iDAN

18 Disember 2010

Nilai 3 masih meriah. (Singgahsana)




Baru saja balik dari Nilai 3. Suasana di sana masih meriah, apatah lagi jika kalangan kita mahu membuat majlis perkahwinan. Ada banyak kedai yang besar agam untuk mempelai. Sebesar gudang; ada 1001 pilihan. Lain kedai lain pula barangannya. Memang jadi rambang mata.

Apatah lagi jika ada kedai yang mahu ditutup pasti harga barangannya mengejutkan kita tawaran yang terendahnya amat berbaloi. Selain barangan pengantin ada pelbagai lagi pilihan barangan hiasan rumah; cadar, selimut, permaidani antara pilihan yang begitu menarik.

Jika dulu aku bersungut tak ada Narita cuma banyak Toto untuk buat tilam; sekarang Narita telah banyak terdapat di Nilai 3.

Perabut jua amat banyak di sini; dari perabut China sampailah ke perabut Jati. Cumanya kedai di sini cepat tutupnya; jika hujung minggu agak lambat sekitar 9:00 & 10:00 malam, hari biasa selalunya lebih awal dari itu.

Selain kedai barangan, gerai makanan di sini jua amat menarik; cubalah makan Sup Haji Nan; memang sedap. Ianya terletak betul-betul di tengah Nilai 3. Nasi campurnya siap pelbagai ulaman & sambal belacan taruh mangga atau terkadang bacang amat mengancam. Sambal tempoyak, cicah budu & sambal asam kicap untuk ikan bakar dengan harga yang berpatutan. Aku suka Sup Campurnya. Selalunya aku pasti tambah nasi jika makan di sini.

Hiasan tamannya pun makin menarik amat banyak senibina telah pun direka; cantik jika ingin bergambar dengan Gajah, Dinasor atau Unta nan kaku.

Jika anda tinggal sekitar Kajang cubalah ikut Lebuh Raya LEKAS; kejap sahaja telah sampai ke sini tanpa bersesak di Lebuh Raya KL Seremban. Penghubungan semakin lekas & tak sejauh dulu lagi. Moh!lah kita ke Nilai 3, temankan penyair ini.