iDAN

Memaparkan catatan dengan label Raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Raya. Papar semua catatan

04 November 2011

2/3 Kota Bharu (Episod 9)

Aku terjaga dari tidur telah nak habis waktu maghrib. Ish bukankah Afiz & Husna mahu naik keretapi. Aku panik & menyuruh Azim lihat Afiz & keluarganya di atas. Dah siapkah untuk ke Machang. Keretapi bertolak jam 8:45 malam. Jalan di Kajang bukan menentu. Dibedalnya sesak bagaimana nak sampai ke Stesen Komuter.

"Suruh along bersiap cepat, masa dah suntuk sangat ni!" aku mula rimas, melonjak rasanya tekanan darahku. "kita yang kena menanti keretapi; keretapi tu takkan tunggu kita." aku bersungut perlahan

Sekitar 8:15 malam baru Afiz, Husna & Qasrina turun tangga. Mila pun nak turut menghantar. Aku telah menunggu dalam Avanza.

"Kalau kita tertinggal keretapi macam mana iyer; dapat tak balik duit tiketnya?'

"Kira hanguslah mana boleh nak klim!"

"Harap-harap keretapi lambat sampai, pernah tak keretapi lewat!"

"Selalu ayah tapi taklah lama mana..." Husna bersuara.

Aku terpaksa cari jalan pintas, ikut kubur Mona Fendi; mencari jalan yang kurang lampu isyarat. Bila depan Metro Point nampak kereta agak lancar aku rasa tenang sikit; kalau tidak rasa semua bonggol jalan mahu aku redah sahaja. Kami sampai di stesen komuter Kajang sekitar 8:35; ada lagi 10 minit. Aku suruh mereka turun segera & biar aku cari parkir di luar stesen. Afiz mendukung Qasrina guna kain gantung di bahu. Mereka bawa dua beg agak besar juga tapi ada beroda.

Parkir di Stesen Komuter Kajang tak sebanyak mana; parkir berbayar selalunya penuh. Ramai penumpang parkir di luar tepi jalan raya. Aku dapat parkir agak jauh juga. Nampak masih ramai orang berbeg besar menunggu keretapi. Aku tercungap-cungap kembali ke stesen teringin nak lihat bagaimana keretapi zaman kini.

Ini jadual lengkap perjalanan Senandung Wau; http://landasan.info/services/ktmb/ boleh semak waktu ketibaan keretapi seantero Malaya di sini.

"Cam mana... keretapi dah sampai ke belum?"

"Lewat sikitlah ayah mungkin sekitar jam 9:00 malam" aku rasa lega, tak dapat dibayangkan jika tertinggal keretapi.

"Dah tu nak tunggu di mana, kan kah keretapi tu panjang, Afiz tanyalah pegawai yang jual tiket tu, sebaiknya kita tunggu di mana, kelas dua tempat orang tidur..." aku lihat Afiz telah kasi Qasrina pada Opahnya. Bagusnya Qasrina ni tak pernah buat ragam. Senyum saja.

Afiz kata selepas jejantas; aku segera menarik beg pakaian yang beroda mencari bangku kosong selepas jejantas. Huh memang bukan kerja mudah nak bawa anak & beg naik keretapi. Bagi negara maju macam Jepun mungkin mereka tak terikat sangat dengan jadualnya; keretapi mereka banyak. Tapi jika musim perayaan pasti seperti kita juga.

Lama juga kami menunggu; sekitar setengah jam keretapi masih tak sampai. Menurut kata Husna ayahnya dapat kambing biri-biri. Harganya munasabah sekitar RM600. Telah dua tiga hari ayahnya terima dari empunya kambing. Afiz pulang awal sebab nak cari barangan keperluan Majlis Aqiqah Qasrina pada hari Jumaat nanti. Esok Khamis kami akan menyusul mereka. Aku masih tak pasti nak ikut jalan mana. Impianku memang aku suka ikut Cameron Highland.

Tentang Kambing buat Aqiqah

Rumah penginap di Machang telah pun aku tempah; sebelum tempah aku bertanaya kepada Husna apakah ada ruang di rumah apaknya di Kampung Belukar. Hatiku memang teringin tidur di sana tapi bila kenduri rumah yang ada sebilik tentunya akan ramai yang akan pulang. Lagi pun aku ni jenis berdengkur jika di rumah Nyaie aku boleh lari jauh-juah tidur di anjung atau dapur untuk tak ganggu orang tidur.

Rumah Tumpangan Datuk Yamud atau Desa Permai Resh House sudah tidak asing bagiku. Telah dua kali menginap di sana; aku berharap dapat tidur di sana bagi kali ketiga.

Keretapi sampai sekitar jam 9:00 malam. Alahai kasihan tenguk Afiz terpaksa berlari-lari anak dengan mendukung Qasrina; Husna dengan begnya. Tempat kami tunggu rupanya tak tepat; Gerabak yang ada katil jauh meluncur di hadapan' sekitar 3 atau empat gerabak. Kami berdiri telah hampir ke ekor keretapi; hanya gerabak untuk penumpang duduk & kantin KTM. Emm! Keretapi Tanah Melayu satu-satunya nama yang kekal disebut. Janganlah ubah nama pengangkutan yang amat penuh nostalgia ini.

Kami tak dapat melambai Qasrina ibu & ayahnya. Mila nampak tercari-cari mana satu gerabak mereka. Keretapi bukan berhenti lama pun; sekitar lima sahaja kut mungkin tak sampai. Agar Qasrina tak meragam dalam keretapi. Masih bayi telah naik keretapi berjalan jauh.

Cadangan nak beli beg lepas hantar Afiz dibatalkan; kata Afiz beg yang ada dah buat untuk isi air kotak sebagai buah tangan tetamu.. aku & Mila menuju pulang ke Jenaris. Dalam kotak fikiranku aku masih terbayangkan kereta api yang meninggalkan landasannya alahai jauhnya Kota Bharu Kelantan.

- bersambung

19 Oktober 2011

2/3 Kota Bharu (Episod 8)


Tidurku lena tanpa mimpi ngeri. Bermakna cuma perasaan yang asyik terganggu. Kehilangan Mak Nyaie sedikit sebanyak merubah segala kehidupan. Igauan tentang makhluk aneh memang ujud tetapi tidak sampai mengganggu gugat. Bangun pagi aku teringat mahu makan coti canai mamak.

"Siapa mahu temankan ayah nak cari sarapan?" senyap sepi, tak seorang pun menjawab.

"Ayah nak makan di luar ikut suka ayah, Mila nak panas-panaskan makanan di dapur!" bila Mila cakap begitu aku jadi terbantut mahu keluar mencari makan.

Aku nampak ada banyak sayur lodeh basi tak dapat diselamatkan; lemang pun malam tadi aku suruh Cik Yong bawa balik. Masih ada dua batang tidak dibuka. Lemang bukan macam ketupat boleh tahan lama. Sambal kacang memang banyak lagi, aneka rona & jenis. Ayam masak rendang masih banyak yang boleh dimakan. Itulah sarapan kami.

Ramai adik beradik Mila seawal pagi datang ke rumah pusaka ini; Mamam Ifi pun telah pulang dari Dengkil dengan keluarganya. Mereka bertandang sekitar rumah. Sekitar jam 11:00 pagi barulah kami bergerak dari rumah; berjalan kaki ke rumah akak Hanna birasku sebarang jalan. Tiba di sana semua waris Mila nampaknya mahu bergerak ke rumah Mak Ngah. Emie isteri Isman.

"Baik kita ikut adik beradik Mila ke rumah Mak Ngah; dah beraya di sana barulah kita bertandang di sekitar sini!" cadangku kepada Mila, Mila ingin berpecah arah. Aku merasakan tak meriah jika kami berpecah arah. Si Lokman awal-awal dah nak ikut Pak Longnya. Numpang Avanza. Lokman sekitar 4 tahun cahaya mata Acik sejak kebelakang ini memang makin rapat dengan aku. Mana-mana aku pergi mesti dia nak ikut.

SUP TULANG

Semua adik beradik Mila berkumpul di rumah Mak Ngah atau Isman kini. Banglow agam Isman tak menjadi masalah menerima ramai tetamu. Ianya asal tinggal dua keluarga tetapi kini cuma Mak Angah yang jadi tuan rumah. Isteri muda (Mak Ngah Bungsu) Isman telah berpindah ke Puncak Alam. Aku tak pernah sampai rumahnya di sana. Tak pasti sewa atau beli. Mak Ngah Bungsu dari keturunan Khan. Pernah berbual dengan arwah Pak Mertua Isman dia kata yang ramai jadi orang kenamaan di Malaysia ini; seperti di PDRM ada nama Khan di hujung tu adalah waris mereka. Cantik anak-anak Mak Ngah Bungsu ini macam Arab pun ada. Cahaya mata dengan suami pertamanya ada empat orang , dua orang meninggal dunia lemas ketika bercuti di Primula Hotel Terengganu. Jika tak silap meninggal di kolam renang.

Jika Google di dunia maya, terlalu banyak Primula Hotel di Terengganu; tak pasti hotel yang mana satu. Apakah di Primula Beach Hotel . Bersama Isman dia hanya ada seorang cahaya mata. Maka keluarga Isman taklah sebesar mana biar punyai dua orang isteri. Dengan Mak Ngah cuma tiga orang; bersama Mak Ngah Bungsu seorang anak kandung dua orang lagi anak tiri.

Aku lihat kolam renang di banglow ini tiada airnya; nampak terlalu dalam kolamnya. Tiada yang minat berenang terbiarlah jadinya. Pokok anggur di sisi kolam nampak subur. Maman Akir yang sering membantu bersihkan halaman rumah mengadu; pokok anggur ini jarang dicantas dahannya. Jika dicantas pasti akan cepat berbuah. Aku teringat dulu Encik Razak rakan sekerja ada menanam pokok anggur ini. Dia biarkan memanjat di pagar rumah teresnya. Masa aku datang beraya lebat pokoknya berbuah.

MARDI di Serdang ada ladang anggurnya; sekadar buat penyelilidikan tapi tidak dikomersialkan.

Kami sembahyang berjumaah di surau milik Isman di tingkat satu antara dua bangunan. Luas suraunya. Selalunya Isman akan menjadi Imam. Adik beradik Mila yang perempuan serta anak buah yang telah remaja menolong di dapur. Mereka katanya mahu kenduri masak sup tulang.

Afiz & Husna akan ke Machang menaiki keretapi malam nanti. Kami terpaksa mengejar masa; paling tidak mesti ada di Jenaris sekitar jam 6:00 petang; sebab Afiz akan bertolak dari Stesen Keretapi Kajang pada jam 8:45 malam. Mila sibuk nak ke rumah Yot; aku kata teguklah keadaan. Jika masa singkat mana sempat ke sana. Biar pun bukan sejauh mana Taman Emas, Jalan Teluk Gadung Klang itu.


Afiz telah tempah tiket sejak bulan puasa lagi; sebulan sebelum; dia sudah kerap menaiki keretapi malam ke Machang. Sewa gerabak kelas dua yang ada katil untuk tidur. Masa besanku di Triang pun pernah dia naik dengan Pak Mertuanya dari Machang ke Triang. Aku tak dapat bayangkan bagaimana gerabak berkatil ini. Sepanjang hayat taka pernah menaiki kereta begini.

Zaman remajaku rajinlah ikut Opah Bi dari Batu Gajah ke Johor Bahru. Rumah keluarga AC Mizal. Masa itu naik keretapi kelas tiga sahaja. Tidur duduk sepanjang jalan. Alahai penatnya. Pelik juga kenapa dalam galak kali aku ke sana tak pernah nak sewa kelas dua ada katil. Masa itu Yop Zaini bukankah sudah berkerja sebagai ASP di sana. Apak pun bukan orang susah. Mungkin nak jimatkan duit. Opah Bi rajin berniaga kain; kain di Singapura zaman 70an masih murah. Mata wang mereka pun tak setinggi kini. Tiap kali Opah Bi ke Johor Bahru aku sering menemaninya. Naik dari Batu Gajah awal malam sekitar jam 8:00 malam kut; dah lupa. Subuh baru sampai di Johor Bahru.

Kenangan di Gemas amat menarik; zaman dulu ramai orang jual kuih & teh panas. Di Gemas adalah tempat berselisihnya keretapi. Di sini juga penumpang ke Pantai Timur bertukar keretapi. Tengah lelap tidur akan terjaga dengan laungan.

"Teh panas nasi lemak karipap... teh panas nasi lemak karipap" sayup kedengaran tukang jaja mencari rezeki berjalan sekitar rel keretapi.

Memandangkan sup tulangnya masih empuk, kami pula terpaksa mengejar masa; aku mencadangkan agar Mila bertandang ke sekitar rumahnya. Rumah Isman sekitar 3 kilometer dari pekan Meru sedangkan rumah pusaka Mila sekitar 13 kilometer. Batu 8 Bukit Kapar. Ada sekitar 5 buah rumah yang kami sering bertandang di sekitar rumah Mila.

Kami sekeluarga bertandang ke rumah Mak Usu. Satu yang istimewa rumah Mak Usu adalah air sirapnya. Sukar nak jumpa air sirap sesedap Mak Usu buat. Pak Usa adalah adik Yaie telah lama meninggal. Semasa hayatnya masih ada aku masih ingat dia rajin tolong tiap kali kenduri kendara di rumah Mila. Orang tak banyak cakap gempal tubuhnya. Kerepek malinjo kegemaran aku ada tersaji. Makan kerepek malinjo ini tidak pernah rasa puas. Rasa pahitnya membuatkan kita rasa ketagih memakannya.

Rumah keluarga lain tida orangnya, mungkin mereka berhari raya ke luar Bukit Kapar.

Setelah mengemas barangan untuk pulang kami kembali ke rumah Mak Ngah. Aku sempatlah merasa semangkuk sup tulang. Semua dah kekenyangan. Mak Ngah terpaksa goreng ayam untuk lauk tambahan. Anak-anak & Husna nampaknya mula lapar nasi.

Semasa bertolak dari Meru telah pun masuk waktu asar. Aku tak berani mencuri masa untuk ke Taman Emas, Jalan Bukit Gadung; rumah Yot. Takutnya nanti Afiz & Husna tak sempat berkemas. Aku ikut Jalan Paip menuju ke Lebuh Raya Elite menuju ke SKVE. Perjalanan pulang jika bergerak perlahan sekali pun cuma mengambil masa sekitar 1 jam. Sejarah beraya di Meru pada tahun 2011 tercatat yang paling kejap & sekadar dua hari raya di sana. Perubahan berlaku tentu kerana dua perkara yang jelas. Pertama sebab ketiadaan Nyaie & keduanya kehadiran Husna & Qasrina kian mencorakkan suasana keluarga yang berbeda.

- bersambung

12 Oktober 2011

2/3 Kota Bharu (Episod 7)


Emak Kak Eton; Wak Nah atau pangkat nenek tinggal di belakang kawasan rumah Kak Eton. Aku pernah berceritera masalah orang kaya yang beli tanah antara rumah Kak Eton & emaknya. Dipagarnya habis. Hatta kami terpaksa menyusur tepian parit dengan pagar semuat badan sekitar 100 meter untuk bertandang ke rumah emak Kak Eton.

Nampak di dalam pagarnya ada pelbagai jenis ayam kampung & itik angsa. Agak luas juga tanahnya. Sedih melihat rumah kecil Wak Nah ini, makin terhimpit. Sekitarnya makin becak sebab ada dua banglow yang baru dibina. Yang seorang telah lama pindah yang seorang lagi ini agak baru nampaknya bagai ada buat projek ternak ikan dalam kolam; kolam konkritnya tak terurus elok maka melimpahlah airnya tidak mengikut parit atau anak sungai yang sedia ada.

Aku lihat ada beberapa pokok durian nampak seakan mahu rebah sebab tanahnya telah menjadi lembab. Bayangkanlah tanah gambut bila kena air. Ada banyak pokok durian sekitar rumah Wak Nah ini. Sempatlah kami merasa durian Meru yang sungguh manis & sedap rasanya. Pak Alang Muda suka meredah semak sekitar kebun Wak Nah ini.

Umur Wak Nah telah lebih 70an tahun tentunya, sedangkan Kak Eton pun telah berumur 50an. Ingatan Wak Nah semakin kurang. Dia makin lupa wajah kami terpaksalah kami mengenalkan diri masing-masing. Aku suka tenguk anak sungai & dusun durian di sini, rimbun & menyamankan. Nenas nampak banyak tumbuh liar. Tanah gambut yang basah nampaknya sesuai amat untuk pokok cekur tumbuh.

Wak Nah ini tinggal sendirian, seingat aku sejak kami kahwin selalunya aku tak pernah tak bertandang ke rumah Wak Nah ini. Iyer sejak tahun 1980an lagi.

WAK ROMLAH.

Setelah ke rumah Wak Nah kami bertandang ke rumah Wak Romlah. Tak ada seorang pun anak-anak Wak Romlah berada di rumah. Dia tinggal bersama beberapa warisnya. Waris Wak Romlah ada yang tinggal di Kajang termasuk di Sungai Kantan. Anaknya ada berjual Sate sekitar Klang. Suaminya baru sahaja meninggal. Sekitar tiga tahun kut. Wak Romlah pun dah warga emas, silap-silap mahu telah 80an umurnya. Dia masih sehat cuma ada masalah sendi, itu biasalah bila orang telah berusia.

Pertama kali Husna menantu dari Machang aku ini beraya di Meru, nampaknya dia makin dapat menyesuaikan diri. Cumanya kali ini kami tak seramai mana berkonvoi. Selalunya sampai hampir semua adik beradik Mila akan beraya bersama. Bayangkan dari Mak Ngah satu kereta cahaya matanya ada bertiga tak termasuk anak tirinya Pak Ngah. Kemudian Mak Alang, dia tak ada anak tapi selalunya suaminya pasti ikut sekali. Maman Udin isterinya Hanna sebuah kereta dengan tiga cahaya matanya. Acik dengan Bai ramai anaknya, agaknya dah seramai tujuh orang, Maman Akir isterinya Oni dengan keluarga cahaya mata tak silap ada empat orang, Mak Yong atau Yuli baru dua cahaya mata dan Maman Ifi baru seorang. Emm! lapan keluarga bertandang; bayangkan ramainya.

Biasalah raya pertama, kedua dan ketiga raya memang jadual kami padat. Apatah lagi jika arwah Nyaie masih ada. Selagi ada saudara mara memang kami akan ziarahi; dari Meru,Klang, Banting sampailah ke Kajang. Balik rumah larut malam memang biasa. Rutin raya makin berubah. Sekarang memang jarang Mak Ngah atau suaminya Isman turut serta. Keluarga Acik pun makin membawa diri, Bai suaminya sering ada jadula sendiri. Lepas berkunjung rumah Wak Romlah kami maghrib di rumah sahaja. Malamnya aku malas berjalan, memikirkan Qasrina masih bayi & memang tak sesuai bawa berjalan malam.

Sementelah Nina cahaya mata Acik kini tingkatan empat , khabarnya sering nampak benda-benda ghaib lagi menyeramkan di rumah pusaka ini. Rumah pusaka Mila memang besar; Maman Ifi selalu guna satu bilik sahaja. Jika Amirul anak Acik balik bercuti dari kursus di Melaka barulah dua bilik ada penghuni. Amirul sering tidur di rumah Nyai ini sejak lama, sebelum Maman Ifi berkahwinlagi. Bilik yang selalu arwah Nyaie duduk memang sentiasa kosong; bilik airnya pun tak digunakan. Terbiar usang & bersawang.

Aku bercadang tidur di anjung sahaja, jauh dari orang sebab aku ni berdengkor sampaikan bergegar dinding konkrit. Cicak pun tak boleh tidur bila aku berdengkur. Masalah panas buat aku tukar markas. Aku memberanikan diri untuk memeriahkan bilik arwah Mak Nyaie. Aku cuba buka penghawa dingin. Baterinya kawalan jauhnya telah tiada kuasa. Aku pinjam bateri kawalan jauh Astro. Wah! sejuk amat penghawa dingin bilik arwah Mak Nyaie ini. Aku bersihkan sedikit bilik air yang suram lagi bersawang. Memang terasa meremang bulu roma bilamana sendiri di bilik air ini.

Ada masalah lampu di bilik airnya. Padam gelap. Aku berpesan pada Amirul kebetulan mahu ke kedai untuk mencari lampu bilik air. Lama juga aku menunggu kepulangan Amirul; bila aku tanya Afiz rupanya diam-diam Amirul telah letakkan lampu di dalam bilik Mak Nyaie & dia keluar rumah. Huh! salah beli lampu; dia beli lampu kalimantang panjang; bukan mentol bulat. Terpaksalah aku berkejar mencari kedai yang masih dibuka sekitar Meru; bukannya apa takut nanti kalau tengah malam aku terjaga nak ke bilik air pasti seram sangat tanpa lampu.

Aku jumpa kedai orang dari Acheh yang masih dibuka; ketika itu telah sekitar 11:00 malam. Memang orang Acheh di Malaysia ni gila berniaga.

"Tak boleh nak uji ke kut mentol ini hidup atau mati!"

"Biasanya bang... okey!"

Sampai di rumah Nyaie aku tak sabar mahu memasang lampu bilik air ini; aku ambil bangku kayu jati di anjung rumah. Huh badan ni dah berat jika berdiri atas bangku plastik mahu patah kakinya. Ianya mentol jenis skrew. Setelah kemas aku cuba pasang lampunya.

Aneh!, ianya bercahaya bagai filem seram; terang gelap terang gelap & padam. Aku tutup suis & cuba pastikan ianya kemas dipasang; pulas ikut pusingan jam. Memang kemas. Buka semula suis, ceriteranya sama. Menakutkan tapi aku yakinkan diri mesti ada masalah pendawaian. Aku cuba biarkan sebentar; agak lama. Tetiba terbahu wayar hangit terbakar. Cepat-cepat aku padam suis.


Aku bergegas cabut semula mentol bulat yang baru kubeli. Hantar semula bangku kayu jati di anjung rumah. Padam suis penghawa dingin; Ambil bantal padam lampu & tak lagi berani sendirian di bilik arwah Mak Nyaie.

Aku pernah terbaca, syaitan sering masuk dalam pembuluh darah kita. Jika tak kuat semangat memang akan terjadilah kerasukan atau sebagainya. Aku terfikir mungkin filem seram tu benar; selalunya jika ada kuasa yang kuat ianya akan menganggu litar elektrik. Macam tadi.

Lagi pun dalam firasatku terasa ada penunggu kamar arwah Mak Nyaie ini; tapi ianya tidak menetap kekal di dalam bilik ini. Keluar masuk sebagai rumah singgahannya. Selalunya dia suka tinggal di bilik air; apatah lagi ianya terbiar bersawang ada banyak pula tahi cicak.

Di ruang tengah hampir dengan dapur, Mila & anak-anak telah pun lena depan TV. Hari pun sekitar 1:00 pagi. Nak tidur di anjung sendirian pun aku tak berani, rasa seram. Aku mencari ruang sekitar anak-anakku untuk lelapkan mata. Emmm satu masalah betul bila fikiran mula takut, agar dengkuranku tidak sampai menganggu Mila & anak-anak tidur.

- bersambung.

06 Oktober 2011

2/3 Kota Bharu (Episod 6)


KURANG SANTANNYA

Kami makan tengah hari dengan sayur lodeh yang panas. Rasa tak kena sebab aku mengandaikan tak cukup santannya. Bila dicampur dengan sambal kacang buatan Sime Darby baru naik rasanya. Aku terbayang akan rendang kerang buatan birasku Hanna. Selalunya aku akan taruh rendang kerang ini lagilah mengancam Lontong di pagi raya.

Sasaran Mila mahu ke kubur sebelah petang. Khabarnya adik-adiknya telah pergi ziarahi kubur Yaie & Nyaie seawal pagi lagi. Mungkin Mak Alang sahaja yang belum pergi.

Jenaris ke Meru tak jauh mana, tambahan sekarang aku telah ada jalan pintas; SKVE memang banyak menjimatkan masa. Jenaris ke simpang Batu Arang selalunya mengambil sejam sahaja. Tak risau kenderaan banyak atau sesak di jalan raya. Dulu aku tak cam sangat janlan nak ke Batu Arang ini; maka aku turun di Batu Tiga. Jangan dibuat; selalu sangat sangkut di lampu isyarat. Dari Lebuh Raya Elite turun saja di Bukit Jelutung.

Sebelum masik ke Meru kami singgah sebentar di rumah Tok Perak; anak-anak, Husna & Mila memang suka lemang. Banyak juga mereka makan di rumah Tok Perak. Isterinya kerja di Hari Raya; jika cuti pastinya mereka akan pulang ke Kuala Kangsar (KK). Rumah mereka sekampung, golek buah kelapa pun boleh sampai.

Senyap-senyap Tok Perak telah jadi orang kaya; rumah barunya nampak agam & baru diubahsuai anjungnya. Nilai pasaran jika ianya pegangan bebas telah pasti sekitar setengah juta RM. Khabarnya di Perak pun mereka ada beli rumah; Taman Koperasi Cuepac, Balakong pun ada; Tok Wan pensyarah kami yang sewa. Dari lama Tok Perak menyewa sekarang telah ada beberapa buah rumah besar. Rumah baru ini sekitar Sungai Jelok. Syukurlah nikmat Ilahi cucuri.

Sebelum datang ke rumah Tok Perak aku telah telefon, aku kata kalau ada 4 atau lima batang lemang aku baru datang bersyarat. Nak beli jangan pula kasi percuma. Kebanyakan leman yang tinggal hanya kecil batangnya; jadi Tok Perak jual murah amat. Selalunya biasalah harga sebatang lemang RM8 ke RM10. Aku dapat 6 batang leman ala KK untuk dibawa ke Meru.

Sekitar jam 3:00 petang baru kami sampai di Meru. Telah banyak juadah di dapur. Ada perbalahan kecil antara adik beradik Mila dengan biras mereka yang bungsu; biasalah hati orang muda. Isteri Maman Ifi khabarnya merajuk. Mungkin dia tak dapat maklumat sebenar yang adik beradik Mila mahu berkumpul, masak-memasak bersama di rumahnya. Ketika kami sampai Maman Ifi balik ke Semenyih rumah isterinya, cuma ada Maman Udin serta keluarganya, Acik & anak-anak. Aku tak nampak Bai, Keluarga Maman Akhir.

Biasalah aku tercari-cari akan rendang kerang. Ish! lain pula rasanya tahun ini. Biasalah perut orang sakit diabetes; baru sekitar sejam dua tak makan mulalah lapar. Alahai sedapnya juadah orang Jawa. Semua ada berlonggok di meja. Tak tahu mana nak makan.


Semasa dalam perjalanan ke kubur Mila terkilan dengan rajukan birasnya yang bungsu.

"Dia ada hak Mila nak merajuk sebab itu rumahnya, mungkin dia ada rancangan sendiri; lagi pun dia orang muda tak sama perasaannya dengan kita dah tua ni..!" kata-kataku ini ditolak Mila maka keluarlah pelbagai andaian yang risau juga aku mendengarnya.

Tak semua orang suka dengan suasana berkumpul beramai-ramai; pula tu agak lama kami selalu menginap di kampung. Pasti merimaskan. Ada orang mahukan suasana privasi tak suka dengan keriuhan. Biar pun rumah pusaka itu besar tetapi jika telah terlalu ramai pengunjung akan jadi gamat. Mila berfikiran lain. Sesekali berhari raya apa salah semua keluarga berkumpul. Sementelah itu rumah pusaka; dia & adik-adik semuanya telah lama berkorban untuk membesarkan rumah itu.

Hanya hakikatnya rumah pusaka itu telah diserahkan milik kepada Maman Ifi.

Di Tanah Perkuburan Bukit Kapar telah sunyi sepi. Sebelah petang memang tak ramai orang menziarahi. Aku parkir di bawah pokok kelapa sawit. Pak Alang Muda sibuk mengutip buah kelapa sawit nak kasi burung Serindiknya makan. Serindik ini cantik macam burung Nuri. Teruja aku nak tenguk bagaimana cantiknya burung Serindik ini.

Kami membentang tikar mengadap pusara Yaie & Nyaie. Pak Alang sebagai ketua membaca Yasin, Aziq sering juga menjadi ketua Ratib di kubur setiap kali menziarahi kubur. Aku sekadar ikut di belakang. Aku perasan ada sekumpulan satu keluarga sahaja yang mahu pulang ketika kami sampai. Cuaca agak suram. Batu nisan yang dibuat dari kayu nampak sepi di bawah pohon getah. Kubur yang agak jauh dari kesibukan memang amat damai & sunyi. Banyak pohon getah tua yang tak bertoreh. Sesekali nampak sekumpulan kera bergayutan di semak-samun.

KAK ETON

Tak meriah raya kalau tak pergi rumah Kak Eton. Setelah ke rumah kakak Hanna birasku; kami bertolak ke rumah Kak Eton agak jauh dari Jalan Iskandar; telah bersempadan dengan Bukit Cherakah. Rumah Kak Eton dalam dusun; ada anak sungai yang mengalir jernih. Zaman kanak-kanak si Afiz & adik-adiknya; awas! pantang sampai rumah Kak Eton mesti terjun di alur anak sungai ini. Anak sungai ini makin terancam dek pembangunan banglow agam. Pokok durian yang berusia lebih usiaku nampaknya telah ditebang.

Kera yang Kak Eton bela pun telah tiada. Kak Eton adalah pangkat kakak saudara sebelah Yaie. Aku memang suka sangat suasana rumah Kak Eton. Tenguk pokok betik jantan pun aku dah rasa teruja. Selalunya kami makan nasi di rumah Kak Eton; tahun ni nampak tak ada rezeki. Dah petang pun. Rumah papan berbumbung zink Kak Eton masih kekal bagai aku mula kenal Meru. Nampak makin uzur & sebaiknya diganti. Seyogia kehidupan yang tak sesenang mana pastinya menghalang untuk diubahsuai. Tapi amat santai tinggal di dusun Kak Eton. Aku suka tenguk ikan seluang & banyak anak marak si anak ikan haruan.

- bersambung

2/3 Kota Bharu (Episod 5)

Mila Penyanyi Bangladesh

Awal pagi aku telah mandi sunat raya 1 Syawal; Aziq & Anif memang tidur awal. Selepas solat Subuh aku mencari makanan di dapur. Sunat makan dahulu sebelum pergi sembahyang sunat raya. Azim aku kejutkan agar bersiap & bersarapan. Raya tahun ini aku pakai baju rona ungu muda bersamping di dalam hitam kehijauan. Songkok ketika menyambut tetamu kenduri Afiz di Januari lalu elok lagi.

Suara Takbir Raya kian berkumandang dari Astro. Suara Takbir ini tentunya amat menyucuk hati, amat sukar dibaca runtunan hati. Imbauan beraya di Desa Tualang memang jelas di ingatan. Bila mungkin aku dapat beraya di kampung halamanku.

Sepanjang berumah tangga dengan Mila mungkin ini kali kedua beraya puasa di Jenaris, selalunya kami beraya di Meru. Mila mungkin tak kisah sangat sebab emaknya baru meninggal dunia.Tak tahu apa ceritera rumah pusaka di Meru. Aziq & Anif nampaknya mahu ikut ibunya sembahyang sunat raya di Jenaris. Surau dengan rumah sepelaung sahaja jaraknya.

Juadah ayam masak kicap, nasi himpit segera, sambal kacang telah siap dimasak. Sayur Lodeh tak nampak lagi. Aku & Azim sarapan bersama.

"Afiz tak nak ikut ayah ke?... ayah & Azim nak sembahyang di Masjid Penjara." aku lihat Afiz baru pakai baju melayu rona tekoi. Belum pakai sampin lagi.

"Afiz sembahyang di sini saja ayah!" sudah duga memang sukar nak berjarak dengan Husna apatah lagi telah ada anak kecil.


SEDONDON

Tiba di Masjid Penjara Kajang, Sungai Jelok sekitar 8:15 pagi ruang parkir hampir penuh. Aku suka parkir di kawasan lapang sebelah padang boleh tapi pintu pakai ke kawasan itu masih terkunci. Dari pintu utama parkir aku dapat ruang parkir di sebelah kanan. Jarang dapat parkir di sini.

Jemaah asing di bumi orang, memang tak siapa pun aku kenali di masjid ini. Tapi aku suka melihat orang Kajang segak bergaya. Tak nampak orang miskin. Cuma nampak makin ramai warga asing; Bangladesh@Bangla pun orang Pakistan ramai sembahyang di sini.

Azim ikut tangga jemaah lelaki; aku pula ikut tangga jemaah perempuan. Selalunya jika di Meru aku solat di tingkat atas Masjid Meru. Aku suka melihat gelagat orang. Jika Bangla atau orang Pakistan selalunya pakai ketayap jambul keluar. Di sini aku lihat ramai jemaah yang sedondon pakaiannya dengan anak-anak. Cantik. Aku duduk di saf belakang; sebelah Bangla yang bajunya seiras rona sampingku; kehijaun. Bangla ni pakai Baju Melayu tak kemeja labuh tradisinya. Hanya dia: rakannya yang lain pakai kemaja labuh. Takbir terus bergema. Suasana raya menyimbah Masjid Penjara Kajang. Syahdu.

Sekitar jam 8:45 pagi barulah sembahyang sunat raya bermula. Selesa masjid ini; tak penuh pun jemaahnya. Jemaah perempuan pun tidak melimpah keluar bagai sembahyang terawih di Jenaris.

Selesai solat aku tercari-cari juga kut ada jamuan raya. Tak mandang. Ketika aku mahu turun dari tangga mengambil kasut aku terserempak Zali@Tok Perak. Sejak semalam aku memang terkenang dia. Aku tahu dari Fairus dia terima tempahan lemang yang agak banyak. Lemang Tok Perak memang dah terkenal. Jika jamuan di fakulti tempat kerja lamaku memang selalunya dia yang akan buat. Malahan ketika jamuan raya untuk staf UPM pun dia pernah dapat tempahan.


"Ada lemang lebih tak?"

"Ada!, datanglah rumah, Fairus memang beri tahu iDAN nak lemang!"

"Tak habis-habis halnya semalam, penat cari bahan nak masak; tahu sajalah Mila, banyak amat perintahnya!" biasalah ayat banyak perintah ini memang sebutan biasa kami.

"Mohlah! terus ke rumah!"

"Ish tak sedap rasanya berdua saja, nanti nak balik Meru kami singgah!" Tok Perak bersama dengan anak-anaknya, parkir tak di kawasan yang sama.

"Yeopnya mana?" aku selalu jumpa Yeop anak bungsu Tok Perak kalau sembahyang Jumaat di Masjid Penjara Kajang ini.

"Ada dia selalunya dengan saf kawannya!" selang beberapa ketika Yeopnya muncul & bersalaman denganku; yang lain semua cahaya mata Tok Perak perempuan. Dah besar belaka dah boleh terima menantu. Hanya Yeop baru tingkatan satu.

Hampir semua jemaah balik baru kami dapat bergerak. Ruang lapang sebelah padang bola nampaknya dibuka untuk parkir. Aku meninggalkan Masjid Penjara Kajang menuju ke Jenaris; balik lebih dekat berbanding datang. Sebab untuk ke Sungai Jelok dari Jenaris kena buat pusingan U yang jauh amat.

Sampai di Jenaris aku menunggu Mila masak Sayur Lodeh. Husna kena belajar!.

-bersambung