Berderet kereta di simpang jejantas nak keluar Jenaris. Lampu isyarat ini sudah banyak mengorbankan nyawa. Aku pernah menulis puisi Jujuran Kubur tapi tak mendapat perhatian editor media massa tempatan. Jujuran Kubur ini maksudku jika dikebumikan di sisi jalan raya mangsa kemalangan maut di Malaya udah pasti penuh kubur di sepanjang jalan raya seantero Malaya ini.
10:25 pagi aku tenguk jam di Avanza. Terbabas lebih setengah jam perancanganku. Masih dalam lingkungan waktu selamat@afdal. Bas bertolak jam 11:30 nanti. Sebab masa aku pertama kali hantar Azim dengan Almera aku boleh buat sekitar setengah jam ke Hentian Pekeliling ini. Aziq makan kuih sagu & air kotak yang aku sediakan. Aku jadi bos duduk di kerusi belakang. Avanza ni selesa ada corong penghawa dingin sendiri di belakang.
Sekitar Lebuh Raya Grand Saga tak sesak. Petanda baik; kami masuk Smart Tunner menuju ke Bulatan Kuantan. Sekitar Bangunan Tabung Haji aku suruh Aziq buka Wave. Jika guna awal Wave ini memang boleh sesat, entah di mana jalan pintas dicadangkannya, jika terlajak satu simpang. Nahas. Meraban nanti. Nak masuk ke Hentian Pekeliling ini memang kena peka betul. Macam lubang tikus hanya ada satu lorong sahaja.
Melebihi masa yang aku ambil. Sekitar 11:15 pagi baru kami sampai. Dari bertiga orang sepatutnya naik bas ke Jengka ini; kami yang awal sampai. Selang beberapa ketika rakan kedua Azim sampai bersama ibunya. Maing-masing pegang HP. Cemas menanti. Rakan Azim yang beli tiket tak sampai-sampai. Hilang hubungan.
Penumpang udah naik bas barulah dapat kontak rakan Azim yang beli tiket. Wsapp atau laman sosial lain tak dapat membantu. Melalui bualan di HP dia pun tak tahu dia di mana. Tanya staf empunya bas di kaunter tiket tak ada jalan lain terpaksa beli lagi tiket. Pelik kan? Patutnya jika guna wsapp buktikan dengan gambar buat macam fax okeylah. Tidak. Zaman moden tak semua urusan boleh cara moden. Tarak budi bicara.
Hangus tiga tiket bas. Nak ke Jengka bertiga terpaksa guna 6 tiket. Huh memang inilah berjanji di KL jika tidak pandai merancang waktu memang aniaya. Rakan Azim yang tersangkut di sesak KL terpaksa naik bas 2 jam kemudian. Jika nak tunggu dia di Hentian Pekeliling tu dua jam bukan ada tempat lepak yang selesa di situ.