iDAN

02 Mac 2009

Atendan pam minyak saman bank RM1j (Ceritera)

IPOH 27 Mac - Seorang atendan pam minyak, Mohd. Azlan Hashim, hari ini menyaman Affin Bank Berhad untuk menuntut ganti rugi RM1 juta kerana didakwa cuai dalam kes pemalsuan perjanjian sewa-beli sebuah kereta pada 20 Ogos 2001 sehingga menyebabkan beliau diisytiharkan muflis.

Mohd. Azlan, 53, dari Blok 5-1-15, Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi di sini mendakwa akibat kecuaian itu, menyebabkan nama dan butir-butir dirinya diperguna dan dipalsukan dalam perjanjian itu.

Menurut beliau, apa yang lebih malang lagi namanya telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Insolvensi Negeri Perak pada 9 Mac 2004.

Beliau mendakwa, kecuaian itu juga menyebabkan beliau mengalami kesengsaraan dan penderitaan sejak lima tahun lalu.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Messrs Al-Murali & Co yang diwakili peguam C. Murali di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd. Azlan sebagai plaintif mendakwa, pihak defendan cuai kerana telah gagal mengambil sebarang langkah dalam memastikan beliau yang sebenarnya telah memohon untuk pinjaman di bawah perjanjian sewa beli tersebut.

Utusan Malaysia