iDAN

27 Mac 2009

Perokok lebih hina daripada lembu - Nik Aziz

27/03/2009 2:26pm

KOTA BAHARU 27 Mac - Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan.

“Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).

“Maka, mereka yang melakukan perbuatan (menghisap rokok) itu dianggap lebih hina dari lembu,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini,hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata ada antara umat Islam yang mencuri-curi menghisap rokok di serambi masjid sambil bersembang sementara menunaikan solat.

Beliau mengingatkan umat Islam supaya menghentikan amalan yang dianggap jijik dan tidak berdisiplin itu. — Bernama

Hukuman gantung pembunuh Canny Ong kekal (Ceritera)

PUTRAJAYA 27 Mac — Bekas penyelia pencuci kabin pesawat, Ahmad Najib Aris, 33, yang disabit kesalahan merogol dan membunuh penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian enam tahun lepas, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan hukuman itu hari ini.

Dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah dan mengenakan hukuman mati terhadapnya, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa tidak ada orang lain yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada Ong pada hari kejadian.

Ahmad Najib, yang kelihatan tenang apabila Hakim Mahakamah Persekutuan Datuk Ahmad Zulkefli Makinuddin membacakan penghakiman, kemudiannya berkata dia redha kerana sudah menjangkakan keputusan itu.

Ahmad Najib memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk membatalkan pensabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Feb 2005 yang mendapatinya bersalah membunuh dan merogol Ong, 28, antara 1 pagi dan 5 pagi 14 Jun 2003.

Mayat wanita itu yang rentung ditemui dalam parit di tepi lebuh raya pada 2003.

Rayuannya didengar oleh panel lima hakim terdiri Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman, Datuk S.Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Zulkefli. - Bernama