iDAN
21 Mei 2009
Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 5 (Singgahsana)
Durian Guling 4
"Aku sesatlah Syukria, dari jambatan Sungai Durian Guling ke rumah pusaka kau tu jauh tak?..."
"Abg iDAN dekat mana tu..?"
"Entahlah ada kipas besar & Balai Bomba segala ni..!"
"Dah terlajak tu abg iDAN, patah balik jumpa lampu isyarat tak jauh dari situ..!"
Entah berapa kali aku mundar madir di jalanan. Bagaimana nak cam jalan & lokasi, semasa aku keluar rumah subuh tadi, baru terang-terang tanah. Ada satu penanda yang aku ingat, selain banyak pokok kelapa ada sepohon pokok petai yang agak tinggi. Aku perasan pokok petai yang tinggi itu ketika aku lepak di veranda banglow pusaka Syukria. Selekoh tajam & ada pengadang jalan... emmm! pokok petai. Itu yang mengecamkan aku. Memang sudah tua aku ini, payah amat lekat di ingatan setiap yang aku lalui.
Bila aku masuk ke banglow pusaka Syukria; hanya dua orang yang terjaga, anak Pak Ya berbaring celahan ayah & ibu serta Azim. Yang lain masih ke alam mimpi.
Setelah aku mengemaskan barangan yang aku beli, aku susunsajikan di meja dapur, aku mengajak Azim keluar. Sebab semasa aku sesat, aku perasan sekitar satu kilometer dari banglow pusaka Syukria ada se buah gerai, ramai amat pelanggannya. Pasti ada juadah yang menarik, aku berbisik di dalam hati. Jam telah melepasi 9:30 pagi.
"Moh! Azim kita jalan-jalan... kita pekena teh tarik ke!, bukan senang nak rasa juadah sarapan pagi di Marang ni!.."
"Jom!..." Jom bahasa orang bandar, moh! bahasa baku orang kampung di Perak.
Aku & Azim telah bersantai di gerai yang aku maksudkan. Sudah kurang pelanggannya, maklum kawasan kampung. Seberang jalan ada orang sedang membaiki semula rumah pusaka. Aku terkenang rumah pusakaku di Desa Tualang. Aku memerhati di meja yang sarat dengan lalat. Pasti ada orang ternak kambing atau kerbau di sini. Memang banyak lalat. Selera aku masih tak hilang, lapar satu hal, nak rasa masakan orang Kampung Durian Guling itu yang utamanya.
Aku mencapai satu bungkusan cinonit, Meehon goreng, tak banyak ramuan di dalamnya, rasa manis macam Mila masak. Aku buka pula bungkusan yang sama cinonitnya; Mee goreng sama saja rasanya. Manis. Kueh paunya agak besar, aku makan seketul pau, sudah cukup kenyang. Aku buat tempahan teh tarik, yang sampai cuma teh biasa. Tumpah susu manis memang mengancam diabetesku. Azim cuma makan Meehon goreng; kemudian telah pun kenyang.
Bila aku mahu membayar, agak terkejut juga aku. Tak sampai RM4. Maknanya masih ada Meehon goreng berharga sekitar 50sen di Marang. Sebab aku andaikan teh dua cawan RM2 & Meehon & Mee tiga bungkus RM1.50 mungkin kueh pau besar seketul sekitar 30sen.
Apa yang menarik lagi sampai ramai sangat pengunjungnya. Aku perasan pelayannya ada dua atau tiga orang anak dara; biasa saja... mungkin lawa kot!. Sebab ramai amat Awang yang datang bagaikan tak lepas pandang.
Sampai di banglow pusaka Syukria, ceritanya sama; risau pula jika aku tak kejut Mila & famili Pak Ya makanan di dapur basi pula. Lagi pun telah jam 10:00 pagi lebih; afdal sangat bangun. Aku mengjutkan Mila & anak-anak. Teh O yang Syukria buat sudah sejuk. Aku menyuruh Mila buat yang baru. Keluargaku sarapan awal kecuali Afiz yang memang sepanjang malam dia berjaga di Avanza & Pak Ya serta keluarganya sarapan kemudian setelah mandi perbagai.
"Abg iDAN berjanji dengan Syukria bagaimana tadi?"
"Aku tak berapa cam jalanlah Pak Ya, aku suruh dia jemput kita... kau cubalah telefon dia.."
Aku lihat isteri Pak Ya menyapu di dapur. Aku menyapu di veranda. Jubin yang cerah menampak semua sampah & debu.
Bila Afiz terjaga & mandi aku lihat di meja makan masih banyak makanan yang tak habis. Ada tiga jenis ulaman, daun tenggek burung, selasih & kadok. Menyelerakan. Aku & Afiz cuba menghabiskan malas nak angkut ke Calet takutnya basi sahaja.
Dari jendela cermin banglow pusaka Syukria kelihatan rumah saudara mara Syukria masih rumah kampung. Kawasannya agak lembah. Sebab itu masih terdapat sawah padi di sekitar Kampung Durian Guling.
"Abg iDAN masih ingat kan jalan nak ke Marang, jomlah! kita bertolak sekarang, Mak & isteri Syukria tengah sibuk memasak makan tengah hari untuk kita...!"
"Bolehlah kot!, kalau kita sesat nanti kita telefon Syukria minta jemput!" Sebenarnya memang aku jeran setelah sesat pagi tadi.
Pak Ya yang lebih ingat, jalan menuju ke Marang memang aku okey, cuma tiba di bandarnya aku tersasar ke kanan menuju ke Kuala Terengganu. Pak Ya cam jalan di Marang mungkin lantaran dia biasa ulang alik di situ ketika dia pulang ke kampungnya di Kelantan.
Rumah pusaka kedua Syukria nampak jambatan Marang & betul-betul di tepi jeti kuala Sungai Marang. Kawasannya agak padat penduduk tetapi lokasinya santai amat. Duduk di veranda anjongnya nampak suasana kampung nelayan. Dengan pokok kelapa condongnya, pokok bakau, nipah, rembia yang segar dedaunnya, bot ke hilir mudik sarat dengan bubu; ke muara memunggah tangkapan. Banyak juga bot tersadai & semakin tua reput di jeti sepi. Ada juga bot mewah tentunya kepunyaan si kaya atau pesara. Si Azim telah bermain air di gigi sungai. Memang suasana segar perkampungan nelayan membuatkan seorang pujangga melimpah ilhamnya.
Makan beramai di veranda bagaikan berkelah di pantai. Masakan emak Syukria, mengingatkan aku masakan arwah Opah Bi. Gulai kari ayamnya memang sedap; takkan jumpa di mana-mana gerai atau restoran. Belum lagi sambal sotong & sambal belacannya. Memang payah mahu berhenti sebelum kenyang. Aku lihat Anif mengambil sambal sotong bagaikan tak ingat orang lagi. Dia memang kuat makan pedas. Tambahan ada ikan masin yang masih baru. Seakan-akan sahaja masinnya.
Selepas makan Mila berbisik dengan emak Syukria tentang sedapnya gulai kari ayam yang dimasaknya. Aku biasalah sudah terlampau kenyang memang tak tahan mengantuknya; semalaman tak tidur. Nuzul menolak tempahan bilik berhawa dingin. Jadi aku bercadang menempah biliknya. Aku tak sabar lagi mahu melelapkan mata. Dapat sejam dua terlena sudah okey!. Deru bayu dari celahan nipah, rembia kian menampar kelopak mataku. Makin amat mengantuknya!.
- bersambung
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan