iDAN

14 Mei 2009

Makan Gaji 3 (Kerjaya)

Aku mendapat e-mel dari Jabatan Perdana Menteri; dari Pengarah Biro Aduan Awam; Dari e-mel yang kubaca, semua mereka agak terkejut dengan kuputusan drastik aku untuk memilih opsyen berpencen awal. Pen. Pengarah Biro Aduan Awam memberikan aku nombor telefon Setiausahanya; agar aku dapat menetapkan hari untuk ketemu & berbincang masalah kerjaya kami di UPM pun pekerja keseluruhan di perkhidmatan awam yang senasib dengan kami.

Aku menolak pertemuan tersebut lantaran, sementelah e-melku kepada PM melalui Warkah untuk PM pun telah menjadi isu panas di UPM kemudiannya berebak ke serata alam. Ini kan pula aku nak panjat tangga ke Jabatan Perdana Menteri. Tak sanggup lagi aku melihat mata terbeliak orang-orang kesatuan pekerja menempelak aku. Padahal aku mahukan satu hakikat yang baik buat semua. Jika ada kesatuan sekerja pun tak jalan kenapa tidak kita gunakan kuasa mata pena. Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang; dalam perjuangan apa sekalipun.

Semua e-mel aku untuk Warkah untuk PM, balasan dari Pengarah Biro Aduan Awam & pergolakan kerjayaku aku kirimkan kepada Sdr Omar Osman President Cuepacs (Bagindo) yang memang aku kenali. Mungkin Bagindo kurang mengenali aku, tapi dia pernah berjanji perbagai kepadaku.

Antara yang aku tulis ke Jabatan Perdana Menteri, aku mahu melihat rakan sekerja yang telah berkhidmat lebih dari 15 tahun dapat dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat yang lebih munasabah. Aku tidak sanggup melihat Budak Pejabat yang telah berpangkat Atuk ke hulu ke hilir menghantar surat & perbagai urusan. Kalangan mereka sudah boleh dinaikkan sebagai Kerani Rendah jika bukan Kerani. (Sekarang Kerani jadi Pembantu Takbir, Kerani Rendah digelar Pembantu Takbir Rendah) Aku pernah menceriterakan masalah ini panjang lebar dalam jurnalku di easyjournal.

Bagi mereka di bidang teknikal, lebih afdal diujudkan jawatan Pembantu Am Makmal bukan dicampak sebarangan menjadi Pembantu Am Pejabat. Diujudkan semula Pembantu Makmal Rendah, Juruteknik Rendah, untuk tangga kenaikan mereka di bawahan jika memang tidak layak menjadi Tukang Kadar atau terus ke jawatan Juruteknik. Perbanyakkan jawatan Juruteknik Rendah, Pembantu Makmal Rendah, Operator & Tukang Kadar bagi kenaikan golongan marhaen yang terhimpit ini.



Begitu juga dengan Juruteknik, kenapa nasib jadi macam Pak Wahid, sampai pencen pun masih Juruteknik, kenapa tidak diperbanyakkan jawatan Juruteknik Kanan bagi mereka yang telah lulus PTK, Pembantu Teknik bagi mereka yang ada diploma. Aku tidak risau sangat golongan sokongan di taraf C & B ini. Mereka aku lihat boleh meniti hidup ini dengan sederhana, malahan ada yang bermewah jika punyai pasangan yang berkedudukan di bidang kerjayanya.

Golongan sokongan kumpulan D yang amat kusasarkan, Dari N1 yang bertaraf skim gaji Darjah Enam ini yang amat naif. Skim gaji Darjah Enam ini mestilah dimansuhkan. 15 tahun memegang jawatan yang sama dengan gaji yang amat minimum rasanya adalah satu pemhambaan moden.

Bila semalam Perdana Menteri Rakyat kita mengumumkan peluang kenaikan pangkat untuk mereka yang berkhidmat 15 tahun ke atas ini; sememang aku merasakan satu kejayaan perjuangan aku selama ini. Biar pun aku tidak dapat merasai kenaikan tersebut. Cukuplah aku menumpang gumbira jika rakanku mendapatnya. Tugasan aku sebagai Juruteknik tanpa gaji mutlak sepanjang belasan tahun sudah cukup mengajar aku erti pengorbanan.

Mantan PM kita Pak Lah telah pun menaikkan ramai kalangan staf bawahannya ke Pembantu Takbir Rendah. Aku mendapat e-mel tersebut & e-mel tersebut mempelawa aku untuk berhijrah ke sana. Kenapa kita masih berdolak dalik untuk menaikkan pangkat anak buah kita. Malahan orang seperti aku yang sejak berzaman nampak kepincangan ini pula jadi bahan kecaman.

Emmm! sekarang aku menjadi Penyair sepenuh masa. Rasanya lebih aman lagi.

- bersambung

Makan Gaji 2 (Kerjaya)

25.2.2009

Sistem Saraan Baru (SSB) telah ditukar kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM). Ini ceritera untuk staf kerajaan. Bukan ceritera untuk mereka yang makan gai di swasta. Bagi siapa yang pernah menempuh SSB & SSM ini termasuk aku sendiri; tentunya ada sahaja perasaan yang tak puas hati terhadap sistem ini. Kenapa?

Salah satu antaranya ialah penilaian yang diberikan. Banyak skop yang dinilai. Mungkin ada yang kita setuju & ada juga yang kita tak setuju. Ketua Jabatan (KJ) tak selalu jumpa kita jadi bagaimana dia dapat menilai kita dari jauh.

"Ish! dah dapat 86% pun masih tidak berpuas hati?" 85% bagi kami di sini sudah dikira Cemerlang Fakulti. Jika nak naik pentas Cemerlang UPM selalunya mesti 90% ke atas.

"Bukan masalah markah itu abg iDAN, tapi ada sebahagian penilaiannya saya rasa saya harus dapat lebih dari itu!"

"Habis itu kenapa setuju untuk tanda tangan, buat macam si Ramli, dia tak tanda tangan biar mengadap Dekan sekali pun" Ramli bukan nama sebenar.

"Malas nak cari pasallah abg iDAN, orang lain yang markah lebih rendah dari saya pun dah tanda tangan!"

Sering isu ini timbul tiap awal tahun bilamana berhadapan dengan KJ tentang permarkahan SSM ini. Bagaikan nak perang besar, ada staf yang serang majikan lantaran terasa tidak puas hati. Paling sensasi ramai pula tersenyum lebar bukan setahun dua dapat 100%. Mak datuk jika telah 100% yang pasti staf ini telah semartabat Malaikat. Memang boleh dipersoalkan jika 100% sebab penilaian ini dipecahkan perbagai bidang, bukan kerjaya semata. Sumbangan luarnya, sukannya, identiti dirinya... emmm! jika namanya kita ini manusia mungkin sempurna segalanya.

Kes aku pula lain, aku masih dinilai oleh KKK, jadi tak sempat Unit IT mahu menilaikan aku.

"Saya dah tanda tangan, kirim salam saja kepada KJ, nak taruh 20% markah pun tak apa, saya dah nak pencen!"

Aku menyerahkan borang SKT kepada Setiausaha (SU) KJ KKK. SU KKK hanya sempat senyum. Memang pun tak sampai sebulan lagi aku akan bercuti & terus pencen. Kad pencen pun telah aku terima.



(Aku masih merenung panjang akan sisa masa depanku, semalam Aziq mempersoalkan tentang kerjayaku, Azim pun masih tak boleh terima yang ayahnya akan berpencen. Mila pula macam dulu, memang aku tidak yakin akan tindakan dia, Mahkamah Syariah masih dekat di hatinya, jangan silap kata-kata atau silap langkah)

- bersambung

Makan Gaji (Kerjaya)

Ada baiknya kita baca artikel lama ini, bilamana semalam aku dengat perjuanganku diwartakan oleh PM.

24.2.2009

Ada kalangan kita lupa diri yang bila kita jadi staf kerajaan, kita sebenarnya seorang yang makan gaji. Ada yang jadi ketua asyik bertindak bagaikan Jabatan yang kita ditugaskan bagaikan milik sendiri. Ada yang dipertanggungjawabkan menjaga amanah rakyat tetapi engkar, korapsi asyik makan rasuah & perbagai ragam yang sifar kesedaran.

Sifar kesedaran; antaranya asyik bodek, asyik merasakan akulah yang terbaik; jika ada anugerah kalau boleh mahu tiap tahun naik pentas. Mengadu domba, selalu menjaga tepi kain orang, menjadi pengintip ketua dalam masa yang sama suka menangguk di air keruh. Mementingkan diri sendiri atau kroni.

Pembaziran. Selalu kita lihat ketua kita membuang barangan rakyat. Pantang nampak barangan kerajaan lusuh sikit; siap tempah lori, bayar pengangkutan untuk membuang barangan hak milik kerajaan dengan cara tidak beretika. Cuba kita lihat di sekeliling kita, dekat bawah tangga nampak kerusi yang masih kukuh cuma sarung kusyennya yang lusuh. Jika kita baiki, tukar sarungnya, sudah pasti ianya amat elok lagi. Tidak bolehkah ianya kita lelong dari buang begitu sahaja. Dijual kepada staf sendiri, bukan timbang kilo. Dilupuskan secara beretika bukan buang sebarangan.

Meja yang masih kukuh bila berpindah jangan haraplah ianya akan selamat. Kenapa tidak beli meja yang kukuh boleh dipindah randah jika memang makmal atau ofis yang dibangunkan tidak tetap. Patah, pecah, almari baik kayu atau besi entah berapa banyak kita buangkan begitu sahaja. Kenapa tidak kita jual kepada pembeli perabot terpakai. Ianya elok lagi tetapi demi mahu menjaga status, maka perabot ini jadi mangsa. Paling banyak kita lihat keliling kita; betapa banyak perabot yang seharusnya diletakkan dalam dewan terdedah dengan cuaca luar. Lama kelamaan jadi lusuh & menyakitkan mata memandang. Kenapa tidak dihadiahkan kepada awam, dewan atau tadika umpamanya sebelumnya ianya lusuh.

Belilah perabot yang sesuai untuk di luar bukan sebarangan meletakkan perabot yang seharusnya diletakkan di dewan tertutup; terbiar di luar. Itu namanya membazir.

Kita lupa kita makan gaji, maka itu tak sayangkan barangan kerajaan, bukan seperti sayang barangan sendiri.

Posted on 24.2.2009 at 9:07 PM

Puisi iDAN di Berita Harian

MATA

Mata itu tumbuh di dasar hati
lalu dinamakan mata hati
pemerhati yang tajam
mengarah pesan yang baik
penentu tindak yang cerdik
mata hati yang celik.

Mata itu muncul di arus niaga
lalu dinamakan mata duitan
pemodal yang tamak
meladeni laba pelanggan
lintah darat yang rawan
mata duitan yang gelandangan

Mata itu terbit di medan iman
lalu dinamakan mata batin
pengabadi yang setia
memayungi takwa jiwawi
panduan sukma yang suci
mata batin yang sakti.

Mata: melihat segalanya.

iDANRADZi
Jenaris, Kajang

Terbit pada 2 Mei 09

13 Mei 2009

Ombak Pasir Bogak 2 (Singgahsana)

"Kenapa kau nak sangat jumpa dengan Mila ni iDAN.." Senin memecah kesunyian malam. Malam amat suram dengan bulan sabitnya. Nampak bertaburan bintang di dada langit. "Entahlah Nin.... mungkin aku rasakan Mila ini amat jujur mahu mengenali aku, aku tak minta gambar pun dia terus kirimkan gambar ini" Aku masih memegang sampul surat yang semakin lusuh. "Lagipun aku tak punyai adik, ada adik tiri pun tak semesra mana. Aku anggap Mila ni! macam adik kandungku sendiri..." Debur ombak masih kuat. Di kaki langit aku nampak ada mendung. Tak lama lagi mungkin hujan akan menyirami kami. "Kau rasa senangkah kita nak cam dia iDAN, orang bukankah ramai nanti..." "Tak pastilah Nin!, jika ada jodoh pertemuan ketamulah kita, jika tak cam kita balik sajalah..!" Sebenarnya aku memang amat ingin ketemu, dalam ramai kenalan aku cuma ada dua orang nama Jamilah. Seorang Mila yang ini dari Meru Kelang, seorang lagi Jamilah di Teluk Intan. Sejak kecil aku memang amat meminati nama Jamilah. Maka itu aku cepat jawab surat kenalan yang namanya Jamilah. Mila aku kenali melalui ruang Destinasi, ramai juga yang kukenali melalui rancangan Bunga Bangsa & Kenangan. Bila karya aku tersiar di corong radio memang banyak surat sesat kuterima. Aku masih ingat, sajakku yang bertajuk Sampai Bilakah mendapat respon yang amat baik dari pendengar. Bukan sekadar seminggu mendapat ulasan. Dua, tiga minggu sajakku masih diulas pendengar. Nama iDANRADZi popular sejak tahun 1979 lagi. Soal hati. Selepas MCE sememangnya aku kehilangan semua. Ada dakapan cinta sejak umur sepuluh tahun lagi, ianya telah ghaib. Ada juga silau cinta terpaksa ku tepisi lantaran tolakan keluarga. Ada juga sapaan cintaku tidak berbalas. Jadi aku payah memahami cinta. Maka itu aku tidak langsung terfikir perkenalan aku dengan Mila dari Meru Kelang ini akan berakhir dengan penyatuan hati, ijab kabul & sampai ke akhir usia kini. Sungguh aku langsung tak menduganya. Langit dari berbulan sabit menjadi gelap, bintang satu per satu diselimuti awan mendung. Angin basah dari laut menggigit kulit keringku. Hujan renyai mula mendendangkan lagu di atap khemah kami. Kami kesejukan. Lilin yang dipasang padam ditiup angin kencang. Aku menyimpan buku catatan; tak dapat menulis apa-apa lagi. Gelap. Aku mencapai lampu suluh & aku mengambil beg pakaian mengalaskan ia di kepalaku; menjadi bantal; Semua barangan berharga ada di dalam begku. Kami terlelap kepenatan. Hujan pagarilah kami. Kami mahu ke alam mimpi. Sedar-sedar telah nampak rona merah di ufuk timur. Aku berlari anak ke gigi pantai untuk mengambil wuduk; bila aku kembali ke khemah; aku dapati semua pakaian yang tersidai di luar khemah hilang ghaib. Apakah ditiup angin. Aku mencari sekitar khemah. Huh! memang ghaib; aku mengejutkan Senin yang masih lena berdengkur. "Nin pakaian kita banyak hilanglah Nin..." "Biar bebetul!..." "Betul, seluar jeans aku, baju T hitam, kau Nin sidai apa malam tadi.." "Pakaian basah saja iDAN.." "Seluar ada tak? macam mana kita nak balik!..."Aku perasan Senin cuma pakai kain pelekat ketika tidur. Aku nasiblah bawa banyak seluar. "Ada dalam beg ini..!" "Cis!... tak guna betul, aku syak india yang lepak kat khemah kita senja semalam yang buat kerja ini..!" "Biarlah iDAN kita ini menumpang tempat orang, syukur kita tak kena ugut atau perbagai!" Kes kecurian pakaian memang membuatkan aku hilang minat mahu lama lagi di pantai Pasir Bongak. Cerah sahaja hari kami telah mengemas khemah & mencari sarapan. Selepas sarapan aku kembali ke pinggiran kiri pantai. Mengeluarkan buku catatan. Melukis lakaran pantai; buat aku kirim nanti untuk Mila. Semua tiket & waktu di mana jua aku sampai aku catatkan di buku notaku. Pagi masih awal. Senin menyambung tidurnya di sebelahku. Aku masih teringat-ingat akan pakaianku yang hilang. - bersambung

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 2 (Singgahsana)

Durian Guling Utama



Terbayang wajah isteri Pak Ya, terbayang wajah anak kecil Pak Ya; sejam tersadai di tepi jalan. Meragamkah anaknya?. Jika duduk di hentian rehat satu perkara juga. Aku terasa bersalah amat, tapi masakan kita dapat menarik masa yang berlalu. Terkadang kita menjadi manusia yang tidak menepati janji. Bukan aku sengajakan.

Aku terbayang kenangan penat menunggu; bagaimana dari pagi sampai ke petang aku menunggu keluarga Mila datang di depan hentian bas KL ke Kelang (Klang). Hentian yang banyak menyimpan nostalgia. Ketika itu janjinya kami mahu ke Bukit Frazer. Separuh hari menunggu; bagiku memang telah menjadi perkara biasa dalam hidupku. Mmm! malas nak fikir bab menghormati waktu nanti ada pula yang mengatakan aku ini suka amat mengungkit.

"Aku tak pasti jalan ni... sekarang kita menuju ke arah mana ...!"

"Arah Kuantanlah abg iDAN..."

"Pak Ya jalan dulu nanti aku ikut dari belakang"

Seperti yang aku jangkakan jam 10:00 malam baru akan bergerak dari Lebuh raya Karak, kenderaan masih bertali arus. Avanza Mila merangkak menaiki lereng gunung. Tentunya sebahagian mahu ke Genting; sebahagian pula mahu balik kampung. Sesekali aku menukar gear rendah. Nasiblah auto pun ada gear rendah. Jika tidak memang tak terpanjat Avanza ini. Aku mencari-cari kereta Pak ya, tak nampak, entahkan dia di depan atau di belakangku. Aku teringat ketika AJK KSS konvo, reben panjang yang diikat pada entena memang amat penting. Mudah mengesan kenderaan kawan jika konvo.

"Laparlah ayah!!!" Mila mula mengeluh.

"Laa! tadi kami makan kat rumah, Mila tak kisah pun.." Aku perasan Mila sejak tengah hari asyik mengemas itu ini, asyik gosok pakaian; sampai hampir magrib. Aku bersungut juga, pakaian aku tak kisah; janganlah digosok, Lagipun sapa nak tenguk aku pakai pakaian cantik ke lusuh. Mana ada para nelayan bergaya ke laut.

"Habis tu.. bila kita nak berhenti makan, anak-anak tu tak lapar ke..." Aku senyum, anak-anak di belakang aku tahu semua dah kenyang. Azim nampaknya mula mengantuk.

"Biasanya kami konvo ni! Mila... memang tak berhenti, redah sahaja enam jam... jika berhenti pukul berapa nak sampai..!" Aku mengusik sebenarnya.

"Lagipun kan ke kita mengikut rombongan orang kita kenalah beralah ikut agenda orang...!; belakang tu ada macam-macam biskut jika Mila nak lapik perut tu!.."

"Takad biskut tak payah... Mila nak tidur... asyik lagu hindustan sahaja; macam tak ada lagu lain..." Dah mula dah; Mila komplen lagu di MP3 modulatorku. Aku terpaksa menyabut MP3 modulator & mencari saluran yang agak jelas pancarannya.

"Berjalan jauh ni Mila bukan senang nak dapat saluran yang jelas; kuat bunyi angin sahaja.." Berbual salah nak dengat lagu hindustan pun salah.

Aku telah melepasi Terowong Sepah, kenderaan masih sesak, tak boleh memandu laju. Aku menyuruh Aziq mendail nombor telefon Pak Ya. Sebenarnya aku juga teringat nak makan mee kari, kasi panas sikit badan ini. Lagi pun telah lebih dari dua jam aku memandu. Paling handal pun daya tumpuan kita memandu sekitar tiga jam sahaja. Lebih dari itu mulalah gelisah.



"Pak Ya orang rumah aku ni dah mula lapar, di hentian mana nanti kita nak berhenti rehat..?"

"Temerloh, bateri telefon bimbit saya dah nak habislah abg iDAN, nanti saya SMS sahaja..."

Avanza Mila hanya selesa dipandu dalam kelajuan 90 ke 100 km/j. Lebih dari itu terasa tak stabil. Lagi pun minyaknya tak ekonomi lagi. Aku teringat akan akta van, jika di lebuh raya hanya boleh memandu dengan kelajuan 90 km/j. Seharusnya Avanza juga begitu.

Amerika Syarikat maksimun 90km/j sahaja sama dengan Singapura. Indonesia sekadar 100km/j. Jika kita bandingkan lebuh raya di Amerika Syarikat pastinya lebih luas, tentunya lebih dari dua lorong. Kenderaan mereka apakah sepadat kita. Sepanjang Lebuh Raya Karak; rata-rata banyak yang masih hanya dua lorong searah. Sungguh ngeri melihat kereta yang bukan lagi 110km/j malahan lebih laju dari itu; bagaikan ingin menyondol kenderaan kita dari belakang. Pantang ikut lorong kanan dengan kelajuan 100km/j pasti kena suluh lampu dongak mereka yang menyilaukan.

- bersambung.

Durian Guling 3

12 Mei 2009

Lima cedera bot dipanah petir (Ceritera)


ARKIB : 11/05/2009


KUALA TERENGGANU 10 Mei - Kegembiraan 10 sahabat menyertai aktiviti mencandat sotong di negeri ini berakhir dengan tragedi apabila bot mereka dipanah petir, di perairan pantai Kuala Terengganu malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, hanya seorang daripada mereka, Adnan Dollah, 49, mengalami kecederaan parah pada kepala, mulut dan dada.

Empat lagi rakannya, Mohd. Shahrulnizam Yahya, 25; Shahrulnizam Kamaruddin, 23; Shaminizam Shahar, 17, dan Zuhaimi Md. Amin, 39, hanya cedera ringan manakala lima yang lain terselamat.

Mereka ialah ketua ekspedisi itu, Hamidi Ibrahim, 45; Kamat Ibrahim, 30; Rosli Shafie, 39; Miskom Jemari, 30, dan Shahar Abu Bakar, 49.

Turut menyertai aktiviti mencandat sotong itu ialah tiga pengendali bot termasuk seorang tekong.

Adnan yang bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kraftangan di Putrajaya memberitahu, kejadian berlaku ketika dia bersama sembilan lagi rakannya melakukan aktiviti mencandat sotong di perairan pantai di sini.

Katanya, pada mulanya, dia amat gembira kerana berpeluang menyertai kegiatan itu yang pernah disertainya tahun lalu.

''Ketika kami sedang mencandat sotong, berlaku hujan lebat menyebabkan kami mengambil keputusan untuk menghentikan aktiviti serta kembali ke pantai.

''Tiba-tiba, bot yang kami naiki dipanah petir dan saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dengan pantas,'' katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Adnan memberitahu, berikutan panahan petir itu, dia tercampak ke belakang bot dan kepalanya terhantuk ke dinding bot.

Bagaimanapun, katanya, dia dan rakannya bernasib baik dan sempat kembali ke pantai untuk mendapatkan bantuan setelah bot yang mereka naiki tidak mengalami kerosakan.

Rakannya iaitu Shahrulnizam pula memberitahu, dia dan rakan-rakannya menyertai rombongan dari Putrajaya, mula menaiki bot di Jeti Pulau Duyung kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat lalu.

Katanya, hujan lebat selepas beberapa jam mencandat sotong, memaksa mereka menghentikan aktiviti tersebut.

''Semasa dalam perjalanan pulang ke pantai, bot yang kami naiki dipanah petir sehingga menyebabkan saya dan beberapa lagi rakan yang lain mengalami kecederaan,'' katanya.

Utusan

iDAN: Semasa ini aku, Afif, Aziq & rakan-rakan berada di perairan yang sama.

Candat sotong jadi acara tahunan (Ceritera)



CERIA...Jelani (dua kanan) bersama Mustapa (tiga
kanan) melepaskan peserta.
CERIA...Jelani (dua kanan) bersama Mustapa (tiga
kanan) melepaskan peserta.

MARANG: Aktiviti candat sotong yang popular di Terengganu bukan saja menjadi tarikan pelancong ke negeri pantai timur itu, malah menjana ekonomi penduduk tempatan.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Jelani Hashim, berkata sebelum ini aktiviti candat sotong dijalankan nelayan dan masyarakat setempat, tetapi kini mendapat sambutan ramai sehingga kerajaan negeri menjadikannya sebagai acara tahunan.

“Aktiviti candat sotong ini selaras dengan konsep pelancongan berasaskan pertanian yang menggalakkan pelancong merasai sendiri keunikan menangkap hasil laut itu selain memberi suntikan ekonomi kepada penduduk tempatan terutamanya nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Fiesta Makan Sotong Segar & Candat Santai LKIM-Harian Metro yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam di perairan Pulau Kapas di sini.


Turut hadir Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mustapa Omar dan Timbalan Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Ahmad Salim Bachok.

Jelani berkata, program julung kali membabitkan 100 peserta dari LKIM dan Harian Metro seharusnya diadakan secara lebih kerap.

11 Mei 2009

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong (Singgahsana)

Lebih dari 500 km perjalanan.

“Abg iDAN saya tak jadi pergi, nenek saya masuk ICU nanti Abg Idan telefon Pak Ya.. ada tak telefon Pak Ya..?” Saat akhir berdering telefon. Sekitar jam 4:00 petang Fairus telefon. Seharusnya menjelang isha kami akan bertolak ke Kuala Terangganu. Mencandat sotong sekitar Pulau Kapas.

“Tak ada…” Terasa terkilan pun ada, berbaur simpati. Tak kan nak biarkan neneknya Fairus tenay di ICU.

“012965xxxx… minta maaflah abg iDAN”

“Tak apalah jika bilik Caletnya kecil boleh aku sewa dua pintu..”

Aku terbayang akan Syukria, Pak Ya & Nuzul. Kami semuanya bukan taraf sifu dalam bab turun ke laut. Itu satu hal, aku terbayang jika aku terbabas dari konvo dengan Pak Ya, aku sungguh tak biasa dengan perjalanan di Pantai Timur. Cuma pernah sekali aku memandu sendiri ke Cherating sekitar tahun 90an. Masa itu Mila memakai kereta Wira EaroBack. Penatlah amat memandu, ke Cherating pun mengambil masa lima ke enam jam. Ini kan pula jauh dari itu. Masa itu mana ada Lebuh Raya Pantai Timur lagi. Perjalanan dengan selorong pergi & selorong balik amatlah merimaskan. Selebihnya jika aku ke pantai timur, duduk manja, tumbang orang atau menaiki bas.

Syukria sebagai ketua atau tuan rumah pun tidak menyediakan peta perjalanan. Mungkin lantaran Fairus telah biasa ke sana, maka apa perlunya peta segala. Harapan aku bergantung kepada Pak Ya.

Awal jam 8:00 malam Pakya telah telefon. Memang ketika itu seharusnya aku Sekitar jam 8:15 malam barulah kami bertolak dari Jenaris. Sebermulanya perjalanan banyak amat aralnya.



Baru nak kunci pintu rumah meluru kucing-kucing minta makan. Semuanya bukan kucing kami. Si kembang ekor, pantang masuk rumah pasti kencing. Si Topeng gemuk, perutnya dah nak besar tempayan asyik beranak. Anak si Topeng pun datang, selalunya tinggal entah di mana. Si Jantan Coklat paling kuat memanjat. Pandai cari lobang masuk rumah keluar tak tahu. Tahu-tahu habis serumah pekat bau tahinya. Belum lagi dua tiga ekor yang lain. Jumlahnya ada lima atau enam ekor sering datang bertandang. Makan & manja bukan main dengan anak-anakku. Tak sampai hati nak biarkan kucing ini kelaparan. Maka terpaksa pula beli makanan kucing.

Lambatlah tentunya.

Sementara Mila & Afiz kasi makanan kucing-kucing. Aku pun sempat mencari si Nusantara, aku tahu ianya sering ada di sebelahan Gerai Sampan. Sudah naik harganya si Nusantara. Dulu RM2 sahaja, sekarang telah naik RM2.50.

Avanza Mila menuju ke Lebuhraya Saga Kajang Cheras. Dari TESCO aku menuju ke stesen minyak Petronas.

“Nak ke mana pula ni..?” Agak tinggi suara Mila.

“Kita singgah Petronaslah, Mila kata nak keluar duit..”

“Mana ada Mila kata nak keluarga duit, Mila kata nak ke bank..”

“Cakaplah nak ke bank Kajang, nak buat perpindahan duit..”

“Mila tak cakap pun nak keluar duit..! nak ke ATM …”

Kajang bagiku Bandar yang sesak, payah amat nak cari parkir, lama sangat terpaksa berbaris di lampu isyarat. Peliknya Mila siang tadi dia ke Kajang masalah giginya. Pergi ke Klinik gigi, kenapa tak buat urusan bank semua itu. Aku mati-matian ingatkan dia mahu kerditkan duitnya.

Terpaksa ke Seri Serdang, biar pun agak jauh tetapi tidak sesak & boleh ikut Sungai Besi masuk ke MMR2. Terus ke Sekolah Teknik Gombak, sebab Aziq masih menanti kedatangan kami menyemputnya. Sepanjang jalan kenderaan bertali arus, sesak amat. Maka itu aku mahu amat bertolah selepas jam 10:00 malam. Bila ku lihat telefon bimbitku, telah bertalu-talu nombor 012965xxx tidak berjawab; panggilan dari Pak Ya.

“Pak Ya kat mana sekarang ini..”

“Tol Gombak…”

“Dah lama sampai dah..”

“Sejam lebih dah menunggu ni.., Abg iDAN kat mana!” Memang pun telah 9:45 malam.

“Sebelah tol ini, tengah ambil Aziq, kejap lagi kami sampai..” Terasa bersalah amat bilamana mengingatkan temujanji ini di mana angkara tidak menghormati waktu; ada orang menjadi mangsa. Aku malas membebel sebab ayat yang sama akan aku terima. Mila memang selalunya begini. Jika majlis kenduri kendara pun asyik jadi tetamu akhir. Selalu amat jika ke mana-mana jemputan. Orang sedang kemas bangku meja baru kami sampai. Jika tidak aku menggesa agar segera bersiap; pasti akan lewat.

Teringat akan pesan Cikgu Mutalib ketika di Asrama Putra, Jalan Watson Ipoh..

“Ada ketikanya hidup kita ini perlulah bersikap rugget, rugget dalam eri kata tahan lasak..” Maksudnya kita kena pandai menyesuaikan diri. Rugget bermaksud berpakaian serba ringkas sesuai dengan masa & cuaca. Jika kita lihat pelancong Mat Saleh melawat negara kita mereka berpakaian serba ringkas, berbaju T & berkasut sukan.

Jika sekadar mahu berkelah, tak payahlah berpakaian kemas amat. Perlukah seluar kena licin berstreka, baju kena digosok rapi. Cukuplah sekadar berseluar ringkas atau jeans & berkemaja T. Buat Mila tidak begitu, bila-bila & segalanya mahu kemas, bagaikan mahu pergi ke majlis kahwin, atau berperaga bak paragawan, berfesyen terlampau. Anggun selalu. Payahnya. Maka itu terlalu ambil masa untuk bersiap tiap kali maju ke mana jua. Aku teringat bagaimana kemasnya rakan sebilikku Napi. Sampaikan singlet pun mahu berstreka. Maih ada orang lain lagi kemas dari Mila.

-bersambung

Durian Guling 2

07 Mei 2009

Apabila Akhil dan Waheeda main teka-teki (Hiburan)

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my



PASANGAN suami isteri dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua, Waheeda dan Akhil Hayy.

TAHUN lalu, tatkala majlis pelancaran album Nasyid Legenda 2, Akhil Hayy buat pertama kalinya membuka bicara usai mengenai isu pernikahan 'rahsianya' bersama penyanyi dan pelakon terkenal, Norwahidah Abdul Wahab, 31 atau Waheeda.

Ketika itu, asakan wakil media dengan pelbagai pertanyaan berhubung isu pernikahannya dijawab tenang oleh Akhil yang statik dengan jawapan, masih belum beristerikan Waheeda.

Pengakuan tersebut sedikit sebanyak telah meleraikan kekusutan terhadap dakwaan yang kononnya Waheeda berstatus isteri kedua kepada penyanyi dan penceramah motivasi itu.

Bagaimanapun, selang beberapa bulan selepas pengakuan tersebut, hubungan kedua mereka kembali hangat diperkatakan apabila ada pihak yang mendakwa melihat kelibat mereka keluar menonton wayang bersama.

Persoalannya, di tengah-tengah kehangatan orang ramai menjaja kisah di antara mereka, baik Akhil mahupun Waheeda sendiri masih berani muncul berdua di khalayak ramai.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, baru-baru ini bersama Akhil, Waheeda tampil sebagai salah seorang pelakon dalam siri program berbentuk bual bicara, Cafe Akhil Hayy musim kedua.

Lantas, pada majlis pelancaran siri tersebut yang berlangsung di Restoran Al-Rawsha, Kuala Lumpur, kelibat Akhil yang muncul dengan jubah putih, tiba lebih awal daripada Waheeda yang tampil mengenakan jubah hitam 30 minit kemudian begitu dinantikan.

Ibarat menarik rambut dalam tepung, kedua-duanya kelihatan cukup bersedia menjawab segala persoalan yang diajukan tanpa mahu menimbulkan sebarang spekulasi sampingan di kemudian hari.

Para media yang hadir saling berpandangan, berteka-teki apakah pada majlis yang sama pasangan sensasi itu bakal menamatkan segala 'rahsia' yang terkunci rapi di antara mereka?.

Bukan sahaja peringatan daripada Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar yang menyatakan bahawa ada kejutan yang ingin dilakukan oleh Akhil pada majlis tersebut malah, kehadiran ahli keluarga Waheeda pada majlis yang sama turut menjadi tanda tanya.

Bagai tahu persoalan pokok yang ingin diajukan sedari awal, Akhil membuka bicara: "Baiklah, hari ini saya ingin membuat deklarasi secara eksklusif di depan semua yang hadir pada hari ini dan harap-harap ia dapat menjawab segala persoalan selama ini untuk kebaikan bersama.

"Waheeda adalah isteri saya… dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua yang bernama Honey Al-Zahra," ujar Akhil membantutkan teka-teki mengenai 'kejutan' yang di uar-uarkan sebelum itu.

Menurut Akhil, Waheeda adalah antara nama-nama yang disenaraikan untuk menjayakan program-program di Astro Oasis. Selain mampu menyanyi dan berlakon, kata Akhil, Waheeda juga dilihat sebagai individu yang mampu menyampaikan dakwah dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua.

Biarpun pernah menjawab isu pernikahannya tahun lalu, bersama Waheeda, Akhil sekali lagi ditebak dengan soalan yang sama.

Berkali-kali menafikan, berkali-kali juga para media mengajukan soalan yang sama. Bukanlah niat untuk mengeruhkan lagi keadaan, cuma ingin mendapatkan kepastian terhadap apa yang telah disampaikan oleh sumber, seorang ustaz terkenal.

Dalam pertanyaan ringkas, ujar Waheeda: "Tidakkah anda tahu begitu ramai para pendengki dalam dunia nasyid?. Kami ini manusia biasa yang memang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, bagaimanapun itu di antara kami dengan Allah.

"Lagi satu, kenapalah media selalu tonjolkan isu negatif seperti isu kami bernikah dan tengok wayang sedangkan banyak lagi isu lain yang boleh diperkatakan.

"Dunia ini sememangnya 'neraka' bagi orang-orang yang beriman tetapi 'syurga' bagi orang-orang yang yang kafir," kata Waheeda sedikit emosi.

Mengakui impak besar berhubung gosip tersebut, ujar Akhil, kemana-mana dia melangkah pasti soalan yang sama sering menjadi topik perbualan.

Seperti pengakuan pertamanya setahun lalu, cabaran tersebut tidak ubah seperti tsunami yang melanda lautan yang mengapung bahtera hidup dikemudinya.

"Situasi saya diibaratkan saya di dalam rumah dengan hanya berkain pelikat tetapi tidak berbaju. Kemudian datang seorang tetamu memberi salam.

"Dalam Islam salam hanya diberikan sehingga tiga kali sahaja dan apabila salam ketiga tidak disambut, maka tetamu itu akan faham bahawa tuan rumah tidak mahu menerima sebarang tetamu.

"Bagaimanapun, sekarang ini 'rumah' saya telah diketuk sampai sepuluh kali dan bagai nak roboh tetapi masih juga tetamu itu tidak mahu balik. Apa yang boleh saya katakan, Allah melaknat orang-orang yang menyebarkan fitnah walaupun ketika sedang tidur," katanya.

Berani bersama Waheeda sebagai pasangan suami isteri dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua membawa cabaran yang bukan sedikit buat ikon eksklusif pertama Astro Oasis itu.

Menjaga adap

Siri 13 episod Cafe Akhil Hayy musim kedua bersiaran pada setiap hari Rabu, pukul 7.30 malam di Astro Oasis (saluran 106 Astro) bermula 29 April lalu.

Pernah ditemukan dalam program Astro, Hijrah Remaja sekitar tahun 2006, Akhil memuji keterampilan Waheeda serta pembawakannya yang dilihat mampu menyebarkan dakwah dalam programnya itu.

Bukan mahu menyimbah minyak ke dalam bara dan mengapi-apikan gosip cinta di antara mereka yang heboh seantero negara, tetapi atas dasar dakwah, niat baik menyatukan mereka dalam satu program disambut baik oleh pasangan penyanyi ini.

"Selebriti bertudung seperti Waheeda boleh dibilang dengan jari, cantik di luar dan cantik di dalam. Perkara utama yang saya lihat, dia begitu menjaga adap dan penampilannya.

"Di sini, kami bukan merayu, tetapi menyeru. Saya tahu Waheeda mampu buat kerja dakwah. Ini ketentuan Tuan punya dunia. Waheeda ada cara dia dan saya ada cara saya sendiri," katanya.

Bercerita tentang pelantikannya sebagai ikon eksklusif Astro Oasis, menurut Akhil, ia merupakan satu tanggungjawab besar buat dirinya.

"Saya terlibat dengan program Marhaban di Astro daripada musim pertama hingga keempat dan daripada situ, mungkin pihak Astro Oasis nampak sesuatu dalam diri saya.

"Impaknya, apabila mereka nampak saya yang dulunya terlibat dalam seni kemudian menyepi seketika dan kini kembali dengan imej berkonsepkan Islamik. Bukan saya nak tunjuk pandai tetapi anggap ia sebagai satu amanah," katanya.

Utusan Malaysia

06 Mei 2009

Ombak Pasir Bogak (Singgahsana)



Senin memakai kain pelikat berpetak hijau bermain buih ombak di gigi pantai. Langit semakin merah, angin basah dari pulau merembas khemah kami. Khemah dari plastik biru seadanya, memang kami tidak merancang pun akan bermalam di pulau ini. Tetiba sahaja aku terima surat dan kenalanku melalui radio. Katanya dia akan ke Lumut & akan pergi berkelah di Pulau Pangkor dengan rombongannya dari Kelang (Klang).

Aku membuka beg galasku, melihat akan gambarnya bersama kekawan berbaju kemeja putih bergaun labuh batik kemerahan. Aku membaca berkali-kali akan suratnya yang tertulis rapi di kertas roni biru nipis. Hampir lusuh sampul suratnya terselit di beg galasku.

"Jika abg sudi ketemu Mila kita berjumpa di Pasir Bogak Ahad nanti..."

Aku memakai jeans & berkemeja T hitam berkolar kuning bangun menuju ke arah Senin. Berkaki ayam memijak putihnya pasir di pantai Pasir Bogak. Halus & peroi amat pasirnya. Aku mengutip kulit siput yang cantik memasukkan ke dalam ucang plastik. Sesekali aku membaling batu ke laut. Senin perasan aku melayan ombak & perasaan sendirian.

"Apa ada makanan di khemah kita tu... aku laparlah iDAN!"

"Roti, sadin & buah epal banyak dalam beg aku tu..!"

"Habis malam ini kita nak makan di mana iDAN!.."

"Kita makanlah apa yang ada, esok pagi banyak orang berjual; barulah kita boleh makan sedap-sedap" Senin berlari ke khemah, aku terusan memijak buih, memecah & menyelerakkanya menjadi Senin kedua. Sesekali aku berlari anak mengejar anak ketam.

Mentari makin mahu berlindung di dada laut, cahaya merahnya amat cantik melukis awan. Terasa amat damai & rasa amat sepinya pantai ini. Tak ramai penghuninya berkhemah & bermalam di pantai ini. Hanya khemah aku di hujung ini & aku nampak sekumpulan pemuda india duduk berkumpul di pohon Penaga Laut. Di laut para nelayan tampak semakin ramai yang pulang. Damai & sepi pantai ini dapat memujuk hatiku.

Selalunya ketika menunggu magrib begini aku sering sendirian di Bukut Senyum. Desa Tualang lebih dari 80 km dari Pulau ini. Bermandi dengan kenangan lalu memang buat aku basah kuyup dengan rindu.

Dari kampung aku terpaksa menaiki Vespa ke rumah Senin di Batu Tujuh, Jalan Tanjung Tualang. Kemudiah menaiki bas ke Batu Gajah. Dari batu Gajah singgah di Pusing; untuk menaiki bas ke Parit. Dari Parit terpaksa ambil bas ke Bruas. Dari Bruas ke Sitiawan; barulah ada bas ke Lumut. Berapa jauhnya perjalananku. Itulah perjalanannya; ceritera zaman dulu, tak tahulah sekarang sudah banyak bas Expres Parit ke Lumut kot.

Aku memang kerap ke Pulau Pangkor, jika tidak mengikuti rombongan orang kampungku, sering juga ke Lumut dengan keluarga jika ada pesta saban tahun. Pantai yang terdekat dari kampung sememangnya Lumut. Tiada pantai lain. Jika tidak ke Pulau Pangkor kami sering ke pantai Teluk Batik untuk mandi laut. Jadi tidaklah asing sangat bagiku suasana sekitar Lumut & Pulau Pangkor.



- bersambung

05 Mei 2009

Hospital Serdang Wad Rawatan Am (Singgahsana)



Ceriteranya sama, jika mahu berjumpa dengan doktor di Hospital Kerajaan bersedialah menunggu sekitar tiga jam. Tak mungkin awal dari itu; selain memang kita sakit tenat, kemalangan & luka yang berstatus kecemasan;

Setelah Aziq dibedah lantaran sakit appendixnya tempoh hari. Hari ini dia & aku pergi ke Wad Pembedahan Am, Hospital Serdang untuk membuat rawatan susulan. Setelah bertanya dari satu kaunter ke satu kuanter maka barulah kami dapat nombor giliran.

"Encik ada bawa surat akaun dari sekolah anak encik tak?" Tak tahulah pulak kena surat akaun semua tu, semasa di Sekolah Teknik Aziq tadi ada juga pegawai di pejabat sekolah itu menyebut tentang surat akaun tersebut.

"Saya ini staf kerajaan & sekarang telah berpencen, ini kad pencen saya.... pencen muda..." Perasanlah tu; Aku menghulurkan kad pencenku.

"Kad pencen pun okey!, kalau di wad tu nanti ada tanya tentang surat gerenti segala, encik tunjukkan kad pencen tu.."

Mudah juga jadi orang berpencen, tak payah nak minta surat gerenti daripada kerani gempal lagi garang di tingkat tujuh itu. Aku & Aziq mengelamun melihat pesakit lain yang menunggu giliran. Nombor Aziq 2033, sekarang baru 2015, berapa ramai lagi. Jam menunjukkan 11:35 pagi. Mengikut di buka pesakit temujanji kami ialah 12:30 tengah hari. Senngaja kami redah awal; Maka aku & Aziq tak kisahlah jika dilayan lewat. Kami cepat datang sekitar sejam.

Yang sedihnya lagi lugunya telah pun sejam lebih kami menunggu, baru bergerak dua angka; 2017. Mak datuk! kalau sejam cuma dua pesakit; apa akan jadi program aku mahu ke Pej Cukai Pendapatan dengan Eris & Atan. 12:30 tengah hari, isk! aku congak-congak memang tak akan sempat mahu ke mana-mana lagi. Kena jadi petapalah aku di Hospital Serdang ini. Jam 1:00 tengah hari lebih aku telefon Atan & Eris; mengatakan batalkan saja program kami.

Aku teringat semasa aku di wad kecemasan, lantaran naik tinggi melambung tekanan darahku. Datang naik ambulan, duduk di tempat menanti dari jam 10:00 pagi hingga dekat nak masuk waktu magrib. Congaklah berapa jam aku terpaksa menanti untuk ketemu doktor.. Itu di wad kecemasaan. Perbagai drama & ceritera berlaku di depan mataku. tak sanggup rasa melihatnya. Ini kan pula di Wad Pembedahan Am ini.

Apakah masalah kekurangan doktor masih tidak selesai, apakah hospital sekadar diujudkan sebagai mercu tanda yang kerajaan kita prihatin tetapi apakah masalah perkhidmatan adalah perkara kedua. Telah ada ISO tetapi bayangkan jika masa tiga jam lebih terbuang dengan menunggu tanpa berubah sejak berzaman.

Hampir jam 2:15 petang barulah nombor Azig dipanggil. Yang kelakarnya tak sampai pun lima minit, dah keluar dari kamar doktor.

"Seminit tak sampai sampai jumpa doktornya, menunggu sampai dua jam lebih..." Aziq bersuara.

"Tak baik cakap seminit, kita andaikan sahaja kurang lima minit... sedap sikit bunyinya.."

Begitulah ceriteranya. Untuk menghormati temujanji doktor yang telah merawat Aziq dengan jayanya. Bangun seawal 6:15 pagi, meredah KL untuk ke ofis Mila dulu kemudian baru Gombak, jumpa Cikgunya minta surat kebenaran keluar. Redah kembali kesesakan KL untuk ke Hospital Serdang. Menunggu lamalah amat. Kira-kira separuh hari masa terbuang semata-mata mengikut temujanji doktor. Padahal tak sampai lima minit untuk ketemu doktor.

"Inilah antara perkara pelik dalam hidup kita ni.. yang terpaksa kita tempuhi Aziq..!" Aku bersungut akur menuju ke Jenaris. Nanti petang terpaksa hantar Aziq ke asramanya semula.

01 Mei 2009

Adik Izwan Pilus (Hiburan)

Semua sudah tahu, pelajar Akademi Fantasia 7 (AF7), Khairil Azam Pilus atau Aril adalah adik kepada penyanyi lagu Kembali Senyum, Izwan Pilus. Malah, bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan dunia hiburan tempatan, Aril dulu bekas peserta Gangstarz dan pernah pengacara sebuah program remaja di RTM.

Jom ikuti temubual khas bersama Izwan Pilus tentang adiknya yang semakin popular itu.

MURAI: Apa komen Izwan Aril dapat masuk AF7?

IZWAN: Pertama sekali, saya nak ucapkan tahniah kepada Aril. Dia memang suka menyanyi dari kecil lagi. Malah dalam keluarga, saya sebenarnya ingatkan dia yang jadi penyanyi bukan saya.

MURAI: Kenapa Izwan cakap begitu?

IZWAN: Mula-mula saya rasa nyanyi hanya sebagai hobi dan Aril lebih sesuai jadikan nyanyian sebagai karier. Tapi saya anggap ini semua ada hikmah. Penglibatan saya jadi penyanyi lebih awal memberikan banyak pengajaran pada Aril untuk jadi penyanyi dan merancang masa depannya.

MURAI: Apa yang membuatkan Izwan yakin dengan Aril bergelar artis?

IZWAN: Kalau nak tahu, jiwa Aril lebih seni dari saya. Dia ni memang mempunyai bakat seni yang dashyat. Boleh dikatakan segala macam bidang seni dia dah cuba. Dia pandai buat seni grafik, pandai main alat muzik dan handal gila dalam bab tarian shuffle.

MURAI: Pendapat Izwan mengenai vokalnya?

IZWAN: Bagi saya suaranya unik - tidak sama dengan saya.

MURAI: Betul ke Aril sudah masak dengan dunia artis?

IZWAN: Aril memang banyak kenalan dengan orang industri. Komposer terkenal Arab pernah tawarkannya untuk jadi artis rakaman. Tapi atas sebab tertentu, semua tak jadi. Aril juga baik dan rapat dengan komposer Ross Ariffin. Yang penting, ramai orang tertarik tengok bakat Aril. Dia pun baik dengan Faizal Tahir.

MURAI: Macam mana Aril boleh rapat dengan Faizal Tahir?

IZWAN: Sebelum ini, Faizal Tahir pernah telefon saya dan menyuruh saya pujuk Aril untuk masuk salah satu program realiti. Menurut Faizal, kebanyakan peserta yang datang hancur dan cakap Aril memang berbakat besar.

MURAI: Sebagai abang, apa kelemahan Aril?

IZWAN: Saya rasa Aril kena lebih versatile. Genre lagu nyanyiannya terlalu terhad. Kalau nak tahu, lagu Saleem memang jadi makanannya. Dia suka ambil remeh dengan banyak perkara. Saya selalu menegur dan menasihatinya. Tapi Aril ni sebenarnya garang dan tegas orangnya.

MURAI: Selain bakat yang orang tahu, apa lagi bakat Aril?

IZWAN: Dia minat gila nak jadi pelakon. Tapi saya selalu cakap dengan dia, kalau nak sesuatu usaha sendiri. Saya tak mahu dia buat jalan mudah atau tumpang nama abangnya. Saya tahu dia boleh pergi jauh sendiri. Dia kena rajin berusaha.

MURAI: Ada rancangan nak buat kelab peminat Aril?

IZWAN: Saya ada dengar kawannya mahu buat kelab peminatnya. Saya tak risau pasal penyokong Aril. Malah, saya rasa dia lagi popular dari saya. Kadang-kadang, bila saya keluar, orang lebih mahu tahu cerita Aril dari saya.

MURAI: Bagaimana reaksi mak dan ayah?

IZWAN: Mereka semua OK. Mereka memang selalu sokong dari belakang dan tak suka tonjolkan diri depan kamera. Setakat ini, ibu risau dan selalu tanya, perlukah datang konsert setiap minggu memandangkan mereka sibuk dengan hal pindah rumah.

MURAI: Benarkah Aril pernah dipukul teruk oleh ayah anda sendiri?

IZWAN: Itu saya kurang pasti. Tapi apa yang boleh saya cakap, Aril sangat rapat dengan ayah berbanding saya. Bagaimanapun, pasal pukul anak ini memang tanggungjawab ayah untuk bimbing anak. Saya tak nafikan ayah garang dan tegas orangnya. Kalau pun benar ini berlaku, semuanya bersebab.

MURAI: Apa harapan Izwan untuk Aril?

IZWAN: Kalah atau menang perkara kedua. Tapi saya mahu dia tunjuk sehabis mungkin bakatnya pada orang. Apa jua terjadi, famili kami semua tetap menyokong Aril.

MURAI: Secara jujur, apa yang paling anda risau untuknya?

IZWAN: Saya memang risau kalau dia dibandingkan dengan saya. Saya tak kisah nak bersaing dengannya. Terus terang saya kurang selesa orang beza-bezakan bakat kami kerana ia boleh jejaskan hubungan kami. Tapi saya tahu, dia memang matang dan tak kisah pasal isu perbandingan ini. Namun, sebagai abang saya risau untuknya.

MURAI: Apa yang Izwan tak boleh lupa tentang Aril?

IZWAN: Pernah dulu, orang caci saya dalam satu forum. Aril dengan berani mengaku dia adik saya dan pertahan segala tohmahan terhadap saya.

~Murai~