Esok ada ujian terapi di PKupm; pasti entah bertiub-tiub darah akan diambil; setelah setiga bulan makan pelbagai jenis ubatan doktor mahu melihat kesannya apakah menganggu Hati.
Bayangkan ada 7 jenis ubatan kimia yang perlu ditelan setiap hari sejak sekitar 3 tahun lalu. Selalunya hati akan bertindak awal memberikan petanda akan kesan sampingan ubatan tersebut. Biasanya pesakit kronik seperti aku ini sering akan terancam kekuatan buah pinggang, hempedu, jantung, usus & pelbagai komponen dalam dalam badan. Aku amat takut itu berlaku. Abgku yang sulung Yot; sekitar 3 tahun makan ubat diabetes kini buah pinggangnya telah tidak berfungsi. Tak pasti apakah lantaran kesan sampingan ubat diabetes tersebut atau ada masalah lain. Sekarang setiap empat hari Yot kena buat dialisis. Yot tak ada masala jantung, kosterol, hati & darah tinggi sepertiku.
Aku buat ujian terapi kesan ubat darah tinggi, diabetes ini di UPM. Maknanya esok sepanjang hari aku kena berada di PKupm. Pagi seawal jam 9:00 pagi kena ambil sampel darah, air kencing pelbagai. Petang akan dapat keputusannya.
20hb nanti aku akan berada di Klinik Kardio di Hospital Serdang; Doktor syak aku ada masalah injap jantung tersumbat. Maka itu aku kena buat ujian Dobutamine Stress Echocardiography (DSE). Jika sah aku punyai masalah injap jantung maka pastinya aku akan berhadapan dengam risiko pembedahan pintas arteri koronari. Emmm! jika ini berlaku pastinya amat rumit & bukan semesti berjaya. Ramai rakan aku yang berjaya buat pembedahan ini pergi jua dalam tempoh beberapa tahun sahaja.
Doakanlah jantung aku normal. Payah sendirian meredah kegusaran ini. Amat resah sendirian di hospital menanti keputusan doktor. Bayangkan aku duduk sendirian melihat wajah-wajah resah dalam kelompok mereka yang takut mati ini. Amat stres & membelenggukan. Gangguan jantung ini bukan perkara main-main, gangguan jantung ini bila-bila masa boleh berlaku & kesannya bukan sahaja strok tetapi boleh pergi begitu sahaja. Aku dah tempoh gangguan ini acapkali. Itu yang aku gusarkan.
Bila usia semakin di penghujung sememangnya hidup ini terasa semakin kosong, apatah lagi amal & ibadah kita ini tak sebanyak mana. Dosa yang banyak belum tentu terampun. Kita sekadar dapat memohon simpati Ilahi. Doa kita yang amat kecil di sisi Dia Nan Esa belum tentunya diterima. Jika kita sering berlaku derhaka akan perintah Dia, kena sedar diri kita ini hamba yang amat kecil lagi kerdil. Sedangkan seorang Nabi, Rasul, Wali atau Imam pun sering teruji malahan doa mereka pun sering tidak dimakbulkan; apakah martabat diri ini di sisi Allah Azzawajalla.
Itu tanah, air, api & angin yang kita guna pun sering kita tidak bersyukur. Sedar diri. Kita tak puas apa yang ada kita asyik mimpikan kemewahan & kekayaan milik orang lain. Tamak. Buat hidup kita sering tidak tenang. Kita terus dihimpit dengan pelbagai impian jadi kaya, asyik mimpikan menjadi manusia yang mewah. Tenguklah TV, tenguklah, internet, tenguklah akhbar, tenguklah papan ikan di bahu jalan; bacalah novel duniawi, bacalah kisah mereka berjaya. Mana ada iklan mencari pahala, mana ada iklan menambah iman, mana ada iklan menyeru bertaubat, mana ada iklan menyuruhkan diri bersyukur. Semua lebih kepada keduniaan, kemewahan, kebendaan atau materialistik!. Jiwa kita resah sebab nak cepat kaya. Bukan resah takut kekurangan amalan atau terikat dengan noda & maksiat dunia.Aduh! bila jantung aku sakit kini; aku nampak amat mati itu makin hampir, dunia makin melambai aku selamat tinggal: aku amat rasa resah & terasa rugi aku lantaran bukan menjadi orang alim, aku bukan pun orang kuat agamanya; amalku tak sebanyak mana, pulak tu masa yang berbaki tidak sebanyak mana lagi!. Tak mungkin aku dapat mencipta mesin masa untuk kembali ke zaman silamku, sihatku, mudaku, lapangku.
Biar pun sesaat kita tidak dapat memohon dilambatkan... jika ajal telah sampai. Maka doakanlah keampunanku & kedamaian aku di dunia sana nanti jika memang petanda sakit-sakit ini adalah pintu taubat itu akan tertutup buat mereka yang bernama arwah seperti aku tentunya nanti.
"Cuma jangan mengalah sebelum berjuang, jangan berserah sebelum berikhtiar." Diriku memujuk hatiku sendiri.