iDAN

21 Mei 2009

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 5 (Singgahsana)



Durian Guling 4

"Aku sesatlah Syukria, dari jambatan Sungai Durian Guling ke rumah pusaka kau tu jauh tak?..."

"Abg iDAN dekat mana tu..?"

"Entahlah ada kipas besar & Balai Bomba segala ni..!"

"Dah terlajak tu abg iDAN, patah balik jumpa lampu isyarat tak jauh dari situ..!"

Entah berapa kali aku mundar madir di jalanan. Bagaimana nak cam jalan & lokasi, semasa aku keluar rumah subuh tadi, baru terang-terang tanah. Ada satu penanda yang aku ingat, selain banyak pokok kelapa ada sepohon pokok petai yang agak tinggi. Aku perasan pokok petai yang tinggi itu ketika aku lepak di veranda banglow pusaka Syukria. Selekoh tajam & ada pengadang jalan... emmm! pokok petai. Itu yang mengecamkan aku. Memang sudah tua aku ini, payah amat lekat di ingatan setiap yang aku lalui.

Bila aku masuk ke banglow pusaka Syukria; hanya dua orang yang terjaga, anak Pak Ya berbaring celahan ayah & ibu serta Azim. Yang lain masih ke alam mimpi.

Setelah aku mengemaskan barangan yang aku beli, aku susunsajikan di meja dapur, aku mengajak Azim keluar. Sebab semasa aku sesat, aku perasan sekitar satu kilometer dari banglow pusaka Syukria ada se buah gerai, ramai amat pelanggannya. Pasti ada juadah yang menarik, aku berbisik di dalam hati. Jam telah melepasi 9:30 pagi.

"Moh! Azim kita jalan-jalan... kita pekena teh tarik ke!, bukan senang nak rasa juadah sarapan pagi di Marang ni!.."

"Jom!..." Jom bahasa orang bandar, moh! bahasa baku orang kampung di Perak.

Aku & Azim telah bersantai di gerai yang aku maksudkan. Sudah kurang pelanggannya, maklum kawasan kampung. Seberang jalan ada orang sedang membaiki semula rumah pusaka. Aku terkenang rumah pusakaku di Desa Tualang. Aku memerhati di meja yang sarat dengan lalat. Pasti ada orang ternak kambing atau kerbau di sini. Memang banyak lalat. Selera aku masih tak hilang, lapar satu hal, nak rasa masakan orang Kampung Durian Guling itu yang utamanya.

Aku mencapai satu bungkusan cinonit, Meehon goreng, tak banyak ramuan di dalamnya, rasa manis macam Mila masak. Aku buka pula bungkusan yang sama cinonitnya; Mee goreng sama saja rasanya. Manis. Kueh paunya agak besar, aku makan seketul pau, sudah cukup kenyang. Aku buat tempahan teh tarik, yang sampai cuma teh biasa. Tumpah susu manis memang mengancam diabetesku. Azim cuma makan Meehon goreng; kemudian telah pun kenyang.

Bila aku mahu membayar, agak terkejut juga aku. Tak sampai RM4. Maknanya masih ada Meehon goreng berharga sekitar 50sen di Marang. Sebab aku andaikan teh dua cawan RM2 & Meehon & Mee tiga bungkus RM1.50 mungkin kueh pau besar seketul sekitar 30sen.

Apa yang menarik lagi sampai ramai sangat pengunjungnya. Aku perasan pelayannya ada dua atau tiga orang anak dara; biasa saja... mungkin lawa kot!. Sebab ramai amat Awang yang datang bagaikan tak lepas pandang.

Sampai di banglow pusaka Syukria, ceritanya sama; risau pula jika aku tak kejut Mila & famili Pak Ya makanan di dapur basi pula. Lagi pun telah jam 10:00 pagi lebih; afdal sangat bangun. Aku mengjutkan Mila & anak-anak. Teh O yang Syukria buat sudah sejuk. Aku menyuruh Mila buat yang baru. Keluargaku sarapan awal kecuali Afiz yang memang sepanjang malam dia berjaga di Avanza & Pak Ya serta keluarganya sarapan kemudian setelah mandi perbagai.

"Abg iDAN berjanji dengan Syukria bagaimana tadi?"

"Aku tak berapa cam jalanlah Pak Ya, aku suruh dia jemput kita... kau cubalah telefon dia.."

Aku lihat isteri Pak Ya menyapu di dapur. Aku menyapu di veranda. Jubin yang cerah menampak semua sampah & debu.

Bila Afiz terjaga & mandi aku lihat di meja makan masih banyak makanan yang tak habis. Ada tiga jenis ulaman, daun tenggek burung, selasih & kadok. Menyelerakan. Aku & Afiz cuba menghabiskan malas nak angkut ke Calet takutnya basi sahaja.

Dari jendela cermin banglow pusaka Syukria kelihatan rumah saudara mara Syukria masih rumah kampung. Kawasannya agak lembah. Sebab itu masih terdapat sawah padi di sekitar Kampung Durian Guling.

"Abg iDAN masih ingat kan jalan nak ke Marang, jomlah! kita bertolak sekarang, Mak & isteri Syukria tengah sibuk memasak makan tengah hari untuk kita...!"

"Bolehlah kot!, kalau kita sesat nanti kita telefon Syukria minta jemput!" Sebenarnya memang aku jeran setelah sesat pagi tadi.

Pak Ya yang lebih ingat, jalan menuju ke Marang memang aku okey, cuma tiba di bandarnya aku tersasar ke kanan menuju ke Kuala Terengganu. Pak Ya cam jalan di Marang mungkin lantaran dia biasa ulang alik di situ ketika dia pulang ke kampungnya di Kelantan.

Rumah pusaka kedua Syukria nampak jambatan Marang & betul-betul di tepi jeti kuala Sungai Marang. Kawasannya agak padat penduduk tetapi lokasinya santai amat. Duduk di veranda anjongnya nampak suasana kampung nelayan. Dengan pokok kelapa condongnya, pokok bakau, nipah, rembia yang segar dedaunnya, bot ke hilir mudik sarat dengan bubu; ke muara memunggah tangkapan. Banyak juga bot tersadai & semakin tua reput di jeti sepi. Ada juga bot mewah tentunya kepunyaan si kaya atau pesara. Si Azim telah bermain air di gigi sungai. Memang suasana segar perkampungan nelayan membuatkan seorang pujangga melimpah ilhamnya.

Makan beramai di veranda bagaikan berkelah di pantai. Masakan emak Syukria, mengingatkan aku masakan arwah Opah Bi. Gulai kari ayamnya memang sedap; takkan jumpa di mana-mana gerai atau restoran. Belum lagi sambal sotong & sambal belacannya. Memang payah mahu berhenti sebelum kenyang. Aku lihat Anif mengambil sambal sotong bagaikan tak ingat orang lagi. Dia memang kuat makan pedas. Tambahan ada ikan masin yang masih baru. Seakan-akan sahaja masinnya.

Selepas makan Mila berbisik dengan emak Syukria tentang sedapnya gulai kari ayam yang dimasaknya. Aku biasalah sudah terlampau kenyang memang tak tahan mengantuknya; semalaman tak tidur. Nuzul menolak tempahan bilik berhawa dingin. Jadi aku bercadang menempah biliknya. Aku tak sabar lagi mahu melelapkan mata. Dapat sejam dua terlena sudah okey!. Deru bayu dari celahan nipah, rembia kian menampar kelopak mataku. Makin amat mengantuknya!.

- bersambung

Trojan Gigit Komputer (Delima Merkah)



Terkadang BDC pun tak dapat selesaikan, BartPE pemberian Bablu dah rosak, sesiapa yang punyai BartPE terkini agar sudi memberikan kepadaku. Aku masih tak mahir buat ISO guna Nero.

Apa juga anti birus tak menyelesaikan, aku terpaksa Ghostkan semula komputerku. (Ghost ada perisian klon yang diberikan oleh Norton) Dua hari aku cuba menyelesaikan tanpa Ghost. nampaknya terpaksa juga gunaknan Ghost dari membuang masa.

Permindahan data komputer yang amat memakan masa. Bagaimana pun kekinian komputer aku semakin okey. Susah amat nak crack IDM, yang ori aku crack tempoh hari entah ke mana.

Ghost penyelesaikan yang paling cepat. Dalam tak lima belas minit komputer akan menjadi normal. Ia banyak membantu aku sebelum ini.

20 Mei 2009

Takziah Untuk Meor (Singgahsana)



Meor@Tukun

Pemergian isteri yang disayangi ketika kita masih amat memerlukannya sememangnya amat sedih untuk diterima. Tetapi kita tahu Dia Nan Esa lebih menyayanginya. Kita yang tinggal terpaksa meneruskan kehidupan ini.

Agar cahayamata yang paling bungsu akan dapat dipujuki, dapat cepat mengertian ketiadaan ibunya. Sayangi dia sepenuh & sesungguhnya. Agar Meor dapat memberikan dia kasih sayang sebagai ibu & ayah. Begitu juga cahayamata yang lain.

Lima cahayamata yang perlu dibesarkan adalah tanggungjawab yang amat besar. Usia kita hampir sebaya. Aku faham sangat kepayahan hidup kita ini. Agar Meor tidak punyai sakit kronik seperti aku, jaga kesihatan demi anak-anak. Aku juga berdoa agar rezeki yang akan diturunkan Ilahi akan mencukupi buat kita yang memang tak jauh bedanya kedudukan ekonomi yang dianugerahkan Ilahi.

Perbanyakkan bersabar & berdoa selalu demi menempuh ujian yang getir ini. Semoga roh isteri Meor... Allahyarhamah ditempatkan di golongan mereka yang Allah Azzawajalla kasihi. Aman di sana.

18 Mei 2009

Akshay Kumar ditahan berkelakuan lucah (Hiburan)

MUMBAI: Pelakon Bollywood, Akshay Kumar, ditahan hari ini berikutan berkelakuan lucah ketika pertunjukan fesyen baru-baru ini di Mumbai, kata polis.

Aduan sudah dibuat terhadap Kumar dan isterinya, Twinkle Khanna, selepas isterinya dirakam mengambil gambar sambil membuka butang seluar jean yang diperagakan di atas pentas peragaan pada minggu fesyen Lakme, Mac lalu.

“Saya boleh mengesahkan Akshay Kumar datang ke balai polis Vakola (di Mumbai) pada jam 8.30 pagi bersama peguamnya dan menyerah diri,” kata asisten komisioner Arvind Mahdadi.

“Beliau ditahan di bawah Seksyen 294 Kod Panel India dan dibenarkan ikat jamin,” katanya dan menambah Khanna sudah diberkas dan diikat jamin bulan lalu. - AFP

iDAN : Padanlah Salman Khan cukup anti dengan Akshay Kumar; Akshay Kumar juga pernah mengaku sering mengambil kesempatan dengan heroin yang berlakon dengannya.

17 Mei 2009

Combo Streamyx (Delima Merkah)

http://www.telekom2u.com/

Jika mahu menggunakan internet tanpa limit, buat masa ini Combo antara termurah sebabnya anda tidak payah bayar sewa talian RM25 bagai dulu. Cuma RM60. Seperkara lagi tambah RM10 kita boleh berbual tanpa henti dengan saudara mara yang punyai talian tetap TM di rumah.

Apakah Pakej RM10?
Pakej RM10 adalah pelan kadar paling rendah daripada TM eksklusif untuk Pelanggan Kediaman Streamyx.

Apakah tawaran Pakej RM10?

Panggilan Tempatan : PERCUMA TANPA HAD

Panggilan Nasional : PERCUMA TANPA HAD

(Panggilan ke Talian Tetap TM): PERCUMA TANPA HAD

Panggilan ke Mobile & Talian tetap Lain : Kadar rata 30 sen/min

Telefon DECT : PERCUMA!


Siapakah yang layak untuk melanggan Pakej RM10?

Semua Pelanggan Kediaman Streamyx yang baru dan sedia ada layak melanggan Pakej RM10.

Bagaimanakah cara mendaftar Pakej RM10?

Anda hanya perlu ke outlet TMpoint berhampiran atau dail ‘100’ bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Adakah bil telefon saya akan berkurang apabila saya melanggan Pakej RM10?
Ia bergantung kepada penggunaan telefon anda. Sekiranya majoriti panggilan adalah ke talian tetap TM, anda tentunya akan dapat melihat pengurangan bil telefon yang ketara kerana panggilan tersebut adalah PERCUMA. Anda tidak akan melihat sebarang butiran tentang panggilan ke talian tetap TM pada bil telefon anda kerana panggilan ini tidak dikenakan caj.

Adakah saya mendapat diskaun untuk kadar IDD apabila saya mendaftar dengan Pakej RM10?

Anda tidak akan menikmati diskaun kadar IDD kerana Pakej RM10 tidak menawarkan kadar istimewa untuk panggilan IDD untuk masa kini. Walau bagaimanapun, sebagai pengguna talian tetap TM, anda masih boleh menikmati promosi diskaun kadar IDD yang ditawarkan oleh TM dari masa ke semasa.

Bolehkah saya menukar ke Pakej RM10 jika sekarang saya masih melanggan dengan pelan panggilan TM yang lain?

Ya, anda masih boleh melanggan. Kriteria melanggan Pakej RM10 adalah seperti berikut:

1) Anda seorang pelanggan Streamyx. Jika anda tidak mempunyai Streamyx, kami menggalakkan anda untuk mengambil peluang ini untuk melanggan dengan mana-mana tawaran broadband kami.

2) Anda perlu menamatkan pelan panggilan TM anda yang sedia ada sebelum mendaftar untuk Pakej RM10. Semua pelan panggilan TM yang lain tidak sesuai digunakan bersama melainkan Pakej IDD Destina, Pakej Penyayang dan Pakej Kombo Streamyx (tanpa suara).

3) Pelanggan Voice 28 perlu menamatkan Voice 28 terlebih dahulu sebelum melanggan Pakej RM10.

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan telefon DECT PERCUMA yang diberikan bersama Pakej RM10?

Setelah anda berjaya mendaftar dengan Pakej RM10, anda boleh mendapatkan telefon DECT di mana-mana outlet TMpoint yang berhampiran dalam tempoh enam (6) bulan selepas pendaftaran.

Bilakah saya dapat menikmati tawaran Pakej RM10?

Pengaktifan Pakej RM10 adalah bergantung pada tarikh bil anda. Anda boleh merujuk kepada Bil TM untuk mengetahui tarikh bil atau hubungi “100” untuk bantuan.

Jika saya tidak berpuas hati dengan Pakej RM10, bagaimana untuk menamatkan Pakej RM10?

Anda boleh menamatkan Pakej RM10 pada bila-bila masa sekiranya anda mendapati ia tidak sesuai. Untuk penamatan, anda boleh hubungi “100” atau kunjungi TMpoint yang berdekatan.

Adakah saya akan dikenakan sebarang bayaran jika menamatkan Pakej RM10?

Jika anda menamatkan Pakej RM10 dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh pengaktifan, anda akan dikenakan caj pentadbiran RM50.

Kenapa tidak ambil pakej ini yang ditawarkan terhad. RM60 untuk Streamyx & RM10 untuk anda berbual panjang dengan saudara mara yang ada talian tetap di rumah, ofis seluruh negara. RM70 sebulan.

Tawaran ini terhad; Aku telah pun mendapat telefon tanpa talian. Aduhai teman; Jika ada telefon rumah atau ofis kenapa tidak kasi kepadaku; untuk kita berbual panjang.

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 4 (Singgahsana)



Durian Guling 3

"Ish! ini bukan rumah pusaka ni! Syukria.., ini banglow pusaka..!"

"Rumah kampung abg iDAN... tak ada siapa pun nak duduk.." Masih merendah diri, Syukria hanya tinggal emaknya sendirian, arwah ayahnya telah lama tiada; selalunya emak Syukria tidur di Marang sesekali tidur di banglow pusaka ini.

"Besar rumah ini Syukria, aku rasa kau pernah tunjukkan gambar rumah ini kan..?"Aku perasan semasa belum pencen aku pernah lepak di bilik Syukria, dia ada tunjuk akan gambar rumah ini.

"Saya yang lukis rekabentuknya abg iDAN" Nampak lapang, ruang tamu yang luas, dapur yang mewah berkongsep cermin & terbuka, dua bilik yang memang selesa. Jika di Kajang rumah begini pasti berharga sekitar tiga ratus ribu ke setengah juta RM. Syukria membinanya tak sampai seratus ribu RM. Itu kelebihan di kampung. Belakang rumah masih ada tanah kosong jika mahu menambah bilangan bilik. Tak hairanlah Syukria punyai sembilan adik beradik, jika musim perayaan pasti rumah ini akan penuh penghuninya.

Aku lihat Pak Ya masih celik matanya, bermalas di bantal empok di ruang tamu. "Kenapa tadi agak lewat, bila pula aku boleh potong kau.."

"Dua kali saya tertidur abg iDAN, tak tahan sangat mata ini... mengantuk!" Isteri Pakya telah lena di sebelahnya; di ruang anjung, anaknya yang seorang masih cergas, berguling-guling malas di celahan Pak Ya & isterinya.

Azan subuh telah lama berhenti, aku mula terasa penat; tetapi tidak pula mengantuk. Syukria menjerang air di dapur. Dia buat satu jug tea O, Keempat-empat anak aku tidur di kamar tetamu. Penat sangat nampaknya mereka.

"Pagi ini ada pasar lambak di Jeti Marang... nak pergi jom abg iDAN"

"Boleh jugak nanti aku kejutkan orang rumah sembahyang subuh, cerah hari sahaja kita pergi, boeh aku carikan sarapan untuk kami..!" Aku pelawa Pak Ya pergi tapi dia menolak, katanya penat amat nak sambung tidur.

Aku berpesan agar mencari petrol pam, sebab memang minyak Avanza Mila telah kering. Di Terengganu masih pakai cara lama, pengguna kenderaan macam bos besar tak keluar kereta; kasihan tenguk pangkat Pakcik mengisikan minyak. Memang jauh perjalanan dari Kampung Durian Guling ke bandar Marang. Sekitar belasan kilometer. Sampai di Jeti Marang, aku lihat telah ramai pelancong berbaris.

"Mereka nak ke mana tu Syukria?.."

"Pulau Kapas..!"

Awal-awal lagi telah nampak ofis Makcik Gemuk Beach Resort.

"Makcik Gemuk tu abg iDAN telah pernah masuk TV..."

"Berapa jauh dari sini ke Pulau Kapas.."

"Sekitar dua puluh minit sahaja.."

"Berapa bayaran tambang botnya.."

"RM20 pergi & balik..."

"Menarik tu, satu hari nanti aku ingat mahu menginap di Pulau Kapas ini..!"



Makanan di pasar Marang masih murah, nasi minyak berlauk ayam, nasi kerabu berlauk ikan, nasi dagang berlauk, semuanya RM2. Nasi lemak masih RM1. Piteh. Aku sempat membeli dodol & gula merah untuk buat bubur. Syukria kenal dengan Makcik yang membuatnya. Segendong besar aku membawa makanan untuk dua keluarga. Paling menarik banyak dijual ulam-ulaman dari pucuk tenggek burung hinggalah daun selasih. Ada makanan yang jarang kutemui di pasar lain, jagung yang bergaul dengan kelapa. Nampak sedap & teruja aku mahu merasanya.

"Petang nanti berapa orang yang telah pasti mahu ikut mencandat.."

"Yang pasti kita berempat, abg iDAN, Pak Ya, Nuzul & saya... adik saya tak pasti lagi..!'

"Emmm! berempat, agak parah bajet kita nanti, ahu seorang seratus RM" Aku mengandaikan.

"jam 5:00 petang abg iDAN tunggu di jeti ... Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)"

Maka itu aku amat kurang yakin dengan keluarga aku di Kejut. Fairus@PengailSejati punya alasan kukuh untuk tidak pergi. Apa jadi yang lain. Nasirnya, Abuya Rusdinya, Erisnya, Tok Peraknya, katanya sampai dua bot nak pergi. Tak sangka Pak Ya yang tak pasti pergi tetiba dapat turut serta. Bagiku jika telah berjanji, pasti aku mahu kotakan. Biarpun jadual keluarga kami amat ketat. Aziq terpaksa buat surat rayuan untuk memohon balik bukan pada harinya bercuti di rumah. Dalam masa yang sama Aziq & Afiz pula terpaksa membuat persediaan peperiksaan mereka. Begitu juga Anif & Azim memang minggu depan akan mula peperiksaan penting mereka. Mila pula terpaksa ambil cuti pada hari Jumaat sebab Fairus menggesa mahu bertolak awal. Aku memang tak yakin boleh bertolak awal. Paling sesuai aku menjangkakan jam 10:00 malam. Sebab faham sahajalah Afiz paling awal tiba sekitar magrib. Habis itu tak kan dia tak berehat kejap makan & nak merentas KL & MMR2 bukan boleh harap sangat.

Apa juga ekspedisi sememangnya perlukan pengorbanan. Andai kata takut berkorban jangan berjanji sedari awal.

"Tak apalah untuk mengurangkan bajet kau, aku rasa aku boleh bawa anakku seorang. Kalau kita ada berlima atau berenam rasanya barulah rendah sikit bajet kita.." Aku bercadang membawa Afiz, dia tak pernah turun ke laut lagi. Mungkin ini pengalaman yang baik buat dia.

http://makcikgemuk.com/about.html

Beautisland Resort Sdn Bhd


- bersambung


Durian Guling 5

13 Tanda Anda Telah Jatuh Cinta (Delima Merkah)

17 May 2009

Jika anda ingin tahu sama ada anda telah jatuh cinta dengan seseorang, anda boleh mengetahui melalui perkara berikut:

1. Anda tidak akan marah terlalu lama dan akan berusaha untuk mengawal kemarahan anda terhadapnya.

2. Anda akan sentiasa merindui dia.

3. Apabila berjalan dengan dia, anda akan berjalan dengan perlahan.

4. Anda akan tersipu-sipu malu apabila bersama dengannya.

5. Apabila anda berfikir tentang dirinya, jantung anda akan berdegup pantas.

6. Hanya dengan mendengar suaranya, anda akan tersenyum tanpa sebab.

7. Apabila anda melihat dia, anda tidak akan peduli orang di sekeliling anda. Anda cuma melihat dia seorang.

8. Anda akan mula mendengar lagu yang berirama balada.

9. Dia sentiasa di fikiran anda.

10. Anda akan sentiasa terhidu baunya.

11. Anda menyedari bahawa anda akan tersenyum apabila memikirkan tentang diri dia.

12. Anda akan lakukan apa sahaja untuk dirinya.

13. Apabila anda membaca ini, pada masa yang sama, ada seseorang di dalam fikiran anda.

Tips Cinta ini telah dikirimkan oleh saudari Eisya Insyirah.

16 Mei 2009

Kes kedua H1N1 dikesan, libatkan wanita P.Pinang (Ceritera)

Sabtu Mei 16, 2009


PUTRAJAYA: Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di Pulau Pinang dan disahkan pagi ini, yang melibatkan rakan kepada pesakit pertama yang dikesan semalam, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat hari ini.

"Pesakit ini adalah rakan kepada pesakit pertama dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang. Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan tidak lagi demam," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Katanya anggota keluarga pesakit berkenaan juga telah dikuarantin di kediaman mereka untuk tempoh tujuh hari bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan virus tersebut.

"Setakat ini mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.Mengulas lanjut, Dr Ramlee berkata kementerian telah mengenal pasti kesemua kontak yang berada dalam penerbangan yang sama dengan pesakit pertama dan kedua. Penerbangan MH091 yang merupakan destinasi terakhir pesawat terlibat, membawa 192 penumpang dan 15 anak kapal pada tarikh berkenaan, katanya.

"Daripada 192 penumpang, seramai 119 masih berada di negara ini, melibatkan 81 warganegara Malaysia dan 38 bukan warganenegara. Baki 73 penumpang lagi telah meneruskan penerbangan masing-masing ke luar negara pada tarikh yang sama, 13 Mei," katanya.

Kementerian juga, katanya telah menerima panggilan daripada 35 penumpang yang menaiki penerbangan tersebut untuk tujuan pengesahan.

"Selain menerima panggilan terus, kami juga edarkan senarai penumpang yang masih berada di negara ini kepada semua Jabatan Kesihatan negeri bagi tindakan segera," katanya.

Di bawah langkah yang sama, Dr Ramlee berkata tiga penumpang yang transit di negara ini pada 13 Mei lepas sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke destinasi mereka semalam telah dikuarantin di Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemerhatian.

"Mereka akan dikuarantin sehingga 20 Mei ini dan kita akan aturkan penerbangan mereka selepas itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ramlee berkata kementerian juga akan mengeluarkan laporan harian berhubung penularan wabak meningitis yang dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka serta wabak leptospirosis di Pulau Pinang.

"Orang ramai tidak perlu panik kerana apabila ada wabak baru yang dikesan, ini menunjukkan sistem kesihatan negara kita berada pada tahap yang sangat baik.

Kementerian akan memastikan semua langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dengan serius untuk menangani perkara ini," katanya.

Di ALOR SETAR, Jabatan Kesihatan Kedah meminta dua individu dari negeri ini yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari New York yang tiba di KLIA pada 7.15 pagi 13 Mei lepas, segera menghubungi Kementerian Kesihatan atau terus membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Hasnah Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata tiga individu itu yang berasal dari negeri ini disenaraikan menaiki pesawat tersebut.

Beliau berkata salah seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 33 tahun, telah datang ke Bahagian Kecemasan HSB pada 6 petang semalam dan selepas menjalani pemeriksaan, dia didapati sihat dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Difahamkan dua lagi individu tidak dapat dihubungi kerana alamat mereka kurang jelas. BERNAMA

Cabaran Minggu Teater Muzikal Di AF7! (Hiburan)




29 APRIL 2009: Sepanjang minggu yang lalu, saya bersama orang-orang lain di fakulti dok susah hati memikirkan macam mana nak jadikan pelajar-pelajar AF7 ni seorang IKON yang mempunyai pakej yang lengkap. Biarpun banyak 'breakthrough', perubahan dan transformasi yang mereka lalui, cabaran-cabaran impossible telah mereka berjaya atasi, hakikatnya dalam 7 atau 8 minggu sahaja, there's only so much that we can do. Ini pun, students berlatih sampai pukul 1.30 pagi bersama cikgu-cikgu yang sanggup bersengkang mata melatih mereka, selepas semua kamera dah off dan semua krew produksi dah balik rumah.

Masa 24 jam sehari memang tak cukup. Kadang-kadang, frustrating juga bagi fakulti apabila kami menegur mereka tentang teknik nyanyian, penghayatan, persembahan, gerak tari, tapi kami sedar bahwa sebenarnya the main problem with almost all of them is, EXPOSURE!

Ada antara mereka yang tidak tahu apa itu 'google', facebook, tak pernah surf YouTube, tak pernah tengok videoclips di MTV. Mereka ni 'raw' dan fresh sangat, tak ada experience dan reference kepada apa yang dimaksudkan sebagai sebuah persembahan yang bertahap 'luarbiasa'. Inilah challenge kepada fakulti, untuk mengubah mereka seminggu ke seminggu ke arah menjadi seorang SUPERSTAR apabila keluar dari akademi nanti.

Semua yang menonton AF pun dah maklum di Akademi ni jangankan handphone, radio, TV, internet, suratkhabar semua tak ada, malah tingkap untuk menjenguk kehidupan dunia luar pun tak ada. Bila saya cerita pada mereka bahawa saya diberitahu Najwa yang bernyanyi dengan Hafiz tu anak TPM baru kita, mereka semua terpinga2…. Principal, TPM baru kita siapa? Kesiannya… disebabkan 'terkurung' dalam Akademi ni sampai kita bertukar PM dan TPM pun mereka tak tahu!
Minggu ini, pelajar AF akan diuji mengikut syarat kedua AF musim 7 iaitu 'BAKAT SERBA BOLEH'. Mereka dikehendaki menguasai ketiga-tiga disiplin seni di masa yang sama, dalam sedutan babak dari 3 naskah teater muzikal yang pernah dipentaskan di Istana Budaya sebelum ini.

Tema muzikal ni fakulti menganggap sebagai cabaran yang mudah-mudahan dapat menggabungkan kesemua pelajaran dari kelas muzik, kelas lakonan, kelas tari dan kelas motivasi serentak, kerana sememangnya teater muzikal adalah bentuk persembahan paling mencabar untuk seorang penghibur. Kira macam ujian yang paling susah, tahap maksima!

Sejauh ini, pelajar-pelajar masih tersekat dan 'limited' menjadi dirinya sendiri apabila dia beraksi di atas pentas. Mungkin kerana mereka belum cukup pengalaman untuk berani mencuba 'menjadi' orang lain dan melupakan diri mereka sendiri saat performing itu. Fakulti mengharap bahawa dengan latihan teater muzikal yang sudah tentu 'memaksa' pelajar itu menjadi karekter yang berlainan daripada dirinya, ini akan membantu mereka supaya lebih yakin untuk cuba memasuki watak apa-apa saja mengikut keperluan sesuatu lagu tugasan. Mudah-mudahan…

Hari ini Akademi penuh dengan kehadiran macam-macam tetamu khas. Ahmad Idham dan Cat Farish yang pernah menjayakan Impak Maksima The Musical datang berjumpa dengan Aishah dan Yazid, berkongsi dengan mereka tentang watak DK dan Ika yang akan dimainkan oleh mereka. Nampak lega sikitlah Aishah dan Yazid dengan kehadiran Idham tadi. Acis pun ada hari ni untuk discuss dengan fakulti muzik dan juga Cat dan Chedd Yusoff pasal skor muzik semua lagu untuk minggu ini. Di samping Idham dan Cat, Dato' Zahim Albakri yang merupakan pengarah teater muzikal PGL dan juga P.Ramlee, juga datang petang tadi untuk membantu Claudia dengan wataknya sebagai Puteri.

Di studio tari pula, Pat Ibrahim, koreografer PGL dan P.Ramlee, berkerja dengan Akim untuk mengajarnya dance steps untuk lagunya, Titah Sultan. Sangat mencabar untuk Akim, kerana menurut pengkritik, gerak tarinya merupakan kelemahan Akim. Saya berkata pada Akim, if you can overcome this challenge, like Hafiz overcame the rap song last week, you will SHINE. Akim is a fighter, pada dia, ON aje, itulah semangat pelajar2 AF7 yang buatkan kami di fakulti sayang kat mereka tu.

Tadi pagi, Musly Ramlee yang memainkan watak P.Ramlee dalam Muzikal P. Ramlee dan Emelda Rosmila yang berlakon sebagai Azizah juga hadir di Akademi untuk membantu Hafiz dan Isma dengan tugasan mereka. Cabaran Hafiz minggu ini adalah untuk menyanyikan lagu P.Ramlee, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, dengan penuh emosi, kerana baru sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada kekasihnya yang juga merupakan sumber inspirasinya, Azizah.

Nak bikin suara macam P.Ramlee ke nak nyanyi dengan suara dan style Hafiz sendiri? Yang penting, emosi dan penghayatan tu mesti jujur dan penonton akan terasa. Suara apa yang keluar tu mesti memberikan kami yang menonton nanti, gambaran gundah gulananya jiwa Ramlee meninggalkan Penang untuk mengejar cita-citanya di Singapura.

Challenge Isma adalah untuk melakonkan watak Azizah yang mana sifat-sifat yang ada pada Azizah itu menjadi idaman dan impian semua lelaki. 'Perfect woman' lah, kirakan. Di masa yang sama, dia cintakan Ramlee tetapi dia tahu bahawa Ramlee perlu meninggalkan Penang dan meninggalkan Azizah sendiri kalau ingin mencapai cita-citanya. Di saat ini, 7.54 pm dan kesemua pelajar ada di dance studio berlatih dance steps untuk lagu2 bonus, Dewa Perang dan juga What Time Is It?

Kesian betul saya lihat mereka belajar bentuk tarian Jawa dengan Aris Kadir yang sangatlah penyabar orangnya. Lepas tarian Jawa, bertukar rentak dan mood kepada lagu High School Musical dengan tiba-tiba! It's going to be our most challenging week this week, tapi mudah-mudahan pelajar AF7 akan atasi segala cabaran lagu-lagu yang belum biasa didengari, ditambah dengan dialog, perlu berlakon, menari untuk lagu bonus dan juga lagu anthem AF, Menuju Puncak. Doakan kami ya!

15 Mei 2009

Asam Pedas Ikan Pari (Harum Aroma)



Bahan-Bahan:



600 gm ikan pari
300 gm bendir
2 batang serai, dititik
2 kuntum bunga kantan
4 - 6 helai daun kesum
Sedikit minyak untuk menumis
Sedikit air asam jawa
Garam secukupnya
Bahan-bahan digiling halus:
15 tangkai cili kering
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2.5 sm halia




Cara:



Ikan disiang dan dicuci bersih. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan digiling halus hingga garing. Kemudian masukkan serai titik. Kacau rata. Masukkan ikan dan air asam jawa. Kacau rata. Apabila mendidih masukkan bendir, daun kesum, bunga kantan dan garam. Kacau rata.

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 3 (Singgahsana)

Durian Guling 2



Temerloh beratus kilometer lagi mahu sekitar jam 12:00 tengah malam lebih baru sampai. Memang tepatlah apa yang Pak Ya sarankan; Separuh perjalanan elok berhenti rehat. Cuaca agak mendung, tak nampak cahaya bulan.

Jika tak silap ini kali ketiga aku pergi mencandat sotong. Kali pertama di Penyabong. Tak banyak sotong yang dapat kami candat. Cumanya di Penyabong sepanjang hari kami memancing. Bertolak seawal jam 7:00 pagi terus dari lubuk ke lubuk, dari unjam ke unjam kami memancing. Memancing menggunakan Apollo pun telah amat memuaskan. Aku pernah mendapat tangkapan penuh ikan Delah dengan menggunakan Apollo, jika mata Apollo ada sepuluh cangkuk mata kailnya maka penuhlah sepuluh ekor ikan Delah dinaikkan. Setelah puas memancing barulah kami mencandat sotong; bermalam di sekitaran perairan yang tidaklah terlalu dalam airnya. Masa aku mencandat sotong di Penyabong ianya masih belum bermula musimnya mencandat; tak sebanyak mana dapat.

Kali kedua aku mencandat sotong di perairan sekitar Kuala Terengganu juga. Di mana pertama kalinya aku mabuk laut. Hanya sempat mencandat sekitar sejam dua, tumbang tak ingat dunia. Rasanya kecewa memang tak dapat dielakkan jika kena mabuk laut.

Sekitar jam 1:15 pagi kami tiba di hentian rehat Temerloh. Aku nampak Pak Ya telah berehat di parkir; sebelah gerai makanan. Entah bila dia memotong Avanza Mila aku pun tak pasti. Parkir penuh sesak, aku terpaksa parkir agak jauh. Aku terus ke Surau qasar sembahyang Isyak. Tak terfikir jamak di rumah ketika magrib.

"Orang rumah aku pun lapar, tak makan apa pun di rumah..."Pak Ya bersungut, pasti isterinya kerja siang tadi. Mana nak sempat masak perbagai.

"Nanti kita berhenti di mana iyer!..., aku tak tahu di mana rumah Syukria..!"

"Sampai di Marang abg iDAN telefon saya!" Aku perasan Maran lain, Marang pula lain.

Aku yang mengidam makan mee kari mencari dari awal gerai sampai ke hujung. Jumpalah satu gerai yang menjual mee kari. Aku nampak awal-awal lagi Mila & Aziq telah makan nasi campur. Azim & Anif lelap di Avanza. Punyalah ramai pelanggan yang menanti untuk mendapatkan mee kari.

"Adik kasi mee kari satu...!"Aku membuat pesanan kepada mamat lelaki, mukanya sebiji macam nelayan pencen.

Dia terus mencapai mee maggi kari.."Mee kari satu..."Aku terlopong. Sama ke mee kari yang aku idamkan dengan mee maggi kari ni!. Silap buat pesanankah aku.

Seorang demi seorang dapat pesanan, ada yang makan nasi ayam goreng, ada yang makan mee maggi goreng, ada yang makan mee soup & ada yang makan mee kari bukan maggi kari. Sah nelayan pencen ini lalok!.

"Mee kari saya tadi mana?... sebab aku lihat ada pelanggan sebelah aku dapat pesanan mee karinya.."

"Bukan maggi kari..!"

"Bolehlah!"Malas nak berunding cara, orang menunggu teramatlah ramai. Sedangkan pelanggan sebelah aku cepat amat dapat mee karinya; aku yang lebih awal datang. Mahu buat mee maggi kari memang lama; mungkin tunggu ayam bertelor kot baru dapat antara bahan iromanya.

Tapi bila siap mmm! nampak menyelerakan juga.



Aku duduk di meja Mila & Aziq makan, dah nak habis pun makanan mereka. Selang beberapa ketika aku lihat Afiz; dia biasalah makan nasi ayamnya.

"Kita ni masih di pertengahan perjalanan, ada 200km lebih lagi perjalanan kita, sekitar 4:00 atau 5:00 pagi baru kita sampai.."Aku bersuara.

"Ayah okey tak?.. tak rasa mengantuk lagi?"

"Okey kot... ! semua boleh tidur nanti sampai di Dungun ayah kejutkan... ada kejutan di sana.."

Aku bergerak awal, tak tunggu lagi Pak Ya, aku pasti dia akan memandu laju. Silap-silap berjam lagi dia kena menunggu aku. Jadi isu pula dia cerita pada semua orang aku ini jenis Janji Melayu.

Marang mana itu Marang!.

Telah aku benar, sekitar sejam aku memandu aku perasan Pak Ya berdesup memotong aku, tanpa memberi lampu amaran apa pun. Pasti masih terbuku hati menunggu aku di Tol Gombak. Aku cuba mengekori dari belakang. Huh!... 110km/j terkadang lebih dari itu. Aku terpaksa mengalah. Aku terus dengan kelajuan selamatku; 90km ke 100km/j. Semua keluargaku di alam mimpi. Aku bolehlah pasang MP3 madulatorku. Tetapi dengan suara amat pelahan. Jalanraya mula basah, hujan pagi. Di depanku sesekali nampak silauan petir, talian belatinya memukul syaitan amat menakutkan. Jika beginilah cuaca esok hari; memang kes nanya. Mana nak nampak bulan mengambang. Mana nak datang mambang sotong mengintai candat kami nanti.

Banyak jalan di Lebuh Raya Pantai Timur ini dibaiki. Ada tempat yang selorong sahaja. Aku bayangkan jika siang pasti sesak gila lebuh raya ini. Bagusnya lebuh raya ini, amat kurang selekuh; boleh lelap mata sambil memandu. Tetapi hanya dua lorong untuk pergi & dua lorong untuk balik. Bermakna Perdana Menteri Rakyat kena memikirkan projek pembesaran. Memang tidak dapat menampung kenderaan jika musim perayaan.

Aku membayar tol sekitar RM20, kenangan lalu dapat juga aku menuju ke Cherating; tak sesat; sebab aku perasan akan papan tanda Kuala Terengganu. Sepanjang Cherating hujan agak lebat. Lopak di di sana sini; sesekali Avanza Mila berbual & hampir terbabas. Aku memperlahankan panduan. Avanza ini macam Van juga, duduk atas spring maka melambung-lambunglah jika jalan tak rata.

Cherating ini aku telah bermalam lebih dari tiga kali, aku amat menyukai akan suasana Impiana Resort Cherating. Teringin amat mahu ke sana lagi' tak pasti apalah sekarang ini di biliknya masih menggunakan kelambu putih bagai dulu. Tahun berapa iyer bangunan di Amerika Syarikat kena redah pesawat pengganas tu. Hari itulah aku di Impiana Resort Cherating. Bangunan World Trade Center di Bandar raya New York pada 11 September 2001



Hampir lapan tahun lalu aku menginap di Cherating.

Kemaman, cantik bandar raya Kemaman di waktu malam, dengan hiasan lampu bunga raya & bandarnya memanjang di sepanjang pantai. Pastinya jika singgah siang ada banyak keropok lekor di sini. Apa lagilah ole-ole yang boleh dibawa selain dari keropok lekor jika ke Terengganu.

Tetiba Azim terjaga mahu buang air kecil. Sudah tiada pekan atau surau untuk singgah; petrol pam pun tak jumpa-jumpa. Aku singgah tepi jalan sahaja. Senang anak lelaki. Sedang elok; aku berpesan agar semua jangan tidur; Anif sahaja yang tak boleh buka mata. Kejutan di Dungun yang aku janjikan memang membuatkan kami trauma. Kertih sekitar sini kot, tak pasti. Rasa nak tidur tepi jalan itu. Tak puas nak lihat kerdipan lampu & cucuran api. Loji penapis minyak kot!.

Sekitar jam 5:15 pagi aku sampai di Marang. Nampak dari jalanraya lampu bot nelayan yang mencandat sotong; bagaikan ada pesta di tengah laut. Aku berhenti di sebuah Surau & menelefon Pak Ya. Dia kata masih di belakang. Pulak. Bila pula aku memotong dia. Aku telefon Syukria, mengatakan aku di tepi jalan ini, ada tanda batu lagi 21 km ke Kuala Terengganu.

"Dah sampai masjid Marang tak?"

"Aku tak pastilah..."

"Nanti abg iDAN akan jumpa selekoh tajam ke kanan, depannya nampak kubah masjid Marang... berhenti di selekoh tu!, rumah saya sebelah selekoh tu saja.. kejap lagi saya jemput..."



Sekitar sekilometer aku jumpa selekoh yang dimaksudkan; & aku berhenti di bahu jalan. Tak sangka, aku pandai mengesan destinasi. Tak sesat, tak mengantuk, tak penat pun aku memandu, sejak dari jam 8:00 malam hingga 5:30 pagi. Sekitar lapan jam, dua jam sangkut di KL. Itulah anugerah Ilahi menyelamatkan perjalanan jauhku.

"Pak Ya... mana?"

"Dia masih di belakang, kejap lagi dia sampai.."

"Aku main agak-agak sahaja perjalanan ini, pernah ikut sekali dengan Fairus jalan ini; itu yang ingat-ingat lupa...! nak ke mana kita lepas ini.."

"Jom rehat di rumah pusakaku..."

"Dekat mana?"

"Kampung Durian Guling!"

Sekitar lima belas minit Pak Ya pun sampai. Kami menuju ke Kampung Durian Guling. Jauh juga dari Masjid Marang tempat kami berhenti ke rumah pusaka Syukria. Semua kampung ada, Kampung Undang, Kampung Kar Buluh, Kampung Padang Mengkuang, Kampung Titian Pendek, Kampung Geleguh, Kampung Bukit Sawa, aku menjeling minyak Avanza Mila. Sudah nak habislah sangat. Risau pula tak akan sampai ke durian guling, terguling pula kena nanti maki hamun dek Mila. Mengapalah aku tak perasan minyak nak habis.

- bersambung.

Durian Guling 4

Juara AF7 Pilihan Bekas Pelajar (Hiburan)

KUALA LUMPUR, 15 MEI 2009: Pemilihan Aril sebagai pelajar yang di AFMasuk semula sedikit pun tidak mengecewakan 9 rakan lain yang kurang bernasib baik. Mereka percaya itu rezeki masing-masing dan menerima dengan fikiran positif. Lebih daripada itu ada yang menganggap Aril layak kerana dia ada bakat tersendiri dan peminat yang sangat ramai.

Lebih penting diperkatakan sekarang, siapakah bakal juara AF7? Tentunya setiap pelajar yang telah tersingkir itu mempunyai pilihan masing-masing. Jom kita ikuti pandangan mereka...


# OBRI - YAZID:
Perubahan paling besar! Nampaknya Yazid telah berjaya ditransformasikan! Akim juga mempunyai suara yang hebat manakala Aril memiliki aura yang sangat kuat.
Jangan Tak Lihat


# RINI - HAFIZ
Hafiz pelajar yang sangat konsisten. Setiap minggu persembahan Hafiz memang mantap. Lebih-lebih lagi pada konsert ke -9 menerusi lagu I Believe I Can Fly. Akim pula menunjukkan peningkatan yang ketara dan semakin menyakinkan.

# ADILA - YAZID
Suara Yazid sangat berkualiti. Tapi dia masih perlu masa untuk menjadi yang terbaik. Hafiz pula mampu menyanyi dengan lantang dan dia mempunyai perangai baik dan disenangi ramai orang.

# SIDI - ARIL
Aril mempunyai bakat dan aura serta pakej seorang penghibur . Dia menepati citarasa trend masa kini. Yazid menunjukkan perubahan ketara dari segi personaliti. Suaranya juga unik dan maskulin.

# ZIZI - HAFIZ
Hafiz sangat berbakat dan memiliki cara tersendiri dan attitude yang baik. Suaranya sungguh hebat. Akim menunjukkan perubahan yang ketara dan mempunyai suara serta personaliti yang menarik. Aril pula ada pakej yang lengkap untuk menjadi penghibur.

# RUBISA - HAFIZ
Hafiz sangat konsisten pada setiap minggu. Akim menunjukkan banyak peningkatan dan elemen-elemen transformasi.

# QHAUD - SEMUA JUARA
Setiap finalis adalah juara di mata peminat!

# CLAUDIA - ARIL
Aril memang bagus dan layak sangat kerana dia mempunyai attitude seorang penghibur. Akim pun bagus dan bekerja keras. Dia memang bersedia untuk menjadi seorang artis dalam usia muda.

# AISHAH - HAFIZ
Hafiz memang konsisten sejak minggu pertama lagi. Semakin sampai ke final, Hafiz semakin hebat dan ada ciri seorang juara.Akim juga ada banyak peningkatan manakala Aril ada karisma seorang bintang.

Pelajar-pelajar AF7 - Top 20

# ABRAHAM atau AB - HAFIZ
Hafiz layak jadi juara sebab sejak minggu pertama lagi dia telah tunjuk persembahan yang konsisten. Persembahan Hafiz tidak pernah membosankan. Sejak bertemu Akim dari kem muzik lagi saya dapat rasakan Akim ada masa depan yang cerah dalam industri muzik. Akim ada pakej yang baik untuk menjadi artis.

# FAEZAH - HAFIZ
Hafiz ada karisma tersendiri dan suara berkualiti yang dapat 'cairkan' perempuan. Dari segi transformasi, setiap minggu Hafiz berjaya serlahkan kemampuannya. Insya-Allah Hafiz juga boleh menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun depan.

# AMIM - BELUM PASTI
Semua finalis ada peluang jadi juara dan saya perlu tunggu persembahan mereka pada malam final nanti.

# KELANA - HAFIZ
Hafiz bakal juara AF7 sebab dialah yang terbaik!

# CABBY - HAFIZ
Persembahan Hafiz sangat konsisten. Suara memang mantap!!

# iDAN - AWOK
Ada kelainan, bakatnya terserlah. Dia pasti menyaing Afiz.

Tomok Berpada-Pada Sokong Isma (Hiburan)




Teks oleh Razif Rosdi

KUALA LUMPUR, 13 MEI 2009: Adik mana yang tidak sayangkan kakaknya. Itulah hakikat Tomok buat Isma. Selepas Tomok berjuang habis-habisan sehingga menjadi juara One In A Million 3 (OIAM3), kini penyanyi New Boyz itu sedang berusaha membantu kejayaan kakaknya dalam Akademi Fantasia 7 (AF7) pula.

Jom kita ikuti wawancara khas murai.com.my dengan Tomok, sebentar tadi

Macam mana Tomok selepas jadi juara OIAM?
TOMOK: Alhamdulillah, Tomok sihat dan sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti yang telah disediakan. Jadual Tomok begitu padat sekali.

MURAI: Giliran Tomok sudah berakhir, kini giliran Isma pula. Adakah Tomok akan hadir pada konsert final AF7?
Jangan Tak Lihat

TOMOK: Sudah semestinya. Dari awal lagi, Tomok sudah blog jadual untuk tengok sendiri persembahan Kak Isma. Sebagai adik, Tomok sentiasa akan bagi sokongan.

MURAI: Kenapa Tomok terlalu yakin Isma akan ke final?
TOMOK: Saya memang yakin dengan Kak Isma. Dari awal lagi, saya dah rasa Kak Isma akan ke final. Tetapi untuk menang juara Tomok tidak pasti. Terpulang pada rezeki Kak Isma. Tomok tengok saingan memang terlalu sengit.

MURAI: Betul ke Tomok menggunakan kelab peminat Tomok untuk Afundi Isma?
TOMOK: Tomok tak pernah hebahkan kepada peminat untuk Afundi Kak Isma. Tapi Tomok adalah cakap dengan kawan terdekat agar sokong Kak Isma pula. Kalau boleh, Tomok tak mahulah famili berhabis-habisan untuk Kak Isma. Kata orang berpada-pada. Biarkan orang luar menilai bakat Kak Isma sendiri. Apapun, memang Tomok mengharapkan orang Malaysia mengundi Kak Isma kerana bakatnya dan bukan statusnya.

MURAI: Benarkah Tomok melabur duit kemenangan untuk Kak Isma menang AF7?
TOMOK: Oh..itu tidak benar sama sekali sebab duit tu pun Tomok belum dapat lagi. Kalau dah dapat pun, Tomok tak akan buat macam gitu. Biarlah orang undi berdasarkan bakat Kak Isma. Bagi Tomok, tak adillah untuk peserta lain.

MURAI: Betulke Afundi Kak Isma ditaja orang kenamaan?
TOMOK: Sebelum ini, memang Tomok ada dengar pasal gosip ini. Tapi sebagai adik, Tomok menafikannya dan tak bersetuju dengan ini semua. Walaupun Kak Isma pernah buat show dengan orang kenamaan tapi Tomok tahu orang menilai dengan bakat Kak Isma. Pun begitu, Tomok tak berapa pasti soal tajaan ini. Tomok hanya tahu, keluarga Tomok tak akan buat macam tu.

MURAI: Apakah transformasi yang Tomok nampak pada Isma?
TOMOK: Transformasi paling ketara adalah persembahan Kak Isma. Tomok kagum tengok dia nyanyi lagu rock. Selama ini Tomok tak pernah tengok dia nyanyi macam tu. Dia berjaya membuktikan ibu anak 5 juga boleh buat.

MURAI: Tidak ada perancangan berduet dengan Isma?
TOMOK: Insya-Allah ada. Sebelum ini pun kami selalu duet kalau ada show bersama. Kami selalu nyanyi lagu seperti Sandarkan Pada Kenangan dan banyak lagi. Secara jujur, memang Tomok berminat nak berduet dengan Kak Isma dalam satu album. Doakan sajalah.

MURAI: Kenapa Tomok jadi penyanyi dulu berbanding Isma?
TOMOK: Ini semua rezeki. Peluang Tomok datang dulu berbanding kakak. Bagaimanapun, walaupun Tomok jadi artis dulu, Kak Isma lebih banyak dapat jemputan menyanyi di majlis keraimaian mengalahkan artis lagi. Malah, ada satu ketika, show dia lebih banyak dari Tomok!

MURAI: Adakah Isma memberitahu Tomok tentang penyertaannya dalam AF7?
TOMOK: Ada, dia beritahu Tomok. Setiap kali dia lepas peringkat dalam uji bakat, dia mesti beritahu. Kali terakhir Tomok cakap dengan dia sewaktu dia diterima terpilih sebagai 20 calon pelajar AF7.

MURAI: Apakah harapan Tomok untuk Isma dan peyokongnya?
TOMOK: Tomok harap sangat Kak Isma buat yang terbaik pada malam konsert nanti. Kepada semua peminat, janganlah berhenti menyokong Isma dan Afundi dia. Tomok harap dia boleh jadi juara. Namun, ini semua terpulang pada rezeki. Satu bonus kalau Kak Isma menang.

MURAI: Selain datang beri sokongan, apa lagi yang akan Tomok buat untuk Isma?
TOMOK: Insya-Allah kalau berkesempatan, Tomok akan buat kempen untuk Kak Isma. Kalau ada masa sebelum konsert Tomok akan turun padang untuk berkempen.

Murai

14 Mei 2009

Makan Gaji 3 (Kerjaya)

Aku mendapat e-mel dari Jabatan Perdana Menteri; dari Pengarah Biro Aduan Awam; Dari e-mel yang kubaca, semua mereka agak terkejut dengan kuputusan drastik aku untuk memilih opsyen berpencen awal. Pen. Pengarah Biro Aduan Awam memberikan aku nombor telefon Setiausahanya; agar aku dapat menetapkan hari untuk ketemu & berbincang masalah kerjaya kami di UPM pun pekerja keseluruhan di perkhidmatan awam yang senasib dengan kami.

Aku menolak pertemuan tersebut lantaran, sementelah e-melku kepada PM melalui Warkah untuk PM pun telah menjadi isu panas di UPM kemudiannya berebak ke serata alam. Ini kan pula aku nak panjat tangga ke Jabatan Perdana Menteri. Tak sanggup lagi aku melihat mata terbeliak orang-orang kesatuan pekerja menempelak aku. Padahal aku mahukan satu hakikat yang baik buat semua. Jika ada kesatuan sekerja pun tak jalan kenapa tidak kita gunakan kuasa mata pena. Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang; dalam perjuangan apa sekalipun.

Semua e-mel aku untuk Warkah untuk PM, balasan dari Pengarah Biro Aduan Awam & pergolakan kerjayaku aku kirimkan kepada Sdr Omar Osman President Cuepacs (Bagindo) yang memang aku kenali. Mungkin Bagindo kurang mengenali aku, tapi dia pernah berjanji perbagai kepadaku.

Antara yang aku tulis ke Jabatan Perdana Menteri, aku mahu melihat rakan sekerja yang telah berkhidmat lebih dari 15 tahun dapat dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat yang lebih munasabah. Aku tidak sanggup melihat Budak Pejabat yang telah berpangkat Atuk ke hulu ke hilir menghantar surat & perbagai urusan. Kalangan mereka sudah boleh dinaikkan sebagai Kerani Rendah jika bukan Kerani. (Sekarang Kerani jadi Pembantu Takbir, Kerani Rendah digelar Pembantu Takbir Rendah) Aku pernah menceriterakan masalah ini panjang lebar dalam jurnalku di easyjournal.

Bagi mereka di bidang teknikal, lebih afdal diujudkan jawatan Pembantu Am Makmal bukan dicampak sebarangan menjadi Pembantu Am Pejabat. Diujudkan semula Pembantu Makmal Rendah, Juruteknik Rendah, untuk tangga kenaikan mereka di bawahan jika memang tidak layak menjadi Tukang Kadar atau terus ke jawatan Juruteknik. Perbanyakkan jawatan Juruteknik Rendah, Pembantu Makmal Rendah, Operator & Tukang Kadar bagi kenaikan golongan marhaen yang terhimpit ini.



Begitu juga dengan Juruteknik, kenapa nasib jadi macam Pak Wahid, sampai pencen pun masih Juruteknik, kenapa tidak diperbanyakkan jawatan Juruteknik Kanan bagi mereka yang telah lulus PTK, Pembantu Teknik bagi mereka yang ada diploma. Aku tidak risau sangat golongan sokongan di taraf C & B ini. Mereka aku lihat boleh meniti hidup ini dengan sederhana, malahan ada yang bermewah jika punyai pasangan yang berkedudukan di bidang kerjayanya.

Golongan sokongan kumpulan D yang amat kusasarkan, Dari N1 yang bertaraf skim gaji Darjah Enam ini yang amat naif. Skim gaji Darjah Enam ini mestilah dimansuhkan. 15 tahun memegang jawatan yang sama dengan gaji yang amat minimum rasanya adalah satu pemhambaan moden.

Bila semalam Perdana Menteri Rakyat kita mengumumkan peluang kenaikan pangkat untuk mereka yang berkhidmat 15 tahun ke atas ini; sememang aku merasakan satu kejayaan perjuangan aku selama ini. Biar pun aku tidak dapat merasai kenaikan tersebut. Cukuplah aku menumpang gumbira jika rakanku mendapatnya. Tugasan aku sebagai Juruteknik tanpa gaji mutlak sepanjang belasan tahun sudah cukup mengajar aku erti pengorbanan.

Mantan PM kita Pak Lah telah pun menaikkan ramai kalangan staf bawahannya ke Pembantu Takbir Rendah. Aku mendapat e-mel tersebut & e-mel tersebut mempelawa aku untuk berhijrah ke sana. Kenapa kita masih berdolak dalik untuk menaikkan pangkat anak buah kita. Malahan orang seperti aku yang sejak berzaman nampak kepincangan ini pula jadi bahan kecaman.

Emmm! sekarang aku menjadi Penyair sepenuh masa. Rasanya lebih aman lagi.

- bersambung