Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi ( USM ), beliau juga aktif dalam pelbagai aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan dan penulisan lirik lagu. Sejak bersama TV3 lima tahun lalu, beliau pernah mengacarakan beberapa program lain antaranya; Scoreboard, Kafe Aktif, Bila Gila Bola, Keluarga Bijak Everyday dan banyak lagi.
Melihat perwatakan Fedtri di TV dapat kita rasanya dia seorang jejaka yang sopan & seorang yang rajin membaca. Antara hobinya dia suka mengumpul barangan kenangan tiap kali ke luar negara, bercita-cita mahukan mengujudkan koleksi & bangunan sendiri berupa muzium peribadi; Ini pernah dibualnya secara sepontan ketika menjadi pengacara di MHI.
Jika kita melihat Fedtri berceloteh di TV jelas beliau seorang yang luas pengalaman & bertutur dengan bahasa yang cukup teratur & amat bersopan. Peminat beliau tentunya terasa amat yakin dengan hujah beliau yang mana kata-katanya sering terbit dalam hati dalamannya. Sukar kita mendapat pengacara sebegini. Bukan seperti sesetengah pengacara, deejay atau wartawan yang memang popular tetapi dari cara berkomunikasi pun kita nampak akan sikap lalok & celupar mulutnya yang terkadang menyinggung tetamu malahan penonton, pendengar yang sedang bersama rancangan kelolaannya.
Agar satu hari nanti Fedtri akan menjadi seorang penerbit yang disegani semua orang. Selamat maju jaya Fedtri!.
Ini artikel yang terjumpa di laman sesawang tentang MHI.
MHI Semakin Ceria
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
Mahu pastikan program bual bicara awal pagi jadi pilihan penonton
MULA bersiaran sejak April 1994, Malaysia Hari Ini (MHI) terus menjadi program bual bicara yang menjadi pilihan penonton setia TV3. Seawal jam 6.30 pagi lagi, mereka yang bangun pagi untuk bersiap ke tempat kerja atau menguruskan persekolahan anak tidak ketinggalan mengalihkan siaran MHI sebagai santapan minda.
Selain padat dengan bahan yang penuh mesej dan maklumat, tumpuan MHI pastinya akan diberikan kepada deretan perantaranya yang memberikan nilai tambah atau daya tarikan. Tahun 2010 selain diterajui ‘orang lama’ seperti Ally Iskandar, Ahmad Fedtri Yahya, Abby Fana, Wardina Safiyyah dan AG, lima wajah baru turut diperkenalkan.
AG kontrol macho.
Menurut Ally Iskandar yang sudah sembilan tahun bersama MHI, dia percaya dan yakin kehadiran perantara baru ini mampu memberi warna sari dan keseimbangan dengan perantara sedia ada. Kata calon Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 itu setiap perantara mempunyai karakter tersendiri.
“Masing-masing juga mempunyai kredibiliti tersendiri. Istilah lama dan baru tidak wujud sebenarnya kerana semuanya berpaksi kepada persaingan yang sihat. Tidak langsung wujud situasi siapa membayangi siapa kerana semuanya seimbang untuk memberikan yang terbaik,” kata Ally tidak sangka namanya terus relevan dan bolos selepas lima kali dicalonkan.
Wajah baru yang dimaksudkan itu seperti Zakiah Anas dan Seelan Paul bukanlah asing lagi dalam dunia penyiaran. Zakiah sudah cukup sinonim dengan TV3 termasuk program 999. Seelan pula pada masa yang sama memikul jawatan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima di samping pernah menimba pengalaman sebagai deejay.
“Ada permintaan untuk saya menjadi pengacara dan pada masa yang sama saya menyahut cabaran ini sebagai menimba pengalaman kerja baru. Saya juga berbangga menjadi lelaki pertama dari kaum India yang menyertai MHI sebagai pengacara. Ia satu sejarah peribadi buat saya.
“Saya mula menyertai MHI sejak 19 Januari lalu. Mengacara dan menjadi deejay radio adalah kerjaya berbeza biarpun kedua-duanya memerlukan suara untuk bercakap. Di radio saya lebih santai kerana kita bebas berbuat apa-apa apatah lagi wajah kita tidak dipaparkan.
“Tapi untuk TV, saya perlu lebih peka dengan pergerakan dan apa yang kita lontarkan kepada penonton. Saya seperti budak baru belajar yang sedang mencari ruang untuk mencipta keserasian. Kerjaya baru ini juga meletakkan cabaran untuk saya membahagikan dua kerjaya dalam satu masa,” katanya yang sudah 12 tahun berada dalam industri penyiaran.
Selain itu, M Zulkifli Abd Jalil juga seperti Seelan yang pertama kali mencuba bakat sebagai pengacara. M Zulkifli bukan wajah asing di kalangan rakan wartawan kerana dia juga bertindak sebagai Pengurus Besar Pengisian, Jenama dan Pemasaran, Alt Media Sdn Bhd, M Zulkifli Abd Jalil bagi portal online muzik, guamuzik.
Dua lagi penyeri yang dimaksudkan ialah Zher Peen dan Annahita Bakavoli. Zher Peen juga bergelar pengacara Quickie di 8TV manakala Annahita terlebih dulu bergelar model dan pelakon sebelum membabitkan diri dalam bidang pengacaraan.
Tahun lalu, Annahita mengambil kursus jangka pendek selama setahun di dua buah universiti di Amerika Syarikat (Illinois dan New York) dalam bidang berkaitan seni seperti teater, penulisan kreatif, pengucapan awam dan penerbitan.
“Saya mula menyertai MHI sejak 1 Januari lalu sebagai hos dan juga wartawan penyiaran. Akhirnya impian saya untuk berada di dalam MHI menjadi kenyataan. Saya menghantar resume dan menghantar kepada TV3. Selepas melalui proses saringan uji bakat, saya terpilih.
“Buat masa ini tumpuan saya lebih kepada pengacaraan MHI dan saya belum terfikir untuk berlakon kembali. Tetapi Insya-Allah, jika ada kelapangan saya mungkin mempertimbangkan tawaran berlakon. Jika diberi pilihan saya gemar untuk membuat liputan mengenai seni, makanan dan hiburan,” kata graduan ijazah berkembar Undang Undang di UiTM, Shah Alam.
Bagi Wardina yang hampir dua tahun bersama MHI, dia sedar setiap hari adalah proses pembelajaran dan pasti ada ruang untuk memperbaiki diri. Kata isteri kepada Ikhwan Johari itu lagi, apa yang lebih penting ialah dia meneruskan kerjaya di MHI atas dasar kecintaan yang cukup mendalam.
“Saya seronok dan tidak tertekan bergelar pengacara. Saya bebas menjadi diri sendiri serta ikhlas melakukan semua ini termasuk berkongsi maklumat dan saling memberi inspirasi kepada penonton,” kata Wardina yang bergelar pelajar sambilan dalam bidang psikologi.
Tambah Wardina lagi, dia sedar setiap sisi kehidupan itu perlu diisi dengan perkara bermanfaat dan berilmu. Maka sebab itu, dia sanggup mencuri masa untuk belajar biarpun sibuk dengan kerjaya dan rumah tangga. Kata Wardina, dia juga bakal mengeluarkan dua buah buku berbahasa Malaysia sekitar Mac nanti.
“Satu daripadanya ialah buku kanak-kanak berjudul Ali Alien dan satu lagi satu buku berkaitan keibubapaan. Insya-Allah, saya juga cuba berjinak-jinak untuk bergelar ahli akademik seperti bapa. Malah 13 Januari lalu, saya diundang memberi syarahan di Persidangan Asia Pasifik di Universiti Malaya,” katanya yang sudah jarang menerima tawaran berlakon dan bersetuju antara punca dia jarang ditawarkan berlakon lagi kerana faktor bertudung.
Lebih selektif dan ceria
SEMENTARA itu, Ahmad Fedtri Yahya yang turut bertindak sebagai penerbit MHI memberitahu antara kelainan yang cuba dipersembahkan produksinya tahun ini ialah menerusi pemilihan tetamu dan topik yang lebih berwarna. Kata Fedtri yang sudah enam tahun di TV3,
“Konsep kami lebih menceriakan dan tidak terlalu rigid. Pemilihan tetamu pun lebih selektif dan topik yang ingin dibentangkan juga akan disaring. Tak guna juga jika topik menarik tetapi ahli panel yang diundang membosankan. Jadi kami cuba memberi perhatian kepada persoalan itu.
“Tiada lagi cerita yang terlalu sedih sebaliknya lebih ceria. Sebagai penerbit saya lebih gemar menyelitkan lagu etnik kreatif atau tradisional. Semuanya berbalik kepada kreativiti dengan cap dagang tersendiri,” katanya yang sudah lima tahun bergelar pengacara dan baru dua tahun memikul tugas sebagai penerbit MHI.
Ketika fotografi berlangsung hanya Abby Fana saja yang tidak dapat turut serta kerana harus bergegas ke konti Sinar FM di Astro, Bukit Jalil.
Berita Harian