"Boleh lajukah ayah komputer lama ni!" Anif macam tak percaya.
"Ayah bukankah pakar! dekat 15 tahun ayah hidup dengan komputer tak kan tak boleh lajukan komputer ini!"
Anif tak sabar mahu melihat komputernya beroperasi. Kasihan juga dengan anak-anakku ada tak kurang lima komputer yang beroperasi di rumah ini, cuma dua buah Pentium IV yang lain tu sekadar boleh klik e-mel & menaip sahaja. Komputer bimbit Afiz selalu jadi mangsa sampai dinihari tak berhenti digodam.
Baru sahaja aku ke Metro Point Kajang. Lihat harga komputer peribadi. Rata-rata berharga RM3,00o ke atas. Telah tiada kumputer murah sebab teknologinya semakin pantas & tinggi. Entah Pentium apatah aku tak tahu. Intel Core 2 Quad. Cakera kerasnya pun dah ratusan GB, ingatan capaian rawaknya pun tak ada lagi DDR2. Jangan cerita bab Unit pemprosesan pusat tak reti nak menyebutnya. Quad. Jika mahukan harga komputer yang murah kena beli di Plaza Low Yat KL tiada jalan lain. Masih ada komputer peribadi sekitar RM700 tapi kira cap ayamlah tanpa monitor. LCD monitor telah turun harga sekitar RM500 telah dapat yang cantik-cantik.
Maka aku jadinya bukan pakar lagi, bagi membaiki komputer terkini.
Gambar Sekadar Hiasan
Aku berjaya memasang semula komputer peribadi lama ini tetapi Windowsnya semakin payah untuk digunakan. Kebanyakan komputer sekarang menggunakan Windows 7, bila aku mahu gunakan WindowsXp makin payah untuk aku mendapatkan lesennya. Lesen yang aku guna banyak yang telah disekat. Biar pun sebahagian lesen memang tulen di mana aku ambil lesennya dari komputer jabatan semasa aku berkerja tempoh hari.Bila aku ke laman sesewang Plaza Low Yat; Ingatan capaian rawak pun nampaknya kembali naik harga. Mungkin ianya mengikut harga pasaran emas. 1GB DDR1 kini berharga RM159.00, barangan lama mahal; macam barangan antik; 1GB DDR2 separuh hargai RM83.00.
Zaman sekarang jika mahu selesa melayari dunia maya terpaksa guna Ingatan capaian rawak sekitar 2GB ke atas. Aku cuba cari Ingatan capaian rawak yang ada aku simpan kebanyakannya 256MB. Papan induk cuma boleh dilekatkan dua Ingatan capaian rawak sahaja.
Nampaknya kenalah cari duit lebih untuk menjadikan komputer peribadi Anif ini laju. Belum lagi Kad Videonya.
Aku teringat ada satu hari itu seseorang telefon aku, aku pun tak pasti siapa; dia sebut namanya aku tak kenal rapat. Dia mahukan aku membuang birus di komputer riba rumahnya. Masalahnya aku guna Antivirus BDC, jika buang birus selalunya kalau tenat sangat Windowsnya pasti akan mamai, terpaksa dilaraskan semula. Masalah aku sekarang ini tak punyai perisian yang terkini. Belum pun sempat nak godek Windows Vista, sudah keluar Windows 7 pula. Orang kita pula tak mahu mahirkan Linux. Ramai kalangan kita tak simpan pun perisian yang penting ini. Peranti untuk Kad Audio sering bermasalah. Sebab itu jika dihantar ke kedai membaiki komputer tak masuk akal mahal banget dikenakan upahnya. Bukan senang mahu mencari perantinya di alam maya.