iDAN

04 Ogos 2009

Berikan aku Laluan 4 (Singgahsana)

"Bagaimana nak saman ayah, kita yang mahu melawat; mereka tak undang kita pun."

"Habis tu bukankah ibu perasan si Mas telah pun diambil sampel darahnya hari Sabtu lagi, takkan lambat sangat untuk tahu keputusannya... ini masalah kecuaian" Mila diam sahaja.

"Kita tunggu sampai hari Ahad, jika kita sekeluarga tak dijangkiti kira okey!, tapi Yot kena kita kasi tahu, kot antibodynya tak kuat dia yang tak pasal-pasal dijangkiti" Aku teringat bagaimana dia bersungut-sungut lama sangat Mila melawat Mas. Mungkin juga bisulnya berdenyut-denyut. Seharusnya tiap hari kena dicuci bisulnya lantaran mengidam makan sate dia sanggup tak pergi buat cucian.

Selepas aku jemput Anif kelas Taekwondonya terus berkejar ke rumah Yot di Taman Emas, Jalan Telok Gadong Klang. Jangkaan aku meleset, ingatkan sekitar sejam aku akan sampai ke rumah Yot, rupanya tidak. Dari Jenaris ke sana memerlukan sekitar sejam setengah. 1:30 tengah hari dari Jenaris jam 3:00 petang lebih baru sampai di sana. Kesesakan jalanraya pun ada kemalangan merubah segala perencanaan. Itu pun aku ikut Lebuhraya Puchong kemudian Lebuhraya Kesas. Memandu dengan kelajuan sekitar 90 ke 100km, memang kadar kelajuan itu yang dibenarkan.

Jangkaan aku untuk menghantar Aziq ke asramanya di Gombak sekitar jam 3:30 petang tidak kesampaian. Pulangku ke Jenaris menepati jangkaan sekitar sejam 15 minit aku telah berada di Restoran Yus. Makan sate empat jenis bersama Yot. Ayam, daging, ikan & perut. Yot mengatakan sate di Retoran Yus lebih sedap berbanding sate Haji Samuri, aku pula rasakan lebih suka kuah sate Haji Samuri. Cumanya hanya sate Haji Samuri ayam sahaja yang sedap, dagingnya tidak manis & diperap lama. Kelemahannya pula payah mahu dapat sate perut, ikan atau rusa di Restoran Haji Samuri. Kuah sate di Restoran Yus kacangnya agak hancur kemudian dia tidak memberikan sambal cili untuk lebih pedas. Payah mahu terdapat ketupat hanya ada nasi himpit di kedua-dua restoran.

Aku yang lebih banyak makan satenya berbanding orang yang mengidam. Mila pula bertalu telefon risau amat aku tidak sempat menghantar Aziq sebelum jam 6:00 petang. Aku begitu yakin dapat menghantar Aziq sekitar 45 minit ikut MMR2. Tak kurang tiga kali aku menyambut panggilan Mila. Aku masih ingat 5.06 ptg aku telah berada di depan pintu pagar rumahku. Jam 5:42 aku telah berada di pintu utama Sekolah Teknik Gombak. Itu pun Mila angin tak tentu pasal sebab dia mahukan aku menghantarnya dulu menziarah Mas di Ampang Puteri Specialist Hospital; memang pada awalnya perancangannya begitu.

"Jika kita berbelok ke lain pasti tak sempat menghantar Aziq, tenguk di kad Aziq ini ada rona merah, telah dua tiga kali kita lewat menghantar, lagi pun selalunya waktu melawat sekitar jam 7:00 malam mungkin lebih... kita masih banyak masa untuk patah balik ke
Ampang Puteri Specialist Hospital tu..."

"Iyer! lah minyak bukan ayah yang isi.."

"Tolong sikit tadi ayah telah isi RM30 di Esso tol semua ayah bayar okey! " Aku berangan nak menang pertandingan di Esso yang hanya beberapa hari lagi akan tamat rasanya 14 Ogos ini akan tamatnya peraduan di Esso. Lagipun Esso jauh lebih jimat berbanding Petronas. Biasalah bila aku tak mahu mengalah, Mila senyap saja memandang ke luar tingkap. Harap-harap Yot tak dengar bualan kami, Yot tu kurang dengar; ada masalah perdengaran. Memang dia sibuk hendak bayar duit minyak. Sesekali dia mahu ketemu aku rasanya tak kisah sangat. Lagipun aku tahu Yot tu banyak hutang, elaun pencennya jauh lebih sikit berbanding aku. Jika diperhitung untuk menunaikan rasa mengidam sate Yot itu memanglah tak banyak mana cuma kos makan campur kos berulang alik memang lebih dari RM100 pasti diperlukan.

MMR2 dari tol gombak sepanjang petang Ahad selalunya memanglah sesak amat lantaran ramai dari Pahang & negeri pantai timur pulang ke Lembah Klang bercuti. Biasanya jika aku menghantar Aziq pergi sahaja aku ikut MMR2 baliknya pasti aku akan ikut Damansara, ke Sungai Besi ikut Lebuhraya KL ke Seremban. Sekitar 6:20 petang aku telah berada di pintu masuk
Ampang Puteri Specialist Hospital. Mila turun setelah melawat si Mas sekitar jam 8:00 malam. Manalah Yot tak mengeluh duduk di dalam Avanza. Congaklah berapa lama tu! 6:20 petang ke 8:00 malam. Waktu melawat sampai 9:00 malam lebih. Yot nak jalan pun nampak nazak amat.

Sekarang telah ada Lebuhraya Duke, aku memintas dari Ampang ke arah tol Jalan Duta, menghala ke Klang, Ipoh & menuju ke Bukit Raja. Perjalanannya mengambil masa sekitar sejam juga. Sekitar jam 9:00 malam aku telah berada di rumah Yot; Jalan Telok Gadong Klang. Jenaris sekitar 11:00 malam. Jadinya bila aku congak-congak dari jam 1:30 tengah hari hingga sekitar jam 11:00 malam; perjalananku jika ikut terus di Plus lebuhraya ke utara memang amat jauh aku mengembara. Tentunya telah sampai ke Siam, sedang enak makan Tom Yam campurnya!.

Semasa aku berbual di rumah Yot & Mas aku terbuka mulut mengatakan aku juga sekarang ini sedang pemerhatian doktor. Tak kurang enam jenis ubat terpaksa aku telan saban hari.

"Tapi iDAN nampak sihat sahaja..!" Kata Yong Zaaba, isteri muda Yot.

"Sihat makan ubat & kuat-kuatkan badan ini.."

Bila dalam perjalanan ke rumah, Mila membebel lagi. Dia marah amat aku ceritera makan ubat sampai enam jenis, membebel lagi tentang kegemukanku makin menjadi-jadi pun boroinya perutku ini. Aku diam sahaja, dalam hati aku berkata; rupanya aku kena rahsiakan terus sakitku ini. Jangan ceritera dengan siapa pun. Ini amat mengaibkan Mila. Tanggunglah sendiri sakit ini senyap-senyap wahai iDAN. Pun jika boleh awak kena mati dengan keadaan senyap-senyap juga. Jangan sampai menyusahkan apatah lagi mengaibkan keluarga sendiri dengan sakit kronik awak itu. Memalukan Sang Isteri terutamanya. Titik.
- bersambung

Lebuh raya Duke mula dibuka


MOHD. Zin Mohamed memotong reben semasa merasmikan pembukaan Lebuh Raya Duta-Ulu Klang di Plaza Tol Ayer Panas, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Jan. - Orang ramai dibenarkan menyemak butiran perjanjian konsesi pembinaan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) bernilai RM892 juta antara kerajaan dengan Konsortium Lebuh Raya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi) mulai hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mereka yang berminat mengetahui butiran konsesi perjanjian tersebut boleh melakukannya di Kementerian Kerja Raya di sini.

''Dengan pembukaan lebuh raya baru ini, dijangka 120,000 buah kenderaan akan dapat menggunakannya setiap hari tanpa perlu memasuki pusat bandar Kuala Lumpur,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Lebuh Raya Duke di Plaza Tol Ayer Panas di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 1,400 keluarga melibatkan 5,000 penduduk setinggan telah dipindahkan ke beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya itu.

Menurutnya, projek pembinaan Lebuh Raya Duke ditangguhkan sejak 1997 dan telah dimulakan semula pada 2003.

Katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu mengambil masa selama tiga tahun dengan sebanyak RM255 juta dibelanjakan bagi tujuan pengambilan tanah.

Terdahulu, Mohd. Zin dalam ucapannya berkata, kerajaan bersetuju kadar tol RM2 yang dikenakan ke atas pengguna Lebuh Raya Duke sepanjang 18 kilometer itu kekal selama enam tahun sehingga 2014.

Bermula hari ini, katanya, pengguna Lebuh Raya Duke akan dikecualikan daripada membayar tol selama sebulan sehingga 8 Februari depan.

Dalam pada itu, katanya, lebuh raya itu dibuka kepada orang ramai setelah kerja-kerja pengauditan keselamatan dilakukan dua kali oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya.

''Aspek keselamatan amat penting kerana kita tidak mahu lebuh raya ini menjadi kawasan maut. Oleh demikian kerajaan memastikan kawasan yang mempunyai cerun dipantau dan diawasi mengikut garis panduan yang ditetapkan,'' katanya.

Mohd. Zin juga memberitahu, sebanyak 46 peratus daripada Lebuh Raya Duke adalah laluan bebas tol.

Sementara itu, Pengarah Projek Kesturi, Chua Soo Kok berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan setiap tahun bagi kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya berkenaan.

Pada tahun pertama, katanya, Kesturi menjangkakan sebanyak 50,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu dengan kutipan tol RM100,000 sehari atau RM36.5 juta setahun.

Utusan

Kegilaan konkatsu di Jepun (Ceritera)



KONKATSU dilihat sebagai inisiatif terbaik buat warga Jepun mencari jodoh sekali gus meningkatkan kadar kelahiran yang semakin menurun.

BERGAYA penuh elegan, sekumpulan anak muda memenuhi sudut resepsi di salah sebuah dewan di Tokyo, Jepun. Dihias bagai istana penuh romantik, atmosfera dewan itu dihangatkan dengan suasana ala Greek.

Mungkin latar belakangnya nampak keterlaluan. Tetapi 100 orang tetamu lelaki dan wanita itu berada di sana sambil memegang gelas wain dengan satu tujuan. Apa lagi kalau bukan untuk mencari pasangan hidup masing-masing.

Berumur antara 20-an hingga 40-an, mereka menjadi sebahagian daripada kelompok anak muda yang mengamalkan 'konkatsu' atau 'memburu jodoh'. Mereka percaya bahawa mencari suami atau isteri memerlukan pengamatan yang betul dan perancangan teratur.

Pakar permasalahan ini mempunyai sedikit nasihat dan jalan penyelesaian buat mereka yang kesunyian.

"Cuba jangan membuat keputusan terburu-buru. Berbicaralah dan cuba mengenali diri mereka.

"Majlis ini bertujuan mencari cinta dan jatuh cinta," kata ahli antropologi Amerika Syarikat (AS), Helen Fisher yang menjadi tetamu istimewa parti Match.com di daerah Nakameguro, Jepun.

Fenomena baru

Tahun ini, konkatsu telah menjadi satu fenomena baru. Malah, trend tersebut telah terbawa-bawa ke dalam majalah, drama televisyen dan menjadi topik perbualan.

Selain itu, sebuah kuil di Tokyo juga ada menawarkan khidmat sembahyang khusus bagi mereka yang mencari jodoh. Sementara pasukan besbol Hokkaido telah menyediakan tempat khas bagi konkatsu. Salah satu organisasi di Jepun juga mengaturkan satu perhimpunan temu janji mencari jodoh di restoran.

Malah, pembuat pakaian dalam telah memperkenalkan bra konkatsu yang dilengkapi jam berdetik. Ia hanya akan berhenti apabila cincin pertunangan disarungkan di jari.

Senario Jepun yang terkenal dengan sistem kerja yang ketat, kekurangan waktu sosial serta kadar kelahiran yang semakin berkurangan, seolah-olah sudah menampakkan perubahan.

Laman temu janji Match.com memberitahu pada Mac lalu, mereka telah menerima sehingga satu juta keahlian dari Jepun. Menjadikan negara tersebut sebagai kedua terbesar selepas AS. Parti seperti di rumah agam Greek juga semakin popular.

"Saya sukakan sistem seperti ini untuk bertemu dengan teman baru. Saya mempunyai masalah untuk mendekati wanita apabila berada bersama rakan-rakan," kata seorang kerani berumur 27 tahun. Dia merupakan salah seorang daripada 100 tetamu yang dipilih daripada 300 pemohon.

Pemerhati sosial melihat pelbagai sebab yang menjadikan konkatsu semakin popular. Antaranya, kemelesetan ekonomi yang membelenggu Jepun. Keadaan itu membuatkan wanita lebih cenderung memilih perkahwinan, berbanding mencari pekerjaan demi mendapat kestabilan kewangan.

"Saya lihat ramai wanita lingkungan usia 20-an cenderung mencari lelaki yang mempunyai kewangan dan pekerjaan stabil," kata pengasas agensi pencari jodoh terkenal, Pay It Forward Love Prepschool (PFLP).

Sankatsu

Selepas itu, wanita juga akan bersedia untuk ke tahap seterusnya iaitu 'sankatsu' atau merancang kelahiran.

"Agensi saya memberi perkhidmatan seperti pemeriksaan kesuburan supaya mereka berada dalam kesihatan yang baik untuk menghadapi kelahiran kelak, selain kelas memasak.

"Saya tidak menafikan ramai yang gemarkan gaya hidup bebas dan seronok. Tetapi, bagi wanita yang menghadapi masalah kesuntukan masa, mereka tidak boleh melarikan diri daripada mengira berapa lama waktu yang ada untuk melahirkan anak," katanya.

Kerajaan Jepun memberi sokongan kepada konkatsu dengan harapan dapat membantu meningkatkan kadar kelahiran kepada 1.37 kanak-kanak bagi setiap seorang wanita. Inisiatif ini bagi mengurangkan penurunan kadar kaum lanjut umur yang dijangka menurun kepada 30 peratus menjelang 2055.

Promosi perkahwinan

Panel penasihat kabinet telah mencadangkan 10 pelan untuk menaikkan jumlah kelahiran. Misalnya promosi 'Cinta dan Perkahwinan' dengan menganjurkan majlis mencari jodoh.

Secara tradisionalnya, perkahwinan di Jepun merupakan satu hubungan sosial yang pragmatik. Wanita akan menyertai keluarga suaminya. Tugas si suami pula ialah menanggung kehidupan isteri dan anak bagi menyambung salasilah keluarga lelaki.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang dirancang. Amalan yang dipanggil omiai' ini biasanya diatur oleh ibu bapa atau ahli keluarga terdekat.

Perkahwinan konvensional

Perubahan sosial telah mengubah cara hidup, peranan gender dan harapan sosial. Individu yang berada dalam lingkungan umur sesuai untuk mendirikan rumah tangga lazimnya akan mencari sendiri jodoh mereka. Namun menurut pakar, cara itu tidak berkesan kepada semua orang.

"Jika mereka tidak begitu popular atau tidak ada keyakinan diri, perkahwinan konvensional atau pilihan keluarga mungkin jalan penyelesaiannya," kata Bando.

Kadar perkahwinan telah menurun mendadak antara tahun 1975 hingga 2005 dari 85 peratus kepada 51 peratus untuk lelaki berumur 30 hingga 34 tahun dan dari 90 peratus kepada 63 peratus bagi wanita.

Kaunselor perkahwinan, Yoko Itamoto memberitahu, individu yang mendapatkan bantuan profesional nyata membantu mereka dalam usaha mendapatkan jodoh, seterusnya berkahwin.

"Kini, dianggarkan terdapat 4,000 agensi mencari jodoh beroperasi di Jepun dengan keahlian melebihi 620,000 orang.

"Hampir separuh daripada kerajaan tempatan juga menyediakan perkhidmatan berkaitan mencari jodoh, terutamanya di kawasan pedalaman," katanya.

Namun, kejayaan dalam mendapatkan jodoh bagi setiap agensi tersebut masih rendah iaitu hanya lapan peratus.

"Kebanyakan orang tidak pandai berkomunikasi. Ini menyukarkan mereka untuk mencari pasangan. Tidak kira berapa ramai pun penyertaan, jika mereka tidak mempunyai kemahiran komunikasi, peratus kejayaan adalah rendah.

"Konkatsu bukanlah sesuatu yang tidak baik atau melanggar norma kehidupan. Tetapi kita perlu mengkaji punca yang membawa kepada krisis perkahwinan di negara ini," katanya. - AFP

Cinta Internet, gadis diperdaya RM19,879



LAM menunjukkan laporan polis berhubung penipuan
melalui Internet di pejabat MCA, Jalan Ampang semalam.


KUALA LUMPUR - Helah seorang lelaki memikat seorang gadis melalui Internet membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapatkan wang sebanyak RM19,879.29 daripada gadis terbabit setelah berpura-pura ingin mengahwininya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lam, 39, memberitahu, dia mengenali lelaki yang bernama Raymond itu menerusi sebuah laman web yang dilayarinya dua bulan lalu.

"Bermula dengan satu pesanan darinya yang mengaku tinggal di United Kingdom, hampir setiap hari kami berhubung sehinggalah kami menjadi mesra," ceritanya pada sidang akhbar di pejabat Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Michael Chong di Ampang di sini semalam.

Menurutnya, kerana kasih, Raymond berjanji akan mengirimkan sebuah komputer riba, pemain digital MP3, sebentuk cincin dan banyak lagi menerusi kargo selepas berbual pada 26 Jun lepas.

Selang tiga hari kemudian, Lam telah dihubungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Keiran mendakwa mewakili sebuah syarikat kargo Skynet memintanya memasukkan RM16,379.29 sebagai cukai kastam ke atas barangan yang dikirim oleh Raymond.

Kosmo!

Nyawa dua wanita diragut H1N1 (Ceritera)


KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Johor Bahru melakukan pemeriksaan di Sekolah Kebangsaan Seri Kenanga, Tampoi, Johor Bahru semalam.





KUALA LUMPUR - Penularan pandemik selesema babi (H1N1) di negara ini semakin membimbangkan apabila ia meragut dua lagi nyawa iaitu masing-masing satu di Hospital Miri dan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban semalam.

Dalam kes di Miri, ia membabitkan seorang ibu muda berusia 23 tahun yang baru melahirkan anak di Hospital Miri.

Mangsa menjadi kes kematian ketujuh telah disahkan mendapat jangkitan H1N1 pada 23 Julai dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4 pagi semalam disebabkan komplikasi pada paru-paru.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pada mulanya mangsa telah bersalin di hospital berkenaan pada 21 Julai dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sehari selepas itu.

"Selepas bersalin, mangsa didapati mengidap pneumonia yang teruk dan menunjukkan simptom demam serta batuk empat hari sebelum bersalin.

"Kematian mangsa direkodkan sebagai pneumonia akibat jangkitan H1N1," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, bayi mangsa selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan H1N1.

Mangsa kelapan pula membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun yang berasal dari Kuala Selangor yang disahkan meninggal dunia di HTJ malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi berkata, wanita itu dimasukkan ke HTJ pada hari kejadian dan meninggal dunia kira-kira pukul 11.50 malam.

Kosmo!

Berikan aku Laluan 3 (Singgahsana)

Tetiba tengah hari tadi aku dikejutkan yang mana Mila antara mereka yang dikuarantin sebab Selesema Babi. Ada pertindahan di sini, bagaimana tindakan klinik swasta tentang mereka yang dikuarantin. Jika klinik atau hospital kerajaan akan pasti akan datang segera ke rumah yang dikuarantin. Klinik swasta sekadar memeri cuti & jangan keluar rumah.

Begitu juga kenapa Ampang Puteri Specialist Hospital tidak memastikan semua pengunjungnya memakai topeng penutup hidung & mulut (mask). Menyediakan mask seperti PKupm. Pelawat seperti kami tentunya menjadi mangsa. Sudah sampai masanya Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga atau memberikan arahan agar semua pengunjung di semua Hospital tanah air agar memakai mask.

Jika ini tidak dilakukan segera atau tidak diberikan arahan, rasanya akan cepat kuman Selesema Babi ini akan merebak. Dia jadi Selesema B@bi. Bagai e-mel layang yang cepat berterbangan di negara kita. Jika ada mask melindung setidak-tidak adalah langkah atau harapannya untuk kita terselamat.

Mana kita tahu yang di hospital yang mahu kita lawati ada pesakitnya pengidap Selesema B@bi. Seperti kes Mas rakan Mila. Ketika kami melawat, kami hanya tahu dia ditahan di hospital sebab asma & darah tingginya melonjak naik. Selang sehari kemudian barulah doktor mengesahkan yang si Mas itu kena Selesema B@bi.

Perbagai andaian yang kami boleh buat. Mungkinkah Mas baru kena, semasa kami melawat dia masih okey lagi. Pun dari mana dia dapat kuman itu juga menjadi persoalan. Bukan mustahil dia dapat dari jururawat di Ampang Puteri Specialist Hospital sebab telah empat malam dia di sana. Aku melihat tak semua jururawat memakai mask. Apa sebenarnya tanggungjawab kita & kesedaran kita tentang ini. Terutama mereka yang rapat dengan pesakit ini.

Takkan rakyat marhaen kerdil yang perlu mengingatkan akan langkah berjaga-jaga ini. Atau memang kerajaan kita tidak memandang serius wabak Selesema B@bi ini.

"Apa kata kita saman sahaja Ampang Puteri Specialist Hospital... ini ibu?"

"Mengapa pula..?"

"Iyerlah cara dia membiarkan pelawat bebas masuk ke hospitalnya memang membahayakan diri orang ramai!, bukan mustahil ramai lagi orang akan dijangkiti penyakit Selesema B@bi ini lantaran kecuaian pihak hospital sendiri." Mereka perlulah diasingkan. Pun pastikan hospital ini benar-benar selamat.

"Satu lagi isu kenapa
Ampang Puteri Specialist Hospital lambat sangat memberi tahu keputusan ujian darah si Mas itu!"