Dua hari lalu Ulan telefon; dia teringatkan aku lantaran hampir setengah tahun kami tak jumpa. Seingat aku sejak aku bersara kut! jumpa Ulan pun sekadar sekali dua terserempak tak sempat berbual panjang.
Apa yang menarik tentang Ulan ini?. Yang kenal dia secara rapat pasti dapat mengesannya. Dia seorang yang begitu rajin mencari rezeki sampingan lantaran majikannya terlampau sifar dalam menjaga kebajikan terutama bab kenaikan pangkat. Nasib Ulan tak jauh bedanya denganku. Ulan seorang pekerja yang mahir tetapi majikannya tak nampak kemahiran Ulan & lebih ke arah pengaruh cakap serta hasutan orang melihat dari sudut lain. Menilai seseorang dari sudut kelemahan; akan pasti hasil parah. Si mangsa tohmahan akan pasti menjadi mangsa.
Jika kita menilai seseorang dari arah songsang tanpa melihat bakat & kemahiran besar yang staf itu miliki; sememangnya kita memerangkap diri sendiri pun menganiaya orang berbakat besar ini. Aku takut majikan yang begini akan tempang di dunia sebelah sana nanti.
(YB yang pasti baca tulisan ini mungkin terasa kut! bagaimana dia sendiri patah hati lantaran sikap majikan yang begini. Sementelah itu YB merajuk jauh. Tak pasti patah hatinya kini telah terubat?. Aku rasanya jejak kakiku ke sana pun tak mahu lagi. Mungkin tidak YB.)
"Ada ceritera terbarukah Lan" aku biasa panggil dia Lan sahaja, ramai kenali Ulan sebagai Wak Lan.
"Tak adalah iDAN, cuma tahun lalu mereka kasi aku anugerah cemerlang!"
"Tahniahlah, jika ada rezeki tak kan ke mana..." aku tergamam juga tadi dia parkir depan rumah dengan Mitsubishi Storm setahu aku dia juga ada MPV Nissan GRAND LIVINA, sampai aku tersilap nak masuk pintu, terbabas ke pintu pemandu!. Nyanyuk.
"Mana Livina, kau dah jual ke?"
"Adalah, dia macam bini kedua aku sayang nak berpisah, orang rumah pakai!"
"Anugerah cemerlang sekarang ni berapa RM UPM tu kasi!"
"Seribu!"
"Okeylah! tu... rezeki untuk anak-anak!" yang penting adalah penghormatan kerjaya kita. Duit itu masalah lain. Sejak aku berkhidmat dengan UPM; aku cuma sempat sekali dapat anugerah cemerlang peringkat universiti; tahun 1999. Hanya itu; dapat cemerlang peringkat fakulti boleh dibilang dengan jari. Alasan atau sebab musababnya aku asyik tercicir adalah dicopmohorkan staf bermasalah; degil, lawan tauke, tak berprotokol emmm! entah apa lagilah tangkapan orang atas-atas ini terhadap aku.
Ulan ada bengkel sendiri, bengkel kimpalan untuk buat kerja-kerja logam. Bengkel ini yang banyak membantu dia membaiki ekonominya. Menampung dalam membangunkan rumah tangga. Isterinya tiada kerja tetap, terkadang menjahit terkadang buat kerja jualan langsung. Tak menentu. Ganjaran kerja hakikinya sekadar cukup makan. Biarpun dia membuat kerja teknikal seperti aku tetapi ganjarannya memang boleh dipertikaikan. Ulan lebih awal berkhidmat dariku; pasti tahun ini telah cukup 30 tahun; mungkin lebih lama berkhidmat dengan kerajaan berbanding aku. Aku sempat 28 tahun sahaja.
Ada kalangan majikan silap tafsir, staf yang ada kerja sampingan ini sering dipersoalkan prestasi kerjayanya di jabatan. Asyik cari penyebab kenapa perlu disekat kenaikan pangkat. Sedangkan tanpa kerja sampingan ini apakah staf ini akan dapat menikmati hidup sebenar. Staf yang ada kerja sampingan; bagiku sebenarnya mereka ini yang punyai kemampuan lebih dari mereka yang kaki bodek & intan payung sanjungan jabatan. Staf yang ada kerja sampingan ramai yang ikhlas dalam menyebarkan khidmat & kemahiran mereka. Buat jabatan juga buat orang luar.
Aku teringat semasa aku berkerja dulu, boleh dikatakan setiap minggu pasti ada komputer yang datang ke makmal aku untuk aku baiki. Terkadang tak menang tangan. Cumanya aku bukan seorang yang berjiwa berniaga; aku tak pernah meminta upah, aku lebih suka membantu & memberikan sumbangan. Aku tidak pernah abaikan kerja hakiki.
Masa lapangku sentiasa ada aktiviti sumbangan; kalau tidak baiki komputer, aku adakan kelas ICT aku sendiri. Pelajar yang aku telah mahirkan lebih dari seratus orang, dari belajar baiki komputer hinggalah penggunaan perisian komputer, buat laman web, photoshop, buang birus, permasangan perkakasan baru, kemahiran internet, cara jalan pintas menghalang kerosakan windows, hinggalah baik buruk jadi penggodam. Menariknya pelajarku ada pelbagai peringkat; dari kalangan pelajar sekolah rendah, hinggalah pensyarah malahan bertaraf profesor.
Bukanlah masuk bakul angkat sendiri tetapi sesiapa yang mengenali aku memang faham sangat watak aku.
Ulan mahir dalam kimpalan tetapi majikan tak nampak, Ulan sekarang lebih ditugaskan kepada kerja senggaraan bangunan. Lari dari bidang kemahiran sebenar. Maka tak hairanlah Ulan buka bengkel sendiri.
"Bagaimana projek Lan di Pahang tempoh hari telah siap tak?" Ulan buat semua kerja jika ada peluang; dia ada buat kerja-kerja membina & senggara bangunan baru bersama kontraktor di Pahang.
"Dah siap, tapi kena kencing juga..!"
"Banyak ke?.."
"Dalam RM15,000!"
"Isk! banyak tu Lan, habis tu ada untung tak?" rasanya telah puluhan ribu RM hutang lapuk yang terpaksa Ulan tanggung. Aku memang selalu ikut perkembangan perniagaan Ulan. Dulu kalau aku balik lewat dinihari, sering juga Ulan datang menemani aku hingga ke tengah malam. Jadi antara kami tiada apa rahsia.
"Untung itu memang okey!; dia janji nak bayar duit tu tapi senyap sahaja!"
Aku sering berbual dengan Ulan tentang bengkelnya. Tiap bulan dia cerita mesti kena ada duit pusingan tak kurang dari RM20,000. Itu cereita dedulu, mungkin kekinian terpaksa bertambah. Bengkelnya kecil sahaja tetapi memang begitulah orang berniaga. Ada tak kurang dua tiga orang pekerja tetap termasuk adiknya. Terkadang lebih dari itu, ikut besar mana projeknya. Setahu aku kerja kimpalan ini, bermodalkan RM1,000 kita boleh letakkan harga RM3,000. Kerja ini memerlukan kemahiran & kos elektrikal yang tinggi. Maka itu sememang kadar jualan paling tidak 200% dari kos barangan. Ulan tak dapatlah keuntungan yang tinggi sebab dia upah orang yang buat. Jika ada waktu senggang sahaja dia dapat membantu pekerjanya.
Maka itu jika kita mahu buat gerigi rumah atau pagar rumah bukan murah kini.
Dalam bualan kami, tercetus juga rasa terkilan dalam kerjaya di UPM, sebabnya dalam golongan kami masih ramai yang tercicir dalam bab kenaikan pangkat. Kemahiran & pendidikan kami sama sahaja. Rakan kami yang lain, malas & kaki monteng pun telah dinaikkan pangkat, mendapat pencen sekali ganda dengan kami. Itu rezeki mereka. Aku & Ulan kekadar seadanya. Seolah-olah pandangan majikan kami, kami ini lebih teruk dari mereka yang semua tahu kehandalannya membodek, bersandiwara pun punyai masalah lebih kronik. Hipokrit. Ramai yang berjaya ke puncak melalui batu loncatan, guna golongan bawahan, paling menyakitkan melalui kabel besar.
Kerja makan gaji ini terkadang jika pandai bermuka-muka, juga amat pantas memintas staf lain pun mudah berjaya. Di makmal pagi ke petang klik komputer macam ada kerja tak selesai, hakikatnya leka cit cat, main chess, lawan permainan komputer secara langsung, buat jualan langsung lelong & macam-macam kepuraan. Tiap tahun boleh naik pentas dapat cemerlang, jadi kanan & pelbagai lagi jika rapat dengan bos, duduk jadi tugu di pejabat. Pandai menjadikan rakan sendiri sebagai batu loncatan, lebih teruk mengadu domba. Kemahiran tak sepakar mana pun.
SKT sebenarnya baru lagi ujudnya, itu pun hanya 40% selebihnya adalah ketentuan Ketua Jabatan (KJ). Penilaian manusia inilah selalunya menjadi masalah. Memang ini masalah makan gaji. Sampai kiamat pun rasanya tak akan memuaskan hati semua orang. Maka itu Islam menggalakkan berniaga; kerja sendiri lebih jelas & telus. InsyaAllah jika rajin & jujur akan lebih murah rezeki berbanding makan gaji.
"Lan kena menabung dari sekarang, kita ni pencen tak banyak mana; hanya duit tabungan sahaja yang dapat membantu di hari tua kita.." itu pesan aku terakhir aku kepada Ulan setelah lebih dari dua jam kami lepak makan-makan di Sungai Kantan.
Agar dia dapat terima nasihat aku ini. Tak sangka ada rakan yang sudi ketemu aku. Baru beberapa hari lalu aku menulis bab persahabatan ini di jurnal aku Easyjournal. Terdetik hati Ulan datang dari jauh, malam-malam lagi semata-mata mahu ketemu aku.
Terima kasih Ulan.