iDAN

25 Mei 2012

Guilin Destinasi Pelancongan Menarik di China


Destinasi yang terletak di timur laut China, popular sebagai destinasi wajib pelancongan kerana tarikan keindahan semula jadinya seperti bukit batu kapur, sungainya yang jernih serta deretan pusat membeli-belah.

MENGEMBARA pada usia muda tidak asing di telinga kita tetapi sekiranya ia membabitkan warga emas, pasti kita kehairanan dengan kekuatan mental dan fizikal mereka. Selalunya ramai yang melancong mengikuti rombongan kerana semua penginapan, pengangkutan dan tempat makan di atur untuk mereka.

Namun, berbeza sekali dengan dua warga emas ini kerana menyahut cabaran anak lelaki mereka untuk mengembara ke Guilin, China. Apa yang dilalui Haron Siken, 71, dan isterinya Ramnah Othman, 64, pada 7 hingga 10 Januari 2010 yang lalu memang tidak terfikir oleh mereka sendiri. Pengembaraan mereka yang dibawa anak lelaki, Zulkeflee, pada musim sejuk bukan saja membuka minda malah lebih membuka mata setelah mendapat pengalaman berharga.

Penulis yang turut menyertai rombongan mereka, mengagumi semangat pasangan ini apatah lagi Guilin bukan sembarangan tempat kerana memerlukan kekuatan tenaga untuk meninjau keunikannya, termasuk di kawasan berbukit bukau selain keadaan cuaca yang agak sejuk.
Namun, keistimewaan Guilin yang disifatkan sebagai kota ‘syurga’ China kerana pemandangannya yang amat indah dan dianggap destinasi wajib dikunjungi pelancong asing, boleh menghilangkan rasa penat sekelip mata. Tarikan utamanya adalah bukit batu kapur dan sungai jernih yang sering kali menjadi subjek paparan lukisan dan kerja kaligrafi China.

“Pengembaraan bermula dari Kuala Lumpur lagi apabila kami bertolak seawal 2.30 pagi untuk ke KL Sentral seterusnya ke LCCT bagi mengejar penerbangan 6.40 pagi ke Guilin,” cerita Haron, bekas pesara Telekom berasal dari Kuala Sungai Baru, Melaka. Tidak mahu menyusahkan sesiapa menghantar dan mengambil di lapangan terbang, semua perancangan diatur sebaik mungkin. Jumlah beg yang dibawa juga dicatu untuk memudahkan pergerakan masing-masing.

“Setibanya di Lapangan Terbang Liangjiang, cuaca dengan suhu 5 darjah Celsius menyambut kami. Dari bandar Guilin kami ke Yangshuo pula, sebuah pekan kecil yang sangat indah pemandangannya. Anak kami mahu kami merasai perjalanan menaiki bas bersama-sama rakyat tempatan yang menjalankan urusan seharian mereka. Agak lega di dalam bas kerana ada alat pemanas.”

Di Yangshou, Haron dan Ramnah melihat keindahan pekan kecil yang popular dengan bukit batu kapur yang tidak terkira banyaknya. Mereka juga berpeluang menaiki rakit menyusuri Sungai Luyong bagi perjalanan 45 minit pergi dan balik.

“Paling mengujakan, kami suami isteri menyewa motor elektrik yang kelajuan maksimum 35 kilometer sejam. Sesuatu yang tidak terfikir dilakukan pada usia sebegini tetapi anak kami meyakinkan, sudah sampai ke negara orang mengapa tidak mencuba!”

Di Yangshou, selain bekalan makanan yang dibawa, mereka juga mengunjungi satu-satunya restoran Muslim di pekan itu dan pertama kalinya Haron dan Ramnah merasai masakan orang China. Inilah pertama kali mereka melihat warga Muslim Cina dan dapat merasakan kemesraan mudah terjalin sebaik saling bertukar salam.

“Dua hari di Yangshuo, kami menaiki bas ke Guilin pula. Di Guilin, restoran Muslim lebih banyak kerana penduduk Muslimnya yang ramai. Kami juga melawat beberapa masjid dan sempat bersolat Zuhur di sebuah masjid di Jalan Minzu. Ketika berwuduk saya terkejut kerana di situ ada disediakan air panas untuk kemudahan jemaah di musim sejuk.”

Biasa bergaul dengan masyarakat China di Malaysia, Haron dan Ramnah agak tergamam melihat orang China di negara Tembok Besar itu. Ini kerana sukarnya berkomunikasi dengan mereka kerana rata-ratanya tidak langsung tahu berbahasa Inggeris.

Ramnah, ibu empat anak memuji makanan China Muslim dan tergelak mengingatkan kenangan suaminya belajar makan nasi menggunakan penyepit kayu. Namun Haron cepat belajar dan mula seronok menggunakan penyepit berkenaan.

“Berbelanja di China memang seronok kerana harganya yang murah. Anak saya pula memang handal tawar menawar walaupun tidak tahu berbahasa Mandarin dan sekadar menulis angka di kertas,” kata Ramnah sambil menambah mereka teringin pula ke negara sama di musim panas dan juga ke Beijing untuk melihat tembok China.

Mengembara pada musim sejuk, pakaian berlapis termasuk jaket musim sejuk, penutup kepala, stokin dan juga sarung tangan yang perlu dipakai sepanjang masa. Memang ia merimaskan tetapi tentu saja tidak dapat ke mana tanpa mengenakan semua perlindungan itu.

“Membawa orang tua berjalan perlu banyak kesabaran. Saya mengikut rentak mereka, berhenti ketika penat dan juga memastikan perkara-perkara lain terjaga seperti menjaga makan minum mereka. Setiap kali berjalan saya membawa bekalan air dan biskut, melapik perut sekiranya mereka lapar kerana gerai halal yang terhad.

“Mereka memang akan berbelanja sakan kerana barang-barang yang murah. Barang yang hendak di bawa pulang empat kali ganda dan tenaga yang membawanya pula hanya saya seorang. Namun, demi menggembirakan hati orang tua, saya melakukannya dengan penuh rela,” kata Zulkeflee, 41, anak kedua dari empat beradik.

INFO: Guilin
  • Terletak di timur laut Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, China
  • Nama Guilin bermaksud hutan bunga Osmanthus yang harum dan banyak di sini
  • Ada 30 kawasan pemandangan indah, termasuk bukit batu kapur, sungainya yang jernih
  • Tarikan unik seperti Bukit Belalai Gajah yang juga simbol bandar ini kerana menyamai mamalia itu sedang minum di Sungai Lijiang
Sumber : Bharian

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya tertarik membaca kisah ini. yang menaqrik ialah tentang kerelaan seorang anak membawa ibu dan bapa yang berusia melancong sebagai menghiburkan hati mereka. Pilihan tempat juga amat sesuai kerana di sinilah untuk mereka bertenang dan merehatkan minda dan jiwa mereka yang sudah berusia. Syabas kepada anak ini kerena tidak semua anak seperti anda.