iDAN
26 Oktober 2009
Kahwin Campur 6 Aihara (Singgahsana)
Angin basah Sagamihara memedihkan mataku, ketika aku melintas rumah bernombor 66 ini aku sering memerhati dalan celahan pintu pagarnya. Kut! ternampak lagi wanita Jepun agak cantik berusia sekitar 30an. Kebanyak rumah di Jepun di bandar punyai pagar kayu atau konkrit yang tinggi. Sukar dapat melihat laman rumah mereka. Maka itu selalu di setiap simpang akan ada cermin bulat lantaran tak nampak selekoh lantaran pagar kontrik yang tinggi ini. Di kampung lain, lebih terbuka.
Pernah satu hari ketika aku balik kerja komuter paling akhir aku tertembung dengan wanita Jepun tengah mabuk. Dari stesen komuter lagi aku telah perasan dia berjalan terhoyong-hayang. Di Jepun masalah mabuk ini memang perkara biasa, terkadang lumrah kita lihat mereka merepek & muntah di komuter. Biasanya adengan ini berlaku di ketika komuter terakhir.
Tak siapa pun hirau wanita mabuk ini. Aku rasa simpati juga melihatnya, aku mula jalan di hadapannya; Aku perasan dia terkecoh-kecoh mengejar aku berjalan. Lorong yamg kami ikut itu hanya untuk pejalan kaki sahaja. Telah jam 12:00 malam lebih, memang lorong itu sunyi tak ramai orang lalu, sekadar mereka yang tinggal di kawasan perumahan kami sahaja yang menggunakan lorong yang sama. Aku membiarkan dia memotong aku. Kasihan dia macam takut juga berjalan berkeadaan mabuk sendirian. Kita dia memintas aku siap dia tersenyum lagi..!. Memang cantik wanita ini. Entah apa dia cakap ketika memintas aku berjalan, aku tak pasti. Aku risau juga takut dia tersembam jatuh. Dalam mabuk-mabuk itu ingat pula dia jalan balik, cara jalannya memang teruk!. Bagai ingin terseliuh sahaja kakinya. Hinggalah ketika aku sampai di pagar rumahnya. 66. Adoi! dia siap melambai lagi macam ajak aku masuk ke rumahnya. Kita ini pendatang, takkanlah berani nak masuk rumah orang. Dadaku berdebar-debar amat.
Sejak itu bilamana aku melintas rumah 66 pasti aku mengintai pandang ke dalam kawasan rumahnya. Memang tak pernah nampak kanak-kanak bermain. Sesekali sahaja aku perasan ada lelaki sebaya dia di laman rumahnya. Tapi dia memang kerap aku nampak sendirian. Tanpa anak, apakah dia perempuan simpanan, sendiri malam-malam mabuk di lorong yang sepi begini. Alahai! kenapa hidup ini ramai sangat manusia sepi. Aku pasti dia juga perasan aku seharian lalu di depan rumahnya, pergi & balik kerja. Sebab aku nampak dia sering senyum denganku. Entah-entah dia tahu apa yang aku sering bayangkan & angan-angan tentang dia. Biarlah!.
Ayu pula mengundang aku kerumahnya. Dia tak sebut pun apakah suaminya Kimura juga akan berada di rumahnya. Dia kata dia tungguku di stesen Aihara sekitar jam 11:00 pagi. Aku kini telah sampai di Hashimoto, tak pernah sampai sejauh Hashimoto, besar juga bandarnya. Aku tak perlu bertukar komputer. Sekitar 15 minit sahaja aku telah berada di Aihara. Aku mengemaskan butang jaketku. Agak sejuk cuaca ketika itu. Musim luruh anginnya memang sejuk. Mentari pun tak mucul sejak pagi.
Aku nampak Ayu bersama seseorang, lelaki tampan nampak muda sangat. Tak macam wajah Jepun, iras wajah Melayu pun ada.
"Ini suami Ayu"
"Assalammualaikum Kimurasan!" Aku berjabat tangan.
Dia mencapai tanganku, tak jelas apa dia jawab, mungkin tergamam aku memberi salam. Senyumnya nampak tawar!... "iDANsan?. emmm! abang iDAN.."
"Jangan panggil abang, saya yang patutnya panggil abg Kimura...!" Barulah nampak ada kemesraan di wajahnya. Bila aku mengusik dia agar lebih lebar senyumnya.
Ayu membawa kami ke sebuah Restoran Tradisional Jepun.
"Nak jalan terus jauh juga abg iDAN... kita singgahlah kejap minum sahaja di sini!"
"Ayu cakap Melayu Kimura faham ke?"
"Sikit-sikit.." Kimura menyampuk. Aku tersenyum lagi.
"Kimura ni faham cakap Melayu cumanya tak pandai bertutur sahaja!"
"Abang iDAN nak minum apa?"
"Apa-apalah abg minum belaka jangan yang mabuk sudahlah!.." Ayu membuat pesanan untuk kami bertiga.
"Sudah masak ke belum ni Ayu, abg tak sempat sarapan tadi!" Aku mencapai air yang Ayu pesan. Lor! pahit amat, rasa spirit pun ada... air apa pula ni?. Nampak jernih. Tak kuasa bertanya lagi pun sekadar segelas takkan mabuk pula.
"Kata nak Ayu masakkan masakan Melayu... jangan risau nanti Ayu masakkan, takkan masak pagi-pagi tadi sejuklah pulak!" Aku sekadar bertanya tentang kerja Kimura. Mungkin dia lama lagi di Jepun lagipun dia rasa telah jemu berada jauh di negara orang.
Pening lalat juga aku minum segelas air yang Ayu pesan. Dia senyum sahaja tenguk wajahku agak merah; wajahku yang memang agak putih jarang kena cahaya mentari, kena pula air spirit pelik tu! memang bertambah merah. Ayu yang membayar bill semua. Memang begitu kut! adat orang Jepun perempuan yang kontrol duit. Kami menuju ke rumah Ayu. Bukan rumah tanah lot seperti yang aku duduk tapi rumah agak pelik, nak kata apartment pun bukan, nak kata rumah kedai pun bukan. Rumah dua tingkat, ada empat keluarga sahaja dalam satu bangunan. Ayu duduk tingkat atas.
"Rumah sendiri ke sewa ini?"
"Sewalah abg iDAN, habis tu kerjanya pun tak menentu!"
"Sila masuk iDANsan!" Kimura mempelawaku.
Satu yang amat mengejutkan aku, di muka pintu terdapat pemaidani mirip sejadah. Siapa corak seakan pintu masjid lagi. "Ini bukankah sejadah?... hatiku berbisik" Tapi tak sampai hati mahu bertanya Ayu. Kut tersalah tafsir pula. Nampak mewah dalam rumahnya. Siap dengan TV besar, alat audio ala Teater Rumah. Biasalah rumah Jepun jarang ada sofa, hanya meja Jepun & kusyen-kusyen kecil. Lapang.
"Abang iDAN bual-buallah dengan Kimura... Ayu masak kejap!"
Aku pun tak tahu mahu berbual apa dengan Kimura, cuma banyak bertanya tentang masakan Melayu. Dia tahu semua, nasi lemak, rendang semua itu. Cuma biasalah katanya pedas dia tak berapa kuat makan pedas. Durian juga dia pernah makan tetapi tak tahan baunya.
Dia memilih tinggal di sini lantaran rumah keluarganya tak jauh dari Aihara. Senang keluarganya mahu bertandang ke rumahnya.
Cepat Ayu masak kejap sahaja telah tersaji mee goreng & roti sandwich. Ada beberapa kek tak pasti dia beli atau buat sendiri.
"Ini sahaja Ayu sempat masak abg iDAN, nanti abg iDAN datang lagi Ayu masakan gulai kari pelbagai, tak sempat nak cari bahannya..!"
"Okey dah ni..., janji masakan orang kita!"
"Iyer pula... kata abang iDAN nak tukar kerja .. kat mana tu iyer!.. jadi tak?"
"Hitachi, kampungnya Juo Machi daerah Ibaraki, sudah kemas barang pun, Sabtu depan abang bertolak ke sana!"
"Tak ada canlah kita nak berjumpa lagi!" Perlahan suara Ayu.
"Tenguklah nanti kut ada cuti!" Tiga bulan lebih tak rasa masakan orang Melayu memang selera aku makan, sedap juga mee goreng yang Ayu masak.
Ayu nampak ceria sangat melayan aku tetapi jauh di air muka Kimura dia nampak tak selesa dengan kehadiranku. Aku faham mungkin dia nampak aku & Ayu hampir sebaya. Petah pula berbual dalam Bahasa Melayu. Aku tahu hati seorang suami. Lantaran aku ini pun suami orang; cuma aku tidak berterus terang sahaja. Ayu & Kimura pun tidak pernah mengungkit bab kahwin denganku mungkin mereka lihat aku nampak muda lagi kut!.
Banyak barangan perhiasan yang Ayu kumpul di almari cerminnya. Rumah tiga bilik yang berkonsep terbuka ini nampak luas amat. Biliknya semua menggunakan konsep pintu geluncur nampak kemas. Ruang tamu & dapur sekadar diasingkan dengan dinding mudah alih dari kayu yang diukir.
"Mana dapat unta putih ini Ayu?..." Cantik ukiran unta dari batu marmar putih.
"Masa Ayu kat Dubai, sebahagian tu kekawan Ayu yang kasi!"
Aku tak boleh lama nampaknya Zuhur pun hampir penghujung, nak bertanya solat takutlah pula Ayu & Kimura telah lupakan solat. Kalau sejadah pun telah di letak di depan pintu jadi alas kaki. Sudah mula bersangka buruk. Serba salah. Titik.
"Ayu! abg kena baliklah, ingat nak cari barang sikit untuk ke Hitachi tu!.. sebab bila dah kerja nanti tak sempat nak ke mana!" Alasan.
"Nak Ayu hantar tak, atau Kimura pun boleh temankan"
"Tak payahlah susah-susah, nanti sesat abg tanyalah orang; rasanya abg ingat jalan ke stesen tu!"
"Terima kasihlah abg iDAN sudi jenguk Ayu!"
"Apa-apa hal... Ayu telefon abg! nanti abg kasi nombor tempat kerja baru tu!.."
Aku meminta diri dari Ayu & Kimura. Ayu menghantar aku sampai ke muka pintu. Selang beberapa langkah aku menoleh ke rumah Ayu, Aku nampak dia masih berdiri di muka pintu tanpa Kimura. Dia melambaiku, aku melangkah pulang sambil mengingatkan lorong yang aku lalui pagi tadi. Hujan rintik halus. Hatiku berbisik. Alangkah jauhnya Ayu menurut jodohnya. Aku terbayang wajah Kimura nampak lembut & memang sopan orangnya. Rasanya dia pasti dapat membahagiakan Ayu dengan kelembutannya itu. Aku tak sempat pun mahu menceritakan bisik hatiku ini tentang Kimura kepada Ayu tadi.
Tak sesat; aku tiba di Stesen Komuter Aihara. Sunyi tak ramai orang. Sebaik sahaja aku tiba. Hujan turun dengan lebatnya. Barulah aku teringat tentang telefon. Nombor telefon Ayu!.
"Jika dia tak telefon aku bagaimana aku mahu kasi nombor telefon tempat kerja baruku, takkan nak kasi pada Akasan..!" Tenguk muka Akasan pun aku takut, payah amat nak senyum. Samalah suaminya. Otoosan. Nama sahaja bapa angkat. Pasangan ini memang jenis payah bergurau. Serius memanjang.
Aku memulangkan kepada takdir. Lama juga aku termenung di Aihara. Aku ambil air sembahyang & solat di satu sudut berlapik kertas akhbar. Biasalah kalau di Jepun. Aku sembahyang di mana-mana. Pernah aku sembahyang Jumaat bersama orang-orang Pakistan di tepi jalan siap dengan kawalan Polis, ketika itu kawasan Solat Jumaat yang disedekah oleh keluarga Jepun yang memeluk Islam telah ditutup lantaran aduan penduduk setempat. Orang Jepun risau ramai orang asing berkumpul setiap hari Jumaat di situ. Cadangnya mahu didirikan Surau tak jauh dari Harajuku. Tak tahu jadinya tempat itu. Lama aku tak ke sana.
Biasanya kalau aku berjalan memang akan membawa sejadah. Solat di hentian atau taman memang perkara biasa duduk merantau. Sungguh orang Jepun pelik tenguk kita sembahyang. Apatah lagi tenguk kita sujud. Ada yang tergamam. Media mereka memang amat tertutup. Islam amat tertutup buat Jepun, Kristian nampaknya lebih cepat berkembang. (Ceritera kira-kira 20 tahun lalu).
Untuk aku patah balik semata-mata bertanyakan nombor telefon Ayu pastinya satu yang liar & menyentuh hati Kimura. Tetapi dalam seminggu dua ini memang aku terganggu amat dengan kehadiran Ayu, apatah lagi dia mengadu hal tentang dilema hidupnya. Aku yakin sangat Ayu tidak solat lagi, bayangkanlah jika kita orang Islam bermasalah & tidak solat. Pulak tu!, air yang aku minum tadi, pastinya Sake. Aku tak tahu sangat bab arak ini tapi aku kenal apa ronanya Sake itu.
"Nak tunggu apa di Aihara ini?, nanti orang Jepun kata aku tak siuman pula..! menu,ng berjam-jam di sini" Ruang fikiranku penuh wajah Ayu & diselang-seli wajah Kimura. Sesekali aku nampak wajah Mila bagaikan melambai-lambai aku jauh makin jauh!. Tak tahu berapa buah komuter yang terlepas. Dalam hujan lebat fikiranku lagilah lebat melayan perasaan ini.
Aku duduk di gerabak yang kosong sendirian. Hatiku teringat mahu ke Machida. Siang minggu entah ada entah tidak Mila di rumah sewaku di Kampung Malaysia. Kejauhan ini memang menyiksaku. Suratku pada Mila bagaikan lambakan sampah terbiar, duitku entah berapa banyak terbuang; semata-mata mahu mendengar suara Sang Isteri. Payahnya mahu berbual dengan Mila. Payahnya mahu mendapat bait kata dari Mila. Payah. Rindu aku pada Mila tidak dapat aku tahan lagi. Mahu menangis malulah amat!.
Tiba di Machida, aku lagi bingung. Kotaraya Machida telah penuh tapak kakiku. Nak balik ke asrama lagilah aku bosan tenguk dua hamba Allah dari utara Malaya itu pun sudah rasa lemas. Akhirnya aku buat keputusan naik komuter tanpa tujuan; nak tidur mata tak mengantuk lagi. Tak siapa marah aku keluar masuk stesen komuter; sebabnya aku ada kad tiket yang membebaskan aku dari Sagamihara ke Harajuku. Aku boleh melepak di mana-mana bandar sepanjang Sagamihara ke Harajuku Tokyo. Lagipun inilah hari minggu terakhir aku di Tokyo.
Biarlah aku turut kata hati. Dalam diri bercampur baur, Mila tentunya lekat di hati; mana mungkin seorang suami dapat melupakan isteri. Tapi aku pelik dengan Mila. Jauh di sudut hatiku dapat kurasakan ketentuan hati Mila. Keruntuhan itu bagaikan semakin memerangkap aku. Bagaikan dinding setia semakin rebah saban hari menghimpit batinku. Tapi tak sanggup aku tuliskan di sini. Biarlah ianya menjadi rahsiaku.
Terbayang wajah Ayu & Kimura; lambat laun aku yakin mereka adalah menjadi pasangan bahagia itulah harapanku. Nampak wajah Hoshino & Matsushima. Isk! mereka adalah hayalan kosong & bagaikan patung yang aku puja. Memuja patung dalam diam-diam nanti boleh membuatkan aku sesat larat sahaja. Sesat jiwaku sekarang pun payah untuk aku arahkan.
Lihat neon-neon di kota Jepun ini nampak indah lagi gemerlapan tapi amat menyilaukan hati & sanubariku. Silau yang membuatkan aku rasa kosong sekosong-kosongnya. Lambaian Juo Machi semakin merisaukan aku!. Daun kering sakura bagaikan semakin membenamkan ingatan aku pada diri. Bagaikan aku tak larat lagi melangkah sendiri di bumi Jepun ini. Tuhan damaikanlah aku!.
- bersambung.
Kahwin Campur 7
Kahwin Campur Awal
Langgan:
Catatan (Atom)