iDAN

06 Ogos 2010

Faktor Kelemahan Umat Islam (Agama)


Di dalam kekuatan hebat dan tanah yang meluas ini, faktor-faktor merungkai mula meresap ke dalam kehidupan umat al-Quran ini. Faktor ini membesar dan berkembang sedikit demi sedikit sehingga akhirnya telah merobek Daulah Islam ini dengan hancurnya pusat kerajaan Islam pada kurun ke 6 Hijrah di tangan Tartar. Sekali lagi ianya berlaku pada kurun 14 Hijrah (Kejatuhan Khalifah Othmaniah). Peristiwa ini meninggalkan kesan yang amat buruk. Umat Islam bertaburan dan negara Islam menjadi negeri-negeri kecil. Faktor-faktor yang menjadikan demikian:

1-Perpecahan politik, asabiyyah (fanatik), berebut pangkat dan kepemimpinan. Sedangkan Islam telah memberi amaran keras dalam masalah ini. Islam telah mengingatkan supaya menjauhkan diri dari kepimpinan. Islam berulang kali menarik perhatian umatnya bahawa inilah faktor yang merosak dan menghancurkan mana-mana rakyat dan negara. Allah berfirman, maksudnya; “…dan janganlan kamu bertelagah, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (al Anfal :46). Disamping itu Islam juga sangat berpesan supaya ikhlas kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan dari suka kemasyhuran dan pujian.

2-Perbezaan pandangan dalam agama dan mazhab, menyeleweng dari agama yang sepatutnya aqidah dan amalan tetapi bertukar menjadi cakap-cakap dan istilah kaku yang mati. Kecuaian terhadap kitab Allah, sunnah Rasulullah saw, jumud dan fanatik terhadap pendapat dan kata-kata seseorang, suka bertengkar dan berdebat sedangkan semua perkara ini ditegah oleh Islam. Rasulullah saw bersabda, maksudnya “Tidak sesat sesuatu kaum itu selepas mereka mendapat hidayat kecuali oleh kerana mereka suka bertengkar”.

3-Tenggelam dalam pelbagai kemewahan dan kenikmatan, suka berhiburan dan keseronokan. Ianya berlaku begitu dahsyat pada pemerintah-pemerintah Islam lebih dari apa yang berlaku kepada pemerintah bukan Islam. Padahal mereka telah membaca firman Allah, maksudnya; “Dan jika kami hendak membinasakan negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya ketentuan kami dan kemudian kami hancurkan negeri itu sehancurhancurnya”. (al Isra’:16)

4-Peralihan kuasa dan pimpinan kepada bukan Arab; samada kepada Farsi, Dailam (suku Kurd), Mamalik, Turki dll. Kebanyakan mereka ini tidak pernah merasa kemanisan Islam yang sebenar. Hati-hati mereka tidak dapat disinari oleh cahaya al-Quran disebabkan kesukaran memahami maksud-maksudnya. Sedangkan mereka telah membaca firman Allah, maksudnya, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaan mu orang- orang yang di luar kalangan mu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagi mu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepada mu ayat-ayat (Kami) jika kamu mahu memahaminya”. (Al Imran :118)

5-Mengabaikan ilmu-ilmu teknologi dan sains sebaliknya menghabiskan masa dengan teori falsafah dan ilmu-ilmu khayal yang mandul. Sedangkan Islam mengesa mereka supaya mengkaji, menyelidik segala rahsia-rahsia kejadian, meneroka di muka bumi dan berfikir tentang makhluk Allah sebagaimana firman Allah, maksudnya; “Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi”. (Yunus:101). Masyarakat lain sehingga mereka ketinggalan dalam persiapan dan persediaan yang mana akhirnya mereka telah dicakup sekali gus. Al-Quran telah memerintahkan mereka supaya sentiasa berwaspada dan jangan lalai. Ia mensifatkan orang-orang yang lalai dan cuai tak ubah seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu. Firman Allah, maksudnya; “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak di pergunakannnya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat- ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang- orang yang lalai” (al-A’raf:179).

6-Terpedaya dengan tipu muslihat musuh yang manis di bibir. Mereka merasa kagum dengan carakerja dan kemewahan hidup kuffar musuh. Mereka terburu-buru meniru kuffar tanpa mengira baik buruk. Sedangkan al-Quran sangat menegah muslimin dari meniru atau menyerupai kuffar. Al-Quran terus terang memerintah supaya tidak menyerupai kuffar dan perlunya memelihara ciri-ciri identiti Islam. Firman Allah, maksudnya; “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang al Kitab nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman” (aL-Imran:100). Di ayat yang lain, maksudnya; “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu taati orang-orang itu nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran) lalu kamu menjadi orang yang rugi” (aL-Imran:149)

Risalah Antara Semalam & Hari Ini – Syeikh Hassan al-Banna

iDAN: Hiburan adalah senjata orang kafir dalam memerangi kita ummah Islam. Sedar tak sedar kita menjadi lalai sehingga terleka dengan suruhan agama.

Jika mahu berhibur biarlah ada batasnya & jangan sesekali meninggalkan perintah Allah terutama Rukun Islam termasuk solat 5 waktu.

Rukun Islam ada lima (5) perkara :

(1) Mengucap dua kalimah syahadat
(2) Sembahyang lima waktu
(3) Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadan
(4) Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah)
(5) Menunaikan zakat

Mengucap mungkin mudah, puasa pun mungkin boleh dilakukan; Haji kita tidak selalunya sempurna, zakat kita sering terabai pun sembahyang asyik terbabas. Jika ini berlaku perbanyakkanlah membaiki diri, bermunajat & meminta keampunan ke hadrat Ilahi agar dikuatkan iman sesama kita.