iDAN
20 Julai 2011
Cinta Tiga Segi
Life In A... Metro agak pelik nama filem hindustan ini. Ada beberapa skrip yang digabungkan di mana banyak berkisar kisah cinta tiga segi. Kecurangan seorang suami, pun isteri nan setia biarpun hatinya terluka serta cinta jejaka yang bukan pada tempatnya.
Pergolakan demi pergolakan yang buat kita rasa rimas menontonnya. Di mana ada ketikanya kita marah dengan suami yang curang. Dalam masa yang sama seorang isteri pula pantang sepi boleh melencung ke lain. Bermakna cinta amat rapuh & tak kenal apa itu erti kesetiaan serta kejujuran.
Dalam masa yang sama cinta yang terhalang tetapi ianya ketemu ketika yang lewat, sekadar hidup gembira sementara & dunia ini akan sepi kembali dengan pemergian kekasih yang berusia.
Selain Shilpa Shetty turut berlakon adalah Dharmendra
Kolesterol tidak mengira saiz badan
Gambar IZHAM JAAFAR
APABILA bercerita mengenai kolesterol, biasanya hanya mereka yang berbadan gemuk atau berisi dikatakan akan berdepan dengan masalah ini.
Bagaimanapun tanggapan itu sebenarnya memang salah.
Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah tidak bergantung kepada saiz badan seseorang.
Jadi tidak pelik jika seorang yang kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Pakar Diet Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarulzaman berkata, kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.
''Hanya melalui profil lipid yang menerusi ujian darah yang merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), Kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida dapat mendapatkan jumlah sebenar kolesterol dalam tubuh," katanya.
Katanya, sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.
''Kolesterol pula terbahagi kepada dua iaitu kolesterol jahat yang merujuk kepada LDL dan kolesterol baik pula HDL,'' katanya.
Katanya, kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.
Sehubungan itu katanya, seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal.
Mazuin memberitahu, ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok yang merupakan antara pembunuh utama kepada rakyat negara ini.
Jelas Mazuin, lebih baik jika menjaga pemakanan setiap hari supaya tahap kolesterol tidak merbahayakan kesihatan.
"Jauhi makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging, produk tenusu, santan, minyak kelapa sawit, ais krim, coklat dan susu pekat manis kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL)," katanya.
Mazuin menambah, elakkan juga makanan yang mengandungi lemak trans (lemak terhidrogen) yang terkandung dalam makanan komersial tersedia seperti kek, biskut, snek, mentega kacang dan makanan berproses seperti sosej, pai, nugget, burger dan donut yang mengandungi kolesterol jahat (HDL).
Katanya, hadkan pengambilan makanan itu kerana ia akan merendahkan kolesterol baik (HDL).
"Makanan yang mengandungi lemak tak tepu pula dapat mengurangkan risiko serangan jantung kerana mengandungi anti-oksida dan tidak akan meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL),'' katanya.
Bagaimanapun katanya, jika diambil dalam jumlah berlebihan akan meningkatkan berat badan seseorang.
Jelas Mazuin antara makanan itu terdiri daripada jenis minyak seperti zaitun, bijan, kacang, jagung, kanola manakala ikan dari jenis salmon, tuna, mackerel, cencaru, tongkol, tenggiri, selain bijian, kekacang dan marjerin tidak tepu (soft).
Bagi mengelakkan penggunaan lemak yang berlebihan kata beliau, sebaiknya gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak seperti goreng ikan.
''Gunakan minyak jenis lemak tak tepu jika ingin memasak dengan minyak yang sedikit seperti mengoreng sayur dan sebagainya,'' katanya.
Selain itu, katanya elakkan menggunakan menggunakan minyak berulang-kali terutama apabila ia adalah minyak lemak tak tepu.
''Toskan dan keringkan minyak daripada makanan bergoreng dengan menggunakan tisu dapur sebelum dihidangkan,'' katanya.
Mazuin memberitahu, elakkan juga penggunaan bahan mencelup tepung kerana ia akan menyerap lebih banyak minyak.
Sebaiknya pelbagaikan teknik masakan dalam seminggu iaitu mengukus, membakar, merebu dan sebagainya dan gunakan kuali tidak melekat.
Selain itu, gantikan masakan yang menggunakan santan dengan susu rendah lemak.
Apendiks ibarat bom jangka
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
|
|
JANGAN salahkan keturunan, gaya hidup mahupun apa yang dimakan apabila tiba-tiba anda didiagnosis dengan penyakit apendiks.
Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Peh Kiam Heng, penyakit tersebut ibarat bom jangka yang boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tanpa mengira gaya hidup atau apa jua faktor lain.
Jelas beliau, ia sebenarnya bermula dari bahagian abdomen atau perut.
"Bila kita makan, makanan akan masuk ke salur pemakanan dari perut ke usus kecil dan akan ke usus besar.
"Makanan yang kita kunyah akan dihadam, kemudian dicerna dengan sebaiknya oleh organ penghadaman.
"Makanan tersebut akan bertukar menjadi bentuk serbuk dan usus besar menyerap air. Apabila menjadi bentuk ini, ia senang masuk dan sekali gus menyumbat satu ruangan kecil yang diberi nama apendiks," jelasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.
Menurut beliau, apendiks kalau tersumbat pasti menyebabkan perjalanan dan bekalan darah seseorang terganggu.
Apabila terganggu, mudah jangkitan berlaku menyebabkan apendiks tersebut membengkak dan menimbulkan kesakitan.
"Apabila bercakap tentang penyakit apendiks, kita sering mencari punca mengapa boleh terkena penyakit ini. Sebenarnya, bukanlah disebabkan tabiat pemakanan, atau genetik.
"Sesiapa yang mengalaminya boleh dikategorikan sebagai kurang bernasib baik kerana apendiks bukanlah disebabkan anda seorang pemakan cili padi tegar atau bagi masyarakat Cina tabiat terus berlari lepas makan.
"Kesemuanya tidak ada kena mengena. Tiada kajian yang membuktikan perkara tersebut puncanya. Ia memang ibarat bom jangka," jelasnya.
Beliau menjelaskan, salah satu simptom sakit apendiks adalah kesakitan pada bahagian sebelah kanan bawah pusat hingga kadang kala menyebabkan pesakit demam, rasa memulas, loya dan muntah-muntah.
Namun, ada juga simptom yang tidak klasikal, contohnya perut rasa tidak selesa selepas makan dan berlanjutan hingga berhari-hari.
"Ada juga yang terasa kelainan di dalam perut. Namun, pesakit tidak pasti sakit di bahagian mana.
"Kalau kes yang sebegini, kita akan tahan pesakit di wad untuk pantau keadaan seterusnya.
"Cara diagnosis apendiks adalah mengikut prosedur klinikal sepenuhnya yang mana ia bergantung pada pengalaman doktor memeriksa keadaan pesakit dan ujian darah.
"Bila pesakit disyaki menghidap apendiks, biasanya langkah pertama kita akan ambil darah untuk melihat sama ada sel darah putihnya meningkat atau sebaliknya.
"Selepas itu barulah kita ambil sampel air kencing.
"Memang ada pesakit yang akan bertanya kenapa perlu ambil air kencing. Prosedur ini perlu dilakukan untuk mengenal pasti penyakit secara tepat kerana penyakit kencing kotor juga mempunyai simptom yang sama.
"Jadi untuk mengelakkan salah diagnosis dan rawatan sebaiknya, ujian dijalankan terlebih dahulu," ujarnya.
Sepanjang bergelar pakar, Dr. Peh mengakui perubahan corak pesakit yang dirujuk kepadanya.
"Pesakit zaman ini ramai yang berpendidikan tinggi, mereka rajin mencari maklumat tentang penyakit di Internet.
"Seperkara lagi, mereka memang sangat prihatin dengan tahap kesihatan diri masing-masing. Kebanyakan pesakit saya di hospital swasta ini selalunya sudah dirawat di peringkat awal.
"Berbeza dengan kebanyakan kes yang saya terima ketika berkhidmat di hospital kerajaan dulu ada di antara kes yang apendiksnya pecah dan terpaksa dirawat di ICU," katanya.
Beliau juga meminta pesakit apendiks agar tidak takut dengan pembedahan.
"Prosedurnya seperti pembedahan konvensional lain. Namun, kini terdapat cara moden iaitu laparoskopi iaitu potongan kecil dilakukan untuk kamera, manakala dua lubang lagi untuk peralatan umpama guna penyepit untuk menyingkirkan apendiks.
"Selepas pembedahan, pesakit biasanya tinggal di wad selama tiga hari," jelasnya.
Anuar dedah kisah cinta
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ABDUL RAZAK LATIF
|
|
APABILA memperkatakan tentang penyanyi lelaki yang seorang ini, dia memang cukup berahsia tentang hal peribadinya terutama kisah cinta.
Baginya ia adalah sesuatu yang cukup sulit untuk diceritakan dan dikongsikan bersama masyarakat melainkan apabila dia benar-benar bersedia untuk mendedahkannya.
Begitu juga dengan kisah perkahwinan. Tanyalah kepada tuan punya badan, jawapannya akan tetap sama. Tidak akan berganjak sedikit pun.
Namun, entah mengapa, pada malam Jumaat lalu Anuar Zain begitu terbuka untuk menceritakan kisah peribadi tentang cintanya yang terputus di pertengahan jalan.
"Saya pernah menjalinkan hubungan dengan seorang gadis sekitar tahun 2000. Ketika itu saya berusia 25 tahun manakala dia pula 19 tahun. Semuanya berjalan dengan baik sehinggakan dia sendiri menyuarakan kesediaannya untuk menjadi isteri saya.
"Tetapi, ketika itu saya belum bersedia kerana karier baru bermula. Dia faham dan tidak kisah untuk menunggu saya sehingga usianya mencecah 25 tahun.
"Namun akhirnya, dia meninggalkan saya dan berkahwin dengan orang lain. Sesungguhnya ia sesuatu yang cukup menyedihkan saya," kata Anuar sebelum menyampaikan lagu Kembalilah Kasih yang merupakan kisah sebenar pengalaman cintanya itu.
Kerana penghayatan yang cukup mendalam sewaktu mendendangkan lagu balada indah itu, secara tiba-tiba, suara Anuar tersekat-sekat menahan air matanya daripada mengalir.
Melihatkan reaksi Anuar itu, secara spontan seorang peminat perempuan tampil ke pentas dan menyerahkan tisu untuk Anuar mengelap air matanya.
"Atas alasan itu, saya memang jarang menyanyikan lagu Kembalilah Kasih ini kerana ia benar-benar menusuk kalbu dan menyentuh hati saya.
"Cuma, malam ini saya sengaja mahu menyanyikannya demi peminat yang saya tahu ada di antara mereka yang turut menggemari lagu ini," jelas Anuar dalam persembahan Up Close and Personal With Anuar Zain yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Persembahan eksklusif Anuar itu adalah sebahagian daripada acara yang tersenarai dalam Festival Kuala Lumpur 2011 yang berlangsung sepanjang bulan Julai ini.
Sebelum menyampaikan lagu Kembalilah Kasih, Anuar membuka tirai persembahan pada malam itu dengan lagu Ku Berjanji Karna Cinta dan Kau Bunga Cintaku.
Biarpun bermula lewat setengah jam daripada waktu asalnya iaitu 9.30 malam, namun peminat setia Anuar yang memenuhi setiap ruang Mega View Banquet Hall tidak langsung berganjak dan menunggu dengan penuh setia.
Seperti mana persembahan Anuar sebelum ini, memang tidak sah dan bagaikan satu 'kesalahan' seandainya jejaka pujaan wanita itu tidak turun dari pentas dan beramah mesra dengan peminatnya.
Umpama gula yang dihurung semut, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini tetap menjadi tumpuan lensa kamera peminatnya yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya.
Sehinggakan ada sekelompok peminat yang sudah mengeluh dan menjerit meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila Anuar tidak datang ke meja mereka.
Memang sukar menjadi figura popular seperti Anuar. Apatah lagi adanya peminat fanatik yang terlalu gilakannya, mahu atau tidak, Anuar harus memenuhi kehendak setiap seorang daripada mereka yang telah mengeluarkan belanja yang bukan sedikit untuk menonton persembahannya.
Bayangkan harga-harga tiket untuk menyaksikan persembahan Up Close and Personal With Anuar Zain itu memang bukan calang-calang harga apabila semuanya bermula dari RM500 hingga RM1,300 seorang.
Tidak mahu menghampakan peminat yang terus mendambakan lagu balada popularnya, Anuar yang tampil dengan sut serba hitam itu turut menyampaikan lagu Ketulusan Hati.
Bagi memberi kelainan untuk persembahannya itu, bekas pramugara Penerbangan Malaysia itu turut menyampaikan dua buah lagu malar segar, Epilog Cinta Dari Bromley dan Tiada Maaf Bagimu yang diberi susunan muzik baru.
Sungguh syahdu dan bagaikan terleka sebentar mendengar alunan indah Anuar menerusi dua lagu itu yang merupakan antara dua buah lagu klasik yang menjadi kegemaran Anuar.
Tidak ketinggalan, penyandang gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik dua kali ini turut menyanyikan lagu klasik, Cry Me A River sebelum memilih lagu Suria & Siarra dan Sedetik Lebih untuk repertoire seterusnya.
Dengan rangkaian lagu-lagu popularnya, ternyata sukar juga untuk Anuar membuat pilihan bagi memenuhi cita rasa setiap peminatnya.
Sehinggakan dia sendiri menyerahkan kepada peminatnya untuk memilih di antara lagu Perpisahan dan Lelaki Ini sebelum menyampaikan sebagai lagu penutup.
Diukur kepada kekuatan sorakan peminat, nampaknya keputusan berpihak kepada lagu Perpisahan yang merupakan lagu tema filem Cinta.
Kepuasan Anuar
BERTEMU dengan Anuar dalam satu pertemuan singkat usai persembahan itu, memang terpancar riak kepuasan di wajahnya.
Jelas penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Keabadian Cinta dan Musim Berlalu itu, semangat dan aura penonton pada malam itu banyak membantunya untuk mempersembahkan yang terbaik.
"Seronok melihat mereka gembira dan teruja dengan persembahan saya. Memang saya tidak nafikan mereka antara audiens terbaik yang pernah saya hiburkan," jelas adik kepada penyanyi wanita popular, Ziana Zain ini jujur.
Perancangan album Anuar
Kalau duduk bersembang dengan penyanyi lelaki ternama negara ini, memang tidak sah kalau tidak ditanyakan tentang perkembangan album solo keempatnya.
Mana tidaknya, empat tahun sudah berlalu dan sehingga kini albumnya itu masih belum menampakkan bayangnya.
Mengenali Anuar, dia memang cukup cerewet dan seorang yang amat mementingkan kesempurnaan serta kualiti terbaik untuk setiap albumnya. Maka itu, tidak hairanlah apabila ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan.
"Album keempat saya memang sudah siap sepenuhnya tetapi saya tidak puas hati dengan proses adunan dan mastering album itu.
"Buat masa ini, saya dan pihak pengurusan sedang menilai semula album itu untuk meneliti masalahnya. Saya mengakui kos penerbitan album ini sudah meningkat sehingga boleh menerbitkan dua buah album lagi.
"Jika semuanya berjalan lancar, insya-Allah, ia akan dipasarkan sebelum penghujung tahun ini," kata Anuar.
Belum sempat album solo keempatnya dipasarkan, Anuar sudah pun mempunyai perancangan untuk lahir dengan album kelimanya.
Merupakan sebuah album tribute, jelas Anuar dia mahu merakamkan lagu-lagu popular dari seawal tahun 40-an sehinggalah tahun 80-an.
"Kalaulah lagu itu dirakamkan pada tahun 2005 sekali pun tetapi ia sebuah karya yang bagus, sudah pasti saya berminat untuk merakamkan kembali.
"Bagi saya, lagu Melayu cukup indah baik dari segi melodi dan liriknya. Tetapi, saya akan tetap mengekalkan keaslian lagu itu walaupun diberi susunan muzik baru.
"Dalam erti kata lain, ia adalah interpretasi saya untuk lagu-lagu itu yang lahir dari jiwa saya," ujar Anuar yang turut menggemari lagu-lagu seperti Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza) dan Penantian (kumpulan Harmoni).
Kesedaran rendah punca mudah tertipu sindiket siber
LANGKAWI 20 Julai — Tahap kesedaran rendah antara faktor masyarakat di negara ini mudah ditipu sindiket siber, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan.
Katanya, jenayah siber dalam negara didapati meningkat melebihi 100 peratus sejak tahun 2005.
"Penggunaan komputer dan telefon bimbit memudahkan operasi sindiket untuk menipu orang ramai,” katanya pada sidang media selepas tamat perbarisan latihan kursus asas oleh 299 konstabel polis siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini. Kursus itu berlangsung selama enam bulan.
Dalam ucapannya sebelum itu, Syed Ismail berkata Pulapol Langkawi mencatat sejarah kerana seramai 299 anggota yang tamat latihan adalah kumpulan pertama dilahirkannya.
Katanya, beliau berharap kumpulan itu akan bertugas dengan penuh dedikasi dan menjauhi gejala tidak sihat seperti rasuah dan salah guna kuasa. - Bernama
Rasuah golongan muda membimbangkan
BUTTERWORTH 20 Julai - Jumlah golongan muda yang terbabit dalam amalan rasuah semakin membimbangkan berikutan 61 peratus kes tangkapan di Pulau Pinang pada enam bulan pertama tahun ini melibatkan golongan itu.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Latifah Md. Yatim berkata, peratusan tangkapan yang melibatkan golongan itu sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 71 peratus.
"Sebanyak 27 daripada 44 tangkapan di negeri ini antara Januari hingga Jun tahun ini melibatkan golongan muda iaitu mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun,” katanya kepada pemberita selepas Forum Perdana Ehwal Islam, di sini, hari ini. - Bernama
iDAN: Ini yang berlaku di tempat lama aku berkerja, mengadu kepada bos pun bukan memihak kepada kita yang tak berani terima rasuah; bos lebih sayang orang yang buat kerja rasuah.