"Rumah yang dibeli pada tahun 1983 ini dahulunya sering menerima kunjungan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebelum beliau menjadi Perdana Menteri" - ASIMAH
KENANGAN membesar di kampung bukan sesuatu yang mudah luput daripada ingatan. Tinggal di rumah kampung dengan binaan beranda, ruang itu sering menjadi pilihan untuk menjamu mata.
Dari situ pandangan akan terarah pada rimbunan pohon menghijau atau air sungai beralun.
Rindu dengan nostalgia itu, Datin Asimah Abdul Latif turut membina pondok menyerupai ‘rumah tangga’ di hadapan pintu masuk ke Teratak Semanggol yang didiami selama hampir 26 tahun.
“Saya mahu mengekalkan konsep Melayu lama. Pondok tempat istirehat bersama keluarga ini dihiasi dengan kemasan ukiran awan larat pada tepi bumbung dua tingkatnya,” katanya.
Dengan lampu gasolin dan pasu-pasu bunga bergantungan, elemen tradisi yang cuba diterapkan mampu digarap lebih-lebih lagi dengan kehadiran sebuah tempayan kecil dan batuk di kanan tangga khusus untuk membasuh kaki.
“Selain pondok, binaan air terjun dan sungai buatan di hadapan pondok sedikit sebanyak membangkitkan suasana kampung.
“Percaya atau tidak, meluangkan masa bersama ikan dan melihat pokok kaktus dan bonsai di sekeliling rumah seakan terapi buat saya.
“Hilang rasa penat apabila melihat kaktus berbunga, bonsai merendang dan ikan koi mengerumuni makanan,” kata anak kelahiran Narathiwat, Thailand ini.
Hiasan kristal dan ‘telur batu’
Meninjau ke bahagian dalam rumah, banyak hiasan kristal, marmar dan seramik boleh ditemui.
Ada juga yang percaya bahawa batu-batu kristal dapat mendorong pertumbuhan rohani dan membawakan aura positif.
Sebenarnya, batu kristal pelbagai jenis yang menghiasi rumahnya dikumpul tahun demi tahun.
Bukan kerana taksub dengan keupayaan batu itu menyembuhkan penyakit sebaliknya sebagai menghargai kejadian Tuhan yang sangat berseni di matanya.
Tidak hairanlah, mata tetamu akan segera tertancap pada hiasan kristal di ruang makan, bilik tetamu mahupun dapur.
Daripada yang berbentuk pohon berdaun, tembikar, pasu bunga hingga ke hiasan dinding, semuanya pasti ada unsur batuan bernilai itu.
Malah di sudut tengah rumah, meja makan bulat turut dihiasi batu-batu permata yang diambil daripada replika dinding Taj Mahal sewaktu beliau berkunjung ke India tidak lama dahulu.
“Saya memang sukakan hiasan daripada batuan kristal. Saya juga gemarkan hiasan yang dihasilkan daripada batu marmar seperti telur pelbagai jenis dan saiz ini,” katanya yang memiliki lebih 100 biji telur hiasan.
Jelasnya, selain dibeli sendiri, ramai juga kenalan yang menghadiahkan kristal kepada Asimah jika mereka ke luar negara.
|
|
“Kebanyakan hiasan yang dibeli di luar negara itu bukanlah mahal, tetapi yang pasti setiap ‘telur batu’ itu halus buatannya.
“Kalau mengikut suami ke luar negara, saya lebih suka masuk ke bazar-bazar. Di sana tentunya terdapat banyak barangan unik yang dijual dan harganya pula boleh ditawar.
“Jika ternampak barangan kristal, marmar atau seramik, pasti saya singgah,” kata isteri kepada mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin ini.
Tambah Asimah, beliau mementingkan aspek keselesaan dan kualiti berbanding harga.
“Kata orang, biar alah membeli tapi menang memakai. Saya hanya akan membeli perabot atau hiasan dalaman yang betul-betul berbaloi dengan nilai yang perlu dibayar.
“Contohnya, set kerusi di bilik tetamu. Walaupun rekaannya mewah, saya hanya membelinya di Ampang,” ujar beliau.
Sediakan ruang khas buat tetamu
Memandangkan sebelum ini suaminya memegang portfolio penting dalam kerajaan, rumahnya sering dikunjungi tetamu. Demi memastikan keselesaan, kolam renang sedia ada dikambus dan bilik tetamu dibina di atasnya.
Rumah berharga RM240,000 yang dibeli pada tahun 1983 ini juga dahulunya sering menerima kunjungan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebelum beliau menjadi Perdana Menteri di samping beberapa orang kenamaan lain.
“Untuk memberi lebih privasi kepada tetamu, kami sediakan ruang makan, bilik tetamu dan bilik solat khas untuk mereka,” ujarnya.
Kosmo!