iDAN

05 April 2011

Tukar Kerja.


Afiz tukar kerja lagi, bila aku congak tak kurang telah berkerja di lima tempat. Kerja sementara, ada yang gaji bulan ada yang kira hari.

"Afiz tak kerja hari ini Mie?" aku telah terbiasa panggil Husna dengan panggilan Mie.

"Dah berhenti!"

"Sejak bila pula ni?"

"Baru hari ini"

"Kenapa pula, apa masalah dengan Billion tu?"

"Dia tak puas hati dengan potongan gajinya" aku malas nak ambil tahu sangat, ada banyak kemungkinan. Mungkin lantaran Afiz datang lewat, mungkin ada masalah pengurusan.

Setahu aku Afiz jenis pekerja yang tekun, cermat & tabah dalam kerjayanya. Bayangkan berapa tahun dia kerja di KFC, balik sering lewat malam. Jarang bercuti, malahan ketika hari raya pun dia berkerja. Adalah tak kena di mana-mana seingat aku sekitar dua bulan sahaja dia berkerja di Billion Jalan Semenyih.

Sehari dua dia menganggur, hari ini Afiz kerja di TESCO. Sebagai Juruwang. Aku berharap dia akan berkerja dengan tekun di TESCO. Dalam bualan aku dengan dia, apa yang Mie kasi tahu itu memang benar; Billion buat potongan yang tak munasabah. Aku suruh juga dia telefon untuk bertanya Pengurusnya; setidak-tidak orang lain nanti tak terkena seperti dia.

"Biarlah ayah dia aniaya pekerjanya & ambil duit cara begitu... kalau kita telefon pun pasti ada jawapan dari pihak mereka." aku diam sahaja, aku sekadar takut rekod kerja Afiz menurun. Biarlah berhenti secara elok.

Kerja sementara gajinya pun tak sebanyak mana. Sekitar gaji Pencuci bagai PATI sahaja; Bagi asasnya sekitar RM600 tak cecah pun RM1,000. Termasuk elaun, lebih masa itu ini sekitar RM700 ke RM800 sahaja sebulan.

Bagaimana pun aku mahu Afiz dapat merasakan betapa payahnya mencari duit. Biar pun ada kelulusan bukan semudahnya nak mendapat kerja. Kerja memang banyak di negara ini tapi begitulah hakikatnya; bukan kerja kolar putih yang ada status yang stabil. Seyogia Afiz telah berkerja di KFC dua tempat, 7 Eleven pun dua tempat & Billlion sekadar pekerja sementara bila-bila boleh dipohon.

Aku yakin jika PATI yang datang itu mata wang negara mereka tinggi dari kita memang mereka tak jejak ke bumi ini. Mereka berebut ke sini lantaran mata wang negara kita lebih tinggi. Gaji mereka pun tak macam kita, kalau PATI namanya tentulah tiada potongan KWSP, di sini majikan telah dapat laba.

Sehari kalau kerja kontrak dapat sekitar RM50 sehari pun majikan sanggup kasi sebab tak ada elaun lain. Jika kerja dua puluh hari dah dapat RM1,000 digandakan pula dengan duit mereka. Aku pun tak pasti berapa bandingan mata wang Bangla & kita. Bangladeshi taka BDT. Mungkin sekitar (RM1 = BDT 22.++). Tak pasti. Tapi kira lumayanlah bagi mereka.

Dengan gaji bawah dari RM1,000 apakah kita boleh hidup di negara ini jika telah punyai isteri & anak. Teringat ini maka memang tak jauh bedanya dengan kehidupanku sebagai Pesara; pun terasa akan kepayahannya. Rasanya baik Gaji Terendah atau pun Ganjaran buat Pesara kerajaan kenalah memikirkan kadar bulanan yang lebih munasabah.

Paras Garis Kemiskinan (PGK)

"Kos hidup yang berbeza di Kuala Lumpur mendesak setiap keluarga mesti mempunyai pendapatan minimum di antara RM2,500 hingga RM3,000.
"
- Maklumat tahun 2009

"Penduduk bandar yang berpendapatan RM1500 ke bawah sebagai miskin lantas wajib dibantu."
- MIMBAR(Skim Mikrokredit Miskin Bandar).

Bagi Afiz yang baru nak memulakan kehidupan ada lojiknya dia kena bersusah dahulu, tidak bagi golongan sokongan & pesara seperti aku ini yang sumber pendapatan hanya sekadar sekitar RM1,000. Sukar mahu tambahkan pendapatan atas faktor usia & kesihatan. Tanpa tabungan amat rumit tentunya.

Maka itu aku berpesan pada penjawat awam atau pekerja swasta. Menabung itu amat penting. Apalah lagi sumber kewangan jika telah berusia begini selain berharapkan tabung yang kukuh. Selain ASB mungkin boleh menabung di Tabung Haji. Selain menabung di Bank Simpanan perlulah ada aset lain seperti rumah sewa, tanah untuk dipajak, bermodal di syarikat yang ada pengurusnya. Apa juga aset jaminan masa depan. Jangan perabis duit KWSP dengan barangan mewah yang susut harga.

Fikirkanlah ketika usia masih muda & tenaga masih mampu bekerja: Bagaimana nak menabung untuk usia Warga Emas nanti. Jangan asyik berhutang terutama kereta mewah. Berhutang untuk harta tanah itu okey!.

Perjalanan kerjaya Afiz masih panjang. Biar pun dia telah berapa kali pergi temuduga tetapi rezeki Afiz masih samar & tak pasti. Aku masih yakin rezeki itu adalah milik Dia nan Esa; ianya turun dari langit & tak siapa dapat menduga ianya milik siapa. Agar Afiz ingat peribahasa ini: Batu yang bergolek tak akan ditumbuhi lumut. Jika dapat nanti jawatan tetap serta sesuai dengan kelayakan agar sentiasa tekun & setia dengan satu organisasi.




Karnival IT dibanjiri telefon tiruan

05/04/2011 6:25pm

PORT DICKSON - Orang ramai diminta berhati-hati apabila membeli telefon bimbit di tapak-tapak karnival menjual peralatan komputer dan elektronik di seluruh negara berikutan ada peniaga dikesan menjual telefon bimbit tiruan.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Port Dickson Yusuf Bakar berkata, perbuatan itu dikesan selepas pasukannya merampas 143 unit telefon bimbit tiruan bernilai RM80,000 dalam satu operasi di Dataran Rembau minggu lepas.

Rampasan yang dibuat itu melibatkan 10 tapak gerai di karnival itu, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

"Mereka akan menayangkan telefon bimbit yang asli di ruang pameran gerai mereka tetapi selepas pembeli bersetuju dengan harga tawaran, mereka akan membuat keadaan seperti kelam kabut sebelum menukarkan telefon asli itu dengan telefon tiruan yang disimpan di bawah kaunter,” katanya.

Modus operandi para peniaga di tapak karnival ini turut dikesan di Senawang sebelum ini dan beliau percaya peniaga terbabit mempunyai rangkaian di seluruh negara. - Bernama

Maharaja Lawak: Kumpulan Jozan Teruk Dikecam Juri

KUALA LUMPUR, 4 April 2011: "Minggu pertama adalah untuk warming up," kata pengarah filem, Mamat Khalid kepada sidang media yang menjelaskan kenapa tiadanya penyingkiran peserta pada minggu pertama Maharaja Lawak.

Kata Mamat Khalid lagi,sungguhpun kesemua peserta Maharaja Lawak diberikan peluang kedua, para juri mahukan peningkatan dari segi persembahan serat tidak mahu kelemahan-kelemahan yang ditunjukkan pada minggu pertama berulang semula.

Mamat Khalid adalah antara barisan juri yang terpilih untuk menjayakan program realiti terbaru Maharaja Lawak. Turut berada dalam senarai barisan juri Maharaja Lawak adalah Ahmad Idham serta Saiful Apek.

Ketiga-tiga mereka nyata berpuas hati dengan persembahan yang ditonjolkan oleh kesemua barisan peserta Maharaja Lawak. Begitupun, kumpulan Jozan yang terdiri daripada dua orang pelawak yang bereputasi tinggi iaitu Johan dan Zizan, mendapat kecaman hebat dari pihak juri yang berasakan bahawa persembahan yang ditonjolkan oleh mereka dilakukan secara sambil lewa serta tdiak cukup persediaan.

Sungguhpun begitu,kumpulan Jozan mendapat undian tertinggi pada minggu lepas dengan peratusan undi sebanyak 52% berbanding peserta yang lain.

"Mungkin penonton sudah berpuas hati dengan apa yang mereka tonjolkan. Tapi saya merasakan mereka sudah cukup matang , jadi saya mahukan sesuatu yang baru yang tak pernah saya lihat lagi. Saya kritik begitu pun sebab saya tak nak manjakan mereka.

"Cuba bandingkan mereka dengan kumpulan Jambu yang sudah menunjukkan peningkatan. Persembahan mereka sangat bagus maka ianya harus dijadikan sebagai kayu pengukur buat kumpulan lain," tambah
Mamat Khalid lagi.

Bila ditanyakan samada faktor populariti kumpulan Jozan yang menyebabkan mereka memegang peratusan undi yang tertinggi, Ahmad Idham tidak menafikannya.

"Namun begitu sebagai juri lebih mementingkan dari sudut pengisian. Di tahap ini kita memerlukan sesuatu yang baru yang boleh dihasilkan oleh para peserta Maharaja Lawak ini dan bukan lagi material yang masih lagi di takuk lama.

"Tugas saya dan para juri yang lain bukan untuk membuat lawak tetapi untuk memberi feedback agar mereka boleh memperbaiki persembahan mereka," ulas Ahmad Idham yangs udah mengarah banyak filem termasuklah Adnan Sempit yang mencatatkan kutipan pecah panggung.

Selaku pelawak terkenal tanah air, Saiful Apek pula mengakui cukup memahami situasi yang dihadapi oleh peserta Maharaja Lawak ini. Kesukaran yang mereka hadapi pada ketika ini adalah juga kesukaran yang beliau sendiri pernah hadapi.

"Berdasarkan apa yang pernah saya alami, komedi bukan seperti menyanyi atau berlakon yang boleh dipelajari di sekolah atau di akademi-akademi. 'Akademi' mereka adalah pengalaman hidup mereka sendiri,"

"Sukar sebenarnya untuk mencari idea-idea baru yang boleh digunakan dan ini merupakan perkara tersukar dalam bidang komedi ini," tambah Saiful Apek lagi.

Portal murai.com.my dalam pada ini sempat bertemu dengan Johan untuk mendapatkan pendapat beliau mengenai kritikan-kritikan yang telah diberikan pihak juri kepada mereka pada minggu lepas. Johan sendiri kesal dengan persembahan yang telah mereka berikan.

"Persembahan yang selalu saya dan Zizan lakukan adalah secara spontan. Seperti persembahan pada minggu lepas, kami memikirkan idea persembahan hanya beberapa minit sebelum keluar ke pentas. Ini isebabkan jadual yang ketat dan masa yang sangat suntuk untuk saya bertemu dan berlatih dengan Zizan," katanya.

Apabila ditanyakan samada beliau dapat mengagak bahawa pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah akan mengecam hebat persembahannya dengan Zizan sebagai Jozan, Johan berkata, dua sudahpun dapat menjangkakan perkara tersebut untuk berlaku.

"Saya dah agak dah. Jika tidak Mamat Khalid, Saiful Apek sendiri yang akan membidas teruk persembahan kami. Ia ibarat seperti hendak membuat lawak dengan rakan sendiri.

"Mereka yang selalu dengar lawak saya mungkin takkan rasakan lawak saya itu benar-benar kelakar, namun pada mereka yang tak pernah dengar pada jenaka saya, pasti saya akan berjaya menghiburkan mereka," tambah Johan lagi.

Johan juga tidak menafikan yang persembahan mereka memerlukan penambahbaikan berdasarkan komentar yang telah diberikan oleh pihak juri.

"Untuk minggu hadapan saya akan membuat persediaan yang lebih lengkap sebelum saya membuat persembahan. Namun begitu, kami tak mahu juga meletakkan harapan pada orang ramai kerana agak sukar juga kepada kami untuk menghiburkan mereka jika mereka sudah meletakkan harapan yang tinggi kepada kami nanti," katanya lagi.

http://www.astro.com.my/maharajalawak

♠ iDAN: aku suka Jozan & Man... Jambu & R2 pun menarik persembahannya. Alex pun aku suka sejak dulu. Wai awal-awal dah persalahkan rakan. Balas kurangkan lawak porno, Sepah kurangkan kutuk rakan. XN3 & Amir jangan pandang rendah, serlahkan bakat tu. Nabil masih ada ide ; kesimpulannya semua ada peluang jadi Maharaja Lawak. Kecuali Jihan sian dia jika dinobatkan juara kena kasi gelaran Maharani Lawak.

Apa kata Alex

Raja-Raja Lawak

profil_pelawak_img.jpg Alex

Kadar premium untuk setiap undian: RM0.50. (Kadar telco tertakluk.)
Syarat & Terma tertakluk di www.astro.com.my.

Profil Pelawak
Nama penuh: Alexander Ahat.
Orang panggil anda: Alex.
Umur: 29 tahun.
Asal: Papar, Sabah.
Peserta Raja Lawak musim ke: Musim ke-4.
Drama/Telemovie/Filem: Biar Betul Bendul dan Warung Kita.
Pencapaian tertinggi didalam hidup: Tempat ke-3 Raja Lawak.
Pengalaman menarik anda bila bergelar artis: Orang dalam kereta bersorak memanggil saya di tengah di jalanraya.
Sumber inspirasi anda untuk membuat lawak: Kedai Kopi.
Apakah harapan anda untuk Maharaja Lawak: Pergi sejauh yang boleh, mengharap menang dalam pertandingan itu tidaklah sangat, mengharap orang masih kenal saya itu saja yang saya mau.

Jimmy Shanley Mahu Isteri Kembali Taat Padanya

KUALA LUMPUR 5 APRIL 2011:

Kecewa ditingalkan tanpa sebab pengacara popular, Jimmy Shanley berharap agar isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy akan kembali taat kepadanya seperti yang ditetapkan oleh Ilahi.

Masih lagi rasa terbit sayang dihati lelakinya, Jimmy seboleh mungkin mahu isterinya itu kembali mengikut ajaran agama.

"Saya tak kejam, saya boleh tutup mata dan boleh maafkan dia.Cuma dia perlu ingat walau sekaya, secantik atau sebijak mana pun seseorang isteri itu, suami tetap adalah keutamaan. Itu perintah Allah bukan saya. Kalau suami perompak sekali pun, selagi dia tidak suruh melakukan dosa-dosa besar, suami harus dituruti," katanya yang ditemui semasa menghadiri prosiding sebutan kes nusyuz terhadap Nursuhaila, di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, semalam.

Terbuka membicarakan kekecewaannya, lelaki kelahiran Ipoh, Perak ini memberitahu bahawa isterinya juga telah pergi mengerjakan umrah bersama keluarga tanpa meminta keizinannya.

Tambah Jimmy Shanley, dia sendiri ada menghadiri majlis kenduri doa selamat yang diadakan oleh keluarga isterinya untuk ke Umrah namun kedatangannya tidak dipedulikan.

"Saya pergi majlis kenduri doa selamat yang diadakan oleh keluarganya atas jemputan mak mertua. Saya ingat kalau ke sana mungkin boleh bermaaf-maafan. Sebaliknya berjam-jam saya di sana tetapi kelihatan seperti orang asing," katanya penuh kesal kerana pernah menyimpan impian untuk mengerjakan umrah bersama isteri.

Mengharapkan agar perkahwinannya dapat diselamatkan, namun lelaki berusia 31 tahun ini pasrah sekiranya tertulis takdir sedih pada pengakhiran jalan cerita cintanya itu.

Namun seboleh mungkin dia mahu membesarkan anak sulungnya itu di hadapan matanya.
"Jangan memprejudiskan masa depan anak yang masih belum dilahirkan. Duit dia dan keluarga dia 10 sen pun saya tak minta. Saya hanya mahu anak dijaga oleh saya.Kalau boleh memang saya nak sama-sama jaga, tapi kalau dah tak berminat, nak buat macam mana?," ucapnya.
Nursuhaila juga pernah memohon cerai pada 28 November lalu tatkala mereka berjumpa di kediamaan keluarga isterinya itu. Malah kata Jimmy, demi memastikan rumah tangganya kembali utuh, dia sanggup membuang jauh ego lelakinya.

"Apa yang saya mahu mudah sahaja, hanya layan saya sebagai seorang suami. Jika itu pun tidak boleh dilakukan, ada sesuatu yang silap," tambahnya.

Terdahulu, Hakim Syarie, Saharuddin Selamat menetapkan supaya permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan oleh Jimmy disebut semula pada 23 Mei depan.

Jimmy diwakili peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus manakala Nursuhaila diwakili oleh Saadiah Din. Pada prosiding itu, Nursuhaila Eliana yang kini mengandung enam bulan hadir dengan seorang lelaki dipercayai pengawal peribadinya.

Pasangan itu telah pun bernikah pada 1 Oktober tahun lalu dan hanya sempat menetap bersama selama 20 hari. Berikutan perlakuan Nursuhaila Eliana itu telah membuatkan Jimmy Shanley menfailkan permohonan kembali taat pada 3 Januari dan diikuti permohonan nusyuk pada 27 Januari lalu.