iDAN

22 Ogos 2009

Janda RM7j (Ceritera)

Oleh ISMA ISMAIL, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Menuntut hak, ambil kesempatan atau tamak? Itulah persoalan yang timbul apabila ada wanita membuat tuntutan hingga jutaan ringgit daripada bekas suami mereka apabila berlaku perceraian. Sepanjang tahun lalu hingga Ogos tahun ini, tujuh kes perceraian membabitkan pemimpin politik, ahli perniagaan dan artis boleh dianggap paling mahal atau elit apabila jumlah keseluruhan tuntutan mereka melebihi RM7 juta. Tuntutan paling tinggi dibuat Siti Aishah Chou Abdullah, 24, iaitu bayaran mutaah RM3 juta daripada bekas suaminya, Wan Ismail Wan Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Kelantan. Ini diikuti bekas pramugari, Nor’aini Md Dom, 48, yang menuntut bayaran mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya, Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin, 57, pada November tahun lalu.

Azizah Ali, 47, bekas isteri pemilik syarikat perunding kejuruteraan awam di Kuala Terengganu, Terengganu, turut membuat tuntutan mutaah RM2 juta daripada bekas suaminya.

Apabila ditanya mengenai rasional tuntutan dibuatnya, Siti Aishah berkata, biarpun ada pihak menganggap RM3 juta yang dituntutnya keterlaluan, jumlah itu sebenarnya wajar. “Saya bukan tamak atau ingin mengaut hartanya tetapi jumlah tuntutan itu wajar kerana dia (bekas suami) tidak tunaikan janji dibuatnya sebelum kami berkahwin selain mengambil kira pengorbanan saya untuk menjadi isterinya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad. Wanita berasal dari Kemboja itu berkata, tuntutan mutaah RM3 juta itu adalah pampasan perceraiannya kerana dia dan dua anak, Wan Mohd Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, hidup terumbang-ambing selepas bercerai. “Saya sanggup tinggalkan tanah air sendiri untuk berkahwin dengannya (bekas suami) kerana percaya mampu dapat perlindungan tetapi sebaliknya pula berlaku. “Sebelum berkahwin, dia (bekas suami) berjanji mahu beri rumah besar (banglo) dan kereta mewah, tetapi semuanya hanya tinggal janji,” katanya. Menurut Siti Aishah, selepas perceraian mereka disahkan pada 18 November tahun lalu, dia terpaksa pikul semua tanggungjawab mencari nafkah bagi menampung belanja dengan bantuan keluarganya. Di kalangan artis pula, penyanyi popular 1980-an, Siti Fairuz Sheikh Mohamad, antara yang membuat tuntutan mutaah tertinggi iaitu RM200,000 selain pelakon, Norish Karman yang menuntut nafkah perbelanjaan RM11,000 sebulan daripada bekas suaminya, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir. Siti Fairuz berkata, dia menuntut bayaran RM200,000 daripada bekas suami, Mohamad Zainuddin Kordi, 46, kerana jumlah itu adalah haknya. “Mungkin ada yang menganggap tuntutan RM200,000 besar dan boleh membuatkan saya hidup mewah tetapi jika diukur daripada tahap ekonomi serta kehidupan sekarang, ia jumlah yang kecil. “Sepanjang 20 tahun berkeluarga, saya hanya menjadi suri rumah sepenuh masa dan tiada tabungan untuk masa depan. Oleh itu jumlah berkenaan saya tuntut sebagai hak, selain anggaran sepanjang tempoh perkahwinan,” katanya. Menurut Siti Fairuz, jumlah itu dikira tidak mencukupi untuk dia membeli kediaman dan sebagainya, namun memadai baginya meneruskan kehidupan bersama lima anak di bawah tanggungannya. “Ia boleh dianggap sagu hati perkahwinan dan saya akan gunakan untuk memulakan perniagaan bagi masa depan anak,” katanya. Norish pula dalam hujah bertulisnya menyatakan, dia menuntut nafkah sementara RM11,000 sebulan kerana bekas suaminya mampu menyediakan tuntutan itu berdasarkan pendapatan yang dianggarkan sehingga RM20,000 sebulan. “Permohonan dibuat demi kepentingan dan kebajikan anak supaya mereka dapat hidup selesa, gembira, berjaya dunia dan akhirat, walaupun rumah tangga ibu bapa mereka tidak dapat dipertahankan.” Demikian antara kandungan hujah bertulis tuntutan Norish yang difailkan melalui peguam, Akbardin Abdul Kader, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 17 Julai lalu. Hasil perkongsian hidup dengan Hashimuddin, Norish atau nama sebenarnya Nor’ Asikin, 34, dikurniakan tiga anak iaitu Muhammad Haqiem Amany Hashimuddin, 10; Muhammad Hady Amieran Hashimuddin, 6; dan Nur Hanyz Amanda Hashimuddin, 5. Dua lagi artis yang turut mengemukakan tuntutan nafkah tinggi daripada suami ialah pelakon, Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon dan Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain. Kes tuntutan nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah Lydiawati, 43, diputuskan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Selangor, Mei lalu dan dia menerima bayaran RM36,000 daripada bekas suaminya, Azhar Mohd Zar, 35. Wan Nor Azlin 41, membuat 14 tuntutan, termasuk nafkah diri dan tiga anaknya berjumlah RM26,000 terhadap suami, Mohd Yazli Yaacob, 39, di Mahkamah Rendah Syariah, 8 April lalu. JUMLAH TUNTUTAN 1. Siti Aishah Chou Abdullah - RM3 juta (mutaah) 2. Nor’aini Md Dom - RM2 juta (mutaah) 3. Azizah Ali - RM2 juta (mutaah) 4. Siti Fairuz Sheikh Mohamed - RM200,000 (mutaah) 5. Salina Zaimon (Lydiawati) - RM36,000 (nafkah) 6. Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain - RM26,000 (nafkah) 7. Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) - RM11,000 sebulan

Tiada had tuntutan

KUALA LUMPUR: Walaupun belum mencapai ‘tahap Hollywood’ yang ada kalanya membabitkan angka tidak masuk akal, tuntutan perceraian di negara ini jelas menunjukkan peningkatan berdasarkan ‘dengan siapa aku berkahwin’. Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata tuntutan nafkah mencecah jutaan ringgit oleh bekas isteri bukan perkara luar biasa. “Ini kerana, selain hak membuat tuntutan, tidak wujud had atau garis panduan berkaitan berapa jumlah yang boleh dituntut oleh seorang wanita daripada bekas suami. “Contoh paling mudah ialah nafkah semasa. Bagi individu biasa, mereka menuntut RM10 sehari untuk makanan, tetapi bagi golongan berada ia boleh mencecah RM300,” katanya.

Berkaitan ketidak seragaman itu, Musa memaklumkan, tuntutan nafkah tidak tetap kerana ia bergantung kepada pendapatan bulanan bekas suami.

Biasanya, mahkamah syariah hanya membenarkan tuntutan nafkah semasa berjumlah satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan bulanan orang yang dituntut. “Asas nafkah semasa ada tiga, iaitu keperluan tempat tinggal, makanan serta pakaian. Oleh itu, biasanya nafkah semasa jumlahnya kecil kerana ia diberi dalam bentuk bulanan, tetapi berlainan dengan nafkah tertunggak. “Nafkah tertunggak boleh mencecah ratusan ribu ringgit kerana bekas suami gagal menjelaskan nafkah semasa yang perlu dibayar setiap bulan untuk tempoh lama seperti bertahun-tahun,” katanya. Musa berkata, jika bekas suami gagal melunaskan nafkah mengikut perjanjian dan ia kali pertama berlaku, mahkamah akan mengarahkan bekas suami membuat bayaran mengikut kadar atau cara yang diterima kedua-dua pihak. Bagaimanapun, jika bekas suami masih ingkar, mahkamah ada kuasa untuk memutuskan cara pembayaran dibuat sama ada bayaran penuh, walaupun ia mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit, atau bayaran bulanan. “Bayaran bulanan juga boleh dilakukan melalui potongan gaji daripada majikan bekas suami. Ia bergantung kepada kata putus mahkamah. “Ada juga contoh di mana bekas suami mempunyai rumah sewa dan sewa kediaman berkenaan dimasukkan terus ke akaun anak sebagai bayaran nafkah,” katanya.
Nor’ Asikin Karman (Norish Karman) meminta saraan nafkah RM11,000 sebulan
Berkaitan penyelesaian mutaah pula, Musa berkata, ia sagu hati perceraian yang wajib dibayar bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan tanpa sebab wajar menurut syarak. Kerana itu ada di kalangan wanita membuat tuntutan mutaah dalam jumlah besar mencecah jutaan ringgit kerana berasakan hak mereka tidak dibela. “Bagaimanapun, jumlah jutaan ringgit yang dituntut itu bukan jaminan untuk wanita memperoleh keseluruhannya. Ini kerana ia juga bergantung kepada kemampuan bekas suami,” katanya. Dalam masa sama Musa mengingatkan, nafkah yang diberi bekas suami setiap bulan tidak boleh digunakan oleh bekas isteri kecuali untuk anak. Menurut beliau, kerana itu, anak berumur 12 tahun ke atas boleh meminta wang nafkah berkenaan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing. “Jika ibu makan duit anak, ibu terbabit perlu menjawab di akhirat atas perbuatannya yang tidak amanah,” katanya Harian Metro iDAN : Bagiku satu yang amat payah dilaksanakan kehidupan yang bertemu dengan jalan buntu atau perceraian. Mungkin hati yang memilih jalan ini ada kepuasannya namun cubalah bayangkan kita di tempat anak. Hati seorang anak yang menerima kehilangan kasih sayang seorang ayah atau ibu. Jika pun ada ketika si ayah atau ibu boleh melawat anaknya. Manakan sama kasih sayang yang tercurah jika kedua ibu ayah tinggal sebumbung. Cubalah jangan mencari jalan perpisahan, saling beralah & menerima kekurangan sikap atau perangai pasangan kita. Hidup kita pun bukanlah lama sangat di dunia ini. Takutnya nanti kita dipersalahkan lantaran semua tahu; Allah Azzawajalla amat benci dengan perceraian. Talak adalah perkara yang halal tetapi dibenci oleh ALlah. Sebagaimana Hadith Rasulullah yang bererti : 'Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah ta'ala ialah talak' (Riwayat Abu Daud) Tak dapat aku bayangkan bagaimana Allah Azzawajalla murka akan kita di akhirat nanti lantaran kita memilih jalan perceraian. Apatah lagi dengan perceraian tersebut ada isteri yang terbiar ada anak yang menjadi gerladangan.

310 pesakit h1n1 dibenar keluar wad (Ceritera)


PASAr Ramadan seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam menjadi medan dua peniaga Aizul Mu'min dan Aiman Hussin menjual topeng muka berharga 80 sen sehelai atau RM1.20 dua helai kepada pengunjung.

KUALA LUMPUR - Tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan selesema babi (H1N1) didaftarkan kelmarin manakala seramai 230 pesakit dengan gejala penyakit seperti influenza (ILI) telah dimasukkan ke wad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, seramai 310 pesakit telah didiscaj keluar dari hospital menjadikan baki yang dirawat setakat ini seramai 1,476 pesakit di 102 buah hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 316 kes disahkan positif H1N1 di mana 40 daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat kemasukan baru manakala lapan kes dipindah keluar dari unit itu.

Kosmo!

iDAN : Agar Selesema B@bi ini tidak menjadi wabak yang tragis.

5 juta berisiko

BUKIT MERTAJAM: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam, di sini, semalam.

Katanya, wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam.

“Tempoh ini sangat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah isu kesihatan,” katanya.

Liow berkata, kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus itu.

“Ini bermakna jika kita merekod 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang,” katanya. — Bernama

H1N1: Pemuda kesal sikap peniaga

MUAR: Sikap segelintir pihak yang menjual penutup muka pada harga tinggi sehingga mencecah RM1.50 sekeping di daerah ini ketika penularan wabak Influenza A (H1N1), sangat mengecewakan dan ibarat ‘menangguk di air keruh’.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Muar, Ahmad Amryn Malek, berkata pihaknya menerima banyak rungutan, khususnya daripada ibu bapa yang kecewa dengan kenaikan harga penutup muka yang dijual di daerah ini.

Katanya, sebelum masyarakat kecoh memperkatakan mengenai wabak H1N1, penutup muka yang kurang sambutan hanya dijual pada harga 40 sen sekeping, tetapi kebelakangan ini harganya naik mendadak hingga RM1.50.

“Selain banyak rungutan yang diterima daripada masyarakat di sekitar daerah ini, Pemuda Umno Bahagian Muar menghadapi masalah sama.

“Disebabkanya harganya mahal, kami terpaksa ke Melaka untuk mendapatkan penutup muka yang masih boleh diperoleh pada harga 40 sen sekeping,” katanya.

Kosmo!

Resah menunggu disebat (Ceritera)




SUNGAI SIPUT - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, kini resah menunggu detik menjadi wanita pertama di Malaysia disebat atas kesalahan meminum arak.

Ibu kepada dua orang anak itu bagaimanapun sudah bertekad untuk menghadapi hukuman itu tanpa ada niat melarikan diri.


KARTIKA melayan Wan Badariah dan Shukarnor sewaktu berbuka puasa di rumah mereka di Sungai Siput malam tadi manakala (gambar kanan) dia memohon doa meminta ditabahkan hati menghadapi dugaan.



KERATAN Kosmo! 23 Julai.


Dia sudah banyak kali menunaikan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar diberikan keberanian dan ketenangan.

"Saya tidak akan lari. Saya tahu ramai bersimpati dan menyokong saya.

"Saya cuma berharap saya mampu menghadapi hukuman itu meskipun ia dibuat pada bulan Ramadan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawang, Sungai Siput, kira-kira 70 kilometer dari sini semalam.

Kartika akan dibawa ke Penjara Kajang, Selangor untuk ditahan selama seminggu sebelum dikenakan hukuman sebat enam kali di situ.



Kosmo!

iDAN: Islam sebenarnya sekadar mengajar & mengingatkan. Rasanya Kartika Sari Dewi & keluarga telah pun mendapat pengajaran itu. Hukuman sebat sebenarnya bukanlah seperti yang dipapar bagaimana hukuman sivil laksanakan. Cukup sekadar menyakitkan yang tidak meninggalkan kesan sepanjang hayat. Andaianku begitulah, tak tahulah bagaimana pihak penjara akan melaksanakan hukuman ini nanti.