iDAN

01 Januari 2000

Sajak...PETA dll( Delima Merkah )

1.1.2000
PETA YANG TERKOYAK

Di dada tanah gersang
hancur tinggalan perang
ada secebis peta
peta negara yang terkoyak
cebisan darah mulai mengering
pada mayat tubuhnya tersayat.

Di sini tiada lagi
garis sempadan titik keamanan
sungai tenang mengalirkan damai
gunung agung dan bukit gagah megah
pantai damai lautan tanpa gelora
tasik cantik kekasih berbisik
tentang rasa sayang.

Peta yang terkoyak, Iraq
membentangkan dendam mendalam
pada cebisan tulang menghitam
pada robekan daging terburai!

Peta tiada sempadan sukma
dalam derita yang lama.

AMI MASRA
USJ4, Subang Jaya

SUDAH SEKIAN BULAN

Sudah sekian bulan hayatku melangkah
di jalan tahun ini menggendong harapan
yang setangkai
menggenggam hati emas
akhlak dan jati diri.

Aku akan terus melangkah
di jalan masa
merempuh segala kepahitan cabaran
dengan sejuta tanah
sampai tangan memiliki
harapan jadi realiti.

MOHD ADID AB RAHMAN
SMK Selandar

KITA TIDAK LAGI BERKONGSI MIMPI

Kita tidak lagi
berkongsi mimpi
sedang lena tidur pun
semakin sedar
di hujung pembaringan.

Sesekali
bunyi siul unggas
pada kejauhan
adalah peluit semboyan nurani
tercicip pada tubir qalbiku.

Kitalah pewaris yang sah
di tanah warga bangsa merdeka!

WAN ZAHARI WAN ALI,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.

PERTEMUAN SAJIDAH

Seorang gadis bernama Sajidah, berselimut
di bawah pohon mawar sambil menangis
kerana jarinya ditusuk duri. Pohon mawar
itu sejak sekian lama tumbuh tanpa sesiapa
peduli betapa perit setiap urat akarnya merunut
baja dan gizi bumi untuk meletuskan sekuntum
bunga yang harumnya bakal dihirup kupu-kupu
atau disunting seorang insan bernama Sajidah itu;
setelah sekian jauh kembara dalam kehausan
untuk mentakwil huruf-huruf alam daripada khazanah
Khaliqnya; terus dibacanya dengan lidah fikir
walau dibakar hujan dan direndam kemarau,
namun darah di jarinya seakan kunci ajaib
membuka pintu iman dan taqwanya sekali gus
menyerap makna sebenar kewujudan Allah dan
kefanaan seorang Sajidah yang berkelana mencari
pencerahan. Tusukan duri mawar itu menghantar
hikmah yang tak bisa ditemuinya dalam
mana-mana pesta pora.

DARMA MOHAMMAD
Pasir Mas, 2007

NYAWA MURAH (2)

Adakah anjing yang dipelihara
dari sebuah rumah dan ke sebuah rumah
dipertuankan, dimanjakan, disayangi
dijadikan sebahagian daripada keluarga
hidup lebih mewah daripada manusia biasa
daripada kehidupan berjuta manusia kulit hitam
atau daripada kehidupan manusia kebuluran?

Adakah manusia tidak lagi mempercayai manusia
atau manusia kehilangan kasih sayang
anjing lebih setia kepada manusia
atau anjing lebih tahu berbudi kepada manusia?

NAHMAR JAMIL
Kangar, Perlis

MAHAL RUMAH MURAHKU

Rumahnya kecil
menghimpun harta kebahagiaan
pintu tutup tak berkunci
tidak berpagar
kerap kulihat kucing
marayau-rayau di anak tangga
jarang dipeduli
lelapkah lenamu.

Rumahmu
tersergam indah
menghimpun tempayan permata
pintu berselak kunci mangga besi
dikawal anjing ganas
berpagar kawat duri
dijeling dan kerap dipeduli
lelapkah lenamu.

Rumahku
cuma diredup lusuh payung becaku
kerap melelapkan lenaku
setelah teramat lelah
mengayuh roda kehidupan.

BRIRASA
Butterworth, Jitra

AL-AQSA

Dunia dikelirukan
di antara kerakusan
dan kesantunan
diri si pencabul
yang licik dan asyik
bermain wayang.

Seperti biasa
seakan dunia kembali
memejamkan mata
mencari siapa lebih berwibawa
menyingkir pencabul dusta.

Di sebalik kesakitan
Al-Aqsa robek lukamu
sekadar menjadi tontonan!

MARHAN SR
Taman Seri Duyung 2
Melaka.

KITA YANG SERING KALI TERLUPA

Kitalah yang sering kali terlupa
menjadikan batu itu nilam permata
kaca itu berlian yang tinggi nilainya.

Kitalah yang sering kali terlupa
memainkan melodi kejujuran
agar warga kita tahu erti berdikari
agar warga kita tahu bagaimana
memilih lurusnya haluan.

Kitalah yang sering kali terlupa
memahat jasa yang pernah ditaburkan
pada pusara budi yang kian menyepi
pada manis sepotong mimpi yang ngeri.

ZULFAZLAN JUMRAH
PPJ, Kulai, Johor

ANGIN KEBENARAN

Di sini ada angin
yang meniupkan kebenaran-Nya
siapa lagi kalau bukan Engkau
yang maha mendengar
dan maha melihat
kesaksian yang diberi
lalu teruji
dalam diri
sebuah janji
yang tak akan dimungkiri.

RAZALI MOHAMMAD
Air Molek, Melaka


MENYUSUR DERITAMU SAHABAT

Apa lagi dapat kuungkapkan tentangmu
Bilal bin Rabbah
bila degup langkahmu di syurga
berdenyut di telinga junjungan Nabi
sebagai harga keimanan
terpanggang oleh gelegak padang pasir
melunas sengsara mujahadah
ditindih bungkah-bungkah kejahilan
bergilir libasan jahiliah
diseret landasan perit
yang terpacul di bibirmu, Bilal
ahadun Ahad
ahadun Ahad.

Bagaimana dapat kuungkap
sejarahmu Khabbab
terpadam bara oleh lendir darahmu
kala jasad terheret di pentas derita
hingga terpeta keperitan di belakang tubuh
bukti kemenangan sebuah perjuangan
menggenggam Tauhid huluhiyah
Allahu Ahad
Allahu Ahad.

MOHD HASHIM OSMAN
SMK (F) Besout, Sungkai


BIDADARI YANG PERGI
i
Seperti seorang bidadari
datang dengan wangi kasturi
membawa dian
menyuluhi hari-hari.

Bidadari sering bicara
menyaluti relung sunyi
menyala sumbu sinar persis pelangi
melebar sayap rawan melindungi
daripada kesejukan.

Selalu bidadari
menggilap pudar semangat
dari bibir kristal ketemu
kalimat-kalimat keramat.

ii
Kini bidadari telah
terbang pulang ke tamannya
membina syurga sendiri
di atas peterana berbintang tujuh
meninggalkan sisa harapan, yang
dahulu menerangi
malah sering jua mewangi.

WB RENDRA
Johor Bahru

SERIGALA

Ada Seekor serigala
sedang melompat keluar daripada akalku
ia lapar, marah, luka
dan akur terpaksa membunuhnya.

JAN WARRI
Pulau Pinang

Berita Minggu

Bunga ( Delima Merkah )

1.1.2000
RAHSIA FALSAFAH BUNGA

Sejambak bunga mawar bukan sekadar untuk menyampaikan mesej 'Aku cinta padamu' atau jambangan Carnation yang memberi erti 'moga cepat sihat'. Bahkan setiap bunga sebenarnya mewakili makna tersendiri. Sebab itulah dikatakan bunga mampu menjadi wakil tanpa bicara yang berkuasa merungkap 1001 falsafah atau rahsia yang cuba disampaikan oleh pengirimnya. Ramai yang mengaku mereka hanya tahu erti sekuntum ros merah saja.aduhai.kesiannya!!! Jadi marilah kita pada kesempatan ini menilai ataupun mengkajinya sendiri secara semulajadi.

Erti Ros
Bunga ros atau mawar adalah antara bunga yang paling diminati oleh orang ramai apatah lagi orang perempuan. Bunga ros mampu melahirkan pelbagai jenis bahasa cinta. Kalau nak memujuk kekasih, lebih mudah pujukan itu dilakukan bila disertakan bersama walau sekuntum bunga ros. Lebih cepat cair jadinya! Selain bunga ros, bunga lain juga mampu menyampaikan mesej dan makna tersendiri. Jadi sebelum kamu berkunjung ke mana-mana kedai bunga untuk membuat tempahan untuk dijadikan hadiah atau sekadar penyeri rumah kamu, apa kata kamu kenalpasti dulu kuasa yang dimiliki oleh setiap kuntum bunga yang kamu pilih. Pemilihan jenis bunga yang sesuai dikatakan mampu mendorong harapan dan kegembiraan dalam diri kamu.

FALSAFAH KUNTUMAN BUNGA:

ROS PUTIH
Cinta sejati dan kekuasaan.

BUNGA CARNATION
Bunga ini comel dan boleh didapati dalam beberapa warna seperti merah dan putih. Ia dikatakan mampu membantu menggelakkan perasaan sedih menimpa diri seseorang.

BUNGA CAMELIA
Ia dapat 'memanggil' semangat cinta dan kebahagiaan yang berkekalan selamanya.

BUNGA KEKWA
Bunga ini melambangkan kekuasaan sebuah perasaan cinta.

BUNGA DAISI
Ia mampu meningkatkan daya intuisi seseorang untuk meramalkan sesuatu perkara.

BUNGA IRIS
Ia melambangkan bahawa seseorang itu yakin dengan perasaan yang sedang dialami itu.

BUNGA JASMIN
Ia mendorong ke arah percintaan dan kekayaan.

BUNGA ORKID
Ia memberikan semangat berkobar-kobar untuk menjalani hidup.

ROS MERAH
Boleh mengungkap pelbagai perasaan cinta.

BUNGA MATAHARI
Seseorang itu inginkan dirinya diberikan perhatian dan kehormatan seperti yang sepatutnya.

BUNGA TULIP
Ia membawa rasa cinta dan tuah.

BUNGA IVY
Ia membawa kepercayaan dan kehormatan pada diri seseorang.

BUNGA VIOLET
Ia meningkatkan daya imiginasi seseorang.

KOD WARNA BUNGA
Merah: Perasaan yang berkobar-kobar dalam sesuatu perkara yang sedang atau ingin dilakukan.
Ungu: Apa yang paling penting adalah semangat yang diperlukan untuk melakukan apa saja yang diinginkan.
Kuning: Peluang-peluang yang bakal hidup dalam diri seseorang.
Putih: Semangat mementingkan kebenaran.
Merah Jambu: Seorang mungkin sedang cuba mendekati dirimu!

MAKSUD TERSIRAT
Cuba kumpulkan beberapa orang teman baik. Ambil beberapa jenis bunga segar dan letakkan ke dalam sebuah bekas (ambil bunganya saja). Setiap orang pejamkan mata dan cuba ambil bunga daripada dalam bekas itu tanpa membuka mata. Ha. lepas dah ambil barulah mata boleh dibuka. Perhatikan kelopak bunga itu. Sekiranya:

KELOPAK BUNGA ITU TERLERAI: memberi makna bahawa beberapa keinginan akan diperolehi tak lama lagi.

BUNGA ITU TETAP CANTIK: memberi tanda bahawa tuah akan mendatangi kamu tak lama lagi. Tunggu je la!

BUNGA ITU ROSAK: memberi tanda bahawa kamu mungkin bakal menghadapi beberapa cabaran dalam hidup.