iDAN

18 Julai 2009

Suram Februari - sisipan (Singgahsana)


Dalam aku semak-semak e-mel di yahoo, tak sangka aku terima e-mel ini, tak pasti siapa Abg Eb ini. Dia mungkin rakan karibku, mungkin juga aku tak pasti namanya tapi wajahnya kukenal. Ini e-melnya

Salam iDAN,

Lama tak dengar berita apa khabar sekarang?
Dipendekkan cerita, bila baca mimpimu itu aku rasa tersentuh dek kisah si Nasha mengapa tah aku boleh terbaca coretan mimpimu itu.

Ahhh! banyak soalan dalam benakku ini, sekiranya aku terlepas pandang baru kutahu kini kawan kita itu bukan sahaja seorang yang perendah diri namun seorang pakar perancang.
Aku suka dia.

Satu sifat yang aku tak boleh lupa Nasha ni kalau kita minta satu dia akan suruh ambil lebih. Kalau kau nak tahu dalam banyak-banyak suara manusia ni yang paling nyata tonenya dalam gegendang telinga aku ni budak Nasha nilah. Sampai laa... ni aku boleh dengar bunyi suaranya yang mengulum itu.

Bagaimana dengan keluarganya? Apakah betul apa yang kau coretkan itu... sedih juga rasanya. Iyerlah! satu lagi episod di antara episod yang kita lalui sementara mengejar hari-hari yang mendatang.

Sekali difikir itulah episod mereka; episod kita sedang kita lalui, adakah siapa peduli kadang-kala mereka kena faham kita bercakap sekadar mencurah rasa itu pun nak jadi bertengkar tak apalah ada yang nak dengar, tak kisahlah sesiapa pun.. kawankah, jirankah, isterikah, suamikah kalau mereka faham yang kita ni mencurah rasa.

Tapi kalau tak ada yang nak dengar nak bincang agak-agak kau iDAN apahal agaknya...?

Sekian.

Wassalam

Abang Eb

iDAN: Jika tak siapa pun sudi mendengar, apatah lagi mahu berbincang, memberi respon atau ambil peduli; membuatkan kita sedar. Sesungguhnya masalah kita memang kita sendiri yang perlu menyelesaikannya, tidak kekasih, tidak suami atau isteri, tidak juga rakan baik, tidak juga keluarga terdekat. Diri makin terbiar. Sebatang kara & terasing.

Bagi diri tentunya lebih rela disakit dari kita menyakitkan orang. Rela susah sendiri dari menyusahkan orang lain.

Keperluan manusia ini rasanya sama sahaja, suka mengambil kesempatan jika kita ini diperlukan. Jika kita dalam musibah pandai-pandailah mencari jalan penyelesaian. Jika berubat pun belum tentu doktor akan kasi ubat terbaik. Jika pinta nasihat pun belum tentu kita mendapat nasihat terbaik. Jika kita ingin bantuan mana upah & cagarannya. Ini lumrah manusia kota. Segalanya mahukan nilai & harga.

Bila aku telah di taraf Pesara kini makin jelas, aku kehilangan rakan seorang demi seorang. Sebabnya mereka perlu mengejar dunia mereka. Rakan terdekat pun hanya bertanya khabar di sebalik ada sesuatu yang dia mahukan dari kita. Paling sedih abg kandung pun hanya datang sebab mahu meminta pinjaman wang, jika dia tak sesak pasti kita dilupakan.

Rakan yang berjaya makin senyap, leka dengan dengan kehidupan mewah mereka. Rakan yang naik pangkat semakin sibuk, jika ketemu pun kita nak berbual tak pernah pun dapat habis perbualan. Tambah menyiksa kita susah-susah telefon pun, ingin sangat berbual dengan insan yang kita panggil rakan. Senang sahaja dia memutuskan talian.

"Abg iDAN ada talian nak masuk..." Keletop..! dia letakkan gagang telefon. Terkebel-kebellah kita. Jadi mahu kita cari apa lagi di dunia ini.

Keluarga Arwah Nasha begitulah, isterinya terus bahagia dengan suami mudanya. Dengan duit pencennya tentunya. Kekasih isterinya yang membuatkan arwah bungkam. Kata Ulan anaknya makin bertambah dengan suami mudanya. Kata Ulan dia kini pindah di Perak. Anak sulungnya kata Atan kerja di tempat lama aku berkerja, Fak. Kejut. Bekas tempat kerja ayahnya, cumanya dia dengarnya kerja di Pejabat bukan di makmal. Mungkin Abg Eb boleh kontak Atan jika mahu cerita lebih lanjut tentang arwah. Aku tak tahu sangat perkembangan keluarga arwah. Rumahnya di Jenaris masih disewakan. Dulu memang katanya mahu dijual tetapi anaknya yang sulung tidak membenarkan.

Rakan karib memang payah nak kekal, Rakan sebaik Arwah Nasha cepat sangat perginya. Manusia pun di zaman kini payah mengenang jasa kita; saling pijak memijak & kita sering jadi mangsa Batu Loncatan atau Kambing Hitam untuk dikorbankan; itu telah menjadi satu kemegahan gerladangan yang berjaya; bagaikan adat resam masyarakat moden kini. Waspada. Hidup memang kena diteruskan.