iDAN

14 Julai 2009

707 Menarik (Singgahsana)


Saluran 707 ini memang menarik, jika ada sarikatanya lagilah dapat menarik ramai penonton. Melalui saluran ini banyak negara dapat dilawati. Perbagai resepi juga dapat kita pelajari. Begitu juga hasil seni & cara menghias rumah. Semuanya terpapar dengan indah & tak jemu menontonnya.

Selalunya tayangan filem-filem di Astro telah berulang kali ditayangkan, tak kiralah di saluran mana. HBO, MAX atau Star Movie; Baik filem Inggeris, Melayu, Hindi & lainnya telah hampir hafal jalan ceritanya. Terkadang menjemukan. Maka itu apa salahnya sesekali kita beralih ke saluran 707 yang banyak memaparkan kehidupan di seantero dunia.

Agar penerbit saluran 707 ini rajin membuat sarikata dalam perbagai bahasa & pastinya akan menarik ramai lagi penonton. Sesekali kliklah ke sana 707, menang santai di sana.

Nikah lebih 10 tahun (Hiburan)


Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 10 tahun berahsia, pelakon popular, Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja, akhirnya tampil membuat pengakuan kepada Harian Metro, semalam, berhubung status dirinya yang sudah bergelar isteri kepada ahli korporat, Mohd Silahuddin Jamaluddin, 40-an.

Eja, 37, yang kini sarat mengandung tujuh bulan berkata, dia yakin sekarang masa tepat baginya berkongsi dengan peminat mengenai pelbagai cerita dan hal peribadinya.

“Sebenarnya bukan status saya dan suami yang menjadi masalah, sebaliknya saya ingin beritahu kepada peminat mengenai keadaan saya sekarang bagi mengelak fitnah kepada anak dalam kandungan ini.

“Pada masa sama, saya ingin tegaskan kepada peminat, saya berkahwin dengan suami (Silahuddin) selepas dia berstatus duda dengan dua anak. Justeru, gosip yang mendakwa saya isteri kedua dan menjadi punca perceraian dengan bekas isterinya yang juga wanita berketurunan Amerika-Australia tidak berasas sama sekali.

“Saya harap dengan penjelasan ini tidak timbul lagi cerita negatif mengenai rumah tangga saya dan orang juga tidak akan bertanya mengenai kisah peribadi saya,” katanya ketika menjayakan fotografi eksklusif bersama sisipan Harian Metro, Rap di Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini, semalam.

Malah, kata Eja yang dikenali dalam drama bersiri Rindu Semakin Jauh, Mya Zara dan Seputih Qaseh Ramadan, hubungannya dengan dua anak tiri, Khatijah, 17, dan Shane Jacob, 13, juga akrab sampai sekarang.

“Kedua-dua anak tiri menerima saya dalam hidup mereka. Kini, Khatijah dan Shane sudah menuntut di Australia. Setiap kali pulang bercuti, mereka pasti mengunjungi kediaman kami di sini.

“Bila dapat tahu saya mengandung, mereka sangat gembira kerana bakal menerima kehadiran anggota baru dalam keluarga kami. Masing-masing berebut ingin memberikan nama kepada bayi yang bakal saya lahirkan September nanti,” katanya.

Ditanya kenapa dia berahsia selama ini, Eja berkata, sebenarnya dia tidak pernah menyorokkan status dirinya kepada peminat.

“Sebenarnya saya tak pernah menafi atau mengiyakan status saya sepanjang 12 tahun dalam industri seni. Cuma saya tidak bercerita kepada orang mengenai status sudah berkahwin kerana sudah menjadi prinsip saya sejak dulu untuk tidak bercerita hal peribadi berbanding kerjaya seni.

“Hakikatnya, saya dan suami juga seperti pasangan normal lain. Dia sentiasa menemani saya termasuk ke pasar malam.

“Namun, jika tindakan saya dianggap menyorokkan status dan hipokrit, saya sedia menerima kritikan orang. Jika apa yang saya lakukan menyinggung perasaan peminat dan mereka berasa tertipu dengan apa yang berlaku, saya juga memohon maaf,” katanya.

Harian Metro

Mimpi petanda Kurang Baik 2 (Singgahsana)

"Hujung bulan nanti ayah akan ke pakar jantung Klinik Kardio di Hospital Serdang lagi..!" Afiz diam saja, di tangannya tak lekang dengan telefon bimbit berSMS dengan kekasihnya. Tak putus.

"Jika Afiz temani ayah pasti Afiz akan perasan, tak ramai orang macam ayah; sendirian ke hospital pakar.." Aku cuba menarik perhatiannya. Namun SMS dari gadis pantai timur tersebut lebih menarik minatnya dari berbual dengan aku.

"Jika suami sakit selalunya isterinya ada bersamanya kalau pun tidak anaknya menghantar, jika isteri sakit suami selalunya ada sebelahnya, terkadang tu bukan seorang dua mengiringi..!" Mata aku mengatuk sangat sebenarnya, kenduri Maman Ifi sudah selesai, meriah sekali, tiga hari tiga malam orang tak putus datang.

"Sudah lebih tiga tahun ayah sakit, ibu Afiz macam tak kisah pun!"

"Afiz pun perasan, ibu tu memang tak ambil tahu sangat sakit ayah!.." Baru Afiz bersuara bila dia mendengar ayahnya menyebut ibunya.

"Emmm! rasanya boleh dibilang dengan jari berapa kali ibu hantar ayah, ketika ayah di wad kecemasan pun dia tidak pernah datang melawat!" Aku teringat akan pemergian ayah mertuaku. Mengejut. Masa tiga malam dia di hospital Mak Mertuaku langsung tak risau & mahu melawatnya. Masa arwah Pak Mertuaku telah meracau pun dia tidak rasa risau jauh sekali tergerak hati melawatinya. Apakah sikap emaknya telah menurun ke dirinya. Isteri yang kusayang seorang ini.

"Nanti jika Afiz telah berumahtangga perkara sakit semua ini janganlah diambil mudah, masa sakitlah kita kena ambil perhatian terhadap isteri kita!" Hinggakan Pak Mertuaku meninggal, aku & Mamam Ifi sahaja yang bersama di dalam kereta Jenazah. Perjalanan pulang jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang ke Meru tiada pun diringi Mak Mertuaku. Sampai di rumah sekitar 2:00 pagi. Aku tak nampak Mak Mertua aku menangis atau bersedih. Bagaikan masih ada dalam dirinya satu perasaan marah; salah satu sebab yang aku dapat ramalkan; tiada restunya Pak Mertuaku berkawin dengan orang Indon. Mak Mertuaku tidak mahu bermadu dengan wanita Indon tersebut. Rasanya semua isteri tak mahu bermadu dengan orang Indon tentunya.

"Glukos ayah telah bertambah, dalam tempoh sebulan naik sekali ganda, padanlah ayah rasa badan ini berat semacam!" Sebab itu terkadang ayah sukar bernafas, sering tersedar sekitar 3:00 pagi terasa lemas & sesak bernafas. Badan pula gatal-gatal. Aku pernah mengadu masalah ini dengan Dr Shima maka itu dia membuat surat arahan agar aku dirawat doktor pakar jantung di Hospital Serdang. Tentunya Dr Shima takut musibah akan menimpa seperti apa yang tertulis di artikel ini.

Apabila glukosa darah bertambah, lebih banyak hormon insulin akan dirembeskan oleh pankreas untuk membawa glukosa berlebihan memasuki sel badan.

Apabila kepekatan glukosa dan juga insulin yang beredar dalam saluran darah semakin tinggi, ditambahi dengan tekanan darah yang meningkat, kemungkinan besar lapisan dalam permukaan saluran darah akan terluka bagaikan dicalar. Seterusnya, plak akan terbentuk apabila badan mengambil tindakan untuk membekukan darah.

Dengan permukaan yang berplak, akan mula terkumpul kolesterol, lemak, sel-sel mati dan sebagainya di bahagian itu dan terbentuk gumpalan yang semakin membesar. Pada waktu itu, individu itu selalunya tidak lagi terasa apa-apa yang tidak kena pada badannya.

Malapetaka akan menimpa dalam keadaan badan tertentu, contohnya ketika tekanan darah meninggi secara mendadak. Dalam tekanan darah yang tinggi, gumpalan itu mungkin akan tertanggal dari permukaan dalam saluran darah dan terbawa-bawa dalam pengaliran darah.

Bayangkanlah sebiji bola ping pong yang terjatuh ke dalam kolam simpanan air besar, terbawa ke dalam paip air yang besar dan akhirnya sampai di paip air kecil rumah kita, pastinya akan menyumbatkan paip air rumah dan menyebabkan bekalan air ke rumah terputus.

Keadaan yang sama terjadi apabila gumpalan tersebut menyumbatkan pembuluh darah yang membawa oksigen ke jantung, mengakibatkan serangan jantung yang membawa maut.

Sindrom metabolik bagaikan pembunuh senyap yang mengamuk dan membunuh tanpa disedari atau tidak diawasi gejalanya. Oleh itu, sindrom ini harus diberi perhatian yang serius dalam penjagaan kesihatan.

Maka itu Doktor Pakar Jantung di Hospital Serdang memberikan aku Uniaspirin, Acetylsalicylic Acid ubat mencairkan darah, agar tidak terjadi sindrom metabolik ini. Ianya amat bahaya boleh mengakibatkan strok atau angin ahmar yang membuatkan mangsa diabetes mati mengejut.

Sakit diabetes ini memang mendatangkan selera makan yang bertambah. Bila kekenyangan amat payah untuk mengawal rasa mengantuk. Tambahan pula serangan darah tinggi, kolestrol, buah pinggang , jantung & hati. Aku sungguh tidak secergas dulu. Maka itu aku tidak lagi mahu memaksa diri berkerja keras di majlis kenduri Maman Ifi, buat kerja sedikit pun lelahnya bukan main.

Kebetulan Mila tak bawa pun pakaian Baju Melayu ketika aku pulang ke Meru. Aku sekadar pendatang di majlis tersebut. Mila sebagai anak sulung memilih sebagai penyambut tetamu dengan pakaian anggunnya, aku pula sekadar orang luar tidak sama sekali mengiringi isteri. Hanya memerhati gelagat keluarga mertua ghairah bergumbira menyambut saudara mara & tetamu mereka.

Bayangkan majlisnya selama tiga hari tiga malam; di hari kedua aku memang tak berdaya lagi. Aku mencuri waktu tertidur di masjid entah berapa jam lamanya. Pastinya dengkuranku yang kuat menggamatkan ketenangan masjid. Semakin tua & tenatnya aku. Mana mungkin aku secergas dulu, mimpi tragis & kerisauan tentang kematian tentunya bukan lagi mainan buat insan seusiaku.