iDAN

25 April 2010

Puisi Darah iDAN di Mingguan Malaysia hari ini.




DARAH ITU TIDAK LAGI MERAH


Darah itu tidak lagi merah
dari perut bumi segalanya menerjah
mahu menghentikan semua kemungkaran
lalu baik anak kecil warga tua
atau golongan istimewa
semuanya menjadi mangsa bencana
syahidlah hendaknya jika dikau beriman.

Gegar takdir itu bukan kejam
tetapi igauan kita yang leka & alpa
membiarkan segala dosa melarat
hinggakan jasad bumi tidak lagi larat
mengampu beban nista kian porak-peranda
sengketa di jiwa raga tanpa pembela
angkuh & ego menindas rakyat jelata
agihan harta negara tidak sama rata.

Darah itu tidak lagi merah
desah semalam tidak kenal pasrah
asyik menuding arah tuju yang gundah
seyogia siasah itu membawa padah.

iDANRADZi
Kajang, Selangor.

Puisi ini telah agak lama saya ilhamkan sekitar Oktober tahun lalu ketika Gempa Bumi menggegarkan Padang, Indonesia. Ianya saya kirim semula lantaran saya memikirkan ada kesedaran sejagat yang perlu kita fikir bersama.

Terima kasih, Editor Ruangan Sastera Utusan Mayasia lantaran sudi menyiarkan puisi ini. Sejak saya bersara saban minggu biasanya saya akan menulis sebuah puisi untuk Utusan Malaysia & sebuah lagi untuk Berita Harian. Rutin ini pasti akan saya teruskan selagi masih punyai ilham.