iDAN

16 Jun 2010

FB dalam dua Bulan (Singgahsana)


Aku sebenarnya amat tak minat dengan FaceBook (FB). Bukannya apa-apa, di sana terlalu luas skopnya & amat bebas pergaulannya. Seperti ramai kalangan sana asyik lupa diri lantaran dalam sebulan sahaja senang-senang kita boleh berkenalan lebih dari 200 orang rakan. Jangan harap kita akan dilayan oleh rakan di sana sebabnya kesnya tak ubah bagai MIRC. Jika siapa pernah ber cit-cat dengan MIRC tahulah bagaimana musibah kejutan budaya ICT ini.

Dalam apa jua wadah memang buat kata mantan PM kita Ayahda Mahathir. ICT ini ibarat pisau; pandai-pandailah kita menggunakan pisau ini; sama ada nak mengugut orang pun boleh membunuh orang atau pun sebaliknya nak guna pisau ini untuk membedah menyelamatkan nyawa orang; Ianya terpulang pada kita.

FB nampaknya begitu cepat dapat menghubungkan kita; bayangkan aku aktif dalam FB sampai terabai blog ini dalam sekitar dua bulan. Hasilnya ramai rakan lama yang dapat aku kontak semula. Antaranya aku tak tahu pun aku punyai rakan yang aktif dalam penganalisa politik. Prof Nizam.

Keluarga Prof Nizam.

Puteri Prof Nizam.

Begitu juga Ir Sabri yang sekitar 35 lalu tau-tau telah menjadi jutawan & tinggal di Sg Pencala. Semuanya terhasilnya pertemuan semula melalui FB. Ir sejak di bangku sekolah nampak brutal tapi adalah pelajar yang bijak. Dia tak rapat sangat dengan aku berbanding Raja Azmi tetapi melihat perkembangan hidupnya memang ianya membuatkan rakan-rakan lain terkesima.

Banglow Ir Sabri di Sg Pencala.


Keluarga bahagia Ir Sabri

Paling sedih bilamana rakan ICT telah kenal FB langsung senyap sepi, tak lagi kasi respon di blog ini; bila kita tenguk dinding mereka di FB meriah bukan main. Memang FB dapat mengatasi Blogspot cumanya jujurkah mereka di sana?.

15 Jun 2010

Ketemu Rakan Lama.. lebih 35 tahun berpisah (Singgahsana)


Nizam & Osman masih meneruskan kerjayanya; aku telah jadi sura rumah Azaddin katanya telah bersara tapi masih menguruskan syarikat sendiri.

Hidup kena diteruskan!

Nizam, Osman & Azaddin rakan di Remove Class 72.

Paling lama tak jumpa Azaddin sejak berpisah tahun 70an. Nizam katanya pernah sekali sahaja jumpa di Tg Tualang sekali awal 80an; Osman pun sama pernah sekali sahaja berjumpa di rumah Joe; jamuan raya tak ingat tahun berapa.

Tahu-tahu kekinian berjumpa di Alamanda.

Prof Nizam seorang Pensyarah di UKM, dia sering muncul di TV menjadi Penganalisa Politik, Osman orang penting di Jab. Pendaftaran Negara Msia di Putrajaya; Azaddin seorang jutawan di Sarawak kini rumahnya sekitar KLIA ... & aku sekadar seorang Penyair!.

08 Jun 2010

Cuba Klik di sini (Singgahsana)


"iDAN orang rumah aku & anak-anak makin asyik dengan sajak kau iDAN" Pak Wahid tetiba bersuara, kejutan yang amat menyentuh hatiku.

"Entahlah Pak Wahid rasanya tak ramai yang faham tulisan aku itu, lagipun zaman sekarang ini bersajak berpuisi semakin dilupakan!" memang aku terkejut juga ada yang ambil perhatian dengan puisi aku itu. "bebaru ini ada si Amran Penyair dia datang rumah kasi tahu buku 1Malaysia laris sampai dapat mengutip RM18K; dia pun dah melupakan dunia puisi; hidup lebih bermakna jika punyai wang!" Amran DBP datang ke rumahku dengan kacai barunya. Bau Amoi kedai lagi kapcainya.

"Banyakkah sajak kau tu iDAN!"

"Hari tu aku kumpul dalam server easyjournal dah ada sekitar 120 buah; rasanya kalau aku kumpul semua dah cecah 200 buah puisi"

"Banyak tu iDAN!"

"Server itu tak boleh buka sejak dua tiga minggu ini selalu asyik macam itu!, ingat nak pindahkan ke blogspot!"

Semalam aku sempat pindah hampir semua puisiku (90%) di server easyjournal tersebut. Jika anda meminat puisi@sajak sila klik sini.

http://rempiang.blogspot.com

07 Jun 2010

Pertemuan Sahabat lama (Singgahsana)


Catatan yang dikutp dari FaceBookku.


Smallest re-union

Tak disangka pun tetiba Dzuan telefon aku...

"Idan aku nak jumpa kau di TESCO!"

"Siapa lagi yang nak datang!?"

"Aku dengan orang rumah & anak bungsu sahaja!"

"Malulah nak jumpa orang rumah kau Dzuan"

"Sejak bila pula kau jadi malu ni?" sebenrnya aku memang pasti Dzuan akan terkejut tenguk perubahan aku;

Paling akhir kami ketemu di rumah Joe di Klang; mungkin 15 tahun lalu mungkin lebih.

"Okeylah aku tunggu! jam 3:00 petang nanti aku dail telefon Dzuan!"

Ini wajah terbaru penyair iDANRADZi; telah kutacap buang kedut-kedut muka!. Agak temban tapi masih macho lagi ?.

Ramai kata aku ini macam Pengarah Filem. (Perasan)

Sebelah aku tu Afiz bakal bernikah sekitar tiga empat hari lagi. 11hb. Afiz anak sulungku kurus macam ayahnya semasa di Asrama Putra Jalan Watson.

Dzuan nampaknya telah kukalahkan; kalau dulu dia ditimang sebagai Gajah; sekarang aku telah jadi bapa Gajah.

Pertemuan ini kejap sangat tak puas untuk bersembang!

Aku sibuk naik keluar duit ASB; Dzuan pula lantaran jam tangan yang baru beli pecah cermin. Anak bungsu Dzuan pula sibuk telefon bimbitnya rosak!.


Talian persahabatan bagaikan benang sutera nan tak mungkin dinilai dengan wang ringgit!... jika kita saling memeliharanya.Talian persahabatan hanyalah bagaikan lumut yang takkan melekat di batu jika kita jadikan sahabat kita sekadar batu loncatan. Kita jadi Tuah yang setia pada bukan tempatnya. Jebat jua ditentangi.

Kita akan dapat rasakan nilai persahabatan bilamana ketika kita dilanda kegusaran atau kesakitan... Siapakah yang setia menemani kita.

Dzuan tetiba ujud setelah kami terpisah di tahun 77 lalu; kalau pun kami pernah tertembung mungkin sekali dalam jarak 30an tahun lebih itu!."

Dua Hari di Nilai Tiga (Singgahsana)

Akhirnya aku membuat tempahan di Berjaya Nilai Tiga; membeli Dulang Hantaran di ThankQ. Nilai 3. Jika anda berkira-kira mahu menjadi Pengantin Sehari datanglah membawa duit sebanyaknya & pergi ke Nilai 3. Pelbagai barangan pengantin ada. Dari semahal-mahal harga hinggalah harga sepatutnya.

Seperti harga Dulang Hantaran dari harga RM10 hinggalah harga ke RM100. Dari Plastik hinggalah ke batu marmar. Aku suka amat dulang dari marmar ini; harga biasa sekitar RM80, harga tawaran sekitar RM60. Cumanya barangan tembaga sukar dicari jika ada pun mungkin mahal tak semurah harga di Pantai Timur.

Bunga hiasan memang terlalu banyak; dari bahan telah siap hinggalah bahan ingin buat sendiri. Seperti bakul hantaran aku memilih bakul dari buluh & mengupah tauke kedai yang membuatnya. Jika ke kedai ThankQ memang agak mahal sekitar RM900 bagi satu set hantaran tetapi jika ke kedai kecil yang lain; akan dapat harga yang patut. Untuk beg kedai sebagai hadiah atau bekas bunga telur bersepahan hingga rambang mata untuk anda memilihnya.

Aku buat tempahan di Kedai Berjaya; Bakul Hantaran sebanyak 13 buah baru sekitar RM450; siap bunga hiasan cuma letak barangan atau cari lapik bawahnya sahaja. Dua jam boleh siap tapi aku mengambil keputusan datang sehari kemudian. Jika rajin buat sendiri sekitar RM25 sudah memang cantik. Rata-rata bakul rotan atau buluh sekitar RM15 sahaja; saiz besar boleh muat kasut sejadah atau barangan besar.

Lapik Dulang Hantaran yang cantik siap ada labuci pelbagai, baru sekitar RM10. Bunga telah siap pin sekadar RM5 hinggalah semahal-mahal harga. Tempat cincin hantaran kebanyakannya yang cantik sekitar RM40.

Jika anda mahu membeli belah eloknya elakkan hari cuti sekolah atau Sabtu & Ahad; penat berjalan dengan jarak kedai jauh & yang banyak pilihan; Jika hari biasa anda boleh parkir di depan kedai yang berkaitan barangan yang anda cari; untuk pilihan kedai pengantin tak kurang ada setengah dosen kedai besar tak termasuk kedai Berjaya di mana aku menempah Bakul Hantaran.

Apa lagi mohlah! ke Nilai 3; untuk memuaskan selera memilih anda!. Jumpa di sana; aku suka ikut Lebuh Raya LEKAS sebab tak jauh dari rumahku!.

Tepak Sirih di kedai kecil TESCO
RM250

02 Jun 2010

INGAT SEBELUM 7 PERKARA (Agama)

Kitab : Riyadussolihin

Tajuk : Berlumba-lumba melakukan kebaikan

Lokasi : Masjid AnNur, WP Labuan

Imam Nawawi menukilkan sebuah hadith Rasulullah yang mana ada kaitannya dengan bab berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan dan kebaikan. Sebuah hadith riwayat atTirmizi yang menceritakan bahawa Baginda mengingatkan kita agar melakukan kebaikan sebelum 7 perkara ini datang. 7 perkara tersebut jika ia datang, ia sedikit sebanyak menghalang niat kita untuk melakukan kebaikan dengan sempurna. Baginda sebut agar kita segera melakukan kebaikan sebelum :

1- Kemiskinan yang merosakkan.

Mengapa Baginda sebut merosakkan? Ini kerana ada orang yang miskin tetapi masih ingatkan Allah SWT. Kita takut, apabila kita jatuh miskin, kita sudah mula melupakan segala nikmat yang telah Allah SWT kirimkan sebelumnya. Akhirnya, kita caci, kita maki, kita kutuk semua pemberian Allah SWT dan kita tidak tahan tersebut ujian tersebut. Ini kan merosakkan! Oleh itu segeralah buat kebaikan sebelum kita jadi miskin yang tidak ingat dan tidak sabar atas ujian Allah SWT ini.

2. Kaya tapi sombong

Nabi sebut kaya yang sombong. Ini juga bermaksud ada orang yang kaya tetapi pemurah seperti Abdurrahman bin Auf. Apabila kita mula menjadi kaya tetapi kita sombong kepada makhluk apatah lagi sombong kepada Allah SWT, kita pasti tidak akan berupaya lagi melakukan kebaikan. Ini kerana sifat sombong yang ada dalam kategori Mazmumah itu mencacatkan usaha kita berbuat kebaikan. Apatah lagi, orang yang sombong dengan hartanya itu tidak lagi ingin bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT itu secara percuma dan sementara.

3. Sakit yang merosakkan.

Sakit juga ada dua jenis. Ada yang sakit tetapi masih ada harapan sembuh seperti demam, kudis dan sebagainya. Yang disebutkan merosakkan disini ialah sakit yang hampir tiada harapan sembuh seperti kanser pada tahap yang sangat kronik, orang yang sedang dalam keadaan koma dan sebagainya. Jika kita berada di dalam situasi ini, kita tidak lagi dapat melakukan sedekah, solat, membantu saudara kita dan sebagainya yang dianggap amal-amal soleh.

4. Tua yang nyanyuk.

Ertinya ada tua yang masih bagus memorinya. Dan ada pula yang nanyuk. Nak mengelakkan nanyuk ini dalam bab yang lain. Cuma baginda sebutkan di sini apabila kita ditakdirkan tua yang nanyuk, kita tidak lagi dapat berpeluang melakukan kebaikan. Ini kerana kita pun tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk pada ketika itu.

5. Mati mengejut.

Kita selalu berdoa agar kita mati dalam keadaan yang baik (husnul khotimah). Saya pun tidak tahu dimanakah dan bagaimana cara mati yang akan ditakdirkan oleh Allah SWT. Ini kerana pada masa ini, peluang berbuat kebaikan sudah tiada ada. 0% untuk melakukan kebaikan. Yang ada, hanya ada zuriat yang soleh, sedekah jariah yang pernah kita salurkan dan sebagainya dari khidmat kita sewaktu hidup. Tetapi jika zuriat pun sibuk melakukan dosa, kita juga akan terkena tempiasnya!

6. Zahirnya Dajjal.

Ini antara fitnah terbesar. Doa-doa yang nabi ajarkan juga adalah merujuk agar kita dielakkan daripada terkena fitnah Dajjal. Ini kerana bila-bila masa syahadah kita akan tertanggal jika iman kita lemah dan tidak kukuh berada di dalam dada. Kita tidak sempat melakukan kebaikan lagi secara sempurna kerana fitnah tersebut mula meresapi pelusuk alam pada ketika itu dan keadaan menjadi huru-hara.

7. Kedatangan Hari Kiamat.

Inilah kemusnahan paling dahsyat. Nabi pernah sebut bahawa manusia yang hidup pada ketika hari-hari terakhir bumi akan dihancurkan, manusia dalam keadaan paling jahat! Tidak ada harapan melakukan kebaikan pada waktu ini.

Semua yang baginda sebutkan 7 perkara ini adalah sebagai ujian daripada Allah SWT. Oleh itu, marilah kita sama-sama bersegera melakukan kebaikan samada sedekah, solat, memberi makan anak yatim, menolong orang yang sudah tua, membanting tulang membantu ibu bapa dan sebagainya sebelum datang 7 perkara yang disebutkan di atas.

01 Jun 2010

Dulang Kehabisan di MyDin Kajang (Singgahsana)

"Banyak sangat aralnya Afiz, pertama kali nak keluar duit hari itu; ayah ditimpa hujan bukan main lebatnya!" aku lihat Afiz diam sahaja, nampak kebingungan. "Bila sampai di Pejabat Pos, komputer untuk akses ASB pula terputus sejak pagi lagi!" aku tak perasan nota kecil di depan meja kerani penyambut tetamu.

Aku cuba nak kejar ke May Bank tak jauh dari Pejabat Pos, punyalah lebat hujannya. Mencurah-curah bagaikan tak mahu berhenti. Sambil aku menanti hujan reda aku berbual dengan seorang pangkat Abang. Berwajah segak macho hitam manis. Rambutnya separuh beruban tampak@menampakkan kedewasaannya.

"Bagaimana agaknya pilihanraya kita di Sibu Sarawak nanti, berapa hari lagi iyer!?" aku sekadar berbual kosong menunggu respon sementara hujan tak mengizinkan aku beredar.

"Saya tak ambil tahu lagi tentang politik kita, penat! banyak sangat tak telus sana sini!"

"Bagaimana iyer pandangan abg tentang pilihan raya di Hulu Selangor baru-baru ini?" macam penganalisa politiklah pula aku ini.

"Saya tak yakin lagi dengan SPR, pilihan raya itu penipu sahaja; dengan majoriti 1,000 lebih rasanya undi pos itu yang banyak membantu BN pun menipu rakyat sahaja!" memang sebelum keputusan diumumkan BN begitu yakin merampas kawasan Hulu Selangor dengan majoriti lebih dari belasan ribu undi.

"Orang kita masih sayangkan UMNO, cina yang bagaikan telah berpatah arang dengan MCA!" aku bersuara.

"Bangsa kita tak celik, tak tenguk perubahan dunia luar, tak tahu pun yang rasuah di negara kita ini makin meningkat. Kehidupan kita pun semakin terhimpit; tau-tau anak atau adik pemimpin kita BN itu tercatat sebagai antara orang terkaya di negara kita; mereka bolot semua harta negara!" Dari wajah abang ini, dia seorang yang pemikir bukan cakap sesedap mulut. Dia jenis yang membaca. Bukan seperti apa yang dia kata, "Malas nak ambil tahu tentang politik orang kita Melayu."

"Hujan semakin nak berhenti ini, saya kena cuba kejar ke May Bank tu, minta diri dulu iyer! bang!" aku sebenarnya mahu lebih menyelami hati seorang rakyat marhaen seperti abang yang nampak kukuh pendiriannya ini. Tapi urusan Afiz masih tak selesai. Aku bersalaman & memakai baju hujan yang hapak tengik bagaikan kena kencing si Ekor Kembang.

Aku redah belaka jalan sehala, menyongsang arus; hujan tak banyak kenderaan; lagi pun aku menunggang kapcai senang mahu mencilok. Sampai di pintu utama May Bank telah tertulis; Ditutup!. Aralkah ini?. Mungkin tidak, ada kebaikannya; setidak-tidaknya aku dapat mandi hujan. Hujan rahmat.

Urusan aku selesai esoknya bilamana Afiz balik & lebih mudah berurusan lantaran dia ada nombor akaun Mie; tak payah pegang duit beribu; keluar duit dari ASB & masukan ke akaun Mie di kaunter yang sama.


"Mila kena ikut tak ke Triang nanti!" aku teringat kata-kata Mila ketika aku mahu ke Triang tempoh hari.

"Tak payahlah Mila, hari itu Mila telah ke Seremban merisik dengan mak Mie, biarlah ayah sahaja yang pergi kali ini!" aku teringat akan Mie yang akan tunjuk jalan, kalau ada Mila bersama mahukan dua orang calon menantu & mak mertua ini berbaik. Aku tahu jauh di sudut hati Mila dia mahukan Mie & Afiz teruskan sambung belajar baru bernikah. Aku pula tak yakin mereka akan boleh bercinta jarak jauh; kalau dah macam belangkas pelbagai perkata boleh berlaku. Kalau boleh esok aku nak nikah Afiz & Mie ini.

"Lagi pun ayah bukan mahu meminang sekadar mahu berbual!, kata Mie ayahnya setuju mereka nak bernikah gantung!" tiada senyum di wajah Mila.

Emmm! perjalanan ke Triang pun sama; nampaknya aku terpaksa bermandi peluh; baru sampai di Bandar Jempol penghawa dingin Avanza meragam. Aku terpaksa batalkan niat mahu menjejaki Tasik Bera. Dapat tenguk papan tandanya sahaja. Takut hari hujan memang gabra nanti jika tanpa penghawa dingin. Aku puji hotel murah di Triang, penghawa dinginnya sejuk gila, pun bilik airnya lengkap dengan pemanas air. Azim & Afiz langsung tak keluar leka di kamar. Yang sedihnya Malaysia tumpas dengan cina 0-3 Piala Thomas. Cis!.

Mengenangkan perjalanan ini memang amat penat & pelbagai persoalan. Jauh amat Triang ini lantaran jalan antara Kuala Pilah ke Triang agak sempit; lori kelapa sawit pula panjang-panjang bila berselisih di selekoh asyik makan jalan. Dengar brek anginnya pun aku rasa seram. Terpaksa mengalah dari membiarkan ianya rapat mengekori kami. Rumah Mie di sekitar Kemayan. Agak jauh dalam estet milik kaum cina.

Aku mandi peluh semasa pulang dari Triang, kebetulan jumpa Ida sepupu Mie yang mahu pulang ke Seremban. Kesihan Mie, Ida & Azim bagai udang dibakar. Merah padam muka kena tamparan angin kering. Tiga kali berhenti untuk berehat. Termasuklah berhenti di Hulu Bendul. Tanpa penghawa dingin ini aralkah; taklah tentunya ini baik bagi badanku untuk bersauna. Rahmat sebenarnya sesekali berkembara tanpa penghawa dingin.

"Bila agaknya baru ada stok dulang aluminium...!" dulang warna perak ini tak nampak lagi.

"Tarak tahu!" isk! penat betul, cuma ada tanda harga yang tinggal, dulang plastik pun cuma tinggal satu.

"Semua orang Melayu Kajang mahu kahwinkah?" aku sengaja bertanya soalan pelik kepada India tak fasih cakap Melayu ini. Sah baru sampai dari India, dia senyum-senyum tak tahu menjawab. Soalan pelik aku itu memang tak perlu dijawab.

"Ada dua sahaja lagi MyDin sekitar Kajang; satu di Sungai Chua; satu lagi di Pintu Satu Putrajaya!" aku bersuara, Afiz memang nampak bingung sejak sebulan dua ini. "Jangan risau Afiz kalau tak jumpa kita Abg Rosli punya; dia ada buat tawaran!"

"Kita cari al-Quran & songkoklah ayah!" aku naik ke tingkat dua mencari al-Quran; tak kurang ada empat atau lima pilihan al-Quran di Maydin; aku ambil yang rona emas cantik buat hantaran.

"Afiz suka yang ada garis ini ayah!"

"Dah kahwin nanti Afiz beli lagilah, nampak biasa sangat; lagi pun yang bergaris ini tak semahal mana!" aku lihat harga al-Quran di Mydin sekitar RM10 ke Rm30 sahaja.

Nampaknya aku kenalah merewang ke banyak MyDin untuk mencari dulang buat majlis pertunangan & penikahan Afiz. Bila aku klik di alam maya bersepah Mydin sekitar Kajang; Sungai Long, Semenyih, Balakong, Bangi & Putrajaya. Aku cuba dail nambor telefon mereka tak satu pun berjawab.

Jika MyDin tak ditemui nampaknya kena cari di Nilai 3 Sabtu atau Ahad ini.

Teringat akan dulang tembaga yang arwah Emak miliki. Entah di mana ianya kini. Seingat aku arwah Emak memang lengkap belaka tentang barangan hantaran ini. Bila dia tiada habis barangan miliknya lesap. Tak nampak saki baki bakinya. Sayang amat.

28 Mei 2010

FiFa 2010 (Sukan)


Beberapa minggu sahaja lagi demam Bola Sepak Piala Dunia akan bermula.

Bersamaan 11 Jun tanggal pernikahan Afiz akan bermulalah demamnya
ceriteranya sama banyak sangat pertandingan ketika dinihari
makanya siapa kaki bola datang ke ofis kena pakai spek hitamlah lagi.

Aku sejak berjaman adalah penyokong kuat Itali
selalunya pasukan ini memang lembik usik sikit dah terjatuh
tapi mereka sering juara kalau tidak pun sering ke perlawanan akhir.
Enam kali ke akhir & empat kali Juara.

Brazil aku tahu memanglah handal siap ada Kaka pun idola aku si jongang Ronaldinho
tapi tenguk pemain mereka ramai berkepala botak mereka...
aku rasa dah meluat; gah & skil mereka terkadang terlampau individulistik.

Sebut England semua naik angin sebab penyokongnya tiap musim
ada sahaja buat kerenahnya.


Sebut Perancis mesti teringat kes musim lalu
abg kandung aku tu si Zidane@adik iDAN
tanduk dada Marco Materazzi... pemain Itali.
Aku selalu ceritera (bergurau) si Zidane adik aku ini
suka hisap rokok keretek tu yang
kadang-kadang dia ini "amok!" selalu kalau
bekalan rokok keretek ini tak sampai ke Perancis.

Musim lalu Turki boleh tahan tapi mamat Turki ini
asyik nak takik orang akhirnya sering kena kad kuning
& ada yang keluar padang.

Dari Asia Korea pula masih zaman 60an & 70an mereka
bila dah mengatasi lawan suka buang masa main macam
kais-kais ayam di kawasan sendiri...
aku lebih suka Jepun sebagai wakil Asia...
mereka bagus & main laju.

Pasukan dari benua Afrika ini pun selalu buat kejutan
dengan permainan ala samba mereka
dulu sebut Cameroon semua agak panik
tahun ini Cameroon awal-awal lagi akan bertemu Jepun
Bolehkah Jepun mengekang Cameroon.

Memang tak sabar menunggu sebulan demam tak kebah
penangan Bola Sepak Piala Dunia ini.

11 Jun hingga 11 Julai 2010

http://www.fifa.com

http://ms.wikipedia.org/wiki/Piala_Dunia_FIFA_2010

http://id.wikipedia.org/wiki/Piala_Dunia_FIFA_2010

27 Mei 2010

12 Di 2 buah Kota Bharu 13 di Sahom Jun 2010 (Singgahsana)


"Elok abg iDAN tidur di Kota Bharu, sudah dekat sangat!, kita tak pasti majlis orang itu akan selesai; kut kalau lepas sembahyang Jumaat pasti banyak masalahnya." Hashim membuat cadangan; aku pun terfikir begitu. Andai kata 11 Jun itu lewat agendanya akan habis; aku tak biasa jalan ke Grik itu; ada baiknya bercuti di Kota Bharu Kelantan.

"Masa cutilah Hashim hotel atau resort pasti penuh!"

"Saya boleh suruh tolong rakan saya carikan!"

Aku terfikir ada benarnya cakap Hashim itu, baik aku ke Kota Bharu Kelantan; asyik balik ke Kota Bharu Perak sahaja; bila lagi nak beli budu di Kelantan. Lagi pun aku ada talian bebas tol; cubalah cari di mana masih ada kosong lagi!.

Emmm! isunya sekarang mungkin keluarga kakak aku juga akan ikut serta; takkan dia nak balik sendirian. Atau apakah agenda dia berubah!.

Dengar ceritanya Dayang anak buahku pun nak ikut serta; maka bertambah ramailah rombongan kami. Hashim & Ijam kalau tak ada aral akan turut serta. Biarlah Nik tak ikut serta; nampaknya biar pun dia ada di kampung ketika itu; dia lebih mahu ke rumah pengantin waris isterinya. Setahu aku Kota Bharu & Machang tak sejauh mana. Jangan persoalkan biar pun janji asal memang dia akan turut serta.

Payah kita mahu mengukur ukhuwah & nilai persahabatan dalam zaman sekarang. Aku teringat ketika Nordin kahwin kali kedua; ratusan rakan sekerja hanya aku seorang yang berkejar ke Trolak sana. Samalah ketika Amar berkahwin tak siapa sudi menjenguk dia di Hutan Melintang sana.

Tapi bila orang ada kedudukan buat kenduri kahwin; pangkat bos lagi berpusu datang biar pun nun jauh di Bagan Datuk sana. Apatah lagi kalau artis bersanding. Lagi pun mana ada paksaan dalam menunaikan undangan.

Yang penting doakan aku & rombongan selamat pergi menghantar Afiz bernikah pun selamat kembali ke Jenaris. Lagipun ini majlis kecil, aku harap ketika majlis kenduri kahwin Afiz nanti akan ramai yang sudi datang. Aku mungkin tak buat kenduri di Jenaris lantaran semua perbelanjaan menghantar, belanja hangus dan lain-lain aku yang kena sediakan.

Terpulanglah pada Mila jika dia mahu buat majlis di mana nanti; jika aku buat pun sekadar majlis kecil doa selamat mungkin jemput saudara mara terdekat sahaja. Rasanya manalah ada saudara mara yang ingatkan kami di sini. Saudara mara rapat pun nun jauh di Perak. Pastinya amat sukar untuk mereka akan datang. Rakan sekerja nampaknya endah tak endah sahaja; jika buat di sebelah fakulti mungkin baru ramai yang datang. Amat dahsyat nilai ukhuwah zaman kini.

Dunia persaudaraan di kalangan kaum Jawa berbeda; aku begitu yakin jika kami buat majlis pasti saudara mara Mila yang ramai akan datang!.

Jodoh pertemuan, ajal & maut semuanya ketentuan Tuhan, mana mungkin kita dapat menentukan talian kasih atau jodoh itu tetiba akan datang menyapa kita.

Sabtu 12 Jun 2010 aku akan bertolak ke kampung halamanku Kota Bharu Perak, ikut Grik. Memang lama tak pulang ke kampung!. Desa Tualang. 13 Jun 2010 akan berada di Sahom. Tak jauh dari rumah Shahir & ada jeram yang cantik di sana. Jeram Salu. Jarangkan dengar nama itu; memang cantik Jeram Salu ini.


Berbalik nilai ukhuwah tadi; Bayangkan ketika aku setahun setengah di bawah jagaan Klinik Kardio; saban malam asyik sesak nafas memintas maut. Tak siapa pun datang menziarahi. Sedang sakit jantung yang kronik ketika itu bila-bila masa akan boleh jatuh strok & pelbagai kemungkinan. Masuk wad kecemasan pun selalu tak siapa yang sudi melawat; silap-silap nazak pun maut seorang diri.

Harap-harap jangan sampai telah meninggal dunia tiada siapa yang tolong uruskan!; sudahlah.

Maka itu aku sering berpesan jangan nikah lambat sangat; bila telah berumur nanti mana saudara mana kita; apatah lagi andai kata telah berpindah jauh ke kampung. Apakah generasi muda akan kenal kita. Hanya masyarakat keliling sahaja yang akan bertandang ke majlis kita. Ukhuwah orang Melayu nampaknya makin genting; bayangkan jika punyai 20 orang anak saudara; berapa ramaikah sudi bertandang menjenguk kita di hari raya?.

Pak Saudara atau Mak Saudara manalah ada lagi!. Adakah semua Abang Saudara atau Kakak Saudara kenal kita lagi. Masing-masing sebaya kita entah bertaburan entah di mana. Jangan sampai satu hari nanti hanya rakan terdekat sahaja yang mesra dengan kita; saudara mara makin lupakan kita. Biar pun kita tak pernah menolak undangan mereka.

26 Mei 2010

RM10 besarkah nilainya (Singgahsana)


"Pakcik tolong kasi saya RM10, saya tercicir beg duit" aku terkelu melihat wajah anak muda ini, nampak segak. Rambut trojan, siap pakaian sukan. Tak seperti budak dadah pun.

"Pakcik memang tak bawa duit dik, tertinggal dalam kereta!" sebenarnya dalam hati berkata juga kenapa aku yang dikejarnya; ramai orang lain ada di lorong itu. Kenapa nak RM10, kenapa tak minta duit siling sahaja nak telefon kawan untuk menjemputnya.

"Betul Pakcik saya hilang beg duit, kalau tak percaya Pakcik ambil telefon bimbit ini sebagai cagaran. Telefon ini lebih mahal dari RM10" Lagi pelik kalau ada telefon bimbit lagi tak masalah nak telefon kawan pasti banyak nombor kawan tersimpan dalam telefon bimbit tersebut.

Aku pun berjalan laju menuju ke Masjid Sungai Besi; cadangan aku nak makan cendol Sungai Besi terbantut. Anak muda Trojan ini mengekuri laju.

"Awak mintalah tolong dengan orang lainlah, Pakcik pun nak guna duit! RM10 tu banyak sangat! telefon awak itu bukankah mahal" Telefon Nokia hitam putih model lama. Aku ingat nak kasi duit siling untuk dia telefon kawannya. Aku lantas buka pintu Avanza, seingat aku dalam Avanza banyak duit siling; bila aku toleh ke arahnya aku tergamam; tak nampak anak muda trojan tadi.

Azim terkedek-kedek berlari kearah aku.

"Panik ayah Azim, ada orang minta duit ayah!."

"Apa pasal berapa dia minta!"

"Dia kata dia tercicir beg duit, dia minta RM10... ayah pula rasa macam tak yakin sahaja; takut dia menipu, pura-pura hilang beg duit! siap nak kasi telefon dia!"

"Abis! tu kalau dia benar-benar hilang beg duit tak kasihankah ayah dengan dia..."

"Ayah tak suka dengan telefon bimbit; kalau Azim rasa nak tolong dia ambil duit RM10 ini dia janji nak kasi telefon Nokia dia tu!" Azim diam, aku terus mencari-cari bayangan pemuda ini. Mana pula menghilangnya.

"Emmm! biarlah dia minta tolong dengan orang lain!" keluhku.

Sepanjang perjalanan aku ke asrama Aziq di Gombak; pelbagai fikiran berligar di kotak andaian aku!.

- kenapa mesti nak RM10, jauh sangatkah rumahnya!

- apakah memang dia kehilangan beg duit; kenapa tak minta dekat gerai orang Melayu bersepah di lorong tersebut cagarkan telefon bimbit itu kejap!

- kenapa tak minta duit siling kalau memang ada telefon bimbit tapi tak ada kredit, cukuplah dengan meminta bantuan duit siling.

- kenapa aku yang dia kejar sedang masa aku berligar kat gerai cendol aku nampak ramai orang kita Melayu di situ.

- ada Candid kamerakah mengintip aku; kalau keluar TV Isk! kedekutnya aku ini!.

- atau anak muda itu bukan orang! sebabnya bila aku toleh puas aku perhatikan; tak nampak pun gelagat dia... orang tak ramai mana.

Huh!.

25 Mei 2010

Kaunter Bajaksauna Pej. Daerah/Tanah Hulu Langat


Mei adalah bulan terakhir membayar cukai tanah. Terkadang Bil Cukai Tanah ini seawal Januari telah sampai ke peti surat. Maka faham sahaja sering ianya hilang biarkan telah diselitkan di tempat surat penting. Langkah Pej Tanah ini memang bagus; tak bagusnya kita asyik leka maklumlah lagi sekitar setengah tahun masih boleh ditangguhkan bayaran. Tau-tau hilang Bil Cukai Tanah ini

Rumah yang aku diami ini hanyalah Rumah Kos Sederhana Rendah; harga zaman purbakala sekitar RM40K sahaja. Diam tak diam sekitar dua puluh tahun ianya kini menjadi RM140K. Itu harganya jika rumah Hak Milik Bebas; lagi lama akan lagi mahal harganya berbanding rumah Hak Milik Pajakan 99 tahun; lagi lama akan merosot harganya.

Sedar tak sedar semuanya jadi berganda; dari cukai pintu hinggalah cukai tanah; jika zaman purbakala cukai pintu sekitar RM25 setahun sekarang telah sekali ganda; begitu juga jika cukai pintu dahulu sekitar RM70 bagi tempoh enam bulan sekarang telah melebihi RM100.

Bagaimana jika dibandingkan gaji kita; apatah lagi telah bersara seperti aku. Ada ke naik sekali ganda?. Maka itu duduk di kota jangan ingat boleh kekal lama apatah bagi mereka yang membeli rumah Hak Milik Pajakan. Tunggu sahaja tiba ketikanya pasti akan diarahkan pindah jauh ke perdalaman biar pun diberikan pampasan yang tak seberapanya.

Semalam aku berkira mahu ke Pej Daerah/Tanah Hulu Langat (PDHL). Ceriteranya samalah entah di mana menyelitnya cukai tanah bagi tahun ini; yang ada terselit di kotak surat penting bil tahun lalu & tahun 2008. Bila aku semak waktu bayaran; "Na mungkin" aku boleh sampai sekitar jam 3:00 petang lantaran aku terlelap setelah hantar Azim ke Sekolah Agama. Kaunter ditutup jam 3:30 petang. Maka itu aku tak dapat tidak kena pergi hari ini. Kalau lewat dari 31 Mei pasti kena denda RM5. Itu kalau RM50 ke Rm100 bilnya.

Kereta perangku meragam, asyik naik meter airnya; panas membahang. Maka aku terpaksa naik kapcai, hantar Azim awal ke Sekolah Agama terus ke PDHL. Cuaca yang panas memaksa aku berhenti minum air jambu Pak Usu yang berselerak kini di sekitar Kajang. Tidak membantu tambah dahaga adalah.

Banyak perubahan PDHL bila tak pergi selama setahun. Jika dulu tak ramai Peg. Keselamatan sekarang di muka pintu utama telah ada besi berpalang, ada tak kurang 3 orang Peg. Keselamatan menunggu dengan senyuman & lambaian. Rata-rata wajah setua aku telah berpencen. Maka aku mengikutlah papan arah tunjuk untuk parkir bagi motosikal. Arah ada kotak parkirnya tiada; orang Kajang@Hulu Langat Kaya belaka semua datang pakai kereta kut!. Sedang aku mencari parkir kapcai aku ada seorang Peg. Keselamatan menunjukkan arah di mana aku boleh parkir kapcaiku. Memang tiada kotak parkir terpencil sebelah rumah api. Kalau ada kilau arwah!. Ada sebuah motosikal sahaja & aku motosikal kedua. Sah kaya orang Hulu Langat.

Tiba di Pej Pembayaran Cukai Tanah sekitar 3:00 petang 25 Mei10. Tak seramai mana orang di depan kaunter. Sekitar empat atau lima orang sahaja di Kaunter Semakan. Setahu aku jika dulu penyemakkan bil tak perlu mengambil Nombor Giliran. Dalam empat atau lima orang aku perasan hanya seorang punyai Nombor Giliran. Ada dua orang bertugas di kaunter semakan bil. Seorang berkulit kuning langsat Kaunter A; seorang lagi bercelak ala Pelakon Wayang Cina di Kuanter B. (PDHL guna nombor bagi kaunter mereka 6 & 7)

"Nombor Encik lambat lagi dipanggil tunggulah dulu!" suara di kaunter A menegur seorang pelanggan; aku terkesima sebab aku lihat di depanku ada dua orang hampir selesai buat semakan tak ada pun menghulurkan Nombor Giliran, tak dengar pun Nombor Giliran mereka dipanggil. Semua berbaris di depan Kaunter Semakan.

"Adik!... saya kena ambil Nombor Gilirankah" belakang aku cuma ada hantu atau bayang-bayang sahaja. Wajah Pelakon Wayang Cina ini tak senyum langsung; pandang muka aku pun tidak; aku tak se macho Shahir tentunya; Bagiku jika sedikit senyum pasti menawan sebab celaknya tadi. Tebal. (bertudung)

"Iyer! kena ambil Nombor Giliran tekan butang D" mencuka.

Masa aku mahu mengambil Nombor Giliran ada pengawal keselamat amat sopan menunjukkan aku butang D; dia perasan aku kena tegur lantaran tak bernombor, tersenyum ramah. Di depan aku seorang nyonya menekan butang yang sama!. Nyonya ini mungkin telah biasa sebab aku nampak dia dari pintu utama terus sahaja ke mesin Nombor Giliran untuk semakan.

"Ada yang tak bernombor dilayan; tiba giliran saya dia suruh ambil Nombor Giliran pula! sudahlah saya orang paling akhir berbaris." apa sistemnya ini. Peg Keselamatan tersenyum lagi memihak aku.

Sekitar lima belas minit aku menunggu aku lihat ada lagi tiga empat orang terus meluru ke kaunter semakan tanpa pun mengambil Nombor Giliran; tak tertera nombor mereka dipanggil di papan digital rona merah itu.

Selesai seorang dua yang tanpa Nombor Giliran dilayan; baru Nombor Giliran nyonya di depan aku di panggil. Perlu diingat kalau cina atau nyonya yang datang bukan satu dua bil; biasanya cina di Hulu Langat memang banyak bil; satu dah mesti rumah, mungkin yang lain kedai pelbagai. Bukan Pelakon Wayang Cina yang panggil Nombor Giliran tapi yang Wanita Kuning Langsat yang menggunakan sistem bernombor.

Hairannya Pelakon Wayang Cina Kaunter B yang menyuruh aku mengambil Nombor Giliran tapi dalam masa yang sama dia yang melayan apek, amoi & beberapa orang lain lagi tanpa Nombor Giliran. Isk! memang rasa diperbudakan; pula aku gelisah sekitar sepuluh minit lagi kaunter akan tutup.

Nombor Giliran aku dipanggil selepas nyonya yang mengambil Nombor Giliran bersamaku tadi selesai; aku terpaksa berebut dengan seorang pelanggan yang tiada Nombor Giliran di hadapanku. Aku perasan di hadapan nyonya tadi ada dua orang dilayan tanpa Nombor Giliran. Memang menguji kesabaran!.

Aku tak jadi angin sebab Wanita Kuning Langsat Kaunter A sekadar menegur pelanggan yang tak sabar menunggu nombornya dipanggil; dia tak pun menyuruh aku mengambil Nombor Giliran dalam masa yang sama dia layan juga mereka tak ada Nombor Giliran.

Setelah aku dapat bil bagi tahun 2010 aku mengambil Nombor Giliran menekan butang A untuk bayaran Bil Semasa. Semasa nombor aku dipanggil aku nampak Pelakon Wayang Cina di kaunter B bermain FaceBook (FB). Padanlah seteruk itu Kaunter BajakSauna PDHL.

Mana nak senyum mungkin sedang bergaduh dengan geng di FB kut!; maka layanan pada pelanggan macam endah tak endah sahaja. Padanlah tak tenguk pun wajah pelanggan minta bantuan. FB lebih utama. Isk!.

"Adik tenguk kawan adik tu main FB, tadi dia tegur saya tak ada Nombor Giliran; apek & amoi lain tak ada Nombor Giliran dia layan; saya pula terpaksa mengambil Nombor Giliran; biar pun di belakang saya tak ada siapa pun lagi nak buat semakan. Akhirnya saya kena tunggu mereka tak bernombor giliran... dunia ini kecik adik oii! kalau saya berbesan dengan dia nanti tahulah dia nanti!" aku membebel depan kaunter bayaran; gadis menerima duit bil semasa aku tersenyum; Peg Keselamatan yang di sebelah mesin Nombor Giliran tergelak besar. Dalam hatiku berkata ini bukan sistem Nombor Giliran tapi sistem Nombor Gilaan

Aku nampak anugerah melambak di dinding kaunter di Pejabat Bayaran Cukai Tanah ini. Anugerah pura-pura desah hatiku.

Tak semua orang suka menunggu di kaunter bayaran; tak semua orang suka sistem yang caca marba begini. Satu kena diingat pelanggan datang nak kasi duit; bukan nak minta duit. Seperkara lagi patutnya bos kena blok FB di kaunter semakan atau bayaran. FB ini sungguh melekakan. Staf begini memang kena dibajak agar lebih gebu & fleksibel sesekali kena di kurung di sauna biar dia rasa bagaimana orang setua saya ini terpaksa naik kapcai tengah panas semata-mata nak bayar bil tapi dilayan macam budak-budak!. Terbakar sebenarnya hati ini.

Ngam-ngam waktunya; sebaik dapat bayar Bil Semasa kaunter hampir sangat jam 3:30 petang. Bayangkan jika aku tak sempat membayar Bil Semasa lantaran sistem Bajaksauna ini. Harapan aku pelanggan lain tidak senasib aku.

Bukan aku tak reti guna Maybank2u tetapi baru sahaja pagi tadi aku amat keliru nombor cukai tanah di Mukim Teja sana asyik bertukar saban tahun. MayBank2u pun keliru!. Mabuk ke apa sistem online Pej Tanah ini!. Bagusnya PDHL tak tukar nombor geran atau lot rumahku bagai Pejabat Daerah & Tanah Kampar; saban tahun.

Moral dari catatan ini:

  • Perlu ada kotak parkir motosikal untuk pelawat di PDHL. Biar sesuai lokasinya.
  • Jika nak guna sistem nombor giliran pasti semua dilayan ikut nombor giliran; jangan pula dilayan mereka yang tidak mengambil nombor giliran; apatah lagi ramai yang menunggu. Caca marba jadinya.
  • Biarlah ada budibicara jika kaunter kosong hanya ada seorang sahaja pelanggan rasanya tak salah tanpa angka giliran. Buang kertas & masa nak juga nombor giliran.
  • Pastikan jangan benarkan staf kaunter bermain FB ketika di kaunter; tak manis dipandang pelanggan. Apatah lagi ianya sampai menganggu mood atau semangat kerjaya. Jika bukan di kaunter rasanya tak jadi masalah. Kita ini manusia biasa. PM pun main FB.
  • Murahkan senyum sebab mahu terima duit orang; bayangkan tak semua datang naik kereta mewah & selesa keadaannya. Bila lihat wajah mencuka tentunya hati pun rasa mencuka. Malahan tak berterima kasih pun. Tak ada ruginya bersikap Mesra Pelanggan.
  • Jangan amalkan asyik tukar nombor geran tanah seperti berlaku Di Pejabat Daerah & Tanah Kampar. Hinggakan mahu membayar cukai tanah melalui online tahun ini ramai yang gagal.

24 Mei 2010

Ikan pekasam (Harum Aroma)

Cimg1810a

resepi dari turun temurun dr family

Bahan-bahan ( 5-6 ikan )
  • 6 ekor ikan puyu (ikan sepat, ikan talapia pun boleh digunakan)
  • 1 cawan garam kasar (halus pun boleh digunakan)
  • 1 cawan beras yang telah digoreng tanpa minyak
  • Sedikit gula

Cara-cara

  1. Bersihkan ikan-ikan puyu, kemudian lumurkan seluruh ikan itu dengan garam biar lebih sikit takpe, masukan ikan tersebut di dalam bekas yang boleh ditutup.Biarkan sampai esok.
  2. Blend beras yang digoreng sehingga halus. Keluarkan ikan dari bekas, selepas tu basuh ikan dan sejat. Taburkan sedikit gula dan lumurkan beras pada ikan tersebut. Biarkan semalaman didalam bekas tertutup.
  3. Setelah itu masukan dalam peti ais untuk tahan lebih lama(jgn simpan di tempat yg beku simpan di bahagian bawah tempat isi sayuran/buahan)
  4. Kemudian bolehlah di goreng ikan tersebut sehingga garing. Gorengkan sedikit cili kering dan bawang merah dan taburkan diatasnya. Siap utk disantap bersama.
Resepi masakan ikan puyu

tips dan pesanan, sebelum memasak apa jenis masakan ikan puyu hendaklah direndam dahulu kedalam cuka makan selama 1 jam bagi menghilangkan bau dan rasa hanyir.



Resepi pekasam ikan puyu

Bahan-Bahan:

1 mangkuk beras,
1 cawan garam kasar,
Air suam secukupnya &
1kg ikan puyu (ikan lain pun ok!).


Cara:

1)Ikan disiang serta dibersihkan dan direndam kedalam cuka selama 1 jam. selepas direndam keluarkan ikan kemudian digaul dengan 1/2 cawan garam kasar dan dibiarkan semalaman didalam bekas yang tertutup.

2)Beras digoreng sehingga perang dan dimesin halus.

3)Campurkan 3 cawan air suam serta 1/2 cawan garam kasar dan gaul sehingga larut.

4)Masukkan beras yang telah dimesin kedalam campuran air garam tadi dan jangan sehingga terlalu pekat. (bahan A)

5)Ikan yang telah diperap tadi dibasuh terlebih dahulu untuk mengurangkan kemasinan.

6)Celupkan ikan tadi seekor demi seekor kedalam bahan A dan susun didalam bekas yang ditutup rapat (balang atau tupperware) dan dibiarkan selama 4-5 hari.

7)Untuk lebih sedap simpan sehingga 1 minggu.

*Peringatan:Pekasam ikan puyu boleh tahan selama 1-2 bulan sekiranya dibuat mengikut aturan.

Cadangan Hidangan:

Untuk lebih 'kick' goreng sehingga garing dan masukkan bawang (kecil atau besar).Ikan tadi dihidangkan bersama perahan limau nipis.

Tambahan:

Jikalau puan-puan tidak gemar ikan air tawar ikan laut pun boleh dijadikan pekasam. 'SELAMAT MENCUBA'

22 Mei 2010

Tahniah Shahir AF8 (Singgahsana)


Tahniah Shahir atau Ahmad Shahir Zawawi 21, telah pun dinobatkan sebagai Juara AF bagi Musim ke 8. Pada peringkat awal lagi aku telah nampak Shahir punya watak yang cukup lengkap digelar sebagai artis. Perwatakannya yang memang sederhana tidak pernah nampak sombong & sentiasa mudah didekati. Sikap pemalunya amat menambat hati. Tentunya lantaran kehidupannya sebagai orang biasa buat dia seorang yang merendah diri.

Sebelum ini Shahir adalah salah seorang penyanyi kumpulan nasyid Saujana. Ianya menjadikan satu kelebihan lantaran secara pastinya dia tak punya masalah dalam membawa lagu berbentuk dakwah atau nasyid di masa mendatang.

Buat masa ini segalanya terletak di tangan Shahir ke arus mana dia ingin renangi. Yang pasti agar Shahir pandai membawa diri dalam arus dunia artis yang banyak dugaan ini. Jangan sampai lupa diri & terlalu terbawa-bawa hidup glamour yang belum tentu pasang & surutnya.

Agar Shahir akan terus menjadi artis yang disanjung lantaran sikap merendah diri & tidak menjadi artis yang hanya ada nama sekadar sementara. Dunia hiburan akan tambah meriah jika Shahir terus belajar mendalami muzik & satu ketika nanti petah membuat lagu gubahan sendiri. Sering berlaku artis yang hanya bergantung kepada penerbit atau kompuser akan mudah tertinggal bilamana tiada lagu baik yang dapat melonjakkan nama & kepopularan diri.


Ingin menjadi artis besar atau biduan kenalah banyak belajar serta sentiasa mencari sesuatu yang baru demi menaikkan martabat lagu & muzik tanah air.

Selamat maju jaya buat Shahir; aku sudah pasti menjadi peminat setia Shahir lantaran kita bawah sutu bendera!. Kampar & Kota Bharu Perak tidak sejauh mana.

Juara AF8: Shahir Tepati Ramalan!

KUALA LUMPUR, 22 MEI 2010: Seperti yang diramalkan ramai pihak sebelum ini, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21, telah dumumkan sebagai juara pada konsert akhir Akademi Fantasia Musim 8 (AF8) yang berlangsung dengan meriah di Stadium Putra, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dengan persembahan meyakinkan, Shahir memecah rekod sebagai pelajar pertama menjadi juara setelah di AFMASUK pada minggu kelapan lalu selain turut menjadi pelajar pertama dari Perak menjuarai Akademi Fantasia.

Shahir yang menyampaikan lagu baru, Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan sepenuhnya Edry KRU dan Biru Mata Hitamku nyanyian asal kumpulan Wings telah mendapat tepukan yang sungguh bergemuruh dari ribuan penonton yang memenuhi Stadium Putra.

Sebagai juara, Shahir telah membawa pulang hadiah lumayan yang bernilai lebih RM 250, 000 iaitu sebuah kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, Percutian Hebat ke Hong Kong Disneyland dan bekalan BRAND'S InnerShine untuk dinikmati 1 tahun tajaan Cerebos, 2 tiket perlancongan ke New York tajaan Maybelline New York, Set Karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, jam tangan lelaki dan wanita Hugo Boss, Coway Aiar Purifier, percutian 3h/2m di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG dan trofi Juara Akademi Fantasia.

Sementara pesaing utama Shahir, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 19, memenangi tempat kedua dan menerima hadiah sebuah kereta Satria Neo 1.6 CPS HL tajaan Proton, voucer percutian tajaan Maybelline New York, set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, jam tangan lelaki dan wanita Hugo Boss, Coway Aiar Purifier, percutian 3h/2m di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG, trofi Naib Juara Akademi Fantasia.

Daus atau Muhd Shahril Firdaus Eli, 22, mencipta kejutan apabila memenangi tempat ketiga dan membawa pulang set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo, voucer percutian tajaan Maybelline New York, jam tangan lelaki dan wanita Hugo Boss, Coway Air Purifier, Percutian 3h/2m di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG, trofi Akademi Fantasia. Daus menyampaikan lagu baru Kenapa? dan Doktor Pakar Cinta dari Yusri KRU.

Maulana atau Muhd Firdaus Maulana Mohamed, 22, yang turut disebut-sebut pesaing utama Shahir dan Adira sekadar menduduki tempat keempat. Maulana menyampaikan lagu baru RSVP dan Susun Silang Kata dari Aizat. Tempat kelima pula menjadi Iwan atau Emirza Azwan Zulazrin Chew, 20, yang menyampaikan lagu baru, VIP dan Relaku Pujuk dari Spider.

Konsert yang dibawakan oleh penaja utama, Cerebos dan penaja bersama Maybelline dan Modenas itu berlangsung selama 3 jam dan dipancarkan secara langsung di Astro Ria serta turut disiarkan buat pertama kalinya dalam siaran HD di saluran 124. Ia turut menampilkan kemunculan istimewa dari Sham Kamikaze, Tam Spider, Lisdawati, Jeff Tilu dan Sharifah Ariana untuk membantu mereka membuat persembahan.

Bekas pelajar AF8 yang tersingkir iaitu Shah, Ema, Anum, Alif, Nad, Farina dan Ain turut muncul dengan lagu Standing in The Eyes of The World, Generasiku dalam bentuk medley.

Pyan: Shahir Bekas Ahli Nasyid Saujana


Teks oleh Razif Rosdi


KUALA LUMPUR, 12 MAC 2010: Penyertaan Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 21 sebagai pelajar Akademi Fantasia 8 (AF8) menimbulkan kejutan bagi peminat muzik nasyid tempatan kerana pelajar kelahiran Perak itu didakwa pernah menganggotai kumpulan nasyid Saujana yang popular dengan lagu Keluarga Bahagia.

Bagi mendapatkan kepastian tersebut, murai.com.my terus menghubungi ketua kumpulan Saujana iaitu Suffian Amrin atau Pyan, 29 untuk mendapatkan kesahihan tentang persoalan tersebut.

"Ya, Shahir pernah menjadi ahli kumpulan Saujana. Tapi sekarang ni tidak lagi. Senang cakap, dia adalah bekas ahli Saujana saja. Sebenarnya, kami dah setahun tak menghubungi Shahir dan agak terkejut juga bila mendapat tahu penyertaan Shahir sebagai pelajar AF8," ujar Pyan.

Meneruskan perbualan, Pyan menyatakan bahawa Shahir hanya sempat menjadi ahli Saujana selama 2 tahun saja iaitu pada 2007 dan 2008. Namun, pada awal 2009, Shahir meminta izin untuk dilepaskan kerana mahu menyelesaikan masalah pengajian.

"Sewaktu Shahir ada, dia memang banyak membantu. Lagipun, Shahir seorang yang pandai bertarranum. Malah, Shahir ni juga sangat gila bola.

"Seperti yang saya katakan tadi, Shahir keluar Saujana sebab ada masalah dengan pengajian. Tentang masalah pengajian Shahir pun pada awalnya tidak diketahui keluarganya sendiri. Jadi, tidak timbulah isu kami bergaduh atau tidak sebulu. Sebenarnya, saya sendiri yang mengajak Shahir join kumpulan kami.

"Waktu itu, kami memang memerlukan ahli baru setelah beberapa ahli lama bekerja secara profesional sebagai doktor dan jurueta. Oleh itu, saya pun cuba dapatkan maklumat siapakah pelajar UIA yang pakar dan pandai menyanyikan lagu nasyid. Jadi, adik saya yang kebetulan belajar di sana telah mencadangkan nama Shahir," jelasnya.

Dalam pada itu, Pyan akui pernah memujuk Shahir untuk kembali bersama Saujana. Namun, pujukan itu tiada jawapan sehinggalah mereka dapat tahu dia sudah menyertai AF8.

"Kalau boleh kami memang mahu Shahir terlibat dalam album terbaru Saujana bertajuk Nota Cinta. Tapi, apa boleh buat. Memang sudah tidak ada rezeki kami bersama dia lagi agaknya, Walaupun kami terkejut dengan penyertaan Shahir namun kami menganggap ia sebagai satu penyertaan yang cukup positif.

"Apa yang dipilih Shahir adalah kehendak peribadi. Kami tak halang dan kami doakan yang terbaik buat Shahir. Kami harap Shahir jangan lupakan Saujana. Ini kerana, dengan Saujana...Shahir kenal industri muzik tempatan. Paling utama, janganlah Shahir lupa daratan," kata Pyan mengakhiri perbualan.