iDAN

01 November 2009

Penulis Mapan (Singgahsana)

Payah untuk menandingi penulis mapan yang telah terkenal. Hasil karya mereka telah tersohor seluruh jagat sastera. Saban minggu penulis mapan ini yang begitu gigih menulis & karya mereka sentiasa mendapat tempat di majalah & dada akhbar. Penulis Picisan seperti aku sekadar tumpang menghayati sastera tanah air dengan harapan ianya tetap akan unggul & popular di seantero dunia. Sastera Melayu memang penuh rona seni.

Ruang blog ini sekadar lakaran waktu bagi mengisi sedikit perhatian buat mereka yang ingin kelainan dari lafaz ilham mereka yang mapan di media massa arus perdana atau lambakan novel yang sarat di kedai buku.

Siapa tak kenal Sri Diah pun Nasharuddin Dasuki, dulu tahun 80an mereka berdua ini rajin menghantar karya Kenangan di Radio, aku pun mencelah di corong radio rancangan yang sama, lantaran rancangan tersebut memang mendapat perhatian pendengar seMalaya. Sekarang aku yang jarang mendengar radio, tak pasti apakah ada rancangan yang menarik begitu. Selera pendengar semakin leka dengan TV, Astro atau pun wadah di dunia maya yang semakin terbuka luas.

Jika disebut akan Penyair iDANRADZi mungkin hanya beberapa orang sahaja yang mengenaliku. Lantaran tulisanku tidak pernah pun dibukukan jauh sekali memenangi sebarang anugerah. Sri Diah & Nasharuddin Dasuki semakin banyak menerbitkan buku & karya mereka. Malahan mereka sering dihujani anugerah sastera. Tentunya mereka berusaha gigih & ramai pengikutnya. Lagi pun mereka hidup dalam kelompok Penulis Mapan yang sentiasa terdedah dengan penerbitan. Sri Diah sekarang mungkin menjadi pengarang di Krangkraf. Dulunya saya perasan dia adalah pengarang di Mingguan Wanita.

Tak banyak kita dapat mengetahui tentang penulis Nasharuddin Dasuki melalui dunia maya. Tetapi siapa pengikut perkembangan penulis ini pasti tahu beliau adalah seorang pendidik yang gigih berkarya.

Tadi aku membaca e-melku di Yahoo, rakanku yang bertukar kerjaya ke DBP pun semakin hari semakin rajin menerbitkan bukukunya. Mohd Amran Daud baru sahaja menerbitkan bukunya 1Malaysia (Puisi Remaja). Mohd Amran Daud rajin juga menulis pelbagai genre sastera. Selain puisi & kritikan beliau rajin menulis pantun.

Sayangnya kesibukan dengan kerjaya yang antah berantah lebih dari 28 tahun lalu, aku tidak langsung menumpukan sepenuh perhatian di bidang penulisan. Untuk berjinak dengan dunia penulisan bukannya mudah. Jika sendirian berkabung dalam seni sastera ini rasanya tidak akan ke mana. Dorongan & bantuan rakan atau orang terdekat amat perlu.

Jika sudah hidupnya berkepung dengan dunia sastera atau penyairan rasanya pasti minat, bakat pun ilham akan bertambah biak. Aku mencari-cari seorang penyair bagaikan Allahyarham Pak Engku T Alias Taib. Hidupnya sentiasa diulit dengan puisi indah. Segala tulisannya amat indah untuk kubaca & fahami. Pemergiannya meninggalkan manik-manik indah untuk kita hias di persada sastera.
Begitu juga aku teringat betapa J.M. Aziz Penyair yang cacat penglihatannya begitu sedap mengadun puisi. Antara puisinya terkadang menerbitkan Ilham untuk aku menulis. Sajak Penyu Menangis sering mendapat perhatian dalam bualan umum.

Ada juga puisi J.M. Aziz dilagukan seperti puisi ini

Penyu Menangis
(Sudirman)


Anak muda berlagu sayang
Di Batu Remis melepas rindu
Adik ketawa di Rantau Abang
Penyu menangis siapalah tahu

Sesak nafasnya sesak
(Tak tahu adik tak tahu)
Sebak dadanya sebak
(Tak tahu adik tak tahu)
Bengkak jantungnya bengkak
(Tak tahu adik tak tahu)
Retak hatinya retak
(Tak tahu adik tak tahu)

Lenyap ditelan derauan ombak
Telur penawar hatinya lebur
Tumpah air matanya melimpah ruah
Agar terhibur adik terhibur

Anak muda berlagu sayang
Di Batu Remis melepas rindu
Adik ketawa di Rantau Abang
Penyu menangis siapalah tahu

Kelabu matanya kelabu
(Tak tahu adik tak tahu)
Sendu tangisnya sendu
(Tak tahu adik tak tahu)
Sayu jiwanya sayu
(Tak tahu adik tak tahu)
Layu langkahnya layu
(Tak tahu abang tak tahu)


Permata Untuk Isteri
(Kopratasa)

Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan

Untuk kau hargai dengan kasih sayang
Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami
Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

J.M. Aziz


Sekitar Tahun '99 aku pernah menulis tentang Penyu Menangis

Penyu Menangis

penyu terus menangis
menolak kelodak sesak
fitnah nan bertaburan di pantainegara
memisahkan akar penaga laut
menindih rakyat jelata berpaut

penyu terus menangis
menolak ombak resah
desah angin jadi penyata belanjawan
tikar kasih bertaburan di anjungzaman
sepinya vilasetia di ujung pantaileka

penyu terus menangis
kekitaan semakin berseloka sumbang
mencari arah ke puncak gemilang
namun gelombang masih belum tenang

penyu terus menangis
tumpah air matanya ke akuku ini
bagaimana mahu kulapi air matamu!!!
sebak rebah tak sudah.

iDANRADZi
Jenaris/UPM

Rabu, 05 Mei 1999 17:27:56


OLEH: YASER M.A
 
Salam bahagia, saya sekadar ingin cuba untuk menghuraikan sajak yang dinukilkan oleh saudara yang bergelar iDANRADZi yang bertajuk 'Penyu Menangis', mengharapkan ia menjadi kegunaan dan renungan kita bersama...

"penyu terus menangis
menolak kelodak sesak
fitnah nan bertaburan di pantainegara
memisahkan akar penaga laut
menindih rakyat jelata berpaut" 
Dalam rangkap di atas, apa yang ingin diperkatakan oleh penyajak ialah berkenaan peristiwa atau fenomena yang sedang melanda negarakita, fitnah berlaku di sana sini bagaikan cendawan tumbuh, yang berlaku di kalangan para pemerintah atau golongan atasan, yang menjadi mangsanya ialah rakyat jelata, porak puranda pemerintahan hasil tohmahan, sengsaralah rakyat yang mendaulat sistem pemerintahan tersebut.

"penyu terus menangis
menolak ombak resah
desah angin jadi penyata belanjawan
tikar kasih bertaburan di anjungzaman
sepinya villasetia di ujung pantaileka" 
Apa yang hendak diutarakan oleh penyajak ialah berkenaan ekonomi negara yang semakin hari membuatkan seluruh rakyat menjadi takut, risau dengan keadaan ekonomi yang semakin runcing. 
"penyu terus menangis
kekitaan semakin berseloka sumbang
mencari arah ke puncak gemilang
namun gelombang masih belum tenang" 
Rangkap ini berbicara berkenaan sikap golongan pemerintah, politikus yang semakin hari semakin beranak pinakkan kronisme, mementingkan diri sendiri untuk mencapai matlamat, waima keadaan atau fenomena yang kelam kabut menimpa negara masih belum reda, mereka tidak kisahkan, apa yang penting hanyalah kemajuan diri.

"penyu terus menangis
tumpah airmatanya ke akuku ini
bagaimana mahu kulapi airmatamu!!!
sebak rebah tak sudah." 
Secara keseluruhannya, apa yang saya perhatikan, 'penyu' di sini boleh kita katakan...mewakili rakyat jelata yang mampu menangis, sedih, pilu, hiba dan hanya mampu melihat sahaja seloka para pemerintah dan politikus yang semakin hari semakin menindas. Tiada apa yang boleh diperkatakan oleh rakyat (penyu), tiada apa yang boleh dibuat oleh rakyat (penyu) dan tiada siapa yang boleh menenangkan dan memujuk rakyat (penyu)....rakyat hanya mampu terus bersedih dan terus perhatikan saja pentas politikus yang semakin hari semakin menindih, menindas mereka. 
Sajak ini mengutarakan satu sinisme yang tajam terhadap pemerintahan negara yang semakin meruncing hasil daripada tingkah laku politikus, yang menjadi mangsa ialah rakyat jelata.
Sekian, Terima kasih.