Shila berkata, dia sangat terharu dengan penerimaan peminat di negara itu ketika menyertai pertandingan tersebut kerana mereka benar-benar menghormati imejnya sebagai wanita Islam.
"Ternyata dalam setiap tindakan yang kita lakukan akan ada ganjarannya dan saya melihat hikmah kerjaya dan rezeki saya terbuka luas di negara orang sebagai satu nikmat yang besar.
"Malah saya dikenali di China kerana imej bertudung dan ia cukup menggembirakan saya," ujarnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Rabu.
Pada Khamis lalu, Shila yang juga anak kepada penyanyi dan pelakon 80-an, ND Lala dinobatkan sebagai juara program Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai.
Shila menyampaikan tiga buah lagu iaitu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin berjudul Zheng Fu (Na Ying).
Kepulangan Shila bersama keluarganya turut disambut oleh peminat dan rakan-rakan media.
Katanya kejayaan yang dikecapnya itu adalah satu penantian berbaloi selepas hampir 12 tahun bergelumang sebagai anak seni selain menjadi bukti usahanya selama ini tidak sia-sia.
Sementara itu Shila berkata, kejayaan tersebut membutakan dia diberi peluang menjadi penyanyi jemputan untuk konsert bintang negara tersebut iaitu Eric Moo di Beijing pada 17 November depan.
Katanya ia satu penghargaan yang amat besar kerana mampu melangkah setapak lagi dalam mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih jauh.
"Kejayaan ini bukan bererti saya sudah boleh mendabik dada sebaliknya masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian kerana cabaran yang akan datang lebih hebat selepas ini," jelasnya.
Shila memberitahu kemenangan itu juga membolehkan dia berkongsi dana bersama pemenang tempat kedua dan ketiga bernilai RM5 juta yang diperuntukkan oleh Shanghai Media Group (SME).
Wang itu bagi menjalankan aktiviti promosi, persembahan pentas dan juga dalam usaha menjadikannya artis terkenal di seluruh Asia.