iDAN

14 Mei 2009

Makan Gaji 3 (Kerjaya)

Aku mendapat e-mel dari Jabatan Perdana Menteri; dari Pengarah Biro Aduan Awam; Dari e-mel yang kubaca, semua mereka agak terkejut dengan kuputusan drastik aku untuk memilih opsyen berpencen awal. Pen. Pengarah Biro Aduan Awam memberikan aku nombor telefon Setiausahanya; agar aku dapat menetapkan hari untuk ketemu & berbincang masalah kerjaya kami di UPM pun pekerja keseluruhan di perkhidmatan awam yang senasib dengan kami.

Aku menolak pertemuan tersebut lantaran, sementelah e-melku kepada PM melalui Warkah untuk PM pun telah menjadi isu panas di UPM kemudiannya berebak ke serata alam. Ini kan pula aku nak panjat tangga ke Jabatan Perdana Menteri. Tak sanggup lagi aku melihat mata terbeliak orang-orang kesatuan pekerja menempelak aku. Padahal aku mahukan satu hakikat yang baik buat semua. Jika ada kesatuan sekerja pun tak jalan kenapa tidak kita gunakan kuasa mata pena. Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang; dalam perjuangan apa sekalipun.

Semua e-mel aku untuk Warkah untuk PM, balasan dari Pengarah Biro Aduan Awam & pergolakan kerjayaku aku kirimkan kepada Sdr Omar Osman President Cuepacs (Bagindo) yang memang aku kenali. Mungkin Bagindo kurang mengenali aku, tapi dia pernah berjanji perbagai kepadaku.

Antara yang aku tulis ke Jabatan Perdana Menteri, aku mahu melihat rakan sekerja yang telah berkhidmat lebih dari 15 tahun dapat dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat yang lebih munasabah. Aku tidak sanggup melihat Budak Pejabat yang telah berpangkat Atuk ke hulu ke hilir menghantar surat & perbagai urusan. Kalangan mereka sudah boleh dinaikkan sebagai Kerani Rendah jika bukan Kerani. (Sekarang Kerani jadi Pembantu Takbir, Kerani Rendah digelar Pembantu Takbir Rendah) Aku pernah menceriterakan masalah ini panjang lebar dalam jurnalku di easyjournal.

Bagi mereka di bidang teknikal, lebih afdal diujudkan jawatan Pembantu Am Makmal bukan dicampak sebarangan menjadi Pembantu Am Pejabat. Diujudkan semula Pembantu Makmal Rendah, Juruteknik Rendah, untuk tangga kenaikan mereka di bawahan jika memang tidak layak menjadi Tukang Kadar atau terus ke jawatan Juruteknik. Perbanyakkan jawatan Juruteknik Rendah, Pembantu Makmal Rendah, Operator & Tukang Kadar bagi kenaikan golongan marhaen yang terhimpit ini.



Begitu juga dengan Juruteknik, kenapa nasib jadi macam Pak Wahid, sampai pencen pun masih Juruteknik, kenapa tidak diperbanyakkan jawatan Juruteknik Kanan bagi mereka yang telah lulus PTK, Pembantu Teknik bagi mereka yang ada diploma. Aku tidak risau sangat golongan sokongan di taraf C & B ini. Mereka aku lihat boleh meniti hidup ini dengan sederhana, malahan ada yang bermewah jika punyai pasangan yang berkedudukan di bidang kerjayanya.

Golongan sokongan kumpulan D yang amat kusasarkan, Dari N1 yang bertaraf skim gaji Darjah Enam ini yang amat naif. Skim gaji Darjah Enam ini mestilah dimansuhkan. 15 tahun memegang jawatan yang sama dengan gaji yang amat minimum rasanya adalah satu pemhambaan moden.

Bila semalam Perdana Menteri Rakyat kita mengumumkan peluang kenaikan pangkat untuk mereka yang berkhidmat 15 tahun ke atas ini; sememang aku merasakan satu kejayaan perjuangan aku selama ini. Biar pun aku tidak dapat merasai kenaikan tersebut. Cukuplah aku menumpang gumbira jika rakanku mendapatnya. Tugasan aku sebagai Juruteknik tanpa gaji mutlak sepanjang belasan tahun sudah cukup mengajar aku erti pengorbanan.

Mantan PM kita Pak Lah telah pun menaikkan ramai kalangan staf bawahannya ke Pembantu Takbir Rendah. Aku mendapat e-mel tersebut & e-mel tersebut mempelawa aku untuk berhijrah ke sana. Kenapa kita masih berdolak dalik untuk menaikkan pangkat anak buah kita. Malahan orang seperti aku yang sejak berzaman nampak kepincangan ini pula jadi bahan kecaman.

Emmm! sekarang aku menjadi Penyair sepenuh masa. Rasanya lebih aman lagi.

- bersambung

Makan Gaji 2 (Kerjaya)

25.2.2009

Sistem Saraan Baru (SSB) telah ditukar kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM). Ini ceritera untuk staf kerajaan. Bukan ceritera untuk mereka yang makan gai di swasta. Bagi siapa yang pernah menempuh SSB & SSM ini termasuk aku sendiri; tentunya ada sahaja perasaan yang tak puas hati terhadap sistem ini. Kenapa?

Salah satu antaranya ialah penilaian yang diberikan. Banyak skop yang dinilai. Mungkin ada yang kita setuju & ada juga yang kita tak setuju. Ketua Jabatan (KJ) tak selalu jumpa kita jadi bagaimana dia dapat menilai kita dari jauh.

"Ish! dah dapat 86% pun masih tidak berpuas hati?" 85% bagi kami di sini sudah dikira Cemerlang Fakulti. Jika nak naik pentas Cemerlang UPM selalunya mesti 90% ke atas.

"Bukan masalah markah itu abg iDAN, tapi ada sebahagian penilaiannya saya rasa saya harus dapat lebih dari itu!"

"Habis itu kenapa setuju untuk tanda tangan, buat macam si Ramli, dia tak tanda tangan biar mengadap Dekan sekali pun" Ramli bukan nama sebenar.

"Malas nak cari pasallah abg iDAN, orang lain yang markah lebih rendah dari saya pun dah tanda tangan!"

Sering isu ini timbul tiap awal tahun bilamana berhadapan dengan KJ tentang permarkahan SSM ini. Bagaikan nak perang besar, ada staf yang serang majikan lantaran terasa tidak puas hati. Paling sensasi ramai pula tersenyum lebar bukan setahun dua dapat 100%. Mak datuk jika telah 100% yang pasti staf ini telah semartabat Malaikat. Memang boleh dipersoalkan jika 100% sebab penilaian ini dipecahkan perbagai bidang, bukan kerjaya semata. Sumbangan luarnya, sukannya, identiti dirinya... emmm! jika namanya kita ini manusia mungkin sempurna segalanya.

Kes aku pula lain, aku masih dinilai oleh KKK, jadi tak sempat Unit IT mahu menilaikan aku.

"Saya dah tanda tangan, kirim salam saja kepada KJ, nak taruh 20% markah pun tak apa, saya dah nak pencen!"

Aku menyerahkan borang SKT kepada Setiausaha (SU) KJ KKK. SU KKK hanya sempat senyum. Memang pun tak sampai sebulan lagi aku akan bercuti & terus pencen. Kad pencen pun telah aku terima.



(Aku masih merenung panjang akan sisa masa depanku, semalam Aziq mempersoalkan tentang kerjayaku, Azim pun masih tak boleh terima yang ayahnya akan berpencen. Mila pula macam dulu, memang aku tidak yakin akan tindakan dia, Mahkamah Syariah masih dekat di hatinya, jangan silap kata-kata atau silap langkah)

- bersambung

Makan Gaji (Kerjaya)

Ada baiknya kita baca artikel lama ini, bilamana semalam aku dengat perjuanganku diwartakan oleh PM.

24.2.2009

Ada kalangan kita lupa diri yang bila kita jadi staf kerajaan, kita sebenarnya seorang yang makan gaji. Ada yang jadi ketua asyik bertindak bagaikan Jabatan yang kita ditugaskan bagaikan milik sendiri. Ada yang dipertanggungjawabkan menjaga amanah rakyat tetapi engkar, korapsi asyik makan rasuah & perbagai ragam yang sifar kesedaran.

Sifar kesedaran; antaranya asyik bodek, asyik merasakan akulah yang terbaik; jika ada anugerah kalau boleh mahu tiap tahun naik pentas. Mengadu domba, selalu menjaga tepi kain orang, menjadi pengintip ketua dalam masa yang sama suka menangguk di air keruh. Mementingkan diri sendiri atau kroni.

Pembaziran. Selalu kita lihat ketua kita membuang barangan rakyat. Pantang nampak barangan kerajaan lusuh sikit; siap tempah lori, bayar pengangkutan untuk membuang barangan hak milik kerajaan dengan cara tidak beretika. Cuba kita lihat di sekeliling kita, dekat bawah tangga nampak kerusi yang masih kukuh cuma sarung kusyennya yang lusuh. Jika kita baiki, tukar sarungnya, sudah pasti ianya amat elok lagi. Tidak bolehkah ianya kita lelong dari buang begitu sahaja. Dijual kepada staf sendiri, bukan timbang kilo. Dilupuskan secara beretika bukan buang sebarangan.

Meja yang masih kukuh bila berpindah jangan haraplah ianya akan selamat. Kenapa tidak beli meja yang kukuh boleh dipindah randah jika memang makmal atau ofis yang dibangunkan tidak tetap. Patah, pecah, almari baik kayu atau besi entah berapa banyak kita buangkan begitu sahaja. Kenapa tidak kita jual kepada pembeli perabot terpakai. Ianya elok lagi tetapi demi mahu menjaga status, maka perabot ini jadi mangsa. Paling banyak kita lihat keliling kita; betapa banyak perabot yang seharusnya diletakkan dalam dewan terdedah dengan cuaca luar. Lama kelamaan jadi lusuh & menyakitkan mata memandang. Kenapa tidak dihadiahkan kepada awam, dewan atau tadika umpamanya sebelumnya ianya lusuh.

Belilah perabot yang sesuai untuk di luar bukan sebarangan meletakkan perabot yang seharusnya diletakkan di dewan tertutup; terbiar di luar. Itu namanya membazir.

Kita lupa kita makan gaji, maka itu tak sayangkan barangan kerajaan, bukan seperti sayang barangan sendiri.

Posted on 24.2.2009 at 9:07 PM

Puisi iDAN di Berita Harian

MATA

Mata itu tumbuh di dasar hati
lalu dinamakan mata hati
pemerhati yang tajam
mengarah pesan yang baik
penentu tindak yang cerdik
mata hati yang celik.

Mata itu muncul di arus niaga
lalu dinamakan mata duitan
pemodal yang tamak
meladeni laba pelanggan
lintah darat yang rawan
mata duitan yang gelandangan

Mata itu terbit di medan iman
lalu dinamakan mata batin
pengabadi yang setia
memayungi takwa jiwawi
panduan sukma yang suci
mata batin yang sakti.

Mata: melihat segalanya.

iDANRADZi
Jenaris, Kajang

Terbit pada 2 Mei 09