuas hati kerana dapat mengambil banyak gambar sepanjang berada di Forbidden City.

Di luarnya pula, terdapat banyak pokok yang mempunyai bentuk unik dengan ranting dan dahannya berlingkar-lingkar. Ketika berada di sini, saya berpeluang menikmati buah strawberi dicelup madu yang dijual peniaga jalanan. Rasanya sungguh sedap kerana buah strawberi itu amat manis dan segar.

Pada hari ketiga juga, saya berpeluang berkunjung ke Masjid Niujie iaitu masjid tertua di China yang menyimpan sejarah ribuan tahun. Kemudian, kunjungan diteruskan ke Muslim Super Market yang merupakan satu-satunya pasar Muslim di Beijing.

Berdekatan dengannya juga terdapat Silk Store yang begitu popular dalam kalangan pelancong kerana harga kain sutera jauh lebih murah berbanding di mana-mana negara. Malah, pelbagai pilihan produk membuatkan saya rambang mata.

Tewas untuk membeli-belah

Sebelum tiba di Beijing, saya sudah berniat untuk tidak berbelanja besar kerana seringkali membeli sesuatu, tetapi tidak memakainya.

STRAWBERI bersalut madu yang boleh dibeli di tepi-tepi jalan di Beijing.


Tetapi sebagai kaki membeli-belah, akhirnya saya tewas. Dengan harga yang sangat murah, terasa rugi sekiranya tidak membeli barangan kenangan memandangkan ini kali pertama saya berkunjung ke China, malah ke luar negara.

Pada hari keempat, selain penggambaran yang menjadi rutin harian, kami dibawa ke tempat-tempat beli-belah terkenal di Beijing seperti Olympic Sponsor Jewelry City, Kitchen Appliance Store dan Foot Massage.

Pada waktu malam pula, aktiviti membeli-belah diteruskan di kedai cenderamata Hard Rock Cafe.
Saya sememangnya menyukai cenderamata daripada Hard Rock Cafe kerana mengumpulnya hasil hadiah daripada teman-teman yang berkunjung ke luar negara.

Kali ini, saya dapat membelinya sendiri untuk dihadiahkan kepada teman-teman dan keluarga saya.
Pada hari kelima, saya tidak terlibat dengan penggambaran kerana hari itu kru penggambaran perlu menyiapkan penggambaran klip video Anuar Zain pula.
Justeru, isteri Datuk Yusof Haslam iaitu Datin Fatimah Ismail membawa kami berjalan-jalan di sekitar Beijing serta membeli-belah di pusat beli-belah yang banyak menjual beg-beg yang cantik dan murah.

Kami juga berpeluang mengambil gambar di Hard Rock Cafe pada waktu siang serta menikmati aktiviti bebas selepas bertungkus-lumus menyelesaikan babak-babak penggambaran yang perlu disiapkan di Beijing.

Sepanjang aktiviti itu, saya dapat melihat bandar raya Beijing dengan lebih teliti. Bagi saya, Beijing ibarat bandar raya tidak berwarna kerana bangunannya banyak menggunakan warna-warna asas.

Selain itu, di sini juga sukar untuk melihat bangunan tinggi, malah kedudukannya juga agak jauh antara satu sama lain.

Kunjungan ke Beijing berakhir pada hari keenam iaitu selepas sarapan pagi di hotel kerana penerbangan dijadualkan pada waktu tengah hari.

Kunjungan kali pertama ini amat bermakna kerana ia telah membuka mata dan minda untuk lebih menghargai kebesaran ciptaan tuhan.

Selepas ini, mungkin saya akan mula memikirkan lokasi percutian luar negara seterusnya dan membawa keluarga saya pula.

Tiada ulasan: