iDAN
22 November 2009
100 Pengikut (Singgahsana)
iDAN
Biar Mati Anak Jangan Mati Adat (Singgahsana)
Afiz nampak stres sangat, terlentang di sofa malas anjung rumah, telinganya mendengar, matanya dipejam. Bebebelan ayahnya yang telah tua ini dengar tak dengar sahaja.
"Bila sampai kes hati yang sebegini berat,.... emmm! ayah tahu Afiz memang merancang mahu bertunang, baik kita ikut adat kita Melayu, kalau mengikut adat Melayu... kita kena merisik dahulu, nanti kalau Afiz lapang cuba baca apa yang tertulis di dalam internet ini; bagaimana sebenarnya adat Melayu kita ini memang begitu cantik. Apa itu merisik atau menilik!"
MENILIK ATAU MERISIK
Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.
Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah ditebuk tupai bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.
Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”. Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.
Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.
Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.
Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.
http://www.ashtech.com.my/adat
- bersambung
"Lagipun belanja bertunang itu agak mahal, memanglah jika mahu meminang anak orang pihak lelaki kenalah berkorban; kena bersedia dengan segala pengorbanan tetapi kita ikutlah adat kita!" Afiz tak bergeak lagi dari sofa, masih terlentang dengan matanya tetap tertutup.
"Mengikuti adat kita Melayu bertunang itu kena kasi cincin yang berbatu, tak kisahlah semahal mana... kecil atau besar tapi bersertakan dengan hantaran serba satu itu... banyak belanja tu!" Ada yang minta serba dua kalau adaka kakaknya tak kahwin lagi.
"Itu kita fikirkan kemudianlah, yang penting kita kena pergi merisik dulu!" Afiz ini masih senyap sepi. "Hafiz mengapa ini senyap sahaja ni!.." aku tahu Afiz dengar aku membebel dia pura-pura tidur sahaja. Tak munasabah baru kejap tadi dia balik dari ofis tempat dia praktikal, tetiba letak kepala terus tertidur!. Aku sekadar cuba menarik perhatian dia.
aku baru pulang dari Kampung Sayong Hilir 2:00 pagi
mengantuknya!.
"Cincin belah rotan, atau cincin tanda dulu sekitar RM200 sahaja!, kalau Afiz tak cukup duit ayah akan bantu & pujuklah ibu untuk bantu Afiz!, ibu bukankah orang kaya!" nampak Afiz mengalih badannya di sofa, terkesima juga dia dengan bebelanku "Kalau harga emas naik pun baru sekali dua ganda kut! dalam empat lima ratus RM takkan tak jumpa cinta belah rotan itu!." Aku pun tak pasti berapa harganya terkini.
"Emmm! Afiz tak culup tidurlah ayah..." Ada pn suara siAfiz ini!. Penat aku ingin memahamkan hati anak teruna seorang ini.
"Semalam ayah balik sekitar 2:00 pagi nampak Afiz telah tidur lena.."
"Bukan tidur ayah, Afiz tengah berfikirlah!"
-Bersambung