iDAN

26 Mei 2010

RM10 besarkah nilainya (Singgahsana)


"Pakcik tolong kasi saya RM10, saya tercicir beg duit" aku terkelu melihat wajah anak muda ini, nampak segak. Rambut trojan, siap pakaian sukan. Tak seperti budak dadah pun.

"Pakcik memang tak bawa duit dik, tertinggal dalam kereta!" sebenarnya dalam hati berkata juga kenapa aku yang dikejarnya; ramai orang lain ada di lorong itu. Kenapa nak RM10, kenapa tak minta duit siling sahaja nak telefon kawan untuk menjemputnya.

"Betul Pakcik saya hilang beg duit, kalau tak percaya Pakcik ambil telefon bimbit ini sebagai cagaran. Telefon ini lebih mahal dari RM10" Lagi pelik kalau ada telefon bimbit lagi tak masalah nak telefon kawan pasti banyak nombor kawan tersimpan dalam telefon bimbit tersebut.

Aku pun berjalan laju menuju ke Masjid Sungai Besi; cadangan aku nak makan cendol Sungai Besi terbantut. Anak muda Trojan ini mengekuri laju.

"Awak mintalah tolong dengan orang lainlah, Pakcik pun nak guna duit! RM10 tu banyak sangat! telefon awak itu bukankah mahal" Telefon Nokia hitam putih model lama. Aku ingat nak kasi duit siling untuk dia telefon kawannya. Aku lantas buka pintu Avanza, seingat aku dalam Avanza banyak duit siling; bila aku toleh ke arahnya aku tergamam; tak nampak anak muda trojan tadi.

Azim terkedek-kedek berlari kearah aku.

"Panik ayah Azim, ada orang minta duit ayah!."

"Apa pasal berapa dia minta!"

"Dia kata dia tercicir beg duit, dia minta RM10... ayah pula rasa macam tak yakin sahaja; takut dia menipu, pura-pura hilang beg duit! siap nak kasi telefon dia!"

"Abis! tu kalau dia benar-benar hilang beg duit tak kasihankah ayah dengan dia..."

"Ayah tak suka dengan telefon bimbit; kalau Azim rasa nak tolong dia ambil duit RM10 ini dia janji nak kasi telefon Nokia dia tu!" Azim diam, aku terus mencari-cari bayangan pemuda ini. Mana pula menghilangnya.

"Emmm! biarlah dia minta tolong dengan orang lain!" keluhku.

Sepanjang perjalanan aku ke asrama Aziq di Gombak; pelbagai fikiran berligar di kotak andaian aku!.

- kenapa mesti nak RM10, jauh sangatkah rumahnya!

- apakah memang dia kehilangan beg duit; kenapa tak minta dekat gerai orang Melayu bersepah di lorong tersebut cagarkan telefon bimbit itu kejap!

- kenapa tak minta duit siling kalau memang ada telefon bimbit tapi tak ada kredit, cukuplah dengan meminta bantuan duit siling.

- kenapa aku yang dia kejar sedang masa aku berligar kat gerai cendol aku nampak ramai orang kita Melayu di situ.

- ada Candid kamerakah mengintip aku; kalau keluar TV Isk! kedekutnya aku ini!.

- atau anak muda itu bukan orang! sebabnya bila aku toleh puas aku perhatikan; tak nampak pun gelagat dia... orang tak ramai mana.

Huh!.