iDAN

18 September 2014

Mimpi Ngeri di Krabi


TAK siapa dapat menentuan sepanjang mana usia diri masing-masing. Samalah tak siapa dapat menentukan rezeki yang bakal dimiliki. Entah untung entahkan rugi. Tak siapa juga dapat menentukan apakah esok ada perjalanan jauh atau sekadar dapat memerap saja di rumah. Segalanya adalah ketentuan Ilahi. Dia saja yang bakal menentukan segalanya. Perancangan yang disusun belum pasti mengikut agenda. Kita merancang Allah jua menentukan.

Antara hobiku ialah kembara ke alam maya. Buka Peta Google mencari nama pulau demi pulau. Melalui nama yang aku kutip aku akan buka Imej Google. Mencari keindahan alam maya. Biarpun tak pergi nyata di sana tapi ada sekelumit puas menyaksikan keindahan alam ini melalui alam maya yang terbuka luas.

Aku bukan menteri, bukan juga orang kaya, tidak punyai harta atau duit untuk kembara jauh. Segalanya bergantung takdir & kudrat Ilahi seandainya dapat menjejakkan kakiku ke lokasi yang aku impikan. Tak pernah pun aku terfikir pun dalam hidup ini ada ketika aku ditakdirkan ke luar negara. Atas rahmat juga ihsan Ilahi jua aku sering sampai ke lokasi yang aku tak terfikir jejak di sana.

Seperti Jepun. Ada banyak keberangkalian kenapa aku ditakdirkan belajar di sana. Ianya ternyata telah banyak merubah kehidupan aku. Ada beberapa Semangat Dasar Pandang ke Timur yang telah merubah hidupku. Tapi ianya tak dapat dikesan oleh majikanku. Malahan sikap majikanku yang menyekat kenaikan pangkat kerjayaku telah menjadikan ujian hidup ini amat getir. Ianya jika dikaji akan melibatkan banyak kejadian yang lari dari garis takdir atau fitrah manusia. Skrip perubahan drastik ini sebenarnya ada ketika tak pun menyentuh hati pengarah atau pelakonnya.

Berjalan dengan hukum karma yang bagiku ada banyak amat pembetulan atau suntingan yang bakal dilakonkan semula di Alam Akhirat nanti. Tak perlulah dikupas banyak amat perkara ini tapi natijah dari takdir ini nampaknya banyak mengajar aku akan betapa dunia ini kena sentiasa perlu dikawal oleh ajaran agama. Hukum karma manusia ini amat kejam. Manusia pula sering ingkar akan peraturan alam yang telah ditentukan. Tahu akan hukum agama tapi suka melanggarnya.

Jepun negara kedua setelah Singapura yang sering aku kunjungi. Sejak aku belajar di Form 5 lagi aku sering berulang-alik ke Johor Bahru. Menemani emak tiriku yang aku panggil Wan Bi ke Singapura buat perniagaan jualan kain. Bila cuti penggal sejak tahun 1977 aku sering ikut Wan Bi.  Aku tamat belajar sampailah aku berhijrah ke Kuala Lumpur tahun awal 1979 jika Wan Bi ke Singapura aku akan pasti temani dia ke sana. Tak pasti berapa kali aku ke sana.

Perjalananan dengan Keretapi Tanah Melayu ikut pakej Senandung Malam memang amat memenatkan. Dari Batu Gajah Perak ke Johor Bahru Johor mengambil masa yang panjang. Bertolak sekitar awal malam sampai awal Subuh pastinya memenatkan. Kami tak pernah ambil koc ada katil sebab nak jimatkan belanja. Sekadar koc penumpang yang duduk sahaja.

Dari kampungku Kampung Changkat Tualang (KCT) Kota Bharu Perak ke Batu Gajah selalunya apak yang akan hantar dengan keretanya. Ikut jalan lombong lalu Bakap selepas Maghrib dah kena bertolak. Selalunya keretapi (dua-dua ejaan kereta api atau keretapi boleh digunapakai) bertolak sekitar 9:00 malam. Pengalaman yang berulang ini sebenarnya ada banyak menyimpan kenangan.


Di Johor Bahru selalunya dah cerah hari barulah anak tunggal pangkat abang tiriku Yeop Zaini akan menjemput aku di stesen keretapi. Masa itu memang aku penat. Sepanjang jalan suara penjual air kopi seperti lama berhenti di stesen keretapi Tampin.

"Teh tarik kopi panas karipap...!!!" masih tergenang di telinga. Aku ni sejak azali amat sukar tidur jika dalam kenderaan. Pastinya penat amat seharian tak tidur malam. Sampai di kuater polis agak besar rumah Yeop Zaini ini, selalunya hanya akan menanti pembantu rumah, si AC Mizal & Zareen. Yeop Zaini masa tu dah naik pangkat sebagai ASP. Asalnya masuk jadi polis sebagai inspektor, aku pernah ke Kota Bharu Kelantan tempat bertugas Yeop Zaini semasa jadi inspektror. AC Mizal baru berusia sekitar 6 tahun. Zareen adik AC Mizal bayi yang montel masih hisap puting; minum susu botol. Boboi adik bungsu AC Mizal rasanya belum lahir lagi ketika itu. Yong Mazie menantu Wan Bi sentiasa sibuk di hospital kerja ikut shif memang tak jadi orang sangat. Macam tak ada saja di rumah tu.

Berehat sehari esoknya dah kena jejak kaki ke negara orang. Naik bas selalunya ada waris sebelah Yong Mazie akan temankan kami. Itulah pengalaman pertama ke negara orang.

- bersambung.


ejaan Kota Bharu Perak mengikut asalnya ialah Kota Bharu bukan Kota Bahru seperti papan tanda asal imej di atas (ianya telah saya tacap) yang ejaan Bahru ialah Johor Bahru. Dalam Kad Pengenalan saya yang lama juga surat beranak ejaannya Kota Bharu Perak.