Kerajaan Negeri Perak akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, selepas fatwa dikeluarkan, semua pihak perlu menghormatinya dan tidak mempersoalkannya.
Zambry berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan tarian berkenaan sebagai haram.
Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.
- Bernama
Pemuda PAS dakwa Zambry teruskan amalan syirik Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kecewa dengan tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang didakwanya masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong dua minggu lalu.
Dalam majlis perasmian itu, Dr Zamri didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya. DUN Manong terletak dalam kawasan parlimen Kuala Kangsar.
Ketua pemuda PAS negeri Zawawi Hassan mendakwa upacara tersebut adalah amalan yang diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".
"Upacara meletakkan tiang seri – tiang tengah rumah – dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman… Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini
Zawawi memberitahu demikian ketika ditanya mengenai langkah dewan itu menghantar memorandum bantahan mereka kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada 22 Oktober lalu berhubung perkara itu.
Katanya, dewan itu hari ini turut menghantar bantahan yang sama kepada kesemua mufti di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, meminta penjelasan mengikut hukum Islam berhubung perkara ini.
Zawawi berharap para mufti dapat mengeluarkan ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam tidak terkeliru.
Menurutnya, gambar dan rakaman video ucapara tersebut boleh dilayari dalam lamanweb mereka dan Youtube.
Zawawi berkata, rombongan 15 orang anggota Pemuda PAS Perak menemui Harussani pada 22 Oktober lalu untuk menyampaikan memorandum bantahan tersebut.
Dalam pertemuan di pejabat tokoh agama itu, katanya, Pemuda PAS meminta Harussani menegur atau mengeluarkan fatwa terhadap tindakan Zambry itu.
Zawawi mendakwa Mufti Perak itu menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan Zambry itu dan berjanji akan menegurnya.
iDAN: Tak dapat dinafikan sejak berzaman kita masih terikat dengan adat resam turun temurun tanpa kita sedari amalan yang kita lakukan adalah salah di sisi agama & boleh membawa kita berlaku syirik atau menyekutukan Allah SWT.
Ada beberapa kemungkinan antaranya sekadar mengikut adat resam lama terkadang nak jaga hati orang tua umpamanya pun sementelah tiada yang menegur akan kesalahan ini.
Isunya sama, kenapa kita pasang lilin di kek hari jadi; siap menyanyi lagi, pun kenapa kita berinai pun bersanding semata-mata nak rasa kemeriahan. Kemeriahan ini pula akan menjadi ianya menunjuk-nunjuk & boleh jatuh riak dan pelbagai tanggapan.
Ish! kita buat juga!.
Tarian poco-poco haram?
Sinar Harian
Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib.
Barangkali ramai peminat tarian poco-poco di negara ini terkejut apabila mengetahui tarian yang berasal dari negara seberang ini adalah haram. Tarian ini sangat popular di negara kita pada masa kini. Ia bukan sahaja dilakukan oleh orang kebanyakan malah oleh golongan atasan dalam pelbagai bentuk majlis keraian. Jabatan kerajaan juga tidak ketinggalan mengadakan tarian poco-poco sebagai menggantikan senaman pagi untuk peserta kursus.
Namun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang diadakan pada 24 hingga 26 Januari 2011 lalu memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan. Surat berkenaan ditandatangani Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Asas pengharaman kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. Mesyuarat tersebut juga telah mengambil keputusan bahawa pengharaman tersebut akan diwartakan.
Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib. Sinar Harian cuba mendapatkan komen atau pendapat daripada tokoh agama berkenaan pengharaman tarian poco-poco ini.