iDAN
05 Mei 2009
Hospital Serdang Wad Rawatan Am (Singgahsana)
Ceriteranya sama, jika mahu berjumpa dengan doktor di Hospital Kerajaan bersedialah menunggu sekitar tiga jam. Tak mungkin awal dari itu; selain memang kita sakit tenat, kemalangan & luka yang berstatus kecemasan;
Setelah Aziq dibedah lantaran sakit appendixnya tempoh hari. Hari ini dia & aku pergi ke Wad Pembedahan Am, Hospital Serdang untuk membuat rawatan susulan. Setelah bertanya dari satu kaunter ke satu kuanter maka barulah kami dapat nombor giliran.
"Encik ada bawa surat akaun dari sekolah anak encik tak?" Tak tahulah pulak kena surat akaun semua tu, semasa di Sekolah Teknik Aziq tadi ada juga pegawai di pejabat sekolah itu menyebut tentang surat akaun tersebut.
"Saya ini staf kerajaan & sekarang telah berpencen, ini kad pencen saya.... pencen muda..." Perasanlah tu; Aku menghulurkan kad pencenku.
"Kad pencen pun okey!, kalau di wad tu nanti ada tanya tentang surat gerenti segala, encik tunjukkan kad pencen tu.."
Mudah juga jadi orang berpencen, tak payah nak minta surat gerenti daripada kerani gempal lagi garang di tingkat tujuh itu. Aku & Aziq mengelamun melihat pesakit lain yang menunggu giliran. Nombor Aziq 2033, sekarang baru 2015, berapa ramai lagi. Jam menunjukkan 11:35 pagi. Mengikut di buka pesakit temujanji kami ialah 12:30 tengah hari. Senngaja kami redah awal; Maka aku & Aziq tak kisahlah jika dilayan lewat. Kami cepat datang sekitar sejam.
Yang sedihnya lagi lugunya telah pun sejam lebih kami menunggu, baru bergerak dua angka; 2017. Mak datuk! kalau sejam cuma dua pesakit; apa akan jadi program aku mahu ke Pej Cukai Pendapatan dengan Eris & Atan. 12:30 tengah hari, isk! aku congak-congak memang tak akan sempat mahu ke mana-mana lagi. Kena jadi petapalah aku di Hospital Serdang ini. Jam 1:00 tengah hari lebih aku telefon Atan & Eris; mengatakan batalkan saja program kami.
Aku teringat semasa aku di wad kecemasan, lantaran naik tinggi melambung tekanan darahku. Datang naik ambulan, duduk di tempat menanti dari jam 10:00 pagi hingga dekat nak masuk waktu magrib. Congaklah berapa jam aku terpaksa menanti untuk ketemu doktor.. Itu di wad kecemasaan. Perbagai drama & ceritera berlaku di depan mataku. tak sanggup rasa melihatnya. Ini kan pula di Wad Pembedahan Am ini.
Apakah masalah kekurangan doktor masih tidak selesai, apakah hospital sekadar diujudkan sebagai mercu tanda yang kerajaan kita prihatin tetapi apakah masalah perkhidmatan adalah perkara kedua. Telah ada ISO tetapi bayangkan jika masa tiga jam lebih terbuang dengan menunggu tanpa berubah sejak berzaman.
Hampir jam 2:15 petang barulah nombor Azig dipanggil. Yang kelakarnya tak sampai pun lima minit, dah keluar dari kamar doktor.
"Seminit tak sampai sampai jumpa doktornya, menunggu sampai dua jam lebih..." Aziq bersuara.
"Tak baik cakap seminit, kita andaikan sahaja kurang lima minit... sedap sikit bunyinya.."
Begitulah ceriteranya. Untuk menghormati temujanji doktor yang telah merawat Aziq dengan jayanya. Bangun seawal 6:15 pagi, meredah KL untuk ke ofis Mila dulu kemudian baru Gombak, jumpa Cikgunya minta surat kebenaran keluar. Redah kembali kesesakan KL untuk ke Hospital Serdang. Menunggu lamalah amat. Kira-kira separuh hari masa terbuang semata-mata mengikut temujanji doktor. Padahal tak sampai lima minit untuk ketemu doktor.
"Inilah antara perkara pelik dalam hidup kita ni.. yang terpaksa kita tempuhi Aziq..!" Aku bersungut akur menuju ke Jenaris. Nanti petang terpaksa hantar Aziq ke asramanya semula.
Langgan:
Catatan (Atom)