iDAN

03 Januari 2011

100 ikat perut diberhenti kerja

Oleh Hamizah Badiran

KLANG: Kira-kira 100 pekerja sebuah kilang membuat komponen aluminium di Meru, dekat sini, mendakwa terpaksa mengikat perut selain ‘dikejar’ pihak bank kerana tidak mempunyai wang untuk membayar hutang tertunggak selepas diberhentikan tanpa notis oleh pihak pengurusan syarikat awal bulan ini.

Mereka mendakwa berasa tertipu oleh majikan yang memberhentikan mereka tanpa notis, gaji dan wang caruman setiap bulan yang dipotong daripada gaji didapati tidak dicarum ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Wakil pekerja, Christian Berrnard, 35, berkata mereka dihalang dari memasuki kilang terbabit pada 8 Oktober lalu apabila pintu masuk berkunci dan tiada lagi operasi dijalankan.

Berikutan itu, katanya, 31 pekerja tempatan, 52 pekerja asing dan bakinya pekerja warga India yang bekerja di kilang utama di situ serta dua cawangannya di sini, hilang pekerjaan.


“Lebih dikesali, ada kalangan kami tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu. Bagi pekerja India, mereka mengalami kesukaran menyediakan persiapan untuk menyambut Deepavali.


“Kami merayu pihak pengurusan kilang bertanggung jawab atas masalah ini kerana kami tiada pendapatan lain untuk menyara diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui di depan kilang itu di sini, semalam.

Pekerja, Rozita Yusof, 37, yang sudah tiga tahun bekerja di kilang itu sebagai kerani logistik kesal kerana diberhentikan kerja secara mengejut dan tanpa sebab munasabah.

“Majikan tak bayar gaji saya RM2,000. Macam mana saya nak tanggung lima anak yang memerlukan wang untuk perbelanjaan harian dan sekolah mereka selain saya semakin resah kerana memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan pinjaman bank.


“Sekarang ini, bukan mudah untuk mencari kerja baru walaupun saya sudah cuba hadiri banyak temuduga,” katanya. Sehubungan itu, laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara pada 12 Oktober lalu.

Satu laporan juga dihantar kepada Pejabat Buruh pada 20 Oktober lalu meminta jabatan itu mengambil tindakan bagi membela nasib mereka.

Mengikut notis dikeluarkan Jabatan Insolvensi pada 14 Oktober lalu pula, urusan perniagaan membabitkan syarikat itu perlu dihentikan serta-merta selepas mengalami beberapa masalah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam berjanji akan membawa masalah pekerja terbabit kepada pihak Kementerian Sumber Manusia hari ini.