iDAN

07 Januari 2009

Istana masa kecil (Santai)

Pengukir kayu tersohor negara, Norhaiza Noordin membeli tiga buah rumah Melayu Terengganu berusia lebih 100 tahun semata-mata ingin membina ‘istana impiannya’ semasa kecil.




SEMASA kecil, Norhaiza Noordin asyik memerhati sebuah istana lama di kampungnya, Kampung Raja di Besut, Terengganu.

Istana Tengku Long, binaan klasik tahun 1875, begitu menarik minat Norhaiza sehingga beliau bercita-cita untuk memiliki kediaman seperti istana itu apabila dewasa kelak.

Kini pada usia 46 tahun, pengukir kayu terkenal ini boleh tersenyum lebar kerana impiannya hampir tercapai.


TIDAK mustahil Norhaiza akan menjadikan 'istananya' ini sebagai pusat rujukan suatu hari nanti.


Usahanya bermula pada tahun 1995 apabila beliau membeli sebuah rumah Melayu tradisional di Kuala Terengganu pada harga kira-kira RM6,000.

Bangunan itu kemudian dipindahkan dan dibina semula berhampiran rumah ibu Norhaiza di Pasir Raja, Besut.

Norhaiza turut membeli dua buah lagi rumah Melayu lama sebagai tambahan kepada rumah sedia ada. Kediaman yang telah dibaik pulih itu dinamakan Seri Bakawali.


RUMAH Melayu lama bukan saja selesa malah sentiasa mengingatkan Norhaiza kepada kekayaan warisan Melayu.





Menurut Norhaiza, rumah itu bukan sahaja selesa untuk beliau sekeluarga, bahkan ia sentiasa mengingatkan beliau kepada kekayaan warisan Melayu. Rumah itu sangat elegan dan klasik, begitu hampir dengan bentuk ‘istana’ yang diimpikan Norhaiza semasa kecil.

“Semua rumah itu berusia lebih 100 tahun. Rumah Terengganu unik ialah kerana ia dibina menggunakan pasak. Jadi ia senang untuk dipindahkan dan dipasang semula di tempat lain.

“Namun saya mengambil masa hampir 10 tahun untuk menyiapkan kediaman ini kerana kosnya yang tinggi,” katanya yang pakar dalam ukiran kayu termasuk tingkap, bingkai tingkap, dinding, bumbung berdekorasi dan pintu gerbang.


PRODUK ukiran kayu mahal kerana kualiti seni ukirnya dan ia menuntut ketelitian, kemahiran kerja halus dan memakan masa untuk disiapkan.


Bercerita mengenai Seri Bakawali, Norhaiza memilih konsep istana lama itu kerana inginkan suasana seperti zaman kegemilangan Melayu kira-kira 300 tahun dahulu.

Kediaman itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu rumah tamu, rumah ibu dan dapur.

Keunikan rumah yang disifatkan seperti rumah golongan bangsawan Melayu itu diserikan dengan pintu pagar yang dibina Norhaiza sendiri pada tahun 2003.


INILAH hasil kerja keras Norhaiza mempelajari seni ukiran kayu selama 15 tahun.


Halaman rumahnya berada di tengah-tengah antara tiga buah rumah tersebut. Di situ terdapat sebuah pondok kecil yang asalnya merupakan sebuah tempat simpanan padi.

Di kanan halaman terletak rumah tamu manakala di tengah ialah rumah ibu. Di kiri pula merupakan dapur yang bersambung dengan bahagian sisi rumah ibu dan pintu masuk utama ruang tamu.


ISTANA impian Norhaiza bermula dengan sebuah rumah lama yang dibeli di Kuala Terengganu pada 1995.


Bagaimanapun, jelas Norhaiza, pintu pagar rumahnya sentiasa ditutup disebabkan ramai orang datang kerana menyangkakan kediaman itu sebuah muzium.

Kata Norhaiza, beliau dan keluarga kurang selesa menerima kunjungan orang luar yang tidak dikenali kerana mereka tinggal di situ.

“Tunggulah bila tiba masanya saya akan jadikan kediaman ini sebagai tempat rujukan,” katanya.


BERSANTAI di pangkin yang diletakkan di tengah laman.





Menurut Norhaiza, seni ukir berkualiti memerlukan ketelitian dan kemahiran kerja halus yang memakan masa untuk disiapkan. Kerana itulah produk ukiran selalunya mahal.

“Faktor harga menyebabkan kebanyakan orang lebih suka memilih hasil ukiran yang lebih murah walaupun kualitinya rendah.

“Sekiranya trend ini berterusan, tidak mustahil orang seperti saya terpaksa mengikut kehendak pasaran dan mengeluarkan produk kurang berkualiti untuk meneruskan hidup,” katanya.

Beliau juga berpendapat tidak ramai pengukir yang benar-benar masih mengekalkan identiti Melayu kerana telah diresapi seni ukiran kontemporari.

“Untuk memudahkan orang ramai membuat pilihan, kerajaan juga boleh memberikan gred terhadap pengukir berdasarkan kualiti dan pengalaman pengukir itu sendiri,” katanya.

Kosmo!