SIKAP memberi makan kepada kera akan menimbulkan pelbagai masalah.
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
Jangan belai monyet bandar, undang pelbagai penyakitKUALA LUMPUR: Kera penyebar HIV, denggi, malaria, tibi! Inilah ancaman bentuk baru kepada manusia dan lebih berbahaya, haiwan itu berkeliaran di kawasan bandar. Kajian Pusat Kecemerlangan Kajian Hidupan Liar dan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ke atas lebih 2,000 kera yang ditangkap sekitar bandar seluruh negara mendapati 80 peratus daripada haiwan itu menghidap penyakit berbahaya itu dan risiko menjangkiti manusia juga tinggi.
Hanya dengan memegang, membelai dan memeluk haiwan berkenaan, manusia boleh dijangkiti pelbagai jenis penyakit itu.
Berita Harian.
Pindah haiwan ke habitat asal
KUANTAN: Kementerian Kesihatan akan mengadakan program intervensi dan pencegahan secara besar-besaran jika terbukti kera menyebarkan jangkitan penyakit termasuk denggi, malaria dan tibi kepada manusia.
Antara langkah itu termasuk mengadakan operasi menangkap dan memindahkan kera ke habitat asal, seperti yang dilakukan ketika menangani wabak selesema burung di negara ini yang berpunca daripada ayam pada tahun 2006.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementerian setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu tetapi pihaknya sentiasa melakukan pemantauan menerusi program kawalan penyakit berjangkit dengan kerjasama Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya minta orang ramai mengelak daripada mendekati dan bersentuhan dengan haiwan ini termasuk memberi makan atau membelai kerana kita tidak tahu ia ada membawa penyakit berjangkit.
“Kita perlu lebih berhati-hati dan berwaspada, sebaik-baiknya untuk melihat kera lebih baik ke zoo kerana lebih selamat bukan di kawasan terbuka yang terdedah dengan pelbagai risiko,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Kesihatan Kuantan, di Bukit Sekilau, di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai laporan Berita Minggu, semalam mengenai ancaman penyakit HIV, malaria dan tibi yang boleh dijangkiti manusia.
Kajian Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan PERHILITAN ke atas lebih 2,000 kera yang ditangkap sekitar bandar seluruh negara mendapati 80 peratus daripadanya menghidap penyakit berbahaya itu.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Pahang, Khairiah Mohd Shariff, berkata pihaknya sudah mengenalpasti kawasan ancaman kera dan monyet di negeri ini dan dibahagikan mengikut pembahagian zon, iaitu zon serius, kurang serius dan tidak serius.
Katanya, pembahagian itu berdasarkan bilangan dan ancamannya kepada ketenteraman penduduk di sesuatu tempat.
DBKL sedia bantu PERHILITAN
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam operasi untuk mengawal serta mengurangkan populasi kera terutama di kawasan perumahan dan penempatan manusia.
Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup, berkata pihaknya akan melakukan pemantauan secara berterusan dan berusaha membantu PERHILITAN dalam menangani isu berkenaan demi memastikan keselesaan dan keselamatan warga kota.
Beliau berkata, populasi haiwan itu membiak dengan pantas, namun sebarang tindakan diambil terhadap kera adalah di bawah bidang kuasa PERHILITAN kerana ia dilindungi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Salleh turut menasihati penduduk supaya jangan mengamalkan pemberian makanan kepada kera.
Berita Harian.