iDAN

24 September 2009

Raya ooo Raya 3 (Singgahsana)

13. Menjelang magrib Mila mendapat panggilan dari Kak Nomi (seorang-seorangnya kakak kandungku), dia ingin bertandang ke rumahku. Sangkanya aku & keluarga telah berada di Jenaris. Selepas ke rumahku dia mahu bertandang ke rumah Yot (Abg kandungku yang sulung) di Jalan Teluk Gadung Klang. Mila mempelawa Kak Nomi bertandang sahaja ke Meru.

Aku senyum sahaja tenguk Mila terkial-kial masak sendirian di dapur. Hinggakan serbuk kunyit disangkanya serbuk kari. Telah menjadi kebiasaan orang Jawa jika tetamu dari jauh datang, makan tengah hari pun kena disediakan. Di dalam keluarga Mila selain Cik Yong yang pandai memasak, Acik juga sedap masakannya.

Nampaknya tahun ini semua adik beradik Mila telah buat hal hidup sendiri. Semua telah punyai rumah sendiri. Jika dulu selain Maman Ifi tinggal bersama Nyaie, pasti ada keluarga lain, Acik bersama keluarga rasanya paling lama tinggal di rumah Nyaie. Cik Yong pun sekitar tiga tahun. Bila mahu berhari raya tak timbul masalah siapa mahu memasak. Lantaran selaku tuan rumah Cik Yong atau Acik akan memasak, Mila biasanya sekadar tolong lebih-kurang.

Mila bukan tak boleh memasak, cumanya terlampau teliti membuatkan masa yang diambil agak lama. Awal pagi aku sendirian bersarapan di kedai mamak Meru. Menunggu pesanan roti canai siap, lamalah amat; aku lihat telah ada Pasar Mini yang dibuka. Di Meru tak kurang ada tiga Pasar Mini yang agak besar & masih banyak akan dibuka. Semua milik kaum Cina. Pembeli tau pelanggannya boleh dikatakan 90% orang Melayu & Jawa. Selebihnya adalah kaum Bangla, Nepal & pendatang yang lain.

14. Nyaie mengidam makan sayur Kailan Ikan Masin. Katanya menantu si Azmi (Bhai) tak dapat temui sayur Kailan di Meru. Aku & Azim kembali ke Meru mencari barangan untuk makan tengah hari termasuklah sayur Kailan & IkanTenggiri Masin Jeruk. Aku temui Kailan yang tidak sesegar mana. Tak sangka ada seorang pangkat adik memerhati aku. Di Pasar Mini pertama aku sekadar membeli dua bungkus sayur Kailan yang telah ditimbang. Sekitar RM3 untuk 300 gram. Ikan Tenggiri Masin Jeruk memang agak mahal. Dua potong kecil sekitar RM5. Takkan cukup dua potong.

"Iskh! hanya sawi sahaja yang ada kat sini..! mana Kailan ni!! " Aku bersungut.

"Tadi saya nampak awak sudah beli di pasar sana..!" Aku tak sangka ada yang perasan aku membeli Kailan. Siapa wanita ini aku pun tak pasti. Mungkin waris Mila aku yang tak kenal.

"Tak tahulah!, Kailan sana tu tak berapa cantik, Mak Mertua pulak pepagi lagi mengidam nak makan sayur Kailan ikan masin, nak dua kilo pulak tu, makan besar!" Wanita tu senyum sahaja. Aku asyik memilih tomato. Aku pergi ke Pasar Mini yang ketiga. Nampaknya Kailannya sama sahaja, tak sesegar mana; belilah juga setakat mahu mencukup 2 kilo. Tesco tak jauh dari pekan Meru, cumanya malas nak ke sana; tak sebanyak mana pun barangan mahu dibeli.

Keluarga Mila memang keluarga besar. Adik beradik Mila, Angah, Alang, Maman Nordin, Acik, Maman Akhir, Mak Yong & Maman Ifi. Emmm! lapan beradik. Semua sudah berkahwin. Maka jika masak sedikit memang tak akan cukupnya. Tak payah semua berkumpul, jika tiga empat keluarga berkumpul pasti telah gamat. Majoriti punyai anak sekitar 4 orang, kecuali Alang yang tak punyai anak. Mak Yong yang lebih dari tiga tahun tak ada anak sekarang telah punyai dua anak. memang rumah Mak Nyaie sentiasa meriah.

15. Ramai saudara mara Mila dari Kajang datang. Habis semua lauk pauk & sayur Kailan Ikan Masin yang Mila masak. Aku jenis tak mahu berpantang, minta Mila gorengkan Ikan Masin Tenggiri. Emmm! ubat tak makan, belasah lagi ikan masin. Memang kenalah tu!.

Mila teringat akan kedatangan Kak Nomi, mahu dihidangkan. Dia berkira mahu buat spaghetti.

"Spaghetti kena yang kecil & bulat, tomato puri kena yang tinnya rona merah & putih, jangan beli Tomato Purinya nama lain, cendawan dalam tin jenis cendawan butang, daging cincang hanya Ramly Burger yang bagus!" Adoi! banyaknya perintah Mila.

"Apa kata semua tin tomato puri itu banyak berona merah & putih. Mana satu nak pilih jika tak tahu jenamanya!" Aku sengaja bertanya.

"Ini nak beli atau tidak?!" Mila mula cakap Jawa dengan Nyaie. Mengadu aku memang sering persoal apa yang dia hajati.

Mila jarang membeli barangan di pasar maka itu dia tak tahu bagaimana terkadang nak cari daging cincang keluar Ramly Burger itu teramatlah sukar. Ramai sangat kut! di musim perayaan mahu buat spaghetti. Nak tukar selera Mat Salleh.

"Baru dua hari lalu ada spaghetti ini bapak... sejak bulan puasa ramai yang cari tidak ketemu!" Cerita warga Indon yang berkerja di Pasar Mini ke dua yang aku jejaki; penat mencari spaghetti.

16. Magrib Kak nomi bersama Abg Ali suaminya serta anak-anak, menantu, cucu & adiknya Jejaka bujang beranak tiga; Chef di Giant. Mereka konvoi ke rumah Mila dengan dua kereta. Nampaknya mereka amat berselera berjuadahkan Lontong dengan Sambal Lode. Spaghetti Mila juga boleh tahan. Dia telah kerap buat spaghetti, kebetulan bahan yang aku beli memang tepat & sempurna seperti apa yang Mila inginkan.

Aku asyik mengusik adik Abg Ali (biras); Zul namanya. agar mencari jodohnya di sini. Dari percakapan Kak Nomi nampaknya birasku itu masih ingatkan bekas isterinya. Beruntung siapa dapat kahwin dengan dia, sebabnya memang rajin memasak. Isteri tak payah masak, tahu-tahu perbagai juadah disediakan. Tak banyak Giant ada kantin@Cafeteria nya sendiri. Biasanya ada jual makanan tapi tiada tempat lepak untuk makan & minum. Zul kata dia berkerja di Giant Shah Alam; sesiapa tinggal di Shah Alam pasti perasan Cafeteria di mana Zul berkerja.

Kak Nomi baru punyai dua orang cucu; dua-duanya dia yang menjadi pengasuh. Yang datang cucunya yang pertama; anaknya yang sulung si Faizal. Dia mendapat menantu orang Sabah juga. Cucu lelaki ini tengah ligat, penat nampaknya si Faizal menjaganya. Cucu kedua balik ke Kelantan. Dapat menantu kedua orang Kelantan. Katanya sekitar Kota Bharu. Aku hanya menghadiri majlis persandingan mereka di KL sahaja.

Sayangnya badanku semakin terasa melayang, tak makan ubat memang akan membuatkan seluruh badan tidak bermaya. Aku lihat gatal-gatal di badanku mula berona merah. Petanda glukos semakin tinggi.

Janji Pak Alang Muda tinggal janji. Mana itu Pucuk Mengkudu. Dia tak nampak pun datang ke rumah Nyaie sepanjang hari. Khabarnya beraya jauh. Hari semakin gelap, esok aku terpaksa cari juga Pucuk Mengkudu atau terpaksa balik ke Jenaris.

Aku turut serta Kak Nomi & keluarganya bertandang ke rumah Yot. Seperti rutinnya. Sakit Yot masih tidak berkurang, baru sahaja dibuat pembedahan lantaran telah timbul bisul lantaran glukosnya yang tinggi. Bacaannya tidak pernah kurang dari belasan mmol/l. Setiap 3 hari dia terpaksa buat dialisis. Buah pinggangnya telah lebih dari 3 tahun tidak berfungsi.

Aku pulang dari rumah Yot sekitar 11:45 malam sampai di rumah Mila sekitar 12:30 malam. Orang tua memandu sendirian di tengah malam. Emmm! Amira anak saudara Mila pula meragam tak mahu biliknya diganggu. Bersepah selimut & toto@Narita di depan bilik. Amira & Amirul tinggal bersama Nyaie. Mereka anak kepada Acik & Bhai. Baru sekolah menengah.

Aku kutiplah si Narita. Pun dapat selimut wangi; sekitar 25 tahun pertama kali dapat selimut wangi di Meru.

Emmm! aku tidak kisah sangat, memanjang tidur di Meru memang lepak di mana pun tak kisah. Nyaie tak sama dengan arwah emak atau arwah Opah Bi. Tak pernah ambil tahu menantu atau cucunya berbantalkah atau berselimutkah. Tiap kali kami pulang ke kampung, kami & cucunya yang lain pun telah terbiasa, pepandailah mencari tempat untuk lepak. Rumahnya besar. Sejak aku komplen bab ini tidak berubah sejak sekitar 25 tahun dengan Mila baru aku nampak ada beberapa Narita di rumah Nyaie. Sekarang pun kami membawa selimut & Narita sendiri.

Bila teringat arwah Opah Bi, dia adalah ibu tiriku tetapi sentiasa ambil berat akan selimut, tilam & bantal ketika tetamu tidur di rumahnya. Tilam bujang tak kurang ada enam buah atau lebih sentiasa tersusun & terjaga rapi. Bila mahu tidur siap dia tukang sembur ubat nyamuk & nyalakan ubat nyamuk.

Semasa arwah emak masih ada aku tidak punyai anak. Tujuh tahun aku tiada anak tapi emak memang amat ambil penting tentang semua kelengkapan tidur ketika cucu & menantunya pulang ke kampung. Bantal kekabu di rumah emak memang banyak & sentiasa dijaga gebu. Sering dijemur.

Kenangan tidur di kampung memang kenangan indah buat anak-anak. Jika tiada kelengkapan atau sekadar bantal hapak & serangan nyamuk yang bertubi pastinya akan menjadikan kenangan indah ini sebaliknya. Ketika mereka kanak-kanak mungkin tidak berkira, bila sudah dewasa pasti perkara ini terfikir oleh mereka.

Di rumah pun seharusnya begitu, kelengkapan tidur adalah satu yang amat penting; sebab tilamlah tempat kita berehat sepanjang malam. Selamanya kita tidur & jangka waktu kita berehat seharusnya jangan diganggu biarlah selesa.

Semasa aku di Jepun tinggal di asrama pekerja Juo Machi. Setiap minggu pasti tilam & bantal akan ditukar baru. Ada syarikat khas yang membuat khidmat ini. Orang Jepun suka tidur di tilam kapas. Ketika aku meninggalkan Jepun adalah Musim Luruh, bayangkan betapa sedapnya tidur dalam cuaca sejuk dengan tilam kapas rona putih & selimut tebal yang harum baunya.

Tidur itu separuh mati. Jika kita terpaksa bertepuk tampar dengan nyamuk setengah mati & menghidu bauan hapak sepanjang malam, apalah ertinya hidup ini. Lainlah kita dalam musafir. Lainlah semua keluarga pulang beraya serentak beraya. Kena faham-fahamlah. Masalahnya jika kita memang tidak langsung memikirkan masalah ini terhadap menantu & cucu kita; rasanya ini satu masalah. Narita tak semahal mana. Jika di rumah kita memang langsung tidak tersedia Narita ini. Bagaimana?.

Sakit aku makin menggila. Petang tadi pun aku tak sempat mandi air tempayan. Memang aku makin tidak selesa.

- bersambung